Apabila sesorang itu berasa cemburu, dia akan lakukan apa sahaja untuk tunjukkan perasaannya itu. Ada ketika, dia tak mahu orang tahu, tetapi malangnya, dari suaranya, kelakuannya atau mungkin tindakannya, orang lain akan tahu yang dia sedang cemburukan sesuatu atau seseorang itu. Penyakit cemburu orang perempuan tidak semestinya kepada perempuan lain yang mungkin menarik perhatian pasangan lelakinya (mungkin suami atau kekasih), tetapi mungkin dengan adik beradik atau ipar-duainya, atau mungkin dengan kawan-kawannya sendiri.
Penyakit ini, kalau tidak berat sangat, mungkin ada eloknya. Tetapi kalau sifat cemburunya terlalu dahsyat, mungkin ia akan memakan diri sendiri. Kita boleh jadi hilang kawalan dan akhirnya merugikan diri sendiri. Pasangan kita jadi bosan, kawan akan pergi dan tak ada sesiapa yang akan suka kepada kita lagi. Memang penyakit cemburu mengerikan.
Banyak pasangan yang huru-hara kerana sifat yang begini. Kalau orang lelaki pula yang cemburu, mungkin ianya sangat berat. Isteri tak boleh keluar rumah, atau mungkin ada yang suka mengurung sahaja isterinya di rumah. Perasaan syak wasangka akan sentiasa ada. Sifat cemburu boleh menghancurkan segala-galanya.
Pun begitu, kadang-kadang tanpa perasaan cemburu, kita tak tahu sama ada pasangan kita sayangkan kita atau pun tidak.
Apa pun,janganlah jadi orang yang 'cemburu buta'. Perasaan cemburu yang begini, semestinya akan memusnahkan hidup kita.