Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, June 30, 2011

Duit Duit - Mana Dapat Duit?



Salam dan selamat pagi.

Pagi ni memang sejuk. Malam tadi tidur kena pakai selimut tebal. Kalaulah kat Malaysia hari-hari cuaca dingin macam ni, mesti lagi best, kan? Tapi... bersyukur ajelah dengan apa adanya. Alhamdulillah.

Pagi ini teringat tentang hal duit atau wang atau 'uwang' kata orang Indonesia. Bukannya apa, sebab saya baca tentang masalah hutang 'gila babi punya tinggi' yang sedang berdepan dengan negara 'Super Power' Amerika Syarikat dan kini sedang memeningkan kepala presidennya. Macam mana nak 'settle' dengan hutang yang bertrillion USD tu? Obama tengah fikirkan untuk naikkan cukai kepada mereka yang 'super kaya'. Di Amerika memang ramailah yang super kaya, tapi boleh 'settle' ke? Takut, tahu-tahu Amerika Syarikat pun akan jadi macam Greece... terus jadi bangkrap! Sebelum ni, orang Amerika memang hidup dengan serba kemewahan, bukan sekadar senang, tapi sangat 'lavish'. Bila kita terlalu mewah, maka terjadilah pembaziran. Dan masing-masing terus lupa daratan, hidup dengan hutang sekeliling pinggang.

Tak usahlah kita kisahkan sangat tentang orang Amerika atau pun Greece. Cuba kita lihat orang kita di sini. Macam mana pulak? Mana dapat duit?

Rata-rata, kalau kita pergi ke kompleks beli-belah pada hujung minggu, jarang-jarang yang kosong. Sentiasa ada orang dalam jumlah yang ramai. Bila cukup bulan, bertambah sesak jadinya. Masing-masing sibuk 'shopping'. Tapi, kenapa cukup bulan yang sesak kalau dibandingkan hari-hari lain? Itu menunjukkan bahawa kebanyakan orang hanya ada duit bila masuk gaji bulan mereka. Maknanya, rata-rata orang kita tak banyak simpanan. Mungkin juga rata-rata orang kita tak punyai aset kerana masing-masing mempunyai pendapatan sekadar ngam-ngam untuk perbelanjaan harian. Ada tu, terpaksa bergantung pada kad kredit atau 'pinjaman personal'.

Sekarang ni, tak susah nak dapat kad kredit atau pinjaman, tambah pula kalau bekerja dengan kerajaan. Tahu-tahu, bila dapat aje gaji, duit habis pergi kepada bayaran pinjaman! Adoi mak. Sakitlah macam tu.

Tambah pula kalau ada kereta. Hampir sebahagian besar dari gaji pergi ke pinjman kereta dan keperluan kereta seperti minyak, tol, servis dan lain-lain. Lagi banyak berjalan, lagi banyaklah wang habis untuk kenderaan, sedangkan diri tak punyai apa-apa aset. Rumah masih rumah sewa. Tanah pun tak ada. Yang ada hanya HUTANG!

Oi... memang tak senang nak dapat duit, tapi bila kita tengok di sekeliling kita, kita nampak macam orang semua berduit. Kadang-kadang saya jadi takut, sebab takut satu hari nanti kita pun jadi macam mereka di Amerika, hidup melebihi pendapatan. Atau mungkin jadi macam Greece... terpaksa gadai negara! Nauzubillah.

Duit menjadi soal penting dalam hidup. Bila ada duit, kita jadi berkuasa. Bila kaya, orang jadi bertambah kaya. Sebab itu dalam Islam, Tuhan suruh kita bayar zakat pada segala pendapatan kita, agar manusia tidak hidup berat sebelah. Yang kaya jadi bertambah kaya, yang miskin terus papa kedana!

Lihatlah orang seperti Oprah Winfrey... ini adalah contoh manusia 'super power' yang bila bersuara sahaja akan dapat lebih banyak duit. Semua orang sanggup bayar apa sahaja untuk 'super power' macam ni.

Tapi kita yang tiada apa-apa sangat ni, janganlah nak berlagak macam tu juga, kerana bila kita bersuara, tak ada siapa-siapa pun yang nak sponsor apa-apa! Jadi... bila kita berbelanja, beringat-ingatlah, jangan satu hari nanti kita tak ada tempat untuk tumpang. Mungkin terpaksa buat jahat agar diri masuk penjara dan diberi makan percuma setiap hari! Nauzubillah.

Apa pun, kalau nak cari duit, berwaspadalah. Jangan sampai diri jadi hamba kepada duit.

Wallahua'lam.

Wednesday, June 29, 2011

RM500 Untuk Mama, RM500 Untuk Papa


Gambar Hiasan


Salam

Inilah ceritanya, sebuah kisah yang disampaikan oleh seseorang. Katanya, dia masih belajar lagi, tak habis. Maklumlah buat program perubatan. Mak ayah pula masing-masing mengajar di sekolah. Belum apa-apa lagi, mak dan ayah dah tetapkan untuknya. Bila habis belajar dan mula bekerja, dia perlu beri RM500 untuk mamanya dan RM500 untuk papanya setiap bulan. Dah seribu tu. Itulah syaratnya sebagai anak mereka walaupun anak mereka belajar dengan biasiswa kerajaan.

"Kami dah banyak belanja untuk kau. Ini giliran kau pula untuk bayar balik pada kami."

Adoi.

Mungkin anda juga sedang melalui perjalanan hidup yang hampir serupa dengan ini. Kadang-kadang, memang ada ibu bapa yang begini. Mahu anak-anak mereka membalas jasa mereka, sekalipun tak tahu lagi rezeki anaknya macam mana.

Kata orang yang bercerita tadi, "Mama dah pesan dah, bila saya kahwin nanti, jangan harap mama nak tolong sponsor. Carilah duit sendiri."

Aduh!

Mungkin juga ini cara masing-masing. Ada ibu bapa yang begitu agaknya sekalipun mereka mampu. Walaupun mereka ada pendapatan sendiri, mereka tetap mengharapkan anak-anak untuk memberi peruntukan tertentu sebagai membalas balik jasa mereka.

Apakah kita melahirkan dan membela anak-anak sekadar untuk mendapat balasan? Bukan kerana itu merupakan tanggungjawab kita dan kerana kita kasihkan mereka?

Sekali lagi saya katakan bahawa masing-masing ada cara sendiri.

Tak dinafikan, kalau ibu bapa kita memang orang susah dan kita pula mampu, tentulah kita wajib membantu mereka. Tetapi kalau mereka dah senang dan anaknya pula tak tentu lagi... ke mana pula pergi perasaan kita sebagai ibu bapa itu?

Dalam hal ini, saya teringat kepada kenalan saya (yang lain pula) dulu. Ibu bapa suaminya adalah nelayan. Suaminya pula seorang pensyarah. Suaminya membantu ibu bapanya, tetapi kenalan saya itu (anak orang senang) bila balik kampung, tak pernah mahu tidur di rumah ibu bapa mentuanya. Katanya tak selesa.

Macam-macam kisah antara ibu bapa dan anak-anak.

Tapi menghairankan saya, mengapa kasih dan sayang perlu ada had, bersukat dan bersyarat? Antara ibu bapa dengan anak-anak, antara anak dan menantu dengan ibu bapa?

Bukankah bila kita sayang seseorang, kita mahu lakukan apa sahaja untuk orang yang kita sayang itu?

Atau mungkinkah bila kita berkira-kira, maknanya kita tak pernah sayang?

Wallahua'lam.

Tuesday, June 28, 2011

Kawan Lagi Penting Maa...

Sekadar Hiasan

Salam

Pagi ini saya nak bercerita tentang teman-teman pasangan kita. Apa kita boleh buat kalau kita tak suka dengan teman-teman si dia?

Ada orang bertanya macam tu pada saya. Kata dia, dia suka pada 'mamat' ni, tetapi dia tak suka pada kawan-kawan mamat tu. Malangnya, mamat tu pula jenis yang setia pada kawan. Tiap-tiap hari mesti berjumpa.

Tak apalah... setidak-tidaknya 'si dia' itu adalah boyfriendnya. Apa nak jadi kalau kita dapat suami yang macam tu? Suami atau isteri yang sangat taat pada kawan-kawannya. Memang ada orang yang macam tu, dengan kawan, dia sanggup lakukan apa sahaja. Mungkin sebab dah lama berkawan. Tapi biasanya, bila kita berkahwin dengan orang yang taat dengan kawan-kawan mereka ni, kita pun akan 'join the gang'!

Adik ipar saya memang macam tu. Sangat rapat dengan kawan-kawannya dan sejak dulu-dulu lagi itulah kawan-kawannya, hinggalah umurnya dah meningkat (lebih kurang umur saya), masih kawan-kawan yang sama yang berada di kelilingnya. Malah, suami saya juga rapat dengan kawan-kawannya. Kalau ada apa-apa, pasti kami juga 'join' mereka. Begitulah dengan isteri adik ipar saya, dia juga turut jadi rapat dengan 'gang' dan famili mereka. Alhamdulillah.

Tapi kadang-kadang, ada teman-teman pasangan kita mungkin jenis yang tak boleh pakai. Suka melepak atau buang masa. Suka ajak suami atau teman lelaki kita pergi buat benda-benda bodoh yang tak berhasil. Dan pasangan kita itu pula jenis turut sahaja. Mungkin dia tak nak kecilkan hati mereka kalau tak 'join' sama. Misalnya, mereka suka melepak kat kedai mamak sampai jauh malam dan pasangan kita tu pun sibuk sama kat kedai mamak tu. Kadang-kadang, ada hal penting dia tak mahu ikut sama, misalnya kita nak balik melawat ibu sakit kat rumah ibu kita, ajak dia sekali tapi dia buat bodoh. Katanya ada perjumpaan dengan teman-teman.

Bagi saya, memang okey kalau 'partner' kita nak berkawan dan 'maintain friendship' dia dengan kawan-kawannya, tapi biarlah ada limit atau hadnya. Janganlah sampaikan famili sendiri ditolak tepi. Dia kenalah pandai aturkan masanya, jangan sampai semua masa yang ada, adalah untuk gangnya, yang itu memang tak patut.

Tapi, jangan ingat orang lelaki sahaja yang macam itu. Banyak juga perempuan yang suka pentingkan kawan dari famili atau teman hidupnya. Apa sahaja yang hendak dilakukannya, didahulukan teman-temannya. Sampaikan nak makan angin pun dia lagi suka makan angin dengan teman dan bukan dengan suami!

Kes yang macam ni memang kira parahlah. Kalau dapat suami yang tak kisah, tak apalah. Tapi kalau kisah... memang rumah tangga akan bergoyang. Atau pun mungkin, masing-masing suami isteri akan habiskan masa bersama teman-teman dan bukan dengan pasangan masing-masing. Sedihnya. Bila dapat anak, anak pun ditolak tepi sahaja. Kawan lagi penting.

Apa yang saya ceritakan ini bukan satu dogeng tetapi memang selalu terjadi. Kalau tidak, takkanlah ada yang menyampaikan pada saya. Bukan sekali tapi dah berkali-kali oleh orang yang berlainan.

Okeylah... mungkin elok kalau kita tanya diri sendiri. Aku ni macam mana?

Monday, June 27, 2011

Tak Payah Cari Bomoh...

Gambar bomoh ciluk dari Yahoo

Salam

Semasa hujung minggu, sempat saya berjalan sana-sini (Blog walking) melihat beberapa blog yang ada link dengan followers saya. Ada juga saya 'termasuk' beberapa blog yang duk bercerita tentang beberapa orang bomoh. Huhu... dah lama saya tak baca tentang kisah bomoh-bomoh ni, tapi agak terkejut jugaklah sebab orang sekarang masih duk sibuk-sibuk dengan bomoh.

Setahu saya, masa dulu-dulu, memang orang Melayu terlalu bergantung pada bomoh. Sakit sikit aje, mesti pergi jumpa bomoh. Kalau dulu-dulu, hampir setiap kampung mesti ada sekurang-kurangnya seorang bomoh. Di kampung saya, ada dua orang bomoh yang agak 'power' jugaklah masa tu.

Saya masih ingat lagi, kadang-kadang berduyun-duyun orang menunggu giliran untuk jumpa bomoh dan rata-rata, bomoh masa dulu payah nak jumpa yang hidup susah. Malah, kerabat di raja pun pergi jumpa bomoh... huhu.

Sepanjang hidup saya, ada jugalah saya tengok bomoh berubat orang (bukan berubat saya... hehe), sebab dulu-dulu memang orang kampung rajin berubat dengan bomoh. Kat rumah saya (masa tu saya budak) pun pernah ada bomoh yang datang (masa ayah saya tak ada kat rumah)... berubat mak cik saya yang sakit tapi tak baik-baik. Kalau ada ayah saya, tak ada siapa pun yang berani panggil bomoh, sebab ayah saya tak suka. Maklumlah ayah saya orang Arab dan dia memang pelik benarlah kalau orang berubat dengan bomoh.

Apa pun, saya takut mendengar cerita kisah orang berubat dengan bomoh sampai mati. Adoi... macam mana tu? Agaknya dah terasuk dengan syaitan.

Malah, saya hairan juga bila orang suka berubat secara tradisional (jumpa orang-orang berkenaan untuk dapatkan air jampi). Saya pernah baca tentang doa yang perlu kita amalkan untuk berubat diri sendiri. Malah, berdoa sendiri lebih makbul daripada minta orang lain doakan. Mungkin kita kenalah ingat Tuhan selalu, bukan bila sakit baru nak ingat pada Tuhan... yang tu memang parahlah.

Saya pun tak berapa suka makan ubat-ubatan yang penuh dengan kimia. Kalau boleh saya elakkan, saya akan cuba elak. Mungkin kita perlu jaga kesihatan dengan makan makanan yang baik-baik. Amal makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Lebihkan ikan daripada daging (makan kambing sebenarnya lebih baik daripada makan daging lembu atau ayam), tapi iyalah, banyak orang Melayu pantang makan kambing kerana kata mereka panas.

Arwah ayah saya dulu memang kaki makan buah-buahan. Malah, ayah saya meninggal ketika usianya 87 tahun, walaupun dia ada kencing manis. Ayah saya tak kisah sangat makan ubat, dia lebih pada makan buah dan sayur. Dia juga banyak makan ikan.

Saya juga percaya, elok kalau kita amalkan makan madu (yang original lah), makan juga buah kurma. Minum susu, makan makanan yang dikatakan 'super food' seperti labu, tembikai, terung, ubi keledek... tapi jangan terlebih makan.

Rajin-rajinlah buat senaman. Yang ini boleh elak kita daripada rasa stres. Bila badan kita 'fit', hidup kita juga jadi lebih bermakna. Amalkan juga buat baik kepada orang lain, ini merupakan ubat yang hebat untuk siapa-siapa pun. Bila kita sukakan hati orang lain, badan kita akan lebih bertenaga dan kebahagiaan akan datang. Kalau tak percaya... lakukanlah.

Lagi banyak kita sakitkan hati orang, bertambah sakit yang kita rasakan...

Kalau perasaan kita sihat, tak payahlah kita cari bomoh.

Okeylah... semoga kita sama-sama mengamalkan hidup sihat.

Wassalam.

Sunday, June 26, 2011

Lelaki Sakit Jantung, Perempuan Sakit Jiwa?



Salam

Dikatakan bahawa jumlah besar lelaki apabila meninggal dunia, biasanya diserang penyakit jantung. Walaupun tinggi juga jumlah mereka yang kena penyakit kanser, namun paling ramai mengidap sakit jantung. Perempuan pula, jarang-jarang diserang sakit jantung. Bukan tak ada, tetapi kurang. Mungkin lebih ramai perempuan mengidap kanser dan penyakit darah tinggi dan juga kencing manis.

Dalam pada itu, jangan pula kita terlupa bahawa kalau dibandingkan lelaki, banyak perempuan yang kena 'depression' atau kemurungan. Lelaki kena sakit jantung kerana 'stres' tetapi perempuan 'kemurungan' kerana tak dapat mengawal keadaan seperti kekecewaan, kegagalan dan macam-macam lagi hal terutama hal rumah tangga dan keluarga. Mungkin kerana itu juga, banyak wanita mengidap penyakit yang berkaitan dengan 'mental' disorder.

Maklumat ini saya dapat dari bahan-bahan yang saya baca tentang penyakit lelaki dan perempuan. Bukan saya yang pandai-pandai buat cerita! Hehe.

Okeylah... bila kita cerita tentang penyakit 'mental' ni, bukanlah bererti bahawa kalau kita pergi ke hospital sakit mental, maka berduyun-duyunlah kaum wanita di hospital atau wad berkenaan. Tetapi kita jangan pula tersilap, bahawa penyakit mental ini ada macam-macam rupa. Ada tu, tak perasan pun. Tahu-tahu 'si minah' tu dah bergaduh dengan jiran-jirannya kerana perbuatannya yang tidak disedari. Rupa-rupanya emosinya sedang tertekan.

Berbalik kepada penyakit mental ni. Sebenarnya, memang banyak kaum wanita tak sedar bahawa diri mereka tidak terkawal kerana ada tekanan emosi. Ada orang kerana pernah berasa 'inferior' mereka cuba lakukan sesuatu untuk meningkatkan diri. Mahu dikagumi orang lain. Mungkin apa yang dilakukan itu akan menjadi sesuatu yang pelik bagi mata orang lain.

Penyakit 'paranoid' selalu menjadi puncanya. Orang kata 'gila bayang'. Orang yang paranoid ini sebenarnya suka sangat bersyakwasangka. Dia sentiasa berkira-kira dengan 'niat' orang lain. Kerap kali, dia payah untuk berlaku positif. Misalnya, kalau ada orang mahu bergurau, dia akan beranggapan bahawa orang itu sengaja nak kenakan dirinya.

Biasanya juga, orang-orang yang mempunyai penyakit 'mental' akibat dari perasaan 'depression' atau kemurungan, akan mereka cerita, menambah cerita, menyampai-nyampai pada orang lain hinggakan orang lain juga terpengaruh, tetapi yang paling dahsyat, kerana dirinya dihantui oleh 'bayang-bayang' nya sendiri. Maknanya, orang yang begini, terus-terusan hidup dengan perasaan yang sedang menyakitkan dirinya sendiri. Kalau dibiarkan, lama-lama akan jadi 'gila'.

Ada juga orang perempuan yang suka tengok mukanya di depan cermin. Atau suka pula ambil gambar. Orang yang begini, mungkin mempunyai perasaan bahawa dirinya cantik, lalu akan terus melakukan perkara seperti ini tak henti-henti. Sekejap-sekejap tengok cermin. Atau pantang tengok orang bawa kamera, dia akan meminta supaya gambarnya diambil! Dia mahu dirinya berasa penting dan istimewa.

Huh! Kalau nak bercerita tentang penyakit-penyakit 'mental' ini, memang banyak.

Kalau anda mempunyai teman yang tiba-tiba kelakuannya berubah, perhatilah betul-betul. Mungkin jiwanya sedang terganggu. Bila jiwa terganggu, 'mental' nya juga akan terkesan. Maka, akan berlakulah satu pergerakan mengarah kepada 'mental disorder'.

Ada orang perempuan, tiba-tiba aje akan berhenti bercakap dan terus menangis tanpa sebab. Kadang-kadang, emosinya tertekan tetapi tak pernah diluahkan. Kerana itulah jiwanya terganggu.

Penyakit seperti ini tidak kira umur. Boleh terjadi kepada mereka yang masih muda, atau juga kepada mereka yang sudah masuk 30an, 40an, 50an dan seterusnya.

Apa yang boleh kita lakukan?

Kalau serius, jumpalah doktor.

Kalau tidak serius atau tak pernah kena, eloklah amalkan pemakanan yang baik-baik yang boleh membantu hormon kita. Rajin-rajinlah buat senaman agar semua ketegangan (luaran dan dalaman) dapat ditepis.

Rajin-rajinlah makan buah-buahan dan antara buah yang baik ialah buah pisang. Insya-Allah, sentiasalah berdoa dan buat amalan yang baik-baik, agar diri bebas dari perasaan yang sering kali tertekan.

Wallahua'lam.

Friday, June 24, 2011

Menulis Macam Masuk Politik



Salam

Sudah lama saya tak tulis tentang dunia penulisan. Hari ini saya akan menyentuhnya dan kali ini saya tak akan sebutkan nama siapa-siapa pun (biasanya saya tak sebut nama pun) kerana saya tak mahu memalukan sesiapa pun. Sekadar berkongsi cerita.

Kisah pertama ialah tentang perasaan beberapa orang yang terlibat dalam dunia buku. Katanya, memang payah nak letak buku di kedai-kedai besar kerana sudah menjadi trend, kedai-kedai besar suka caj peratusan yang terlebih tingginya, sudah tu nak suruh pula masuk macam-macam iklan yang disediakan. Masalahnya, pembayaran iklan promosi memang mahal, tetapi malangnya, bila dah masuk iklan dan dah buang berlambak duit, buku tak jual banyak mana pun.Tak berbaloi. Kadang-kadang seciput aje. Habis tu, nak untung macam mana? Tapi bila tak nak terlibat dalam promosi-promosi yang dijalankan, mereka diketepikan.

Tapi kata mereka lagi... tak apalah, kami letak aje buku kami kat kedai-kedai yang kecil atau sederhana besar. Okey aje jualannya. Kadang-kadang, jauh lagi okey dari kedai-kedai besar. Cuma kami kena rajinlah. Yang bestnya, kami jarang disabotaj orang lain. Maklumlah, kami ni ikan bilis, kan?

Yang seorang lagi pula bercerita (juga terlibat dalam dunia penulisan dan namanya sungguh gah dalam dunia ini). Dulu, katanya... nama saya memang teramat popular dalam dunia buku ni. Masa tu, memang belum ramai lagi penulis macam sekarang ni. Saya pun dah tulis berlambak-lambak. Tahu-tahu... saya kena sabotaj. Yang sabotaj tu pun bukan orang yang saya tak kenal. Mungkin silap saya kot sebab terlalu yakin dengan orang-orang ni. Tahu-tahu penjualan buku saya jatuh. Bila saya masuk kedai..... saya tanyalah, kenapa buku saya letak kat bawah rak? Orang kedai tu cakap, buku awak tak laku.

Lepas tu, ada sesuatu yang terjadi (tak payah saya sebutkan apa yang terjadi), tahu-tahu buku saya jadi popular. Semua orang nak cari. Kelam-kabutlah kedai-kedai ni telefon saya, minta saya hantar buku saya di kedai mereka. Hah! Tengoklah manusia ni. Dulu dia kata buku kita tak laku, sekarang ni dia pulak yang kemaruk, macam kalau tak ada buku saya kat kedai dia... boleh jadi mati.

Orang berkenaan juga berkata, "Saya nak tengok sangat penulis-penulis komersil di Malaysia ini bersatu, terutama mereka yang dah ada nama. Malangnya di Malaysia ni payah sikit. Masing-masing tak kisah nak 'support each other'. Ada yang sanggup tikam belakang member lagi. Saya tak fahamlah. Kalau kita bergabung dan bersatu, tentu kita jadi kuat macam penulis-penulis di luar negara."

Bila saya dengar cerita daripada mereka yang berkenaan, mungkin saya juga berkongsi rasa yang sama dengan mereka. Tapi, entahlah...

Memang payah. Ada nama pun salah, tak bernama pun salah. Buku laku salah, buku tak laku pun salah. Agaknya sebab pasaran di Malaysia terlalu kecil, jadi masing-masing berebut nak buat nama. Mungkin ramai tak yakin bahawa rezeki kita ditentukan Tuhan. Kalau dah cuba dan memang ada rezekinya, akan datanglah ia tanpa perlu kita cucuk atau tikam siapa-siapa.

Agaknya bila kita hidup di sini, memang tak larilah... macam orang politik juga. Bukankah politk Melayu macam tu? Suka berbunuh sama sendiri. Lebih suka dan rasa selamat kalau orang lain ke depan, dan kita orang Melayu terus duduk di belakang!

Malang sungguh, tapi inilah realiti.

Wallahua'lam.

Thursday, June 23, 2011

Katakan Jangan!


Salam

Kalau kita berdoa dan Tuhan terus makbulkan doa kita serta-merta, itu bererti Tuhan menyayangi kita. Tentunya juga kita tak mengeluh. Tetapi kalau kita berdoa dan lambat dimakbulkan Tuhan, itu bererti Tuhan mahu menduga kita dan kalau doa kita terus tidak ditunaikan-Nya, itu bererti Tuhan akan memberi sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kita impikan. Allah SWT lebih Mengetahui apa yang paling baik buat kita. Sebagai manusia beriman, usahakanlah dan terus dekatkan diri pada Tuhan dan berdoa.

Ada orang memang rajin berdoa, tetapi tak kisah untuk usahakan. Dalam pada itu, ada yang terus berusaha tetapi Tuhan diketepikan. Bila kita berada dalam situasi yang begini, tentulah kita akan sentiasa merungut-rungut dan buruk sangka pada semua termasuk pada Tuhan juga. Nauzubillah.

Dalam hidup saya sendiri, sudah macam-macam yang saya tempuhi, sejak kecil lagi. Namun Alhamdulillah, saya ingat pada Allah SWT dan sangat yakin bahawa Tuhan sentiasa mendengar apa yang ada di hati saya. Insya-Allah, saya susah nak putus asa, kerana apa sekali pun yang saya pohon pada Allah SWT, lambat laun akan termakbul. Biasanya, yang lambat itu selalu datang dengan lebih baik dan cemerlang. Cuma saya perlu bersabar.

Janganlah kita berburuk sangka pada Tuhan. Hari ini mungkin kita kelam kabut, tapi insya-Allah esok-esok mungkin jauh lebih baik buat kita. Yakinlah.

Dalam hal ini, sekali pun kita terlalu inginkan sesuatu (misalnya nak jadi kaya), janganlah kita kemaruk sangat sampai kita buat macam-macam pada orang lain. Janganlah kita sogok sana sini, kerana terlibat dengan rasuah akan merosakkan iman kita dan hilanglah segala barakah. Rezeki kita tak bersih. Janganlah kita terlalu inginkan kejayaan bagi diri kita, kita terus menikam orang lain dan rosakkan periuk nasi orang, kerana akhirnya nanti periuk nasi kita pula yang terlingkup. Tuhan melihat apa yang kita buat. Nak buat apa pun, buatlah secara bersih.

Begitu juga dengan jodoh. Kalau kita ingin mencari jodoh yang baik, cari dan usahakanlah. Jangan berputus asa. Insya-Allah, kerana kita baik, Tuhan akan berikan pasangan yang baik buat kita.

Kalau kita merupakan seorang anak, buatlah baik kepada ibu bapa kita. Doakan untuk mereka selalu agar mereka akan menjadi ahli syurga. Jagalah hati ibu bapa kita. Kalau kita ada ahli keluarga yang susah, tolong-tolonglah mereka dan janganlah berkira. Setiap kebaikan yang kita lakukan, Tuhan nampak.

Kalau kita merupakan ibu atau ayah, ajarlah anak-anak kita jadi orang yang baik. Baik hati, baik akhlaknya. Jauhkanlah mereka dari rasuah.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa agaknya saya selalu ulang-ulangkan pasal rasuah ni? Biarlah saya katakan bahawa saya sangat bimbang dengan trend budaya kehidupan masyarakat kita. Sogokan dan rasuah dijadikan amalan untuk segala urusan. Saya yakin, amalan seperti inilah yang sedang merosakkan orang Melayu. Mungkin ada yang tak percaya, tapi... percayalah...

Dalam Al Quran, inilah yang didahulukan. Tuhan minta umat Islam jauhkan diri daripada rasuah. Amalan rasuah meruntuhkan akhlak kita, kerana orang yang kuat rasuah mempunyai hasad dengki dalam dirinya. Orang yang kuat berasuah,akan terbit perasaan tamak dalam dirinya. Wanglah perkara utama dalam hidup.

Kalau kita akui bahawa kita Islam, jauhkanlah dari tabiat buruk yang satu ini. Katakan 'Jangan' pada diri kita dan famili kita. Jangan amalkan rasuah, sekalipun sedikit sahaja. Insya-Allah, Tuhan yang memberi kita rezeki.

Wednesday, June 22, 2011

Siapa Lagi Hebat, Perempuan Atau Lelaki?



Gambar di atas sekadar hiasan

Salam

Kalau kita kata perempuan itu lagi hebat, mengapa agaknya ibu-ibu berdoa agar mereka diberi anak lelaki lebih daripada perempuan? Kebanyakan orang, bila dah ada anak perempuan, tak sabar-sabar nak dapat anak lelaki, seolah-olah tak lengkap kalau tak ada anak lelaki. Kalau yang dah ada lelaki, biasanya tak terdesak sangat untuk dapatkan anak perempuan. Seolah-olah kedudukan perempuan itu sangat rendah.

Saya tak kata semua orang macam tu, tapi memang biasa kita dengar kisah-kisah begitu. Termasuklah kaum lelaki, mereka merasakan kalau tak ada anak lelaki, seolah-olah mereka tak cukup lelaki! Wallahua'lam.

Mungkin manusia memang begitu, jarang-jarang bersyukur dengan apa yang Tuhan berikan.

Kadang-kadang kita dengar juga kalau jadi lelaki lagi hebat, sebab bila emak ayah mati, biasanya harta diturunkan pada lelaki lebih banyak daripada perempuan. Huhu... betul tu, tapi jarang-jarang orang berbicara tentang tanggungjawab yang dipikul oleh lelaki. Sebab itulah dalam Al Quran, Tuhan nyatakan bahawa pembahagian harta pada lelaki lebih daripada perempuan, kerana lelaki kena bertanggungjawab pada semua waris perempuannya. Termasuk ibu, adik-adik perempuan dan juga kakak-kakaknya. Kalau ada anak saudara, diambil kira juga. Tak boleh main lepas tangan, berat dosanya.

Orang perempuan pula, mereka kena taat pada suami. Yang itu kita tak boleh perlekehkan, walaupun ramai yang tak suka. Tapi, siapalah kita nak menyoalkan ketetapan Allah SWT. Setiap apa yang ditetapkan Tuhan, ada kebaikannya kerana Allah Maha Mengetahui.

Malangnya, manusia lebih suka pandai-pandai dan aturkan undang-undang dan melakukan perbuatan yang kadang-kadang merosakkan apa yang ditetap Allah SWT itu. Apa pun, yang pasti Tuhan Maha Adil, setiap ketetapan-Nya, adalah yang terbaik buat kita manusia.

Aisyah r.a berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?" Jawab Rasulullah SAW "Suaminya."

"Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah SAW, "Ibunya."

Bukankah Tuhan Maha Adil? Ada hak buat lelaki dan ada hak buat perempuan. Sekalipun kita tak mempunyai anak lelaki, tanggungjawab ada pada kerabat lelaki yang lain. Sama ada tanggungjawab itu ditunaikan atau tidak, itu soal lain.

Allah SWT sudah tetapkan kehebatan makhluknya, tak kira lelaki atau perempuan. Kalau lelaki diberi tanggungjawab untuk menjadi ketua, perempuan tidak pernah disia-siakan. Hanya manusia yang tidak mendengar arahan Tuhan, kerana itulah ramai perempuan yang disia-siakan.

Namun begitu, bersyukurlah kita, tak kira sama ada kita lelaki atau perempuan, kerana kita diberi peluang untuk berada di bumi ini. Setiap kebaikan yang kita lakukan di bumi ini akan mengarah kepada kebaikan buat kita di akhirat nanti.

Bagi semua perempuan yang membaca blog ini, "Di katakan bahawa orang perempuan, apabila sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat kepada suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki."

Wallahua'lam. Apa pun, Tuhan yang Menentukan segala-galanya, termasuk siapa yang masuk syurga dan siapa yang tidak.

Tuesday, June 21, 2011

Gantung Tak Bertali

Orang Utan ni tak ada kena-mengena dengan entri

Salam

Ungkapan yang selalu digunakan buat sang isteri yang ditinggalkan suami tanpa tahu kedudukan yang sebenar. Diceraikan atau pun tidak. Biasanya, ada sesuatu yang tak kena dalam perhubungan ini, dan kerana itu, si isteri ditinggalkan terkapai-kapai...

Saya tidak pasti sangat sama ada hari ini, keadaan macam ni selalu terjadi atau tidak. Kalau diikutkan, sepatutnya tidaklah, sebab segala macam kemudahan dah ada, dari segi alat komunikasi dan juga perkhidmatan yang diberikan di mahkamah. Maknanya, para isteri yang ditinggalkan begitu, boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap suami mereka.

Namun biasanya, inilah 'trick' atau strategi para suami yang mahu isteri mereka jangan minta apa-apa untuk mudahkan dia menceraikan isterinya. "Kalau tak 'claim' apa-apa, abang cerailah. Kalau nak macam-macam suruh abang bayar... tunggu ajelah."
Dalam kes seperti ini, si isteri tak akan untung pun. Kalau isteri yang bijak, dia akan jalankan proses perceraian macam biasa aje supaya haknya tidak terabai. Apa pun, Tuhan tetap tahu sama ada kita dizalimi suami atau pun tidak. Wallahua'lam.

Okeylah... itu cerita suami isteri. Tetapi ada juga cerita 'makwe dengan pakwe' yang macam tu. Tak tahu sama ada dah 'confirm' putus atau tidak. Nak kata putus, sat ada, nak kata tak putus, sat lagi dah hilang lagi. Yang menyusahkan tentulah 'perasaan' orang yang digantung tak bertali tu.

Kata gantung... tapi mana talinya? Kalau dah gantung tak bertali, mungkin tak mati kot bagi yang kena gantung tu... huhu...

Keadaan ini boleh terjadi dalam pelbagai situasi selain dari apa yang saya sebutkan di atas, termasuklah perhubungan antara majikan dengan staf, perhubungan adik-beradik, antara jiran tetangga... juga dalam hal bisnes.

Kadang-kadang, orang nak lari dari komitmen. Tak mahu berkata "Dah selesai dah" atau "Sampai di sini saja". Banyak kes, kerana duitlah, ia jadi 'gantung tak bertali'. Bila nak elak kena bayar sesuatu.

Mungkin ada yang baca entri ni dan berkata, "Apalah Kak Aina ni... blur lah cakap-cakap macam tu..."

Yalah... sebenarnya kadang-kadang memang susah nak berterus terang. Mungkin mudah berkata secara berkiasan, cuma ada ketika orang tak faham maksud bahasa kita. Tapi, tak apa... semoga ada yang faham, insya-Allah.

Wassalam.

Monday, June 20, 2011

Sayang dan Cinta = Love



Salam

Pagi ini, inilah yang datang di benak saya. Teringat pada perkataan sayang dan cinta, mungkin terlalu sibuk dengan skrip Bunga-Bunga Kemboja, salah satu dari novel saya.

Sayang itu, kata Nur Qahira, ialah untuk ibu, bapa, adik-beradik, mungkin juga teman... tetapi Cinta itu adalah untuk Tuhan. Mungkin juga untuk insan tersayang yang menemani hidup kita. Wallahua'lam. Macam-macam yang kita boleh tafsirkan makna sayang, kasih dan cinta ini. Terpulang bagaimana kita mahu melihatnya dan bagaimana dalam pula perasaannya.

Kata Nabil dalam BBK, "Sayang buat aku teringat-ingat dan tak boleh lupa pada orang yang aku sayang, tetapi cinta... itulah perasaan yang membuat aku menangis di malam hari. Perasaan itu terselit di hati aku dan tak mahu pergi-pergi."

Pun begitu, dalam BBK Nur Qahira juga beranggapan bahawa cinta itu bukan untuk dimiliki, tetapi diberi dan dikongsi.

Mungkin betul, bila kita cinta dan sayangkan seseorang, itulah yang mahu kita lakukan, memberi sayang kita itu dan mahu kongsi segala rasa, tidak kita mahu simpan perasaan, hinggakan kasih dan sayang menjadi tak bermakna.

Saya tidak tahu sama ada anda pernah mendengar sebuah lagu yang berjudul 'My Mum is Amazing- Allah Knows'. Lagu ini dinyanyikan oleh seorang kanak-kanak bernama Naadira Ali dan lagu itu digubah oleh Zain Bikha (boleh tengok kat You tube). Bagi saya lagu itu menyentuh perasaan, terutama bagi kanak-kanak kecil yang merindui kasih sayang seorang ibu.

Bunga-Bunga Kemboja juga memaparkan kasih sayang antara ibu dan anak, betapa Nur Qahira terlalu inginkan kasih ibunya yang terputus kerana dia pernah dilarikan oleh datuknya. Malah, kerana kasihlah ibunya berdepan dengan kemurungan.

Sayang dan Cinta itu adalah Love, kata mat salih.

Ya betul, kadang-kadang cinta dan sayang boleh mengubah emosi dan perasaan seseorang. Dari tak baik jadi baik. Dari kosong, jadi penuh. Atau sebaliknya. Tak kisahlah cinta dan sayang itu untuk siapa dan bagaimana. Namun dalam semua hal, Cinta kepada Allah jua yang kekal buat selama-lamanya. Insya-Allah.

Saturday, June 18, 2011

Hentam Kawan Di Facebook


Salam

Tak habis-habis saya akan bincangkan pasal laman sosial ni. Saya tak tahulah kenapa, tetapi selalu sangat saya dengar kisah bagaimana laman sosial seperti Facebook (FB) mudah sangat dijadikan tempat orang menyebar cerita karut-marut, mengaibkan dan menjatuhkan maruah orang lain dan macam-macam lagi yang tak elok, dengan sengaja dipaparkan untuk tontonan orang lain.

Sebenarnya saya memang tidak faham dengan orang-orang yang suka guna apa-apa ruang di Internet untuk sengaja memburuk-burukkan keadaan kerana dendam lama. Bertambah menghairankan kalau ia dilakukan oleh orang-orang yang menganggap diri mereka bijak pandai.

Sebenarnya kita boleh mengisahkan sesuatu keadaan atau teguran di laman-laman sosial ini, tetapi kita perlu lakukan dengan cara yang paling profesional. Kalau ada perkara yang kita tak puas hati, kita boleh bicarakan hal itu, namun kita perlulah ada bukti-bukti yang sah, tidak sekadar baling batu dan sembunyikan tangan, tidak sekadar buat tuduhan tanpa bukti dan kita perlulah melakukannya dengan adil.

Kalau kita nak lakukan atau bincangkan satu-satu perkara itu, janganlah kita main hentam sahaja, ikut mulut nak cakap apa dan akhirnya menyakitkan hati orang. Kerana perbuatan kita itu akhirnya nanti mungkin akan 'backfire'... itulah kata orang putih.

Adalah kisah ini yang disampaikan oleh seorang teman. Dia bercerita tentang pergaduhan yang berlaku di laman Facebook antara sekumpulan teman-teman. Kerana percakapan dan ayat-ayat bisa yang diaturkan di laman berkenaan, maka terjadilah satu perkelahian yang berpanjangan. Padahal mereka semua pernah merupakan teman-teman!

Malang sungguh kalau kita sengaja menggunakan laman sosial untuk kenakan kawan-kawan kita atau menjatuhkan maruah kawan-kawan kita. Entahlah... bagi saya kalau kita lakukan begitu, satu hari nanti mungkin kita juga akan dilakukan begitu oleh orang lain pula.

Sebetulnya, kalau ada perkara yang kita tak senang tentang kawan-kawan kita, eloklah kita berbincang secara berterus terang dan secara berdepan daripada kita paparkan apa-apa yang kita tak senang itu di laman sosial seperti Facebook.

Tapi... mungkin dah jadi trend orang sekarang suka menghentam di ruang Facebook. Laaa... kot iya pun, takkan kawan sendiri pun kita nak tembak kat Facebook? Habis tu nanti nak kawan dengan siapa lagi? Mesti semua orang takut nak kawan dengan kita kalau begitu sifat kita yang suka hentam kawan sendiri.

Wallahua'lam.

Friday, June 17, 2011

Banyak Manusia Di Malaysia Bukan Manusia

Contoh Kes Bunuh di Malaysia


Salam

Huhu... tajuk apa ni?

Saya ada membaca satu catatan di blog 'penulis terkenal' yang mengatakan bahawa di mata luar, Malaysia mendapat gelaran 'The Murder Capital of the World'. Berat tu. Kenapa agaknya orang luar berkata demikian? Mesti bersebab kot. Atau mungkin kita di Malaysia tak mahu mengaku. Apatah lagi kita selalu menganggap bahawa negara Malaysia sangat aman damai, tak ada huru-hara, tak ada bencana alam, tak ada banjir, tak ada ribu taufan, tak ada gempa bumi, tak ada gunung yang nak meletup... tetapi kalau kita baca surat khabar atau dengar berita, tak putus-putus kita dengar tentang kematian yang dahsyat. Bukan di negara orang, tetapi di negara kita sendiri.

Setiap hari, ada sahaja yang kena bunuh. Bukan setakat bunuh, kena rogol lagi. Bukan orang luar atau orang jahat dari luar yang merogol, tetapi kaum kerabat sendiri, atau mungkin jiran dan orang yang dikenali. Tak henti-henti cerita seperti ini, seolah-olah orang di Malaysia tak ada hati dan tak berperut.

Buat suatu ketika, tak henti-henti kita dengar kisah pembuangan bayi. Sampai dah tak tergamak untuk membaca berita kisah-kisah macam ini. Tak kisah bangsa, tetapi realitinya memang banyak terjadi pada orang yang beragama Islam.

Pun begitu, sudah banyak kes-kes rakyat Malaysia yang bukan bragama Islam yang melakukan kezaliman, termasuk pembunuhan. Ada tu, kesnya tak berbangkit pun, senyap sepi macam tak pernah terjadi. Inilah yang menggerunkan. Sedap-sedap bunuh sana sini.

Siapa punya kerja sebenarnya? Manusia ke, apa?

Sejak akhir-akhir ini, timbul pula kisah pembunuhan 'orang gaji'. Bukan satu kes, tapi dah banyak sangat kes yang macam ini. Bukan sekadar dibunuh, tetapi diseksa seolah-olah orang gaji patut dilakukan demikian. Banyak yang menzalimi pembantu rumah mereka, bukan melayan seperti pekerja tetapi lebih teruk daripada hamba abdi!

Manakah perginya perasaan insan di dalam hati mereka? Mungkin dah tak ada lagi.

Paling malang, kita di Malaysia masih merasakan bahawa... it's okay saja... orang lain lagi teruk apa.

Iya ke ni?

Mungkin orang di Malaysia rasa selesa kerana kita tak seperti negara lain yang berdepan dengan bencana alam. Kita rasa kita sangat istimewa. Hidup rukun damai pelbagai bangsa.

Ah... mungkinkah inilah bencana yang sedang menimpa kita? Manusia di Malaysia sudah tidak mempunyai perasaan macam manusia. Ramai yang dah jadi gila. Ada yang lagi teruk dari haiwan, kerana banyak haiwan yang sayang ahli keluarganya. Banyak manusia di Malaysia sudah dirasuk syaitan. Ramai yang hidup berpegangan tangan dengan iblis, lalu mereka sanggup lakukan apa sahaja. Banyak yang bertuhankan duit, hinggakan mampu berbuat apa sahaja kerana wang.

Sungguh malang kalau kita masih beranggapan bahawa kitalah 'the best'!

Maafkan saya kalau ada yang tak suka dengan artikel ini, tetapi kita perlu ingatkan diri, bahawa kalau kita biarkan keadaan yang begini, manusia di Malaysia akan terus hidup dengan penuh kezaliman dan tak punyai perasaan. Malah, kita terus mendiamkan diri dan berpura-pura seolah-olah semuanya okey belaka.

Wallahua'lam.

Thursday, June 16, 2011

Cinta Tak Kesampaian - Jadi Sasau

Gambar di atas tiada kaitan dengan cerita

Salam

Pagi ini, saya ingin menyampaikan sebuah cerita yang baru lagi terjadi kepada seorang teman saya. Kisahnya ialah kisah anaknya. Anaknya pula ialah anak bujang. Lelaki.

Beberapa tahun yang lepas, anaknya berkawan rapat dengan seorang anak gadis yang tinggal berdekatan dengan tempat tinggal mereka. Rakan saya, dari awal lagi tidak menggemari anak gadis itu kerana dia tidak selesa dengan keluarga gadis itu. Namun ketika itu, dia payah untuk campur tangan.

Setelah bertahun-tahun berkawan, anak mudanya itu mula naik rimas. Bukan hanya dengan keluarga gadis itu tetapi dengan gadis itu juga. Dia dapat rasakan bahawa gadis itu dan keluarganya cuba mengawal kehidupannya. Macam-macam telah berlaku dan kawan saya tadi betul-betul makan hati. Baginya, gadis itu memang tak sesuai dijadikan menantunya.

Tahun lepas, anak kawan saya mengambil keputusan untuk putus sahaja. Tetap malangnya, gadis itu tak mahu. Dia jadi macam orang sasau. Bertambah takut dan bimbanglah anak muda kawan saya tadi. Tak tahu bagaimana mahu menguruskan kelakuan 'sewel' gadis itu.

Aduhai...

Kini, mereka sudah putus lebih lapan bulan, tetapi gadis itu masih 'tergila-gilakan' anak kawan saya itu.

Mesej saya untuk entree ini... kalau kita merupakan seorang gadis atau pun bujang (sebenarnya tak kisahlah siapa pun dan berapa usia), kalau kita menyukai atau mencintai seseorang, janganlah melampau-lampau. Pastikan ada batas 'sayang' yang kita curahkan. Jangan berlebih-lebih hinggakan tak tahu dan tak mampu untuk kawal perasaan.

Lagi satu... kalau kita menyayangi seseorang, janganlah macam tak cukup-cukup hingga merimaskan pasangan kita itu. Tak ada sesiapa pun yang sanggup hidup dengan orang yang berkelakuan macam 'orang gila'.

Semuanya hanyalah tumpangan kita sahaja, termasuklah kasih-sayang antara insan. Tak ada yang kekal abadi. Hanya cinta kita kepada Tuhan sahaja yang kekal. Kalau kita ingat, tidaklah kita jadi 'biul' dan terus 'sasau' hanya kerana cinta yang tak kesampaian.

Malang sungguh kalau kita mencederakan diri kita hanya kerana cinta yang terputus. Itu adalah kelakuan orang bodoh. Belajarlah untuk bersabar dan janganlah kita jadi 'selfish' dan tidak hiraukan orang lain, termasuk orang yang kita sayangi itu!

Semoga kita sentiasa belajar untuk bersabar dan terima dugaan dengan hati yang tenang.

Wednesday, June 15, 2011

Takut Dengan Polis


Polis di England


Salam

Saya masih ingat lagi ketika saya tinggal di Manchester dulu. Bila bertembung dengan polis, semangat anak-anak saya sering jadi tinggi kerana polis di sana sememangnya bertugas untuk jaga keamanan. Malah, kalau ada apa-apa yang terjadi dan kami menelefon pihak polis, tak sampai dua tiga minit, dah ada pegawai polis di depan pintu rumah.

Tetapi berbeza pula perasaannya di Malaysia ini. Kalau hendak difikirkan, memang pelik. Sebab memang biasa kita dengar orang ramai yang takut dengan polis. Sebenarnya takut terserempak dengan polis dan kena 'paw'. Itu yang ramai orang tak suka. Terutama mereka yang naik motosikal.

Di kawasan rumah saya ni, saya selalu perhatikan 'abang-abang polis' yang selalu meronda di kawasan perumahan ini. Ada ketika, saya berasa selamat kerana tahu ada pegawai polis yang menjenguk kawasan rumah kami. Tetapi, ada ketika saya berasa bimbang. Bukan apa-apa, tetapi kerap kali juga saya melihat mereka menahan pekerja-pekerja Indonesia dan Bangaladesh yang bekerja di sekitar kawasan ini. Kadang-kadang, saya melihat dari balkoni rumah saya bagaimana kakitangan polis 'paw' budak-budak Indonesia dan Bagladesh ini.

Apabila terjadi keadaan macam ni, semangat saya juga jadi rendah kerana sedih melihat satu 'budaya' yang payah untuk diubah.

Mungkin bagi sesetengah orang, 'mengepaw' orang lain bukan merupakan satu perbuatan rasuah, tetapi sekadar 'minta duit kopi' sahaja. Namun, bila ini terjadi, yang pastinya keamanan di satu-satu kawasan itu tentunya tidak terjamin lagi, kerana pagar yang kita harapkan sudah makan padi! Nauzubillah.

Saya minta maaf banyak-banyak sekiranya anda merupakan pegawai polis atau mempunyai ahli keluarga yang datang dari jabatan berkenaan (saya sendiri mempunyai ahli keluarga dan teman yang datang dari jabatan ini) dan saya juga tidak mengatakan bahawa semua kakitangan polis begitu. Cuma bila terserempak dengan yang begitulah yang membuat saya menulis di entree ini.

Kadang-kadang saya bertanya juga dengan orang-orang yang ada, kenapa kita takut dengan polis? Ramai yang berkata kerana mereka takut kena 'paw'. Kata mereka lagi, kadang-kadang ada pihak yang sengaja mencari kesilapan kita dan kerana itu mudahlah mereka nak 'paw'. Adoi...

Sebenarnya saya ingin mengingatkan diri saya dan teman-teman yang membaca blog ini agar kita sentiasa berjaga-jaga supaya tidak 'membudayakan' perbuatan minta duit kopi.

Kalau ada kesalahan yang dilakukan, terus sahaja saman. Biarlah kita bayar denda saman.

Wallahua'lam.

Tuesday, June 14, 2011

Baran Tak Tentu Pasal!


Salam

Adoi... semalam, seorang pembaca yang agak rapat dengan saya bercerita bagaimana dia terserempak dengan seorang pakcik yang baran tak tentu pasal. Katanya, "Saya tak tahu salah siapa, tetapi tiba-tiba sahaja ada seorang pak cik ni yang naik motor dah terlanggar cermin tepi kereta saya, lalu motornya tu, terhoyong-hayang. Mujurlah tak jatuh. Masa tu dekat traffic light. Saya pun turunkan tingkap dan minta maaf dengan pakcik tu, walaupun saya sebenarnya tak tahu pun saya salah ke tidak. Tiba-tiba je, kak... pakcik tu bukannya nak cakap baik-baik, dia jerkahnya saya siap maki-hamun lagi. Ya Allah... malunya saya. Cepat-cepat saya naikkan tingkap dan lepas tu blah aje!"

Walaupun saya kesian pada teman saya tu, tapi saya tak hairan sangat. Memang ramai orang yang macam tu walaupun ada tu usia dah matang. Saya teringat suatu peristiwa yang pernah terjadi di sebuah klinik kerajaan(di depan mata saya). Ada seorang pak cik ni, dia masuk dengan isterinya. Isterinya ke kaunter dan penjaga kaunter tu ialah seorang lelaki muda berketurunan India. Penjaga kaunter suruhlah makcik tu bayar seringgit, tiba-tiba pak cik tu melenting! Dia keluar macam-macam kata 'kurang ajar' yang saya rasa memang tak patut dituturkannya (Pak cik tu siap pakai kopiah lagi). Dimakinya dengan bahasa kesat kepada lelaki India itu. Saya rasa macam nak bangun dan nak ketuk kepalanya. Cara dia bercakap itu seoalh-olah bila-bila masa sahaja dia akan pengsan kerana diserang sakit jantung!

Isterinya meminta dia bersabar, tapi pak cik tu terus membebel lagi. Pak cik tu marah sangat-sangat sebab katanya dia adalah pesara kerajaan dan tak perlu bayar seringgit! Allahuakbar.

Begitulah kalau perasaan baran tak terkawal, akhlak kita tentunya tercemar. Ketika itu, saya berasa malu sangat-sangat kerana pak cik itu memaparkan satu sikap yang memalukan sebagai seorang Muslim.

Saya tak dapat bayangkan kehidupannya seharian. Apakah dia selalu baran macam tu? Kalau begitu, tentulah saya bersimpati pada isterinya.

Kalau sekalipun kita mempunyai sikap baran, janganlah kita lepaskan baran kita tak tentu pasal.

Wallahua'lam.

Monday, June 13, 2011

Bila Dia Pergi Buat Selama-Lamanya...


Salam

Alhamdulillah, pagi ini Tuhan masih izinkan saya untuk bernafas dan menghayati udara nyaman. Judul yang saya bawa pada pagi ini ada kaitan dengan kematian, sesuatu yang semua kita manusia tidak mungkin dapat mengelakkannya. Semua kita akan mati, cuma tidak tahu bila.

Mungkin anda hairan juga kenapa saya nak bercerita tentang sesuatu yang agak 'menggerunkan'. Iyalah... sekalipun ramai yang takut untuk mati, inilah satu perkara yang kita akan temui juga. Tak ada sesiapa pun yang tak akan mati.

Semalam, kebetulan saya membaca blog 'follower' yang bercerita tentang kematian ibunya. Tentulah sebagai anak, dia terkilan dan berduka cita. Saya dapat merasakannya kerana dia masih muda. Malah, ibunya juga muda dari saya.

Semalam juga, saya berasa sedih, apabila adik saya yang baru pulang dari mengerjakan umrah dengan keluarganya, datang untuk menjenguk ibu saya (ibu saya memang tinggal dengan saya). Adik saya memang bersaiz agak besar (Six footer) dan bila dia memeluk ibu saya (sekarang ini ibu saya dah jadi kecil aje), imej yang saya lihat membuatkan saya berasa sebak. Tak tahulah kenapa... mungkin ia merupakan sesuatu yang natural.

Semasa selesai solat subuh, saya juga teringat kepada kata-kata ibu saya, "Umi ni tak tahulah... bila-bila masa pun mungkin akan tinggalkan dunia ni..." Itulah yang dirasakannya kerana umurnya sudah lebih 75 tahun. Tetapi saya selalu mengingatkannya bahawa walaupun dia sudah 75 tahun, tetapi umurnya mungkin panjang, kerana ibunya (Allahyarham nenek saya) telah hidup hampir 90 tahun dan ibu kepada nenek saya, hidup lebih dari 100 tahun. Malah, ayah saya juga meninggal ketika usianya 87 tahun.

Saya juga selalu mengingatkan ibu saya bahawa tidak semestinya dia yang pergi dulu. Mungkin saya atau anak-anaknya yang lain yang pergi dulu. Ini semua adalah kuasa Allah SWT.

Bila kita ingatkan kematian (wajib untuk kita ingat selalu), kita mahu buat segala amal, segala kebaikan dan tentunya kita ingat kepada Tuhan. Sekalipun kita sentiasa doakan umur yang panjang, kita juga ingatkan alam barzakh yang kita akan temui tidak tahu bila masanya.

Mungkin saya pernah bercerita di dalam blog ini (tak ingat dah bila), tetapi ada satu kisah yang selalu buat saya berasa sebak bila teringatkannya. Kisah seorang kenalan yang kehilangan kedua-dua anak lelakinya dalam satu masa. Kedua-duanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya yang terjadi berhampiran dengan rumah kenalan saya itu. Kebetulan juga, kenalan saya itu ialah seorang ustazah (tempat saya kerja dulu). Saya dan seorang jiran terdekat telah pergi menziarahinya (Ketika itu jenazah sudah pun dikebumikan).

Saya teringat kata-kata ustazah itu. "Saya redha anak-anak saya diambil Tuhan. Allah sayangkan anak-anak saya. Saya pinjam mereka dan kini mereka kembali kepada-Nya. Saya redha," diulanginya. "Semasa jenazah anak-anak saya diusung keluar... saya berbisik kepada Tuhan... ya Allah, Kau ambillah mereka, Kau sayang mereka dan aku redha ya Tuhan... tetapi kau lindungilah aku ya Tuhan... jangan biarkan aku kesedihan. Jangan biarkan aku terlalu mengingatkan mereka ya Allah..."

Saya masih ingat lagi, semasa ustazah itu mengucapkannya, dia 'cool' sahaja, tetapi saya dan teman saya, kami yang menangis teresak-esak, tak sanggup menanggung kesedihannya. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada anak-anak ustazah itu.

Saya masih ingat, semasa saya menulis novel 'Setulus Janji', itulah yang saya cuba kongsi rasa dengan pembaca ketika watak 'Aiman' meninggal dunia.

Beginilah kita sebagai manusia, tidak tahu bila masanya kita akan pergi buat selama-lamanya.

Semoga kita selamat dunia dan akhirat. Amin.

Sunday, June 12, 2011

Surat Cinta Yang Terakhir...


Salam

Saya pernah cerita di blog saya ini, dulu-dulu semasa zaman saya bercinta, memang kami berkomunikasi melalui surat. Maklumlah, kami bercinta 'jarak jauh'. Saya di Malaysia dan dia di UK. Sebelum itu pula, dia di Johor dan saya di Perak. Namun, alhamdulillah... sekali pun jauh, jauh di mata tetap dekat di hati.

Saya dah tak ada lagi surat-surat yang saya simpan dulu. Sebenarnya terlalu banyak hinggakan saya simpan dalam karung guni. Apabila saya ke luar negara dan pulang semula, saya tak dapat nak 'trace' lagi surat-surat tu. Saya pula tidak tinggal lagi di Perak dan kebetulan, ibu saya pun tinggalkan rumah kami di kampung. Tahu-tahu... saya dah tak tahu ke mana perginya surat-surat saya tu. Sedihnya...

Apa pun, pagi ni saya nak bercerita tentang seorang teman (jauh lebih muda daripada saya)dan dia bercerita kepada saya, "Kak... saya ni macam orang lama-lama. Walaupun dah ada macam-macam alat-alat canggih, saya masih guna surat untuk berkomunikasi dengan 'buah hati' saya. Nampaknya dia pun tak kisah."

Mula-mula, masa dia beritahu saya, saya tergelak juga kerana saya sangka orang hari ni tak akan guna surat lagi. Tapi nampaknya, surat-menyurat mungkin terasa lebih romantik lagi kalau dibandingkan dengan hantar mesej atau beremel. Surat yang bertulisan tangan meninggalkan kesan yang romantis!

Masih tak habis lagi cerita teman saya tu. Katanya lagi, "Tapi, kak... setelah bertahun-tahun kami berkomunikasi macam ni, tiba-tiba saya rasa tak sedap hati."

Saya pun bertanya lagi, "Kenapa ek?"

"Saya rasa... mamat tu seronok baca surat saya dan mungkin juga dia mengedar surat saya kepada teman-teman yang tinggal satu tempat dengannya ('buah hatinya' seorang pelajar universiti)."

"Macam mana D tahu?" saya tanya lagi.

"Baru-baru ni, kak... saya dapat surat dari seorang lelaki yang saya tak kenal. Dia kata pada saya, baik saya jangan buang masa hantar surat lagi pada 'buah hati' saya tu... kerana mamat tu tak jujur pun. Dia saja seronok melayan saya sebab saya dijadikan hiburan dan bahan ketawa dia dan kawan-kawannya. Lelaki yang hantar surat pada saya tu sebutkan beberapa 'perkara' yang saya pernah ceritakan pada 'buah hati'
saya tu. Dia sengaja tuliskan begitu supaya saya tahu yang dia juga tahu tentang hal itu dan semua orang lain juga tahu. Kak... saya rasa malu giler. Bukan apa, sebab saya rasa saya kena tipu. Dah tu, saya ni berangan-angan konon-konon saya dah dapat kekasih yang sangat romantis. Rupa-rupanya hampeh!"

Sebelum dia membuat keputusan yang mukatamad untuk putuskan hubungannya dengan mamat tu, saya minta dia menyelidik betul-betul dan berterus terang dengan 'buah hati' nya itu. Lebih baik begitu daripada membuat andaian. Manalah tahu kot perkara itu tak betul pun!

Baru-baru ini, teman saya itu hubungi saya lagi. Katanya, "Confirm, kak... dia memang main-mainkan saya! Dan saya pun tak kisah dah. Tapi... saya sempat hantar surat terakhir kepadanya. Dalam surat tu, saya katakan betapa saya berpuas hati juga sebab selama ini, saya juga tak pernah sayangkan dia. Saya pun seronok buat dia berangan-angan... dan saya tahu dia sebar pada kawan-kawan dia. Saya kata pada dia... kalau macam muka dia tu, saya boleh dapat banyak kat pekan saya ni. Kak... saya ambil 'quote' dari novel kak."

Adoi... macam-macamlah pulak ceritanya.

Beginilah mungkin cerita cinta hari ini. Payah nak jumpa yang tulen agaknya.

Wallahua'lam.

Saturday, June 11, 2011

Ibu Cantik Daripada Anak...



Salam

Pagi ini saya akan kesibukan lagi. Anak jiran saya akan menikah dan tengah hari nanti ialah majlis perkahwinannya. Sebagai jiran, kami semua akan ke sana (rumahnya) untuk membantu mana-mana patut. Pagi ini juga, hujan renyai-renyai.

Okeylah...

Biasanyalah... orang lelaki suka cari istri yang cantik-cantik, terutama sekali kalau mereka kurang pada rupanya, betul tak? Apatah lagi kalau poketnya berisi, bertambah mahu mencari isteri yang cantik. Mungkin antara satu sebab ialah kerana mahu melihat zuriat mereka lebih kacak dan cantik daripada mereka! Hehe...

Jarang-jarang kita lihat pasangan lelaki handsome giler yang perempuannya pula yang tak lawa... hehe...

Tapi macam saya ni... tak tahu nak cakap macam mana. Saya berkulit gelap (hitam manis maa), suami pula lebih cerah (Dulu lagi cerah maa). Tapi... rasa-rasanya macam balance kot, tak lebih dan tak kurang. Cuma dulu-dulu (sekarang pun sama), biasanya sayalah yang tembam, dia tidak! Huhu...

Berbalik kepada isu tadi, Oleh kerana sang lelaki suka cari isteri yang cantik, sedangkan dia tak handsome mana, kadang-kadang... anak-anaknya pula(terutama perempuan) tidak secantik ibunya.

Pernah tengok tak kes yang macam ni?

Memang ada.

Dan kerana itu juga, kadang-kadang, anak-anak perempuan yang beribu jauh lebih cantik daripada mereka akan berasa inferior.

Apa tidaknya... orang ramai lebih suka tengok emak dari anaknya!

Adoi, kesian...

Iyalah, ini semua kuasa Tuhan. Kita boleh rancang begitu dan begini, namun Allah yang memberi kita rezeki.

Ada kala pula, emak dan anak macam adik-beradik aje. Nak sama rupanya. Kira macam selamatlah ni.

Tapi... saya pernah tengok di mana ibunya jauh lagi mengancam daripada anak dan orang (yang tak sensitif) pula menegur ketika majlis perkahwinan anak... "Siapa yang nak kahwin ni, emak ke anak?"

Hai, emak... kalau rasa anak kita macam 'kureng' sikit, kita janganlah menonjol sangat hingga anak kita tu terus tenggelam. Bila bersiap tu, janganlah over-over sangat hinggakan mengambil segala cahaya persekitaran. Huhu... kesian kat anak.

Apa pun, bagi anak-anak perempuan yang rasa kurang cantik atau menarik daripada ibu-ibu mereka, tak usah bimbang. Yakinlah bahawa anda juga ada keistimewaannya. Tuhan Maha Adil...

Kalau kurang di sana, akan lebih pula di sini. Mungkin kita sebagai manusia, tak perasan dan tak sedar pada kelebihan yang kita ada. Janganlah pandang pada luaran sahaja.

Wallahua'lam.

Friday, June 10, 2011

Warna Pink... Lelaki Tak Boleh Pakai Ke?




Salam

Ha pagi ni, saja nak bersembang-sembang pasal warna pulak. Kalau tanya saya, mungkin saya akan kata yang saya suka warna hitam atau kelabu (grey). Kalau nak beli baju, kalau ada warna yang macam ni, cepat mata saya nak berkenan. Sekarang pulak ni, dah ada macam-macam warna lain, yang dulu-dulu kita tak berapa tahu, misalnya warna lilac lah, turquoise lah (turquoise blue atau green), burgundy lah, kadang-kadang ada juga warna scarlet (macam oren).

Sekarang ni, kalau kita kata biru, orang akan tanya balik, "Biru apa?"

Ada macam-macam biru. Misalnya biru turquoise. Kalau nak tahu ada pulak, 'Rich electric blue', dan 'Robin egg blue'... bunyi macam pelik, kan? Tapi memang kita tahu pun warna biru tu... cuma kita dok kata biru je. Ada juga biru laut, biru navy, powder blue (biru sikit-sikit je), ada 'Persian blue' (biru yang kita selalu tahulah ni), ada pastel blue, ada moonstone blue... alamak, kalau cakap pasal biru aje pun dah tak larat dah. Belum lagi masuk hijau, kuning, merah dan macam-macam lagi.

Biasalah, kan... bila 'couple' dapat anak lelaki, siaplah semuanya akan jadi biru. Konon-konon warna lelaki ialah biru.

Kalau dapat anak perempuan pulak... semuanya pink (merah jambu). Ya ke merah jambu? Huhu... asalnya pink tu dari warna merah.

Jom kita tengok pada warna pink pulak.

Ada lavender pink (lembut aje)... memang sahlah warna budak perempuan. Ada fuschia pink, light atau bright. Ada Thulian pink (nampak tak nampak aje warna pink nya), ada magenta pink (pink kuat giler), ada nadeshiko pink (pink lembut), ada juga yang dinamakan Persian Rose dan Persian pink.... adoi memang tak habislah...

Yang menghairankan, kalau perempuan pakai biru, okey aje. Tapi kalau lelaki pakai pink... dah kena label 'lelaki lembut' atau bapuk!

Kenapa ek?

Padahal pink tu ada macam-macam, bukan semuanya tak sesuai untuk lelaki. Kalau nak diikutkan, warna pink ada yang lembut dan ada juga yang garang. Kalau tanya saya, warna yang lembut tu okeylah untuk shirt atau T shirt lelaki, kalau yang pink garang, mungkinlah nampak pelik kot.

Tapi, bila ada baby lelaki pakai pink... semua orang buat kecoh, macamlah baby tu dah jadi lembut pulak. Padahal baby tu tak tahu apa-apa pun!

Sebenarnya warna pink atau biru ni dah menjadi budaya mat salih dan terlekat pada kita yang tinggal di Asia ni. Maklumlah, kita semua dah jadi moden teramat sangat. Warna pun kena ikut depa... hehe.

Blue for boys and guys.
Pink for girls and gals.

Haiya... buat susah aje.

Cuba kita buat tak tahu aje. Main hentam aje. Kalau lelaki rasa nak pakai pink, pakai ajelah...

Suka hati...

Biarlah orang nak kata apa pun...

Lagipun... itu hanyalah warna di luar sahaja. Betul tak?

Thursday, June 09, 2011

Pergh... Bau Badan Maaa...

Sekadar Hiasan

Salam

Okeylah, pagi ni saja nak bawa satu topik yang selalunya jadi 'taboo' dan bukan 'hot topic' yang dijadikan isu perbualan. Tetapi kita kan hidup dalam dunia realiti? Ada benda, kita tak boleh ubah atau tukar atau ushakan untuk elokkan atau burukkan... misalnya kalau dah lahir kulit hitam (Hitam manis maa) macam saya ni... biarkan ajelah... after all, black is still beautiful. Alhamdulillah... kalau nak putih sangat, boleh try makan ubat... (dengar kata dah ada ubat yang boleh tukarkan warna kulit kita - side effect, buat-buat tutup mata)... hehe

Balik pada topik asal kita pagi ini. Isu bau badan ni memang sensitif gila, tapi walaupun nampak macam kecil dan tak ada apa-apa, kadang-kadang boleh jadi besar. Biasanya, orang memang tak sanggup kalau terpaksa duduk bersebelahan dengan 'insan yang berbau badan'. Kata orang putih 'carries bad odour'. Adoi... nak buat macam mana ni?

Kalau kawan baik kita, badannya berbau, kita nak cakap ke?

Takut dia terasa hati, kan?

Masalahnya, dia tahu tak badan dia memang berbau?

Kadang-kadang, ada orang tu memang bau badannya begitu, tak payah berpeluh, tak payah apa-apa pun. Ada yang badannya berbau macam belerang (sulphur), ada yang berbau macam tuak/tapai masam, ada pulak tu bau macam ikan mati, ada juga yang hanyir, ada bau bawang dan ada juga yang bau macam najis... huhu... ampun Tuhan.

Tujuan saya tulis entree ini bukan nak mengaibkan sesiapa (saya tak bincang pasal individu mana-mana) atau nak mengata-ngata, cuma nak ingatkan diri saya dan anda yang membaca blog ini agar kita cuba ushakan untuk mengatasi bau badan.

Keadaan ini (bau badan) bukan merupakan sesuatu yang kita tak boleh buat apa-apa.

Saya ingat cerita seorang teman kepada saya. "Kawan ofis aku, ya Allah... baunya hapak semacam, kalau dia masuk aje bilik aku, aku rasa loya. Bila dia keluar, aku terpaksa sembur 'air freshner' kalau tak, bau badan dia terperap kat dalam bilik aku ni!"

Seorang lagi teman berkata, "Aku pernah hadiahkan kawan aku ni 'bedak mencegah bau badan', sebab aku nak bagi tahu kat dia, aku tak sampai hati. Jadi, aku bagilah bedak tu. Cuma dia tak tahu siapa yang bagi. Aku buat secara 'sembunyi'."

Aduhai...

Saya pernah duduk di sebuah lapangan terbang (di US) dan ada seorang mamat ni (bukan orang kitalah)duduk berhampiran dengan tempat kami. Bau badan dia... astaghfirullah... susah nak cakap bau apa,tapi kami rasa macam nak pengsan! Ampun Tuhan.

Apa pun... kalau kita rasa yang badan kita mudah berbau, usahakanlah. Macam-macam yang kita boleh buat, dari cara kita makan, atau dapatkan ubat dari doktor. Kalau malas, pergi aje kat Farmasi tu dan tanyakan 'powder' untuk hilangkan bau badan. Kalau setakat pakai deodarant aje, memang tak jalan punya!

Pastu... rajin-rajinlah guna wangian sikit, jangan biarkan diri kita jadi bahan mengumpat orang lain.

Rajin-rajinlah tanya orang lain (kawan atau adik-bradik), "Badan aku berbau tak?" Lebih baik tahu daripada tak tahu atau buat-buat tak tahu.

Insya-Allah, kalau kita usahakan... akan hilanglah bau badan kita tu.

"Kak... saya suka pada dia tu (awek), tapi, kak... bau badan dia tak menyelerakan, macam mana saya nak pinang dia? Duduk dekat pun saya tak sanggup! Macam belerang!"

Alahai... kesiannya.

Kalau kita jadi ibu, nasihatkanlah anak kita kalau kita rasa yang anak kita mempunyai 'odour'. Kalau kita ada adik atau kakak, atau abang... buat benda yang sama juga. Malah, kalau kita sayang kawan kita, cuba bantu dia. Mungkin dia tak tahu yang badannya berbau.

Wallahua'lam.

Wednesday, June 08, 2011

Kekasih Gelapnya

Sekadar Hiasan

Salam

Ini cerita seorang kenalan yang menghantar emel kepada saya. Dia yang mahu saya muatkan ceritanya di dalam blog ini.

"Kak Aina... dah lebih setahun saya bercinta dengan mamat ni. Memang saya berjumpa dengan dia melalui alam maya. Maklumlah, saya ni memang tak pernah ada kekasih dan dalam usia yang meningkat ni, bertambah payah untuk mencari seorang lelaki yang setia untuk menjadi calon suami. Namun, setelah bertemu dengan M, saya bersemangat. M pandai melayan saya. Kami bertemu melalui satu laman web sosial (bukan FB) dan melalui profilnya yang tertera M adalah seorang pensyarah. Tentunya saya rasa sangat sesuai dengan saya yang bertugas di sebuah bank dan sedang memegang jawatan yang agak okey-okey.

Saya memang yakin dengan pertalian kami dan saya memang berharap untuk berkahwin dengan M setelah lebih sepuluh kali bertemu dengannya. Saya sentiasa faham yang M sibuk, kerana saya juga sibuk dengan kerjaya saya. Bagi saya, M sangat bijak kerana semua hal dia tahu termasuk hal luar negara dan hal politik. M banyak membaca dan saya juga suka membaca. Memang kami ideal untuk menjadi pasangan. Saya juga tidak tergesa-gesa untuk berkahwin dengannya kerana perlukan masa untuk mengenali hati budinya.

Memang saya tak pernah syak apa-apa pun kerana segala apa yang ada padanya, itulah dia. Baru-baru ini saya bangkitkan hal berkahwin. Saya yakin kerana dia sentiasa kata yang saya adalah 'jantung hatinya'. Dia bernafas dengan kehadiran saya dan mesej-mesej saya memberi jiwa untuk hidupnya. Begitulah sayang M kepada saya. Tetapi bila hal berkahwin dibangkitkan, M mula berubah. Saya jadi cemas.

Kerana itulah Kak Aina, saya membuat penyiasatan terperinci. Saya minta bantuan seorang rakan yang agak pakar dalam hal ini. Akhirnya rahsia M terbongkar. Dia bukan seorang pensyarah tetapi hanya seorang pemandu teksi. Kebetulan M memang suka membaca dan mungkin banyak ilmu yang dipungut dari pelanggannya. Dia juga fasih berbahasa Inggeris. Sebenarnya saya bukanlah kisah sangat tentang hal kerjayanya, tetapi saya terkilan kerana M menipu saya. Dia telah 'cilok' profil orang lain (saya pernah semak tentang kewujudan 'pensyarah' yang dimaksudkan) dan paling saya marah kerana M bukan bujang, tetapi sudah mempunyai dua orang isteri dan lapan orang anak!

Hampa perasaan saya Kak Aina. Bukan kerana saya 'gila' sangat pada dia, tetapi saya terkilan kerana mudah ditipu. Rupa-rupanya, M sekadar jadikan saya 'kekasih gelap' nya. Saja M seronok mengguna saya untuk membuat dia rasa muda dan bujang (itulah pengakuannya). Mungkin juga dia suka berkawan dengan wanita yang ada 'status' dalam kerjaya kerana dapat menaikkan 'saham'nya. Mujur juga M tidak bercadang untuk berkahwin dengan saya, kerana saya akan terkantoi lebih teruk lagi."

Itulah cerita kenalan saya itu.

Semoga anda di luar sana berjaga-jaga dengan karakter-karakter seperti M yang mudah mengambil kesempatan. Tak kisahlah anda dijadikan kekasih gelap atau terang, tetapi apalah gunanya membuang masa untuk 'kasanova' yang begitu mudah memperdayakan perempuan di alam maya!

Tuesday, June 07, 2011

Sang Puteri di Istana Kami

Salam

Hehe... saja nak letak gambar budak comel ni. Baru je dapat dari 'babah' nya. Si Puteri Yusufia... cucu lola.




Tak Tentu Lagi Akhlaknya...


Sekadar Hiasan


Salam

Okeylah pagi ni saja nak bersembang tentang anak-anak muda zaman sekarang. Mungkin zaman dulu pun taklah banyak bezanya, cuma trend sahaja yang berbeza.

Kalau dulu, remaja perempuan, malah perempuan secara keseluruhannya memang tak pakai tudung, sebab ketika itu hal tudung-tudung ni tak diambil kisah sesiapa pun. Malah, ustazah yang mengajar di sekolah agama pun ada yang tak pakai tudung, kalau pakai pun, siap nampak jambul lagi... hehe (tu ustazah kat sekolah rendah sayalah...)

Di zaman serba moden ni, memang ramai sungguh gadis Melayu yang bertudung. Tapi... fizikal saja maaa... hati belum tahu lagi baik atau tidaknya. Begitu juga dengan lelaki, memang ramai yang pakai kopiah, serban dan macam-macam. Yang dahi hitam sebab banyak bersujud pun ramai sekarang ni. Tapi... hati belum tahu lagi maaa...

Saya teringat masa pergi umrah pada bulan April yang lepas. Dalam bas yang mengangkut kami dari kapal terbang untuk ke airport Jeddah, ada sekumpulan lelaki muda Melayu (dari sebuah IPTA Islamik) yang ada bersama-sama kami. Ketuanya itu (Agaknyalah ketua sebab dia yang banyak cakap) nampak macam kereklah sikit, sebab tak sudah-sudah bercerita benda-benda tinggi di atas langit. Mungkin (wallahua'lam) dia berasa bangga sebab dalam usia yang muda sedang mengerjakan umrah. Tak kisahlah betul atau tidak, tapi dia bercakap dengan suara yang kuat, seolah-olah mahu semua di dalam bas itu mendengarnya. Adoi... helo mamat... okeylah tu kalau pergi umrah, tapi tak payahlah kecoh-kecoh... hehe, agaknya seronok sangat.

Apa pun, saya nak bercerita tentang hal anak muda masa kini. Saya percaya tak semua macam tu, tapi memang ada yang macam tu. Bila pakai tudung aje, rasa macam baik sangat. Tambah kalau pakai tudung labuh, bertambah baiklah jadinya. Ada tu pulak, bila rasa macam diri terlalu Islamik, tak mahu dah berkawan dengan mereka yang dirasakan kurang Islamik. Masing-masing berpuak-puak, seolah-olah sudah disediakan tiket untuk masuk syurga. Adoi... janganlah macam tu, sayang.

Sebenarnya kita tak tahu siapa yang akan ke syurga atau tidak, cuma kita berdoa dan buat baik-baik agar semua amalan kita diterima Allah SWT. Tuhan Maha kaya, Maha pengampun, Maha mengasihi dan Tuhan sediakan peluang untuk semua orang agar sentiasa bertaubat pada-Nya. Kita jangan bersangkaburuk pada teman-teman yang kita rasa kurang dan tidak alim seperti diri kita. Jangan kita mengandaikan yang tak bertudung itu mesti tidak ada 'DARA' nya. Dan jangan sangka yang bertudung labuh tu semestinya Dara seratus peratus.

Sebenarnya yang di luar orang mudah nampak, yang di dalam hanya Tuhan yang tahu.

Mungkin apa yang saya bangkitkan agak sensitif juga, tetapi inilah realitinya. Rata-rata kita mudah melabel orang dengan melihat apa yang ada di luarannya, begitu juga dengan diri kita yang selalu berasa sangat baik kerana apa yang kita pakai dan mungkin juga kerana latar belakang kita.

Ada yang menghantar emel kepada saya dan bangkitkan hal-hal seperti ini. Hal yang berkaitan dengan anggapan orang kerana pakaiannya, juga kerana label orang lain kepada dirinya.

Apa salahnya kalau kita bertudung labuh atau memakai purdah sekalipun tetapi kita juga berkawan baik dengan mereka yang tak bertudung? Bukankah itu yang dikatakan akhlak mulia, kerana kita tidak menghukum orang lain dan tidak menganggap bahawa diri kita terlalu baik untuk berkawan dengan orang lain. Kalau kita baik, tentu kita tidak berkira-kira, kerana Nabi junjungan (SAW) tidak pernah mendeskriminasi orang lain, tak kira dia siapa pun. Dalam hal ini, mungkin kita ikutlah sunah Nabi (SAW) kita itu.

Iyalah, mungkin juga kita akan berkata-kata bahawa kita bukan seorang nabi, tetapi memang tidak salah kalau kita merendah diri, sekalipun kita berasa yang diri kita baik dan bagus!

Kadang-kadang, memang sukar untuk kita baca hati orang sekalipun dari segi fizikalnya nampak serba elok. Namun, kalau hatinya tidak sebersih pakaian dan tidak seelok luarannya, maka tidaklah dia hebat sangat.

Ada seorang kenalan (lelaki) bercerita, bahawa jirannya (juga lelaki dan mereka tinggal di kawasan apartmen) tidak mahu menegur mahupun memandangnya hanya kerana dia pernah memakai seluar pendek (tidak menutup lutut) untuk ke kedai berdekatan. Malah, jirannya tidak pernah mahu memberi salam kepadanya setiap kali bertembung. Kalau kenalan saya menegur atau beri salam, dia buat tak dengar dan mengalihkan pandangan ke tempat lain. Jirannya itu mempunyai ahli keluarga yang bertudung-litup. Kerana keadaan begitu, kenalan saya tidak mahu aktif dalam sebarang aktiviti yang dianjurkan oleh kumpulan yang dianggotai ahli-ahli termasuk jirannya tadi. Betapa malangnya.

Secara ringkas, kalau kita berasa diri sangat Islamik, biarlah akhlak kita yang menjadi contohnya, bukan sekadar apa yang ada pada luaran kita sahaja. Itulah yang dituntut agama kita, agar Muslim dan Muslimah mempunyai akhlak yang baik lagi mulia dalam semua segi, bukan sekadar pakaian sahaja.

Maafkan saya sekiranya apa yang saya katakan ini menggoreskan hati sesiapa yang membaca. Saya ingin mengingatkan diri saya sendiri bahawa pintu Taubat sentiasa terbuka untuk semua insan di dunia dan hanya Allah SWT sahaja yang layak menghukum hamba-Nya.

Wallahua'lam.

Monday, June 06, 2011

Seronok Tak Terkata



Majlis perkahwinan di Johor Bahru dan di Sungai Dua

Salam

Apa nak kata ya? Hehe... seronok tak terkata, tapi penat giler! Mahu tak penatnya, macam marathon. Hari Jumaat jam tiga, kami berangkat ke Johor Bahru, esoknya balik Nilai. Pagi Ahad (lepas Subuh)kami berlepas ke utara pula. Alhamdulillah, pagi itu tak sesak, jadi kami sampai awal. Belum jam sebelas dah ada kat kampung tok kami di Sungai Dua, Seberang Prai. Dapatlah lepak-lepak dengan kaum kerabat yang datang dari merata-rata tempat. Jam Tiga, berangkat balik ke Nilai. Allahuakbar, sesak teruk. Kami berhenti untuk solat sahaja, itu pun kena pilih tempat sebab manusia terlalu ramai di setiap kawasan rehat. Apa pun, kami tiba lewat... hampir jam sepuluh malam. Memang penat. Mujurlah suami dan anak saya bergilir-gilir memandu.

Di Johor, majlis perkahwinannya mempunyai ciri-ciri Arab. Ada 'samerah' (muzik dan tarian Arab) dan seperti biasa, kami beramah mesra dengan sanak saudara yang juga tiba dari pelbagai tempat. Kebetulan, anak saudara suami saya juga berkahwin dengan lelaki berketurunan Arab (Ibunya berasal dari Singapura dan ayahnya dari Indonesia) tetapi menetap di Johor. Pengantin lelaki berwajah Arab totok! Hehe...

Di Sungai Dua pula, anak sepupu saya berkahwin dengan gadis sekampungnya. Hanya berjarak beberapa rumah sahaja. Jadi, pengantin tiba dari belakang, ikut tepi sawah, kerana di depan sibuk dengan kenderaan yang berlalu lalang. Memang seronok, kerana dah lama sungguh saya tidak melihat majlis perkahwinan stail kampung. Malah, makanan yang enak juga disediakan oleh orang-orang kampung.

Alhamdulillah, saya berjumpa dengan ramai kenalan-kenalan lama yang dah lama tak jumpa. Memang seronok tak terkata.

Kebetulan juga, anak sepupu saya (ayahnya bukan berketurunan Arab) berkahwin dengan anak dara berketurunan Arab.

Apa pun, bertambah seronok kerana saya dapat makan makanan yang dah lama saya tak merasa. Dapat juga makan laksa dan kemudiannya sempat singgah untuk beli pulut udang (orang selatan kata pulut panggang)!

Walaupun penat, saya berpuas hati sebab dapat meraikan majlis perkahwinan kaum kerabat. Semasa di Johor, kami juga sempat melawat kakak ipar saya dan sempat juga melepak sekali lagi di Kafe Benafe (saja seronok melepak dengan anak-anak saudara suami). Kebetulan anak-anak saya juga ikut sekali.

Hari ini memang terasa macam nak rehat, tapi banyak kerja. Saya akan usahakan untuk buat sahaja kerja yang tersusun ni. Tapi... yalah, kalau tak update blog ni, rasa macam tak puas hati pulak...hehe

Take care...

Wassalam.

Friday, June 03, 2011

Setulus Janji dan Yang Menghibur Hati





Salam

Novel saya, SETULUS JANJI sedang diterbitkan semula, dalam proses percetakan. Masih ingatkah anda kepada Insyirah, Mr.Ilham, Aiman, Rizuan dan Juwita? Juga Sungai Dua, Selama dan Manchester? Insya-Allah, tak lama lagi Setulus Janji akan berada di pasaran. Bagi pembaca-pembaca yang masih belum memilikinya, bolehlah mendapatkannya nanti.

Hari ini, sekitar tengah hari, saya akan ke Johor Bahru sekali lagi. Untuk majlis perkahwinan anak saudara suami saya. Malam ini, kami akan tidur di Johor Bahru dan esok akan kembali dan terus menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan di Kuala Lumpur. Ahad pagi, akan ke Seberang Perai (balik hari) untuk menghadiri majlis perkahwinan anak sepupu (di kampung tok saya ia itu Sungai Dua - latar Setulus Janji). Saya memang suka balik kampung tok saya, sebab memang banyak kenangan di sana. Insya-Allah, walaupun sekejap, saya akan tetap ke sana.

Okeylah... pagi ini saya ingin bercerita tentang 'perkara' yang menghibur dan menenangkan hati saya. Tiga orang cucu saya, insya-Allah sentiasa buat saya berasa bahagia, alhamdulillah. Bila mendukung mereka, saya berasa seronok, seolah-olah badan saya dicaj bateri. Bertambah seronok bila cucu-cucu saya berebut mahu saya mendukung mereka. Hahaha... pada hal lolanya bukanlah kuat mana.

Begitu juga dengan bunga-bunga saya di taman. Setiap kali ada yang berbunga dan menceriakan taman saya, saya juga turut berasa bahagia dan bertenaga. Juga ikan-ikan di dalam kolam dan burung yang berterbangan di kawasan rumah saya. Sentiasa buat saya terasa seolah-olah berada di taman burung. Ada sekali tu, kawan suami saya bersembang dengannya melalui telefon bimbit dan dia menyangkakan yang suami saya berada di taman, pada hal di kawasan rumah sahaja, kerana burung berlagu-lagu di corong telefon!






Di atas ini ialah gambar cucu-cucu saya Firas dan Ali. Esok-esok saya akan letak gambar Yusufia pula (kebetulan gambar terbaru tak ada di komputer saya), gambar bunga-bunga (orkid unik dan kemboja), juga ikan-ikan saya.

Okeylah, sekejap lagi ni saya nak bersiap-siap.

Have a good weekend!

Wassalam.

Thursday, June 02, 2011

Mat Sekupang- Kisah Orang Gila

Orang tak siuman yang macam Mat Sekupang

Salam

Semalam, ketika agak lewat malam, saya menonton sebuah filem 'mat salih' (tak habis tengok pun) tentang satu karakter yang dikatakan mempunyai ciri-ciri 'psycopath'. Kalau kita tengok di kamus, maksud psychopath atau psycopathy ialah kelakuan pelik atau 'personality disorder' yang ada pada seseorang itu di mana sikap mereka seolah-olah menjadi manusia yang tidak berperasaan. Tidak tahu apa yang dia fikirkan. Seperti orang tak siuman.

Karakter yang beginilah selalunya terlibat dengan aktiviti-aktiviti pelik dan kejam seperti, merogol, membunuh, menyimbah asid, menyeksa dengan cara kejam dan macam-macam lagi. Dalam novel Kau Laksana Bulan, 'psycopath' saya jelaskan dengan lebih mendalam lagi kerana penceritaan novel itu memerlukan keterangan itu untuk karakter-karakter tertentu. Malah, karakter Eizlan dalam novel KLB mempunyai ciri-ciri begitu.

Hari ini, ciri-ciri 'personality disorder' ini kerap di 'highlight'kan dalam pelbagai program TV, majalah dan juga surat khabar. Mungkin karakter yang begini sudah menjadi-jadi dalam masyarakat kita. Oleh kerana itulah kita kerap membaca berita yang berkaitan dengan pelbagai jenis manusia yang mempunyai sikap tak berperasaan atau apa yang kita katakan 'orang gila'!

Pun begitu, ciri-ciri 'psycopath' ini adalah lebih luas daripada apa yang kita bayangkan. Bukan sekadar kekejaman seperti saya jelaskan di atas, tetapi lebih daripada itu. Misalnya, karakter 'gila' ini juga tersebar luas di alam maya.

Ya... jangan ingat tak ada, malah lagi teruk. Kerana itu juga kita akan dengar berita tentang penipuan yang berlaku dalam dunia siber. Anak dara ditipu lelaki yang mengaku konon-konon kaya dan bujang. Kanak-kanak ditipu dan akhirnya terjebak dengan karakter 'paedophile', ia itu mereka yang sukakan seks kanak-kanak. Karakter-karakter 'perverts' ini berkeliaran di mana-mana. Mereka suka kepada sesuatu yang boleh menyeksa orang lain, tak kira fizikal atau jiwa.

Jangan hairan kalau di dunia siber juga kita akan bertemu dengan karakter-karakter yang suka menghasut, masuk blog sana-sini, masuk FB sana-sini dan menyebarkan cerita-cerita tentang orang lain dan ini dilakukan kerana karakter berkenaan berasa bahagia kalau dapat menyakitkan hati orang lain. Bukankah ini dikatakan sikap yang pelik? atau 'gila'?

Personality disorder seperti ini ada di mana-mana, dan kalau kita lihat, kadang-kadang karakter beginilah yang kita katakan sebagai 'meriyan' atau 'meroyan'. Ada orang berkelakuan begini kerana masalah yang ada pada dirinya, atau mungkin latar belakangnya, atau mungkin dirinya sedang berdepan dengan 'depression'.

Jadi... berjaga-jagalah. Jangan pula kita sama terlibat dengan 'perverts' yang seronok untuk membuat orang lain jadi 'huru-hara'.

Kalau masa saya kecil dulu, memang banyak 'orang gila' yang selalu berkeliaran di pekan tempat tinggal saya. Ada seorang tu kami panggil dia 'Mat Sekupang' kerana ke mana sahaja dia pergi, dia akan minta 'sekupang' atau sepuluh sen!

Hari ini, karakter 'Mat Sekupang' ada juga di alam siber!

Wallahua'lam.