Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, January 31, 2013

LIFE IS BEAUTIFUL - Majalah Interaktif Digital



Majalah ini bukan sekadar berbentuk digital, tetapi ia adalah interaktif. Sangat canggih. Anda semua jangan terlepas membacanya kerana majalah ini adalah majalah keluaran pertama pihak kami! Buat masa ini, ia diedarkan secara PERCUMA!  Jangan lupa, gunakan iPad atau iPhone untuk membaca majalah interaktif digital ini! Kalau anda mengguna tablet atau peranti android (Samsung galaxy etc. atau telefon android) anda akan dapat membaca majalah digital yang bukan interaktif. Selamat mencuba.

Untuk membacanya, sila ke





dan


Segala info ada di sana.

PS: Jangan lupa daftar dulu di e-sentral tu... kalau tak, memang tak boleh buat apa-apa!




Wassalam.








Wednesday, January 30, 2013

Contohi Akhlaknya

                        Sekadar Hiasan


Assalamualaikum semua

Sempena menyambut Maulidur Rasul, ramai di antara kita yang mendengar ceramah agama yang membentangkan pelbagai inspirasi dan motivasi. Rata-rata, kita sebagai umat Islam tidak lupa kepada Rasul kita, Muhammad S.A.W. Setiap kali kita berzikir, kita ucapkan juga selawat untuk baginda. Amalkanlah tabiat ini, semoga kita akan kukuh menjadi Muslim dan Muslimah yang tidak pernah lupakan Tuhan dan Nabi kita, S.A.W.

Apa yang paling hebat tentang Muhammad S.A.W. selain dari segala mukjizat yang diberikan Tuhan buat baginda? Sebagai orang Islam, kita semua patut mencontohi akhlak baginda. Malah, kalau akhlak kita mulia, segala perbuatan kita akan jadi bersih juga. Baginda bukan sekadar taat kepada perintah Allah SWT, malah kelakuannya sangat mulia hinggakan sanggup menyuap makanan kepada seorang Yahudi tua yang memakinya setiap hari. Kalau kita manusia biasa, jangankan orang yang memaki-hamun kita, ibu bapa kita pun ada di antara kita, yang tidak sanggup mengasihi mereka. Subhanallah.

Muhammad S.A.W. tidak memandang hina kepada orang lain sekalipun mungkin orang itu perangainya jauh daripada perangai baginda. Dia senang untuk bersimpati dan mengasihi. Dia sangat menyayangi ahli keluarganya, sahabat-sahabatnya dan semua yang dekat dan jauh dengannya.

Kalaulah Baginda berada dengan kita di Malaysia hari ini, pasti Muhammad S.A.W. berasa sedih melihat keadaan kita, bergaduh sesama sendiri, menuduh bukan-bukan sesama sendiri, berdengki sesama sendiri dan cuba jatuhkan sesama sendiri. Malah, kita juga sukar mendapatkan mereka yang mempunyai ilmu agama yang tinggi untuk membantu Muslim di negara ini untuk bersatu. Kalaulah kita sama-sama fikirkan hal ini, mungkin kita akan berubah. Kita akan sokong sesama sendiri, bantu sesama sendiri, hormat sesama sendiri dan sayang sesama sendiri.

Semoga Allah SWT membuka hati kita semua, memberi hidayah kepada kita semua rakyat Muslim di negara ini, agar terbuka hati kita untuk menyokong sesama sendiri, sebelum terlambat dan kita semua ditindas oleh mereka yang sedang merancang untuk lakukan itu. Nauzubillah.

Wassalam.

Monday, January 28, 2013

Perginya Seorang Pejuang

Assalam.

Di atas permintaan seorang pembaca yang agak rapat dengan saya, saya lampirkan link ini untuk berkongsi cerita tentang seorang gadis yang bersemangat cekal untuk kembali kepada Allah SWT yang dicintai. Sebuah kisah cinta yang abadi. Semoga kita sama-sama meluangkan masa untuk membaca kisah ini. Semoga ia menjadi peringatan buat kita yang menumpang dunia Tuhan. Dunia dan seisinya ini hanya ibarat debu bertaburan. Sampai masa, semuanya akan berterbangan. Wallahuaklam.

http://mujahidah2u.blogspot.com/2013/01/rentetan-pengalaman-di-hari-hari.html

Al Fatihah buat Allahyarham Siti Hajar bt. Ahmad Sabir.

Sunday, January 27, 2013

Novel Cinta Itu Novel Picisan?

                         Sekadar hiasan

Assalamualaikum

Agak menarik judul entri saya kali ini, kan? Saya bangkitkan kerana membaca dua artikel yang ditulis oleh dua orang yang berbeza tentang novel-novel cinta yang berlambak di pasaran di surat khabar Mingguan Malaysia. Maka timbullah pelbagai anggapan dan andaian. Semestinya siapa-siapa pun berhak untuk kata apa sahaja. Kalau nak kata novel cinta itu merupakan novel picisan, katalah... siapa yang boleh halang, kan?

Ada cerita kononnya tak semestinya penulis novel cinta yang mampu hidup kaya, yang menulis bukan kisah cinta pun boleh juga. Sungguh ke ni? Maksud saya semua penulis novel cinta merupakan penulis yang kaya-raya kat Malaysia ni ke? Seronoknya saya dengar, patutlah ramai benar yang gila menulis sekarang ini. Semua nak jadi penulis novel, mungkin semua beranggapan mereka boleh jadi cepat kaya. Dan dikatakan juga, banyak penulis lain juga turut hidup mewah, termasuklah yang tulis buku agama dan buku motivasi. Betul, betul, betul! Tak silap tu.

Lepas tu, ada pula cerita konon-kononnya, novel-novel cinta memang tak layak diangkat ke mana-mana, kerana rata-rata novel cinta adalah novel picisan! Huhu... semestinya begitu, kerana yang menulis artikel itu adalah penulis lelaki! Yang banyak menulis novel cinta pula adalah wanita! Bunyi macam ada sedikit sakit hati... tapi tak apalah, apa salahnya nak tulis macam tu, kan?

Ada juga yang berkata, tak usahlah angkat novel cinta naik tinggi-tinggi sebabnya nanti akan rosaklah sastera negara ini. Wow! Menarik sungguh tu.

Kalau tanya saya, saya dah lama tak ambil peduli pasal hal sebegini. Katalah apa sahaja. Begitu juga untuk yang mahu menulis, tulislah ikut kata hati. Kalau kemudian orang nak label apa sekalipun, saya tak pernah kisah. Bagi saya, setiap kali saya menulis, saya tahu tanggungjawab saya untuk masyarakat yang pilih untuk membaca novel saya. Saya pastikan ada ilmu yang saya kongsi sama dengan pembaca-pembaca saya. Saya pastikan fakta yang tertera adalah tepat, jalan cerita yang logik, tidak ada apa-apa unsur yang mampu merosakkan remaja, jauh sekali membawa remaja dan pembaca jadi sesat. Saya tak pernah menulis adegan 'seks' yang kotor untuk pembaca, malah saya tak pernah membuat pembaca saya terlupa pada Allah SWT.

Kalau orang mahu labelkan apa yang saya tulis sebagai picisan, yang membawa maksud 'tiada nilai' atau 'tiada harga', biarkanlah. Itu adalah hak mereka yang menilai. Malah, setelah melabelkan sebagai 'novel picisan', mereka katakan sepatutnya drama-drama tidak boleh diadaptasikan dari novel-novel sebegini!

Alahai... saya dah penat nak cakap. Kalau rasa yang penulis-penulis macam kami ini tidak bagus dan tidak baik penulisannya, kenapa anda yang pandai bercakap itu tidak menulis dan pastikan karya anda itu bukan picisan?!

"Tapi Kak Aina... memang ada novel-novel picisan kat luar sana tu. Ramai yang gila tulis kisah-kisah cinta yang kosong! Siap ada babak-babak 'seks' lagi. Tak ambil pot pun pasal haram dengan halal!"

Adoi... orang macam saya ni boleh kata apa ya? Itu mungkin hak mereka kot. Tapi janganlah kerana ada yang buat begitu, kami juga dilabel sebagai penulis 'picisan'.

Mungkin buat apa pun kat tempat kita ni semuanya salah, kan?

Saya sedang menulis sekarang ini... dan saya tak kisah apa orang nak kata di luar sana. Saya akan terus menulis, saya akan cuba yang terbaik untuk berkongsi dengan pembaca-pembaca saya. Namanya menulis fiksyen, kan... semestinya ikut jalan cerita penulis.

Mungkin kalau anda juga sedang menulis, pastikan anda tidak biarkan penulisan anda nanti dianggap sebagai 'picisan' seperti mana yang sedang diperkatakan mereka yang berada di luar sana!

Biar Ada Rasa Malu


Assalamualaikum semua

Semalam, saya ke Bukit Gambir, Muar, menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan kakak saya, Fatin Afiqah. Kami ke sana awal pagi, ketika jalan raya masih belum terlalu sesak. Memang banyak kenderaan yang mahu ke bahagian Selatan Malaysia. Kalau diikutkan, ramai antara ahli keluarga saya yang tak sihat, tetapi kami pergi juga, maklumlah anak saudara saya yang kahwin. Yang seronoknya, kami berjumpa dengan ramai ahli keluarga lain yang turut hadir sama. Ayah saudara saya dari Jay Bee, sanak saudara dari Sungai Dua, Seberang Prai, juga dari Sungai Petani, sepupu-sepapat yang lain dari KL dan merata-rata tempat, turut hadir untuk memeriahkan majlis perkahwinan puteri tunggal kakak saya itu. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Pada petangnya kami pulang, kerana kebetulan suami saya terpaksa hadir majlis makan malam syarikatnya di PJ. Lagipun, ibu saya tidak berapa sihat, kami tidak dapatlah berlama-lama di rumah kakak saya. Dalam perjalanan balik, kami lihat trafik ke Selatan sangatlah padat. Mujur kami dah nak balik. Apa pun, tahniah buat Fatin dan Mus (Mustaffa Maarof - nama klasik), semoga berbahagia hingga ke akhir hayat, in sya-Allah.

Salah satu sifat mulia yang setiap orang Islam wajib ada ialah sifat 'malu'. Sifat ini merupakan satu sifat mewah yang tidak sepatutnya kita buat sesuka hati sahaja. Bila manusia tidak 'malu', mereka akan buat apa-apa sahaja di dunia ini. Misalnya, mereka tak malu untuk jadi pelacur atau GRO, mereka tak malu untuk buat maksiat, mereka tak malu untuk makan rasuah. Tidak malu juga untuk menipu dan membohong orang lain. Tidak malu untuk mengumpat sesuka hati. Banyak perkara-perkara buruk sengaja dilakukan kerana baginya 'okey' untuk lakukan semua itu.

Pun begitu, kita sebagai orang Islam mestilah malu bertempat. Jangan pula kita malu untuk bercakap hinggakan kita dipijak. Jangan malu untuk bersuara dalam keadaan-keadaan yang tertentu. Jangan malu untuk meniaga. Jangan malu untuk mencuba, jangan malu untuk mencemerlangkan diri dalam hal yang baik dan positif. Jangan malu untuk buat kerja keras.

Biarlah kita 'malu' pada tempat-tempat yang betul, agar kita akan terus jadi Muslim dan Muslimah yang baik.

Semoga kita sama-sama amalkan sifat mulia yang dipunyai Nabi junjungan kita, Muhammad S.A.W.


Wassalam.

Friday, January 25, 2013

Tip Bila Berkelahi - Tulis, Jangan Cakap

                       Sekadar Hiasan


Assalamualaikum

Semoga anda semua berbahagia hendaknya. Semoga kita amalkan hidup dengan akhlak yang mulia seperti mana diamalkan oleh Nabi junjungan kita, Muhammad S.A.W. Selawat ke atas Baginda.

Dalam hidup kita seharian, mesti ada benda yang buat kita berkelahi, kan? Tak sependapat, atau ada yang sakitkan hati atau kecilkan hati anda. Kalau dengan musuh, senang sahaja, kita boleh blah! Tak payah layan. Tapi kalau dengan orang yang kita sayang, memang susah, kan? Kalau bertekak dengan mulut, boleh jadi penat dan lagi sakit hati. Kadang-kadang kata-kata kita dipatah-patahkan. Tak sempat kita jelaskan, sudah dipotong. Kita pun melopong! Bertambahlah sakit hati.

Tip yang mudah untuk atasi hal ini, tidak susah pun untuk diamalkan. Kata orang putih, "Life is about making decision." Jadi kita kenalah buat keputusan, kalau tidak, kita kan terus merana nanti. Dalam hal ini, inilah amalan saya bila bertekak dengan orang yang saya sayang. Saya amalkan proverb  Jules Renard ini. "Writing is the best way to talk without being interrupted."

Sekarang ini, lagilah mudah. Kita boleh hantar email. Jangan hantar teks SMS, sebab payah nak tulis panjang-panjang. Hantar email, dia mesti baca. Apa sahaja yang kita nak kata, katakanlah. Lagipun, bila tulis, mulut kita terjaga. Kita tak akan keluarkan benda-benda mengarut. Kalau bercakap dalam keadaan yang sakit hati atau marah, mungkin ada benda yang keluar yang sepatutnya tak keluar. Kalau menulis, kita sempat lagi untuk berfikir.

Okeylah, sekadar berkongsi pengalaman untuk anda semua. Semoga kita hidup aman damai dan selamat dunia akhirat. Ameen.

Wassalam.

Wednesday, January 23, 2013

Salam Maulidur Rasul

Assalamulaikum...

Jom kita perbanyakkan selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., semoga kita sama-sama dirahmati Allah S.W.T.

Wassalam

Tuesday, January 22, 2013

Bagaimana Nak Kekalkan Populariti?

                     Jamal Abdillah
                           Eman Manan

Assalamualaikum

Hari ini saya nak berbual tentang bila seseorang itu jadi 'famous' atau 'popular', ada strategi tak untuk kekalkan kepopularannya itu?

Mula-mula kita lihat pada pelakon. Pelakon filem dan drama TV. Kalau di luar negara, terutama di dunia Barat, biasanya pelakon mereka mampu untuk kekal popular sekalipun umur sudah tua. Misalnya kita lihat pada pelakon seperti Richard Gere, Robert De Nero, Michaeil Douglas, Tom Cruise dan macam-macam lagi,semuanya mampu untuk kekal popular. Dari muda sampailah ke tua. Salah satu sebab ialah kerana mereka memang merupakan pelakon yang sangat profesional. Dalam setahun, mereka memilih untuk berlakon dalam filem-filem yang betul-betul bagus. Tidak main 'tibai' sahaja. Mereka cerewet dan sangat berjaga-jaga. Kerana itulah mereka sangat 'lasting' dari segi kerjaya. Kalau mereka berlakon di TV, mereka elakkan untuk berlakon di filem, kalau mereka sudah jadi 'film star' mereka tak berlakon di TV lagi!

Kalau di tempat kita pula, sangatlah berlainan. Kalau boleh, pelakon kita mahu dilihat di semua tempat. Tak kira TV, atau filem, atau teater, atau tempat-tempat lain. Mungkin aktor dan aktress kita bimbang 'saham' mereka akan jatuh kalau tidak aktifkan diri. Malah, kalau boleh mereka mahu pastikan mereka take advantage serta-merta. Ada pelakon yang sanggup juga menyanyi sama, mungkin bimbang 'miss opportunity' dalam pasaran itu. Kadang-kadang, keadaan seperti itu akan buat penonton dan peminat jadi jelak, sebab sudah tak ada eksklusif nya lagi. Boleh dilihat di mana-mana. Hilanglah 'profesinalisma' mereka. Lama-lama penonton dan peminat bosan dan mahu lihat muka orang lain di skrin pula. Saya percaya kalau pelakon popular pandai handle diri mereka, mungkin penonton tak akan cepat jelak. Mereka mampu bertahan sampai ke tua. Cuba kita lihat pada aktor seperti Eman Manan. Saya rasa saya tak pernah jemu melihat dia berlakon. Memang berbaloi. Tak bosan-bosan. Walaupun Eman Manan tu tak handsome giler, tapi kerana dia tumpukan pada lakonan yang bagus, kita sebagai penonton tak berasa jemu melihat dia berlakon.

Lain pula halnya dengan nyanyian. Kalau seorang penyanyi itu mempunyai suara yang bagus, sampai ke tua pun peminat akan terus mahu mendengar suaranya. Janji suaranya memang bagus, bukan tiruan! Lihatlah pada penyanyi seperti Jamal Abdillah. Kita tak jemu-jemu mendengar suaranya walaupun kini Jamal sudah berumur.

Okey... untuk penulis, cuba kita fikirkan... mampukah penulis bertahan lama di dunia penulisan? Bagaimana agaknya mahu bertahan dalam dunia yang terlalu terikut-ikut dengan trend?

Sekadar untuk kita sama-sama fikirkan.

Wassalam.

Monday, January 21, 2013

Cerita Dari Seberang


Assalamualaikum

Saya selalu berkata bahawasanya bila saya berkunjungan ke mana-mana tempat, tak kira di mana sekalipun, saya cuba perhatikan perkara yang baik-baik kerana dari situ, mungkin saya mampu untuk belajar lagi. Ilmu ini tak akan habis-habis, betul tak? Hebat mana sekalipun kita, kita wajib belajar lagi.

Saya sangat kagum dengan semangat orang Indonesia. Mereka memberi sokongan padu untuk memperhebatkan usaha batik negara mereka. Setiap hari Jumaat, mereka memakai batik, sekalipun hanya suri rumah tangga. Tiada arahan dari kerajaan dan bukan sekadar kaki tangan kerajaan yang memakainya tetapi semua orang. Walaupun pergi bershopping, tapi pada hari Jumaat mereka memakai batik. Dengan cara itu, industri batik mereka mampu berkembang kerana sokongan dari seluruh penduduk Indonesia. Hal ini adalah persetujuan rakyat Indonesia.

Selain itu, saya sangat kagum melihat penduduk Indonesia yang hebat bertutur dalam bahasa nasional mereka. Tak kira apa sekali keturunannya, mereka mengguna bahasa Indonesia. Anak-anak kecil berketurunan Cina tiada masalah bertutur dalam bahasa Indonesia, tidak seperti kita di Malaysia. Jangankan kanak-kanak, yang dah lama dewasa pun tak mahu guna bahasa Malaysia. Masing-masing mengagungkan bahasa Barat atau bahasa keturunan masing-masing. Ada yang tak tahu pun berbahasa Malaysia. Kalau tak percaya cuba tengok TV. Bila ada yang kena interview, bukan main susah lagi nak bertutur bahasa Melayu. Dan kita pun tak kisah, sekalipun program dalam bahasa Melayu tetapi kita biarkan rakyat negara ini mengguna bahasa asing untuk bertutur.

Manakah jati diri kita sebagai rakyat Malaysia?

Jadi... tak usahlah kita bangga sangat dengan orang-orang kita. Memang jati diri kita tak tinggi mana. Kalau boleh, ramai yang nak pindah tinggalkan negara ini kerana kita tak pernah tunjuk sayang dan hormat negara kita sendiri. Sungguh sedih.

Wassalam.

Sunday, January 20, 2013

TELAT - Pernah Dengar Tak?

Assalamualaikum.

Pertama kali sepupu saya mengguna perkataan 'telat' dalam mesej whatsapp nya, saya jadi bingung. Tidak faham apa maksudnya. Kemudian, saya membaca 'memoir' yang diberikan suami sepupu saya, masih banyak perkataan 'telat' yang saya jumpa dalam penulisan memoir itu. Saya akhirnya faham maksud 'telat' itu seakan-akan 'too late' dalam bahasa Inggeris. Bila saya semak di dalam kamus Dewan, memang ada perkataan 'telat' itu. Saya semak lagi dalam Internet, memang 'telat' digunakan oleh orang-orang Indonesia dan perkataan itu berasal dari maksud 'too late'. Hah, betapa menariknya, sesuatu yang saya baru tahu. Sebelum ini tak tahu pun ada perkataan 'telat' ini. Mungkin saya yang ketinggalan, saya tak tahulah. Tiba-tiba teringat pula pada perkataan 'gostan' yang kita selalu guna untuk jelaskan pergerakan yang pergi ke belakang dan perkataan itu datang dari perkataan Inggeris yang berbunyi 'go astern'.

Okey, mungkin ada di antara anda yang sama seperti saya, tak tahu tentang perkataan 'telat' ini. Selamat belajar.

Wassalam.

Friday, January 18, 2013

Coming Soon - Pertandingan Ebook


Assalamualaikum


Pagi ini saya akan ke KL untuk berjumpa dengan teman lama. Petang nanti, in sya Allah saya akan ikut suami ke Johor Bahru. Tiba-tiba sahaja dia kata dia perlu ke sana sebab ada kerja 'urgent'. Jadi, sebagai isteri solehah, saya akan temani di... hehe (perasan macam solehah sangat!). Saya memang nak ikut supaya on the way back esok, saya boleh singgah di Kluang untuk beli kopi Kluang.

Okeylah, saya ada good news untuk anda yang sedang belajar untuk jadi penulis. Saya difahamkan bahawa tak lama lagi, pihak pemasaran buku digital dan sebuah syarikat Telco akan mengajurkan sebuah pertandingan menulis cerpen. Jadi, cerpen anda akan di ebuku kan dan kemudian akan ditandingkan. Tak kisah banyak mana cerpen yang anda nak tandingkan (fiksyen), anda boleh buat. Jadi, eloklah kalau anda mula kumpulkan semua cerpen-cerpen anda tu dari sekarang. Bila dibuka sahaja pertandingan itu, anda sudah bersedia. Saya difahamkan juga akan ada satu projek lain yang ada kaitan dengan ebook yang akan dilancarkan kemudian. Jadi, apa lagi! Jom... mulalah menulis.

Saya perlu bersiap-siap, jadi tak dapatlah nak tulis panjang-panjang. Jumpa lagi, in sya Allah. Wassalam.

Wednesday, January 16, 2013

Jangan Lupa Daratan


Assalamualaikum

Kadang-kadang saya habiskan masa bersama-sama cucu saya menonton cerita-cerita kartun. Bila keluar sahaja cerita 'Wonderpets', akan keluarlah lagu yang berbunyi, 'Apa yang penting, kerjasama!'. Mungkin tepat agaknya. Dalam hidup kita ini, kita perlukan kerjasama semua orang, bukan hidup bersendirian. Sekalipun kita bijak pandai, kaya-raya, hebat segala-galanya, kita masih seorang manusia kerdil, yang tidak akan 'perfect' dan kerana itulah kita perlukan orang lain untuk teruskan sebuah kehidupan.

Dalam dunia bisnes juga begitu. Memang sihat kalau kita bersaing, malah lagi sihat kalau kita sentiasa bekerjasama dengan orang lain, tidak hanya 'aku-aku' sahaja. Subhanallah.

Dalam hidup ini, kita sepatutnya rapat dengan semua ahli keluarga kerana hidup yang begitu banyak barakahnya. Kita sepatutnya menolong mereka yang susah daripada kita. Kita tak lupa pada adik-beradik kita, kaum kerabat kita. Paling utama, kita tidak lupa pada orang tua kita. Sekalipun payah dan susah, menjaga orang tua banyak nikmatnya dan pasti bertimbun barakahnya.

Kalau kita sayang ibu bapa kita, kita jagalah mereka ketika mereka tua. Rajin-rajinlah melawat mereka. Sayangilah mereka seperti mana mereka menyanyangi kita ketika kita kecil hingga dewasa. Bila kita makan angin, sekali-sekala, kita bawalah mereka bersama. Tak akan rugi, tak akan berkurangan wang kita, in sya Allah.

Begitu juga dengan rakan-rakan. Janganlah lupa pada mereka yang selalu menolong kita. Bukan sekadar wang ringgit, tetapi kasih sayang. Percayalah cakap saya, kita tak mampu membeli kasih sayang.

Selain daripada akhlak yang mulia, ikatan silaturrahim itu sangat penting dalam sebuah kehidupan. Jangan jadi manusia yang lupa daratan, terlupa bahawa segala nikmat, kesenangan, hatta wang yang berjuta-juta itu datangnya daripada Tuhan yang maha esa. Subhanallah.

Semoga kita selamat dunia dan akhirat. Ameen.

Tuesday, January 15, 2013

Kisah di Jakarta Lagi

Assalamualaikum semua

Alhamdulillah saya masih di sini dan hari ini ada mood untuk bercerita lagi tentang pengalaman saya di Jakarta. Sungguh, bagi saya Jakarta sudah banyak berubah, terutama di Kemang, sangatlah happening hinggakan di hujung minggu payah nak bergerak. Lebih laju kalau berjalan kaki sahaja (pengsan pulak sepupu saya kalau diajak berjalan sama). Apa pun, memang sudah banyak hotel dan banyak restoran mewah dan kedai-kedai mewah di kawasan itu (patutlah semakin payah nak cari pekerja Indonesia yang mahu bekerja di Malaysia). Banyak bangunan baru. Ketika di sana, kami berkunjung juga di gedung-gedung mall (shopping kompleks lah tu), dan rata-rata pakaian jauh lagi murah di sana kalau dibandingkan Malaysia. Tudung, baju siap, pakaian kanak-kanak dan macam-macam lagi!

Kami juga sempat melawat hospital kepunyaan keluarga sepupu saya. Hospital tu tidaklah sebesar hospital2 private yang besar di Malaysia, tetapi sangat butik rupanya. Pastinya orang yang kaya sahaja yang mampu ke sana. Kami juga ke kedai barangan kanak-kanak kepunyaan anak perempuan sepupu saya. Rata-rata mereka jauh lagi mewah daripada kami di sini. Tetapi itu bukan soal penting, yang menariknya, suami sepupu saya (bernama Achmad Ganis) telah mendidik ahli keluarganya untuk sentiasa menjaga budi bahasa, mencari ilmu, dan menjaga akhlak sebagai manusia yang tumpang dunia Allah SWT. Dan kerana itulah anak-anak mereka sangat berbudi bahasa, sangat rendah diri dan pandai melayan tetamu yang datang. Saya sangat bangga kerana mereka tidak sedikit pun sombong sekalipun segala kemewahan mengelilingi mereka. Segala pelosok dunia mereka sudah lihat, namun mereka tetap biasa-biasa sahaja. Alhamdulillah.

Sekarang ini, saya sedang membaca sebuah memoir yang ditulis oleh Achmad Ganis, segala kenangan dan memori dicatatkan buat ahli keluarga besarnya membaca. Apa yang menarik, sekalipun Achmad Ganis itu sekarang ini sangat kaya-raya, namun buku itu menceritakan tentang kasih sayang ibu bapanya, tentang 'family values' yang tidak mampu dibeli. Dari ilmu yang diberikan ibu bapanya, maka dia menjadi seorang yang kental, sabar, bijak, taat kepada rakan, sangat ambil berat tentang keluarga, sangat aktif dalam bidang agama, penuh dengan kasih sayang, tidak pernah sombong, sekalipun semua orang tahu yang dia merupakan usahawan 'minyak' antara yang paling sukses di Indonesia. Saya sangat tertarik membaca kisah-kisah silamnya ketika berada di kawasan perkampungan di Kaki Gunung Ciremai suatu ketika dahulu. Terima kasih Achmad, kerana mahu berkongsi cerita dengan semua ahli keluarga.

Semoga kita semua sentiasa menjadi insan yang rendah diri di bumi ini, semoga tidak ada rasa bongkak dan dengki hati di dalam diri. In sya Allah.

Wassalam.

 Sang kancil di laman rumah anak sepupu saya
 Tempat makan di gedung mall Pasar Raya
 Achmad, Mira dan Kak Dos sedang bercerita tentang buku memoir
 Makan-makan di restoran dekat Kemang
 Ramzi (sepupu saya - adik Suzy) dan keluargnya.
 Kedai barangan kanak-kanak kepunyaan Hilda
 Hospital keluarga sepupu saya
Hospital mereka
 Pintu Kamar kanak-kanak di hospital
Kamar hospital
 Gathering seraya berbual dengan ahli keluarga.

Monday, January 14, 2013

Jakarta Yang Berbeza

Assalamualaikum semua

Alhamdulillah, saya sudah pun kembali dari Jakarta. Jakarta yang jauh berbeza daripada dulu-dulu. Saya selalu ke Indonesia, tetapi sejak kebelakangan ini, memang jarang ke Jakarta. Malah, dah lama benar tidak ke sana. Namun kerana ayah saudara saya yang saya gelar Ami Mus, saya tiba juga. Saya tidak menyesal ke sana kerana alhamdulillah, dapat berjumpa dengan Ami Mus yang saya sayang dan juga semua ahli keluarga, terutama Suzy, suaminya Achmad dan semua anak-anak dan menantu, termasuk cucu-cucunya, anak-anak saudara yang lain dan sepupu saya yang lain. Kebetulan, ramai juga yang tiada, kerana sedang hadir majlis perkahwinan di Arab Saudi.

Apa pun, kami berterima kasih kepada Suzy dan famili di atas layanan mereka yang tidak dapat kami gambarkan betapa hebatnya. Semoga tali silaturrahim akan terus berpanjangan hingga akhirat, in sya-Allah.

Saya lampirkan sedikit foto, kami dan ahli keluarga di sana. Saya seronok kerana dapat berjumpa dengan Misyal, Firas (hero-hero novel saya). Hanya tak jumpa dengan Rasya Aleeya kerana dia sudah tinggal di Bogor (kerana sudah kahwin).

Wassalam.

 Suzy, Saya, Ami Mus, Kak Dos dan cucu Suzy
 Kak Dos, saya dan Suzy di depan rumah Suzy
 Kami bergambar ramai-ramai bersama Ami Mus
 Saya, Kak Dos dan Vera (isteri sepupu saya) di rumah Figa (anak Vera)
Kami dengan Figa dan anak-anaknya
  Buah Avocado atau Apukat
 Ini ialah Assila, anak Ramzi dan Vera. Inilah adik Rasya Aleeya.
 Kami bergambar beramai-ramai dengan Ami Mus
 Makan beramai-ramai di Restoran Dim Sum, Kemang
Inilah Hibshi, cucu Suzy. Dia suka makan yang enak-enak!

Thursday, January 10, 2013

Jakarta, Aku Datang Lagi


Assalamualaikum

Sekejap lagi, saya akan ke Jakarta. Hari Isnin baru ada semula di sini. Saya akan berada di kawasan Kemang, tidak berapa jauh dari rumah sepupu saya yang tinggal di Kemang.

Doakan semoga semuanya okey buat saya. Saya juga doakan yang terbaik buat anda semua. Take Care.

Wassalam.

Wednesday, January 09, 2013

Filem Melayu Tak Laku, Salah Penulis Skrip Ke?


                           Sekadar hiasan


Assalamualaikum semua

Semalam, saya membaca komen-komen sebuah surat khabar arus perdana yang membincangkan tentang ketandusan idea untuk membuatkan filem Melayu menarik. Dan kononnya juga, punca terbesar ialah kerana penulis skrip tidak cukup bijak untuk memberi idea yang baik dan kerana itulah filem Melayu merosot. Malah, dalam komen-komen yang diberikan itu, ada juga yang mengatakan bahawa kebanyakan drama Melayu dan telemovie juga mengguna idea-idea kitar semula. Asyik-asyik kisah keluarga berebut harta pusaka, kahwin paksa, konflik keluarga dan kisah cinta.

Saya rasa memang ada kebenaran dengan apa yang dibangkitkan itu. Saya sokong dengan komen yang mengatakan bahawa penulis skrip harus mengambil kira elemen jati diri dalam penulisan skrip agar nilai-nilai positif diseimbangkan dalam pembikinan filem. Dalam pada itu, saya rasa bila kita mengaku yang filem dan drama kita lemah, kita jangan cepat sangat menuduh penulis skrip. Rata-rata, penulis skrip menulis skrip mengikut kehendak penerbit, tak kiralah penerbit itu penerbit filem atau televisyen. Malah, dalam hal drama, terpaksa pula melayan kerenah stesen TV yang mempunyai pelbagai syarat.

Saya bagi contoh ya. Ada stesen TV yang menetapkan syarat, jalan cerita dalam drama tak boleh paparkan keadaan miskin masyarakat kerana tidak mahu melihatkan keadaan negatif di negara ini. Saya tak hairan kalau kita tak mahu ada jalan cerita yang tonjolkan keadaan yang tak bermoral, tapi kalau kemiskinan, memang agak peliklah. Tak ada ke orang Malaysia yang hidup miskin?

Panel-panel yang membuat penilaian skrip di stesen TV juga mempunyai idea dan ragam yang pelbagai, kadang-kadang sangat menyusahkan mereka yang menghantar proposal. Semuanya nak ikut kehendak mereka. Jadi, di mana pula terletaknya kreativiti penulis sedangkan mereka dikongkong oleh panel-panel ini dan juga penerbit! Orang-orang yang komen dalam surat khabar tu tak buat penyelidikan ke?

Sudah itu, kita jangan lupa, stesen TV dan juga pembikin filem, memang suka ikut trend. Kalau ada satu drama menjadi, maka dimahukan drama-drama lain ikut trend yang sama. Maka tidak kah penonton rasa nak termuntah? Cuba perhatikan betul-betul. Ada kala, asyik penerbit yang sama saja yang diberi kepercayaan untuk penerbitan drama di stesen TV tertentu. Kalau dah orang yang sama, maka caranya pun amat sama. Lama-lama jadi bosan.

Satu lagi hal ialah tentang bajet. Rata-rata drama dan filem mempunyai bajet yang teramat rendah. Konon-konon nak buat latar belakang luar negara, tapi bajet kurang. Maka banyaklah kena cantas dan nampak tak real. Bayangkanlah, kadang-kadang drama bersiri dibuat shootingnya dalam tempoh yang teramat singkat. Cerita yang konon-konon bertahun lamanya, mempunyai latar yang sama. Kalau kawasan padi tu, kalau start cerita padi tengah masak, sampai habis cerita masih latarnya padi tengah menguning. Pada hal bertahun-tahun dah berlalu. Begitu juga dengan kereta yang diguna, handphone dan juga stail rambut. Perhatilah betul-betul. Bila saya tengok drama Korea, jarang saya nampak kelemahan seperti ini. Bila musim berubah, nampaklah berubah juga, termasuklah gaya rambut.

Paling teruk yang kita boleh lihat, di skrin TV dan juga di layar perak, asyik-asyik pelakon yang sama saja yang berlakon. Jadi macam mana? Tak termuntah ke kita? Mungkin ramai yang lebih senang download filem-filem tu daripada pergi wayang untuk tonton. Jelak lihat pelakon yang sama. Bukan hanya di panggung wayang, di TV pun muka itu juga. Maaflah... cuba kita tengok filem mat salih. Ada ke kita nampak Johnnny Depp atau Brad Pit asyik keluar masuk panggung wayang atau TV?

Pelakon kita bukan sekadar berlakon pelbagai aksi, mereka juga menyanyi, dan juga jadi pengacara TV. Semua boleh buat. Jadi macam mana kita nak respect dia orang ni? Tak professional namanya tu.

Habis tu kenapa kita nak salahkan penulis skrip sedangkan penulis skrip Malaysia tidak diberi kebebasan untuk jadi kreatif. Memang malanglah kita dalam segi pembikinan filem ini. Masih terlalu di belakang. Kita tak bijak untuk jadikan sesuatu itu menarik. Masing-masing gila duit, nak cepat kaya. Buat filem main cincai-cincai aje. Pernah tanya ke berapa banyak penulis skrip dibayar bila skrip mereka diambil? Jadi... macam mana nak dapat filem yang hebat?

Okeylah, cukuplah setakat ini. Saya harap ramai yang baca artikel saya ini dan fikirlah sama-sama macam mana kita nak jadi pembikin filem hebat, kalau tak sehebat Hollywood, at least hebat macam negara Iran dan Korea.

Wassalam.

Monday, January 07, 2013

Lagu Dia Romantik Maa




Assalamualaikum...

Ya saya suka bila lagu Yuna, Terukir di Bintang menang AJL. Saya tak follow pun program TV tu, tapi bila final saya tengoklah... sebab saya memang suka lagu tu. Saya juga suka bila Hafiz menang vokal. Bagi saya memang tak ada penyanyi lain yang boleh 'pukul' vokal Hafiz. Bayangkanlah kalau Hafiz menyanyi lagu Yuna Terukir di bintang! Hehe... tak payahlah. Okeylah, itu saja yang saya nak kata. Bila lagu Terukir di Bintang mula-mula keluar dulu, saya dah kata dah yang lagu ni best! Saya suka maa... sangat romantik! Saya suka pada presentationnya, sangat simple. Tak berserabut.

Wassalam.

Sunday, January 06, 2013

Aku dan Dia, Ada Beza Ke?

                Wajah anak-anak Indonesia

Assalamualaikum semua

Nampaknya sekarang ini saya tak dapatlah nak update blog ini setiap hari. Saya sedang banyak kerja, mana dengan menulis manuskrip baru, ada dua tiga projek baru lagi... jadi memang kelam-kabut ni. Kebetulan, ibu saya juga tidak berapa sihat, jadi saya juga sibuk beri perhatian padanya. Dengan si kecil-kecil ni lagi, walaupun ada orang yang membantu, tetapi saya tetap sibuk. Apa pun, saya tetap bersyukur kerana masih diizin Allah swt untuk terus sibukkan diri.

In sya Allah, Khamis depan saya akan ke Jakarta. Kali ini, bukan rancangan saya untuk makan angin, sekadar menziarahi bapa saudara saya (adik ayah saya yang kecil sekali) yang saya gelar Ami Mustafa. Ami saya ini sebenarnya tinggal di Amerika Syarikat (saya sudah berkali-kali bercerita tentangnya), tetapi sejak kebelakangan, dia agak uzur dan susah untuk anak-anaknya jaga di Amerika, jadi sepupu-sepupu saya yang tinggal di Indonesia membawa dia pulang ke Jakarta dan Bandung. Tahun ini, in sya Allah, ami saya akan berumur 90 tahun. Memorinya masih bagus, cuma susah nak berjalan dan matanya juga kurang elok. Selain daripada suami saya, saya juga akan pergi dengan seorang lagi sepupu yang tinggal di KL.

Okeylah, saya suka nak bercerita tentang menziarahi tempat orang. Seperti yang orang Melayu sering katakan, bila kita ke tempat orang, kita cubalah sesuaikan diri dengan adat resam orang. Orang lain tak sama macam kita. Dalam begitu, kita janganlah ke tempat orang dengan pandangan yang negatif. Kalau kita mempunyai semangat yang begitu, lebih baik kita jangan ke mana-mana. Saya memang sering ke Indonesia. Bukan hanya Jakarta, tetapi ke tempat-tempat lain juga, termasuklah Bandung, Bogor, Surabaya, Bali, Madura, Jogjakarta, Padang, Bukit Tinggi, Acheh, Siak, Pekan Baru dan banyak lagi yang mungkin saya terlupa nak tulis. Setiap tempat yang saya pergi, semuanya berbeza belaka sekalipun semuanya berada di dalam negara yang sama. Kita di Malaysia, janganlah pandang terlalu tinggi pada diri kita, kerana kebanyakan kita di sini, asal usulnya pun datang dari sana. Malah, banyak juga di antara kita ini, datuk dan neneknya menjadi Islam kerana datang dari sana dan ramai yang berguru dari sana.

Hari ini, Indonesia mempunyai jumlah penduduk yang ramai dan besar, berkali-kali ganda dari kita di Malaysia. Mereka juga melalui proses kemodenan seperti kita, tetapi caranya yang berbeza juga. Mereka pernah ditakluki oleh kerajaan dari negara yang beza dari kita. Ada baiknya dan ada juga tidaknya. Proses-proses inilah yang membezakan kita dengan mereka, walaupun kita adalah serumpun dengan mereka.

Hari ini, sebagai rakyat Malaysia, kita janganlah anggap diri kita sangat hebat kalau dibandingkan mereka. Jangan fikir yang mereka itu jahil daripada kita, kerana saya percaya semua itu adalah fitnah semata-mata. Sama macam kita juga, ada di antara mereka yang perangai tak baik, begitu juga yang bagus-bagus dan berakal. Manusia lebih kurang sahaja kelakuannya, yang membezakan kita ialah latihan, pengajaran dan ilmu yang kita terima. Kalau kita melihat ada di antara mereka yang Muslim tetapi tidak berlagak seperti Muslim, cuba kita lihat di tempat kita pula. Apa bezanya? Serupa sahaja. Tak usahlah kita menghukum orang lain dengan berkata bahawa orang lain itu tak tahu agama, tidak seperti kita yang kita anggap sebagai hebat!

Memang panjang kalau nak kita ceritakan, tetapi biarlah saya akhirkan di sini sahaja. Sekadar untuk mengingatkan diri ini, bila ke mana-mana sekalipun, jangan mudah sangat memandang rendah pada orang lain yang kita anggap tidak sama seperti kita. Hanya Tuhan yang menentukan sama ada kita layak ke Syurga Nya atau pun tidak. Subhanallah!

Wassalam.

Thursday, January 03, 2013

Budaya Minimalisma



                Contoh 'minimalist design'


Salam semua

Pernah dengar tentang 'minimalist' atau 'minimalism'? Mungkin ada yang dah biasa dengan konsep yang saya perkatakan ini terutama dalam hal reka bentuk atau design. Konsep ini kerap digunakan, di mana cara 'berserabut' sangat-sangat dielakkan.

Misalnya, kita mendekorasi hiasan dalaman rumah kita, kalau kita guna konsep 'minimalist' bermakna rumah kita itu tidak sarat dengan perkakas hiasan. Mungkin anda bermain dengan warna dinding, sofa kontemporari, cushions, mungkin juga tiada hampar, sekadar lantai yang cantik, tiada almari-almari besar, tiada hiasan-hiasan mewah seperti yang biasa kita lihat di rumah-rumah orang yang berada. Semuanya di minimumkan.

Begitu juga bila kita kata bahawa sebuah lukisan itu berkonsep 'minimalist', itu bermaksud, lukisan itu tidak kelihatan berserabut. Sangat 'simple' dari segi presentationnya dan mungkin bermain dengan sedikit warna.

Mungkin sekarang ini anda faham apa yang saya maksudkan. Kalau nak tahu, konsep ini sangat intrend buat masa ini di banyak kawasan dunia Barat. Ada sesuatu yang sangat menarik buat saya dalam memperkata konsep ini. Ia bukan sekadar diaplikasikan dalam reka bentuk, hiasan atau lukisan, malah apa-apa sahaja yang berkaitan dengan kehidupan kita, termasuklah cara hidup atau apa yang kita panggil lifestyle.

Dalam gaya hidup 'minimalist' atau minimalism ini, seseorang itu tidak mengguna pakai cara lama, di mana kebahagiaan dikatakan ada pada sesorang bila hidup dalam rumah besar yang mempunyai banyak perabot mewah, langsir tebal dan berlapis-lapis, kerusi set kulit, lampu candelier dan pelbagai lagi yang kelihatan sangat mewah. Malah, ada kereta mewah pelbagai jenama tersusun di depan rumah. Taman juga luas terbentang. Itu adalah gaya hidup konservatif yang sudah lama diamalkan. Namun bagi mereka yang sedang amalkan gaya hidup minimalist, mereka akan hidup dalam rumah yang sederhana rupa, namun dalam semua segi, kebahagiaan diutamakan. Caranya ialah dengan banyak memberi kepada orang lain. Lagi banyak disedekahkan, lagi bahagia yang dirasakan. Hari ini, memang banyak 'billionaire' yang sedang mengamalkan budaya hidup cara ini. Mereka mengaku bahawa mereka jauh lebih bahagia kerana amalan memberi kebahagiaan kepada orang lain, sangat membahagiakan perasaan mereka yang kaya.

Anda lihat tak apa yang saya nampak? Kalau diikutkan, gaya dan budaya hidup inilah yang digalakkan dalam Islam. Kita berusaha keras untuk mencari rezeki, tetapi tidak bermakna bahawa kita bolot segala apa yang kita dapat itu. Dalam Islam, kita digalakkan untuk hidup bersederhana. Kita disuruh untuk bersedekah dan membayar zakat. Bila kita infakkan harta kita kepada orang lain, di situlah kita akan rasa kebahagiaan hidup di dunia. Cara itu, kita tahu semua harta yang kita ada pastinya mampu untuk menolong kita di akhirat nanti. Tidaklah kita hidup mewah di dunia tetapi tak ada apa-apa untuk akhirat kita.

Kalau anda masih muda, mungkin anda tidak rasa apa yang saya rasa. Sebagai orang yang jauh lagi matang, in sya Allah, saya dapat rasakan bahawa setiap kali saya memberi, saya rasa bahagianya. Tidak ada ukuran dari segi wang ringgit yang boleh menilai rasa bahagia itu.

Mungkin kerana itu juga saya sangat suka dengan konsep minimalisma ini. Sesuatu yang sangat menarik.

Wassalam.