Assalam
Hari Isnin dan masing-masing mulakan minggu ini untuk mencari rezeki dan menjalankan aktiviti harian seperti biasa. Semoga kita mencari rezeki yang halal, buat perkara yang baik-baik dan jadilah orang yang baik. Sentiasalah beringat bahawa segala apa yang kita buat, Allah swt melihat.
Baru-baru ini saya bersembang-sembang dengan beberapa orang yang saya kenal. Salah seorang daripada mereka adalah seorang ibu tunggal. Usianya dan banyaklah juga (bukan wanita muda) dan dia sibuk menyuruh kami mencari pasangan untuknya. Kami pun ramai-ramai pakat berkata, "You nak apa lagi dengan suami ni? Takkan nak menyusahkan hidup kot?" Kebetulan wanita ini pernah berkahwin tiga kali dan semua perkahwinannya gagal. Dengan suami pertama dia dapat lima orang anak, dan yang dua lagi tiada anak. Suami keduanya orang berduit, tapi berumur (ketika itulah) dan sudah mempunyai isteri (dia jadi isteri kedua). Tup-tup dia kena cerai sekali lagi kerana perkahwinan mereka tidak direstui famili. Kahwin pula dia sekali lagi, kali ini dengan lelaki yang muda daripadanya dan selepas tujuh bulan, mereka bercerai. Sebabnya ialah kerana suami yang ini pula adalah jenis menghabiskan apa-apa saja!
Kenalan kami ini dah lama hidup membujang, tiba-tiba teringin sangat nak kahwin sekali lagi. "I nak cari lelaki yang berduitlah, sebab kalau tak ada duit mesti tak mampu nak tanggung I. Lagipun... I takut kalau tak ada suami ni... esok-esok siapa nak tanggung I bila I dah tak ada job?" Adoii... saya hairan sungguh dengan cara yang begini. Bagi saya, kalau dah kita tahu bahawa pendapatan kita tak menentu atau ada 'kureng', kenapa kita tak cari jalan untuk lakukan sesuatu yang dapat membantu kita di hari tua? Takkanlah tiada cara lain selain daripada untuk mencari suami sahaja? Lagipun... ingat senang ke nak cari suami yang matang, berduit tetapi bukan suami orang? Kalau dapat suami orang, ingat seronok ke hidup makan hati atau merosakkan hati orang? Semua tu ada dosanya yang kita kena tanggung! Takkanlah kita jadi wanita 'desperate' tahap gaban, tak tahu nak buat apa-apa untuk elokkan keadaan hidup kita? Seolah-olah kita tak percaya yang rezeki kita datang daripada Allah swt, bukan dari manusia lain!
Kami menjadi gerun kerana kenalan ini juga mempunyai seorang anak perempuan yang juga sudah bercerai dengan suaminya. Anaknya ini memang berupa orangnya. Kata kenalan kami, baru-baru ini anak perempuannya itu sedang 'usya' seorang 'Dato' ' yang sudah punyai dua orang isteri. "Hah?" soal kami. "You nak bagi anak you kahwin dengan Dato' yang dah ada two wives?"
Kata dia... "Alah, Dato' tu dalam bisness oil and gas... banyak duit dia." Aduhai... begitu desperatenya dia... hinggakan tak berdaya untuk berfikir bahawa harta dan wang ringgit ini adalah 'material' sahaja yang mampu hilang bila-bila masa sekalipun dalam bisnes oil and gas! kalau lelaki itu tak kaya macam mana? Ingat tak boleh jatuh bangkrap ke?
Kalau niat kita begitu, memang sampai bila-bila pun kita akan jadi manusia yang mempunyai fikiran yang corrupted, yang memang pandang pada harta dunia sahaja. Kalau kita takut untuk hidup susah, mungkin elok kalau kita tidak hidup lama, kerana bagi kita, kita tak mampu untuk menerima ujian Allah swt. Orang yang begini, mungkin hanya berdaya menilai kehidupan dengan mata wang ringgit sahaja, bukan melihat dunia dengan mata yang positif walaupun pada realitinya hidupnya tidak berada dalam kemewahan.
Semoga kita menjadi manusia yang 'humble' yang tidak sanggup untuk menghina diri sendiri kerana gilakan kemewahan dalam kehidupan.
Wassalam
Contoh suami pilihan?