Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, December 19, 2006

HIJRAH

Saya dan keluarga sudahpun berhijrah ke Negeri Sembilan. Tempat baru kami ini terletak di Nilai yang bermukimkan Labu. Bila pertama kali memberitahu kawan-kawan, ada yang bertanya, "kenapa tingal jauh-jauh ni?"
Hmm... entahlah. Jauh untuk siapa? Bagi saya, itulah yang saya mahukan, satu suasana perkampungan, tetapi mempunyai semua kemudahan. Kalau di negara Barat, ramai yang suka tinggal di kawasan perkampungan, bukan tinggal di tengah-tengah bandar. Saya tak kira semua itu, malah saya tidak pernah kisahkan nama kawasan, kerana bagi saya keselesaan itulah yang utama. Keselesaan untuk kami sekeluarga, bukan imej nama tempat.
Hati saya berasa lega bila setiap kali masuk kawasan perumahan tempat tinggal yang baru ini, dari jauh lagi saya sudah melihat gunung-ganang yang terbentang di depan mata, di kelilingi pula dengan pokok kelapa sawit. Mungkin bagi sesetengah orang, ini bukan merupakan sesuatu yang menarik, tetapi bagi saya yang berjiwa 'desa', saya seronok dengan suasana seperti ini. Malah, hiasan dan rupa rumah baru saya ini adalah nak sama macam sebuah rumah kampung. Kalau tak percaya, jom datang ke rumah saya!

Tuesday, December 05, 2006

BANDAR BARU BANGI

Hampir 25 tahun yang lalu, saya telah berhijrah ke Bandar Baru Bangi (BBB). Ketika itu, BBB merupakan suatu kawasan perumahan yang terlalu baru. Baru dibuka untuk penduduk-penduduk yang berkerja di UKM, juga MINT (atau apa yang dipanggil PUSPATI). Ketika itu, bila disebut Bangi sahaja, orang ramai di Lembah Klang akan menganggap tempat itu sebagai tempat ' jin bertendang!' Mungkin ketika itu, memang hampir benar BBB dikatakan tempat yang agak terceruk. Tiada stesen minyak, tiada kedai-kedai, malah tiada pasar. Semua pembelian terpaksalah dilakukan di pekan terdekat, iaitu di Kajang. Bila malam, tentu tiada tempat untuk 'lepak-lepak'. Tempat itu sunyi sepi!
Namun sekarang, BBB sudah berubah wajah. Harga rumah sudah naik mendadak, stesen minyak bersepah-sepah (stesen Petronas sahaja sudah ada lebih 5 buah). Malah, sudah ada kedai-kedai 'up-market' yang dibawa ke tempat ini! BBB sudah menjadi canggih, bukan hanya menjadi tempat idaman orang Melayu tetapi juga bukan Melayu. Kalau dulu, tiada bukan Melayu yang suka tinggal di BBB.
BBB terkenal dengan sekolah-sekolah yang berkeputusan cemerlang, dikelilingi oleh pusat-pusat latihan (Bank, pihak swasta dan kerajaan), malah kolej dan universiti-universiti. Kedudukannya yang berhampiran dengan Putrajaya juga telah membuatkan tempat ini popular dijadikan tempat tinggal. BBB juga popular kerana dikatakan satu kawasan perumahan yang mempunyai banyak surau dan masjid!
Saya masih teringat semasa mula-mula tinggal di BBB. Pelbagai cerita misteri yang saya dengar tentang kawasan ini. Maklumlah, tempat ini pernah berada dalam keadaan yang sunyi sepi. Sekarang ini, BBB selalu berdepan dengan masalah lalulintas yang sentiasa sesak, terutama waktu pagi dan petang, waktu pulang sekolah, dan waktu ada pasar malam. Pasar malam di seksyen 6 BBB dikatakan salah satu pasar malam yang terbesar di Malaysia!
Mungkin kerana itu, saya dan keluarga akan berubah angin. Minggu depan kami akan berhijrah ke tempat lain pula. Dalam begitu, BBB masih ada untuk kami kerana segala urusan kerja akan kami lakukan dari tempat ini!

Sunday, November 26, 2006

Farhan, si anak Chow Kit

Setiap pagi, insya-Allah saya pastikan untuk bersarapan. Tengah hari pun begitu, juga di waktu malam, sekitar lapan malam, jarang sekali saya tidak makan malam. Malah, alhamdulillah tidak pernah kurang makan. Alhamdulillah juga rezeki kami cukup, dari pagi hingga ke malam, setiap hari.
Tentu anak-anak saya 'take things for granted'. Mereka tidak pernah rasa susah, alhamdulillah. Malah tidak ada apa-apa yang membimbangkan mereka.
Hari Rabu yang lepas, saya menemankan Irfan, ank saya, untuk bertemu Raja dan Fida, yang bertanggungjawab untuk mengaturkan aktiviti-aktiviti untuk anak-anak Chowkit dan Kampung Baru. Tempat itu terletak di Lorong Haji Taib, di belakang Jalan Chow Kit. Kami ditemukan dengan anak-anak yang berumur sekitar lima hingga 16 tahun, yang hidupnya tak tentu arah, kerana tiada sesiapa yang memberi perhatian kepada mereka.
Dalam ramai-ramai kanak-kanak yang sedang menjalankan aktiviti di musim cuti sekolah, saya tertarik kepada seorang kanak-kanak comel yang bernama Farhan. Farhan berumur enam tahun. Mengikut cerita Raja dan Fida, ayah Farhan berada di penjara, dan sedang menantikan hukuman mati. Ayahnya itu tercebak dalam kancah dadah. Ibu Farhan pula sudah berpisah dengan suaminya, dan kini Farhan dipeliharai oleh neneknya, yang berniaga kecil-kecilan di kawasan Kampung Baru.
"Aunty... aunty... nanti hantar saya balik rumah, boleh?" Tiba-tiba si kecil Farhan sudah berada di sisi saya, sambil memeluk pinggang saya, cukup mesra. Saya tersentuh dengan kemesraannya itu.
Petang itu, saya mengajak Raja dan Fida untuk minum petang bersama kami di sebuah restoran mamak yang berdekatan. Bersama kami, ada seorang wanita yang kami panggil 'Didi'. Dialah yang banyak membantu Raja dan fida untuk menjejaki kanak-kanak terbiar ini. Kerana saya sudah berjanji untuk menghantar Farhan pulang, saya mengajak dia sekali, untuk minum petang.
Anak saya memimpin tangan Farhan untuk ke Restoran itu, dan sampai sahaja di tempat makan itu, tanpa bertanya, Frhan sudah berkata, "nak makan nasi ikan."
"Farhan lapar ke?" saya menyoal kanak-kanak itu.
"Lapar. Tak makan lagi."
Mungkin anda tidak percaya jika sata nyatakan bahawa Farhan, si kanak-kanak kecil itu (saiz badannya macam 4 tahun sahaja, walaupun dia sudah berumur 6 tahun) licinkan sepinggan besar nasi dan lauk ikan yang disediakan untuknya.
Saya hampir menangis melihat betapa laparnya dia. Sebaik sahaja selesai, dia terus mahu pulang ke rumahnya. Katanya, "kat sini tak ada tv... nak tengok tv."
Kanak-kanak kecil sepertinya sememangnya tidak tahu apa-apa. Sayu perasaan saya bila akhirnya kami meninggalkan Farhan di lorong kecil, yang berdekatan dengan rumah neneknya itu. Walaupun saya berasa bimbang bila melihat badan kecilnya berjalan pantas menghala ke arah rumah neneknya yang agak usang itu, di tengah-tengah kota kosmopolitan... namun apakan daya saya... hanya sekadar melihat sahaja.
Inilah kehidupan. Saya bersyukur, kerana anak-anak saya begitu bersimpati bila melihat keadaan Farhan... yang terpaksa tinggal dengan nenek yang susah, dan juga seorang ayah saudara yang merupakan seorang penagih dadah di rumah itu. Saya tidak tahu apakah masa depan kanak-kanak kecil itu!

Wednesday, November 15, 2006

Bunga

Mengapa bunga selalu dikaitkan dengan wanita? Mungkinkah kerana biasanya bunga itu cantik dan menarik, berwarna-warni, dan ada yang baunya harum. Dalam puisi dan gurindam, bunga itu adalah lambang kewanitaan. Malah, dikatakan bunga dapat melembutkan hati wanita.
Ada bunga menjadi kegemaran wanita, seperti bunga mawar atau ros, bunga melur, bunga lili, jasmin... dan ada juga bunga yang kurang popular seperti bunga tahi ayam. Hari ini, rata-rata kaum wanita selalu pastikan taman mereka dihiasi dengan pokok-pokok bunga yang menarik kerana dikatakan bunga dapat memberi ketenangan, kurangkan stres, dan ada jenis bunga, terutama yang berbau wangi dapat memberi tenaga. Kerana itulah ramai yang suka mandi bunga untuk mendapatkan tenaganya!
Anda bagaimana? Suka bunga apa... yang berwarna-warni atau yang berbau wangi?

Wednesday, November 08, 2006

Cantikkah Anda?

Biasanya kalau anda cantik, anda akan sentiasa diberi perhatian oleh masyarakat. Kerana itu juga, biasanya heroin novel atau filem terdiri daripada wanita/gadis yang cantik. Kalau yang tidak cantik dijadikan heroin, tidak ramai yang mahu membaca novel atau menonton filem berkenaan.
Cuba kita perhatikan di sekeliling kita. Bila sesuatu terjadi dan wanita cantik yang terlibat, pihak media akan bertungkus-lumus memberi liputan yang meluas. Cuba pula anda lihat, bila yang terlibat bukan orang yang cantik, tiada sesiapa yang mahu tahu. Kalau ada berita yang dipaparkan pun hanya sekadar untuk makluman. Tiada 'follow-up' yang dilakukan.
Ingatkah anda kepada wanita yang bernama Norita, yang pernah suatu ketika dahulu mendapat liputan serius oleh semua surat khabar, televisyen... malah segala-galanya? Tambahan pula kes pembunuhannya itu melibatkan orang-orang tertentu... yang kacak dan berkuasa!
Begitu juga dengan kes Canny Ong, wanita berketurunan Cina yang cantik. Berminggu-minggu dan berbulan-bulan kesnya diperbincangkan di media.
Hari ini, seorang wanita rakyat Mongolia yang bernama "Anna" /'Aminah' telah turut mendapat liputan pihak media secara besar-besaran. Mungkin kerana beliau seorang rakyat asing dan terlibat dalam satu kes pembunuhan yang kejam, di mana suspeknya pula merupakan seorang ternama (VIP), dan dikatakan ada pihak polis yang turut terlibat. Saya percaya kes ini akan mendapat liputan yang luas untuk satu tempoh yang panjang juga.
Saya sangat bersimpati dengan kes ini, kerana saya tahu kemungkinan besar mangsa telah menjadi alat yang dipergunakan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab.
Dalam begitu, bayangkanlah kalau mangsa ini, atau yang lain juga merupakan wanita biasa-biasa sahaja dari segi rupanya, atau wanita yang sememangnya tidak cantik. Mungkin gemuk, hodoh, bulat, dan semuanya tak kena... bayangkanlah!
Sekalipun dibunuh, atau dibom, mungkinkah wanita yang tidak cantik ini akan mendapat liputan dan perhatian pihak media mahupun masyarakat umum?

Monday, October 30, 2006

Perceraian Yang Menyeksakan

Di hari baik dan bulan baik, ramai di antara kita yang tidak merasakan keseronokannya kerana perpisahan yang tidak diduga dalam keluarga. Seringkali kita mendengar cerita perceraian yang terjadi dalam rumah tangga yang masih muda usianya. Tatkala itu berlaku, pasangan yang terpaksa berdepan dengan perpisahan tentunya akan menderita, mungkin juga ada yang merana. Lazimnya, sekalipun atas alasan tidak sesuai atau dengan persetujuan di antara suami isteri yang terlibat, namun sakitnya tetap akan terasa. Bukan mudah untuk berdepan dengan satu perpisahan, apa jua alasannya!
Bertambah perit yang dirasai, jika perpisahan berlaku dalam usia yang matang, dalam perkahwinan yang sudah berpuluh-puluh tahun lamanya. Bukan hanya pasangan yang terlibat akan terasa, malah sakitnya berjangkit kepada anak-anak dan rakan taulan juga. Bertambah malang, dalam usia yang begitu tentunya bukan mudah untuk berdepan dengan masyarakat. Perasaan malulah yang mungkin akan membawa kepada kemurungan bagi mereka yang terlibat. Tentu kita tertanya-tanya, mengapa perkara itu boleh terjadi?
Semestinya ramai akan berkata ini adalah ketentuan Tuhan jua. Takdir semata-mata. Memang kita tak boleh menafikan itu semua, namun bukankah kita sebagai manusia turut memainkan peranan dalam takdir yang ditetapkan? Sebagai insan, ada perkara yang masih dalam kawalan kita, walaupun akhirnya ditentukan Tuhan Maha Esa.
Pada hari baik dan bulan baik ini, cubalah kita renung-renungkan betapa 'SABAR' itu mampu mengawal perasaan dan menghindar kepahitan yang menyasarkan kepada perpisahan. Tak kira sama ada kita muda atau tua, baru berkahwin atau pun sudah lama, kita praktikkanlah kesabaran dalam hidup kita agar perkataan 'perceraian' dapat kita elakkan!

Tuesday, October 17, 2006

SALAM AIDIL FITRI

Kalau dulu, semasa kanak-kanak, tentunya Hari Raya merupakan hari yang ditunggu-tunggu dan dinanti-nantikan. Bila remaja, kegembiraan tidaklah serancak zaman kanak-kanak, tetapi musim Hari Raya merupakan musim bertemu kawan lama bila semuanya balik untuk berhari raya di kampung.
Kini, bila Hari Raya semakin tiba, hati menjadi sayu dan sedih untuk meninggalkan Ramadhan, kerana saya tidak tahu sama ada Ramadhan akan saya temui lagi di tahun hadapan. Mungkin usia dan pengalaman hidup mengajar kita untuk menghargai masa dan saat yang kita lalui setiap hari, dan bulan Ramadhan tentunya bulan yang teristimewa buat kita semua sebagai orang-orang Muslim.
Tahun ini, insya-Allah kami akan menyambut Hari Raya dengan sederhana sahaja. Tiada apa-apa istimewa yang kami sediakan kecuali sedikit kuih muih ala kadar. Yang penting, tahun ini dan juga tahun-tahun sebelum ini, kami akan balik ke JB pada hari raya kedua untuk bertemu saudara mara suami saya. Itulah rutin tahunan kami.
Apa-apapun, di blog ini, saya mohon ampun dan maaf kepada semua pembaca, rakan dan kawan-kawan yang rajin menjenguk kemari. Selamat Hari Raya Aidil Fitri, semoga Tuhan lindungi kita dunia dan akhirat. Semoga kita bertemu Ramadhan di tahun hadapan, insya-Allah.

Friday, October 13, 2006

PanggilanNya Tiba

Saya kehilangan dua orang kenalan di bulan Ramadhan yang mulia ini. Kedua-duanya bernama Zainal. Allahyarham yang pertama merupakan jiran di depan rumah saya. Umurnya 63. Pada awal Ramadhan, tiba-tiba sahaja dia diserang sakit jantung, dan beberapa jam kemudian di Hospital Putrajaya, dia telah menarik nafasnya yang terakhir. Pergilah dia buat selama-lamanya menemui TUHAN yang tercinta.
Selang beberapa hari selepas itu, saya mendapat berita di hujung minggu mengatakan bahawa kenalan kami, Zainal juga namanya, telah meninggal dunia secara tiba-tiba di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Umurnya baru 44. Dia merupakan pensyarah UKM di fakulti Kejuruteraan. Dia meninggal dunia kerana terjatuh semasa mengendalikan pembaikan tangki air di rumahnya.
Tiada kata-kata yang dapat saya luahkan kepada isteri-isteri dan keluarga kedua-dua kenalan saya itu. Hanya dapat saya hulurkan doa semoga roh mereka yang pergi dicucuri rahmat, dan semoga keluarga mereka teguh dan sabar mengharungi dugaan, dan dipeliharai imannya. Amin.

Friday, September 29, 2006

ILHAM

Sebagai penulis, saya tidak tahu bila ilham akan datang. Kadang-kadang saya tercari-cari dan ternanti-nanti. Kekadang pula, ilham itu datang dengan tiba-tiba sahaja, tanpa diduga.
Kali ini, ilham datang kepada saya meminta saya untuk ke Cambodia. Cambodia? Apa ada di sana?
Terpaksalah saya mencari segala maklumat yang berkaitan dengan negara itu. Sejarahnya, geografinya, orang-orangnya, ekonomi dan politiknya, budaya dan agamanya. Saya juga sedang mengatur untuk ke negara itu dalam sedikit masa lagi... mungkin di bulan Syawal nanti, insya-Allah.
Yang pasti, saya tidak sabar untuk melakarkan apa yang sudah ada di kepala dan di dada. Saya sentiasa cuba mencari kelainan dalam penulisan, dan insya-Allah, kelainan itu sudah ada.
Bila ilham sudah datang, biasanya ia akan mengganggu penumpuan saya. Apa yang perlu saya lakukan ialah untuk mengaturnya dan melakarkan dulu sebelum terus menulis. Saya suka juga menceritakan apa yang ada di kepala kepada suami dan anak-anak. Okeykah, atau tidak okey?
Insya-Allah, Kluang juga merupakan sebahagian dari latar belakang cerita saya. Kali ini, saya akan mengisahkan seorang anak yang pernah saya kenali dulu. Kini, anak itu sudahpun dewasa.
Ramai yang bertanya kepada saya, apa cerita yang kak aina akan bawa kali ini.... nampaknya kisah anak itulah yang akan saya paparkan kali ini.
Ada apa ya? Dari Cambodia ke Thailand... dan terus turun ke Kluang?

Monday, September 18, 2006

Ramadhan

Alhamdulillah, tidak lama lagi bulan Ramadhan akan tiba. Insya-Allah, muslimin dan muslimat semuanya berdebar-debar menantikan ketibaan bulan ini.
Biasanya, sebagai orang Islam, kita akan mengambil kesempatan untuk melapangkan lebih banyak masa dalam bulan ini untuk lakukan amal ibadat. Bulan yang istimewa semestinya penuh dengan berkat, namun berkat itu akan terus berlalu sahaja kalau peluang tidak kita ambil pada bulan yang mulia ini.
Janganlah nanti, bulan ini hanya dijadikan bulan yang sesuai untuk menambahkan beban hidup kita dengan berbelanja lebih daripada kemampuan. Jangan juga bulan ini kita gunakan dengan mengambil kesempatan untuk melakukan pembaziran.
Semoga kita sama-sama berdoa agar orang-orang Islam di negara ini khasnya, dan seluruh dunia amnya, dipelihara imannya dan kekuatan semangatnya. Lakukan amalan solleh pada bulan ini, banyakkan sedekah dan berzikir.
Insya-Allah, TUHAN Maha Pengasih lagi Penyayang akan berkati hidup dan akhirat kita, amin.

Monday, September 11, 2006

Kenangan di Kuantan

Tentunya ada sesuatu yang istimewa buat saya di Kuantan. Tiga buku saya mempunyai latar belakangnya di Kuantan. Salah satu ialah Seharum Kasih, novel kedua saya. Hari Sabtu yang lepas, saya telah ke sana lagi. Ke Teluk Cempedak. Malah di dalam novel terbaru saya, Kau Laksana Bulan juga, ada sedikit latar di tempat yang sama. Entah mengapa, saya melihat Kuantan sebagai salah satu bandar yang menarik bagi saya. Bila diingat-ingatkan kembali, saya tahu mengapa bandar itu istimeawa buat saya.
Semasa saya di tingkatan empat, saya telah ke tempat itu buat kali kedua. Semasa itu, saya telah bersama-sama pasukan negeri Perak, mewakili permainan hoki untuk kumpulan di bawah umur 20 tahun. Walaupun saya pernah ke bandar itu sebelum itu, tetapi ketika itu saya terlalu muda untuk mengingatinya. Namun, semasa di tingkatan empat, saya sudah merasakan kewujudan Kuantan sebagai tempat yang menarik. Tiada apa-apa yang luar biasa berlaku di sana, tetapi bagi saya ketika itu, Kuantan adalah terlalu jauh dari pekan kecil tempat saya dibesarkan, iaitu Kuala Kangsar yang berada di Perak. Mungkin juga kerana ketika itu, saya bersama-sama rakan seumur, dan sebagai remaja, tentunya tempat baru menarik perhatian saya.
Sabtu lepas, ketika tiba di Teluk Cempedak, perasaan istimewa itu kembali menjenguk di hati saya. Ombak yang memukul di tepi pantai bagaikan mengajak saya terus bersantai di sana. Malah malam itu, saya dan rakan-rakan penulis, terus bersantai di tepi pantai yang putih bersih, sambil menyingkap kisah-kisah lama yang pernah kami lalui. Ada ketika kami ketawa, ada ketika kami berasa sebak mendengar cerita-cerita lama yang mungkin pernah mengguris hati kami, terutama ketika muda remaja.
Apapun, suasana di Hyatt Regency, Teluk Cempedak mententeramkan hati, menenangkan jiwa. Kami terus berbual-bual, hingga hujan turun renyai-renyai dan memaksa kami pulang ke bilik, dan terus berbual lagi. Sempat juga kami bertukar-tukar cerita seram pula, tetapi terpaksa kami berhenti bila Mimie mula tak senang duduk. Rupa-rupanya Cik Mimie tu, penakut juga orangnya!
Kak Puteri... seronok mendengar pengalaman lama Kak Puteri terutama semasa bekerja di Bank dahulu. Gee... kisam silam anda tentunya banyak yang membuat kami terasa, semoga kasih yang berpaut kini akan berkekalan buat selama-lamanya. Dalam begitu, tentunya kami tidak kering gusi mendengar cerita Mimie yang penuh dengan lawak jenakanya. Mimie memang begitu... dia seronok bercerita dengan cara yang penuh humor. Begitu juga cara dia menulis ceritanya. Kelakar sungguh!
Saya berterima kasih kepada rakan-rakan penulis, yang telah banyak bertukara-tukar cerita dengan saya. Malah kami juga berterima kasih kepada POPULAR ( terutama Cik Mary) yang bersusah payah menjemput kami ke Kuantan. Bandar Kuantan dan orang-orangnya sungguh menyeronokkan. Terima kasih daun keladi... lain kali ajaklah kami lagi!

Saturday, September 02, 2006

PERUBAHAN

Semasa saya kecil, saya merupakan seorang anak yang suka sangat merajuk. Dalam ramai-ramai adik beradik, sayalah yang paling pendiam. Saya tidak suka mengganggu orang, dan kerana itu juga saya tidak suka diganggu! Saya kerap bersendirian, dan semestinya saya suka bercakap seorang diri, seolah-olah saya mempunyai alam yang asing daripada orang lain.
Kalau ada yang tidak kena, saya akan merajuk, dan biasanya rajuk saya itu memanjang. Tidak mudah untuk mengambil hati saya semula.
Namun, bila saya dewasa, perangai itu mula berubah. Pada awal perkahwinan, saya sememangnya sensitif, tetapi bila sudah mula ada anak, rajuk saya mula menipis.
Alhamdulilah, dalam usia yang meningkat, saya sudah berjaya untuk mengawal diri. Saya tidak sesensitif seperti dulu lagi. Malah, saya cuba tebalkan hati agar tidak tersinggung bila ada perkara-perkara sensitif diperkatakan. Semestinya tidak mudah, tetapi saya cuba mengatasinya.
Orang kata, perangai susah untuk diubah. Tetapi saya percaya, apa-apa sahaja boleh kita atasi kalau kita cuba perkuatkan diri. Hidup sebenarnya merupakan satu perjalanan panjang yang mempunyai banyak perubahan. Ada kala, perubahan itu terpaksa kita lalui, ada ketika kitalah yang perlu mengubahkannya agar laluan menjadi mudah. Apa-apa pun, kita tak mungkin lari daripada perubahan dalam hidup.
Sebagai ibu, saya kerap terangkan perkara ini kepada anak-anak. Jangan takut pada perubahan. Kalau kita takut, maka perjalanan hidup akan menjadi rumit.
Setiap kali bila kita terpaksa melaluinya, kita cubalah bertindak positif. Fikirkan alternatif yang positif, insya-Allah, TUHAN akan tunjukkan jalannya. Bila bimbang berdepan dengan sebarang perubahan, paling efektif ialah berdoa kepada TUHAN. ALLAH SWT melihat dan mendengar kepada hati yang ikhlas.

Monday, August 21, 2006

Johor Bahru yang bukan baru untuk saya

Johor Bahru, bukanlah tempat yang baru untuk saya, malah saya sudah biasa ke tempat itu sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu. Maklumlah, saya berkahwin dengan orang dari tempat itu. Tapi, yang peliknya, bila saya ke sana tanpa suami dan ahli keluarga, saya asyik tersesat di bandar tersebut.

Hujung minggu lepas, saya ke Johor Bahru bersama-sama Cik Sarra, Cik CT dan Cik Mimi (bukan mimi affinie). Semasa pergi, semuanya berjalan lancar sehinggalah kami sampai di hotel. Lepas itu, kami ke Larkin untuk menjemput Mama J dan Azura yang tiba dari Singapura. Malangnya bila hendak balik ke hotel semula, kami tersilap jalan... mula melilau entah ke mana-mana. Akhirnya sampai juga di hotel setelah kami ikut semula jalan asal ke Larkin.

Petang itu kami keluar lagi untuk ke pusat bandar. Sekali lagi kami tersesat. Puaslah melilau- lilau, dan semasa kami tersesat itu kami tiba di Stulang Laut. Berhenti di situ dan duduk makan-makan di tepi laut. Perkena otak-otak, mi bandung dan tahu bakar. Lepas tu, sesat lagi. Kami bercadang untuk ke Pantai Lido. Walaupun berkali-kali kami tersalah jalan, kami tidak putus asa. Akhirnya tiba juga di Danga Bay. Meronda-ronda pula di situ dan 'melepak' di medan selera sambil menjamah air buah pelbagai aneka.

Semasa hendak pulang ke hotel, sekali lagi kami tersesat hingga ke Johor Bahru Tengah. Alamak! Termengah-mengah mencari jalan pulang. Apapun, memang lucu. Sepatutnya Johor Bahru itu kampung saya, tetapi malangnya, bandar itu masih merupakan tempat asing bila saya terpaksa memandu sendiri tanpa suami atau keluarga.

Terima kasih mama J, azura, sarra, mimi dan ct. Anda membahagiakan hujung minggu saya.

Monday, August 07, 2006

Ayat Ayat Cinta

"Awak dah bacakah novel tu?"
"Novel apa? 'Ayat Ayat Cinta' tu?" Saya menyoal balik.
"Novel tu lah... katanya hot bangat di Indonesia tu. Macam mana? Sedap sangatkah?" Normah bertanya saya lagi, bagaikan tidak sabar mahu tahu jawapan.
"Apa yang boleh saya katakan, ya?" Saya memandangnya tepat. "Beginilah... " saya mulakan. "Bagi saya, 'Ayat Ayat Cinta' (AAC) memang hebat! Penulisnaya, Habiburrahman El Shirazy, merupakan seorang karyawan muda yang cukup hebat. Novel tu sungguh menyentuh perasaan. Berkali-kali air mata saya bertitisan membaca ayat-ayat yang disusun indah. Paling menarik adalah kerana bahasa yang digunakan cukup mudah, namun demikian cukup indah. Tak berbelit, tak ada perkataan bombastik yang ditonjolkan, dan sangat sesuai untuk semua golongan pembaca. Itulah hebatnya karya ini. Saya tertarik dengan ayat-ayat indah lagi suci yang dipetik dari Al Quran dan hadis-hadis bagi mempercantikkan tulisan dan plot ceritanya. Watak utama Fahri cukup hidup, dan saya kagum dengan kekuatan spiritual dan mentalnya. Dalam novel itu, Fahri adalah dari latar belakang orang miskin yang tinggal di pulau Jawa, namun begitu, oleh kerana personaliti menariknya sebagai seorang muslim yang sangat patuh kepada ajaran agamanya, martabatnya secara automatik telah dipertingkatkan oleh orang-orang di sekelilingnya. Dia dihormati oleh rakan-rakan, guru-guru dan alim ulama'. Amalan hidupnya tertumpu kepada ajaran agama yang dipelajarinya. Kerana itu juga Fahri digilai wanita-wanita cantik, pandai dan berlatar belakang kaya, tidak seperti dirinya.

Saya kagum dengan ayat-ayat indah yang diatur Habiburrahman dalam bukunya itu. saya petik salah satu puisi yang ditulisnya.

Bidadariku,
Namamu tak terukir
Dalam catatan harianku
Asal usulmu tak hadir
Dalam diskusi kehidupanku
Wajah wujudmu tak terlukis
Dalam sketsa mimpi-mimpiku
Indah suaramu tak terekam
Dalam pita batinku
Namun kau hidup mengaliri
Pori-pori cinta dan semangatku
Sebab
Kau adalah hadiah agung
Dari Tuhan
Untukku
Bidadariku

Apapun, saya percaya Habiburrahman telah berjaya membuat setiap pembaca yang membaca karyanya untuk mendekatkan diri kepada TUHAN yang Maha Agong. Syabas kepada penulis hebat ini. Tulisan yang terkesan untuk diri ini. Bagi saya, tak mungkin rugi membacanya. Malah, karya ini patut dibaca oleh semua orang muda, terutama bagi mereka yang sedang mencari pasangan hidup. Alhamdulillah, saya sangat berpuas hati dengan AAC yang dikarang Habiburrahman ini. Beliau berdakwah tanpa membuat kita bosan membaca. Beliau mengajar tanpa membuat kita rasa seperti dijarnya." Saya akhiri perbualan dengan rakan saya itu.

Saturday, August 05, 2006

Dari Bangi ke Siak

Assalamualaikum...

Sudah lama saya tidak ke blog sendiri, dan kali ini saya malas nak beri alasan lagi. Entah mengapa, tiba-tiba saya ingin sangat menceritakan pengalaman baru yang saya lalui baru-baru ini. Saya dan suami, dua orang anak bujang kami dan seorang adik ipar saya, telah menerima undangan perkahwinan ke jajahan Riau, Sumatra. Memang saya tidak pernah ke sana. Selalunya saya mendengar cerita suami, yang kebetulan kerap ke sana atas urusan bisnesnya.

Saya mengajak anak-anak bujang kami, Faiz dan Irfan. Kebetulan Faiz baru pulang dari UK, dan telah memilih untuk terus tinggal di Malaysia setelah 9 tahun merantau. Suami saya mahu anak-anaknya mengikutnya pulang ke tanah jajahan tok-neneknya, iaitu di SIAK.

Mungkin ramai tak tahu tentang Riau, apatah lagi Siak. Sebenarnya Riau merupakan daerah yang kaya, dan Siak pula merupakan provinsi terkaya di Indonesia, kerana hasil 'minyak' nya. Namun, buat seketika dahulu Siak boleh dikatakan sebagai salah satu daerah yang paling termundur di Indonesia. Semua hasil minyak, balak dan lain-lain hasil negeri, dihantar dan dibolot oleh Jakarta. Semasa pemerintahan Megawati, sebahagian otonomi diserahkan kepada jajahan seperti Siak ini. Kini Siak sudah mula mempunyai wangnya sendiri sejak 2003 dan Bupatinya (govenor) sedang mengurus untuk bangunkan provinsi itu.

Perjalanan kami dari Bangi tidaklah lama. Hanya menaiki Airasia ke Pekan Baru dari LCCT. Kami ditempatkan di sebuah hotel indah, AryaDuta. Pekan Baru sudah ada pembangunan yang agak baik, bersih dan indah dengan bangunan yang berekabentuk ciri-ciri 'Melayu'. Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa orang Riau adalah orang Melayu. Malah bagi mata saya, mereka lebih Melayu daripada kita di Malaysia. Dari segi bahasa, pakaian dan adabnya. Saya sangat tertarik. Malah, kalau dibandingkan dengan pulau Jawa, di Riau lebih ramai perempuannya yang bertudung, dan pakaian dan rupa mereka memang seperti orang Melayu di Malaysia juga. Begiti juga dengan makanannya. Kami tidak mempunyai masalah untuk makan. Semuanya ada, masak asam pedas, masak tempoyak, sambal belacan... semuanya macam masakan kita di Malaysia juga.

Hari kedua kami di Riau, kami telah berkunjung ke provinsi Siak. Perjalanannya hampir 3 jam, melalui jalanraya yang agak sempit, dan separuhnya berlubang-lubang, kerana laluan itu merupakan laluan kenderaan berat yang mengangkut balak. Perjalanannya memang meletihkan, mujurlah mobil yang digunakan agak baru dan baik, jadi kami tidaklah terlalu menderita. Apa-apapun, kami terhibur dengan persekitaran yang lain daripada apa yang biasa kami lihat. Yang paling menarik kerana orang Riau sangat berbudi bahasa dan baik hati.

Kami telah dibawa menyeberangi Sungai Siak yang agak lebar dan dalam (kapal besar pun boleh melintasi sungai itu). Kami berkunjung ke bahagian pejabat kerajaan (yang baru dibina). Kami kagum dengan istana Sultan Siak yang baru sahaja diperbaiki. Di sana masih ada sebuah kotak muzik yang terbesar di dunia (Hanya ada 2 sahaja di dunia. Satu lagi di Germany), dan masih berfungsi. Kami melihat foto-foto lama dan melihat peralatan istana yang dapat diselamatkan (Sekitar 25% sahaja).

Kami ke Balai Besar yang sedang diperbaiki. Sebuah bangunan yang diperbuat daripada kayu dan mempunyai tangga yang banyak seperi sebuah istana di Johor. Kemudiannya kami ke mahkam Sultan dan isteri-isterinya, dan kaum kerabatnya. Kebetulan, isteri pertama Sultan Syed Syarif Kassim II, mempunyai nama yang sama dengan saya.

Masih banyak perkara lain yang mahu saya ceritakan, tapi malangnya saya tidak dapat lakukan buat masa ini. Mungkin satu hari nanti saya akan jadikan cerita di dalam novel saya. Alhamdulillah, apa yang saya lihat, Siak dan pekan-pekan kecil di sekitarnya, seperti Kerinchi, mempunyai potensi yang bagus. Kawasan itu sedang pesat dibangunkan. Kalau dulu jajahan itu merupakan satu kawasan yang mundur, dalam sekitar lima hingga 10 tahun lagi, satu perubahan yang ketara akan dapat kita lihat nanti.

Bagi mereka yang ingin ke negara seberang, saya syorkan anda ke Riau. Pastinya anda tidak akan dikecewakan!

Wednesday, June 28, 2006

Rauf oh Rauf!

Lula dan Yasmin adalah sepupu saya yang tinggal di Bandung. Lula yang rupawan, (ibunya berdarah Turki dan Syria) telah berkahwin muda (sekitar 17 tahun) dengan Rauf, seorang jurutera dan juga anak orang kaya. Saya hanya melihat gambar perkahwinan mereka sahaja ketika masih remaja.
Selepas beberapa tahun berlalu, saya telah ke Bandung. Saya bertemu dengan Lula dan Yasmin, dan ibu mereka (ibu saudara saya). Malangnya saya tidak berkesempatan untuk berjumpa dengan Rauf, suami Lula. Kali kedua ke sana pun saya hanya sempat bertemu dengan Lula sahaja.
Saya telah diberitahu sepupu-sepupu saya yang lain bahawa Rauf, suami Lula, tidak gemar bercampur dengan saudara-mara di sebelah isterinya. Saya juga telah diberitahu bahawa Rauf tidak mesra, dan saya sungguh bernasib baik kerana berjaya bertemu dengan Lula kerana biasanya Rauf tidak senang membenarkan isterinya bertemu dengan saudara-maranya.
Kebetulan, sepupu saya di Malaysia, Fardus (kami menggelarnya Kak Dos) telah mengaturkan majlis perkahwinan untuk anak perempuannya, Shahira pada hujung minggu yang lepas. Ramailah kaum kerabat saya dari Indonesia telah turut hadir. Kami cukup berbesar hati kerana kali ini, buat pertama kalinya Lula dan Rauf juga turut hadir.
Saya dan suami telah diminta untuk melayan sebahagian daripada tetamu-tetamu yang datang dari Indonesia (13 orang semuanya). Lula dan Rauf telah ditempatkan semeja dengan kami, dan juga Ahmad dan isterinya Sofia, juga dari Indonesia. Mula-mula, saya agak kekok dan berjaga-jaga kerana mempunyai tanggapan yang agak negatif terhadap Rauf. Namun, tanggapan saya itu salah.
Rupa-rupanya Rauf adalah seorang yang teramat kelakar dan 'very friendly'. Kalau dia mengeluarkan sepuluh ayat, sembilan adalah lucu, mungkin satu sahaja yang serius. Malah, semasa kami ke Putrajaya dan KLCC, Rauf cukup mesra dan rajin berbual-bual terutama dengan suami saya.
Setelah mengenali Rauf selama 4 hari, tanggapan saya turut berubah. Kini saya tahu bahawa tidak semestinya apa yang dikatakan orang lain itu benar. Mungkin seseorang itu tidak kelihatan mesra kerana dia pendiam, atau tidak serasi dengan orang yang berada di sekelilingnya. Apa sekalipun, bagi saya Rauf 'interesting' kerana karekternya yang penuh humor. Kami terhibur dengan kehadirannya yang sentiasa buat kami tidak kering gusi!

Saturday, June 17, 2006

Kasih Sayang

Kalau anda sudah berumur seperti saya, mungkin anda akan sering kembali kepada masa silam anda. Teringat zaman muda anda semasa anda sedang membesar bersama adik beradik anda. Bagi saya, itu merupakan satu zaman yang tiada nilainya. Saya sering bercerita kepada anak-anak kisah lama yang pernah saya lalui, tak kira sama ada itu kisah manis atau pahit.
Bila saya berkumpul adik beradik, kami memang rajin mengulangi nostalgia lama. Main di sungai, bercuti di kampung nenek di Sungai Dua, bermain di sawah padi, berkelahi, berperang dan pelbagai lagi kisah indah yang kalau boleh kami tak mahu lupakan.
Apa sekalipun yang kami tempuhi ketika itu, yang penting bagi kami adalah ikatan silaturrahim antara kami adik beradik. Kami adalah daripada sebuah keluarga yang besar, yang ibunya lebih daripada satu. Kerana itu, kami cuba teruskan perhubungan hingga kini, agar tiada di antara kami yang terputus ikatannya.
Kini giliran saya membesarkan anak-anak pula. Bagi saya, ikatan kasih sayang di antara anak-anak dan ibubapa perlu ada kekuatan dan perlu kukuh. Menjadi tanggungjawab saya dan suami untuk menguatkan ikatan itu. Salah satu cara yang baik ialah untuk bercuti dengan anak-anak. Ketika kami bercuti, itulah masa yang paling indah buat kami sekeluarga. Kami berbual-bual, bertukar-tukar pendapat, bergurau senda, dan yang paling menarik, semasa bercutilah kami sering berangan-angan dan merepek-repek!
Misalnya, semasa kami bercuti di Cameron Highlands baru-baru ini, suami dan anak-anak saya begitu tertarik dengan kenderaan-kenderaan pacuan empat-roda yang bersepah-sepah di sana. Kebanyakannya merupakan kenderaan lama, tapi masih kukuh dan menarik kerana telah diubah-suai. Mereka gunakan kenderaan2 itu untuk mengangkut barang-barang, dan kerana keadaan di sana, itu merupakan kenderaan yang terpenting. Suami dan anak-anak saya begitu teruja dengan rupa bentuk kenderaan2 itu. Sedang kami berehat-rehat di ladang teh Bharat sambil menikmati teh ais di cafe yang disediakan, suami dan anak2 saya duduk dan berangan-berangan.
"Kita mesti beli ni." Suara suami saya.
Saya juga teruja. Semasa itu kami sedang memandang jauh kepada ladang teh yang terbentang luas.
"Hah? Nak beli ladang teh ni?" soal saya.
Suami saya ketawa. "Kalau nakkan ladang teh ni, salah seorang daripada anak kita kena kahwin dengan anak taukeh Bharat." Sambut suami saya. Saya ketawa.
"I berangan-angan nak beli jip tu. Nampak tu... yang sedang masuk ke kawasan ladang tu."
"Alamak! Jip buruk tu. You nak buat apa lagi?" Saja seronok saya mengusiknya.
"Seronok nak bawak round-round. Tapi... kenalah cari ladang kot, atau hutan ke."
Suami dan anak-anak saya pun mulalah pasang angan-angan mereka. Saya tumpang ketawa, kerana sebenarnya saya sudah biasa dengan cara mereka, yang suka berangan-angan setiap kali melihat apa-apa jenis kenderaan yang pelik, atau menarik!
Apapun, sekalipun sekadar merepek dan berangan-angan, kami terhibur, kerana ketika itulah kami sebenarnya mengukuhkan ikatan kasih sayang kami. Bila ada masa, dan di izinkan TUHAN, berilah kasih sayang itu kepada anak-anak dan ibubapa anda semua.

Monday, June 12, 2006

Resah dan Gelisah!

Pernahkah anda merasakannya? Tiba-tiba saja denyutan nadi anda bagaikan deras pergerakannya? Macam nak kejar sesuatu! Mungkin itulah yang dikatakan resah dan gelisah.
Saya baru sahaja siapkan manuskrip untuk novel terbaru. Kini sudahpun berada di tangan editor untuk menyemak. Semestinya perasaan gementar mula mengganggu ketenteraman saya. Begitulah biasanya. Berdebar-debar menantikan komen-komen orang-orang berkenaan, terutama tukang-tukang tapis manuskrip saya.
Namun, itu bukan merupakan penyebab utama mengapa denyutan nadi saya semakin deras. Mungkin hal anak-anak lagi merenyahkan rutin harian saya. Sebagai seorang ibu yang mempunyai anak-anak dewasa, setiap apa yang mereka lalui, saya mula terasa sama. Kalau hati mereka terguris, saya turut berasa sedih. Kalau mereka ketawa, saya tumpang seronok. Bila mereka menangis, air mata saya turut berlinangan... mungkin menemani kesedihan mereka itu.
Dalam hal pengajian mereka, saya tidak pernah berasa resah dan gelisah menghadapinya, kerana alhamdulillah, anak-anak saya tidak banyak masalah dalam hal itu. Mungkin juga saya dan suami bukan merupakan ibubapa yang selalu mendesak. Apa yang dirasakan baik untuk mereka, baik juga untuk kami.
Kami juga memberi kekebasan untuk mereka memilih kerjaya. Apa yang diminati mereka, itulah yang kami bantu untuk mereka dapatkan. Kami sentiasa bersyukur di atas rahmat TUHAN.
Namun.... dalam hal yang satu ini, saya sentiasa resah dan gelisah dibuatnya. Ada-ada sahaja yang menjadi rintangan! Mungkin..... masih belum masanya. Pun begitu, sebagai ibu, saya berdoa semoga hati mereka terbuka untuk melihat kepada keindahan alam yang satu ini. Semoga tidak sia-sialah saya memberi panduan dalam hal ini!

Saturday, May 27, 2006

Masa Untuk Berkahwin!

Masuk sahaja musim cuti sekolah, bersusunlah jemputan kahwin, hinggakan kita hendak bercuti pun jadi payah. Apakan daya, lagipun yang menjemput itu adalah rakan-rakan dan saudara-mara yang hendak kahwinkan anak-anak mereka.
Cuma anak-anak saya sahaja yang masih belum terlintas untuk berkahwin!(Termenung seketika)
Apa-apapun, insya-Allah kalaulah saya hendak kahwinkan anak nanti, saya akan cuba lakukan diluar musim sekolah. Bukannya apa, bila musim sekolah ni, kerana terlalu banyak jemputan kahwin, hinggakan para tetamu terpaksa bahagi-bahagikan masa mereka untuk menunaikan semua jemputan. Kadang-kala, terpaksa menolak kerana kebetulan juga mereka bercuti atau pergi ke tempat lain untuk hadir jemputan kahwin saudara yang lebih rapat.
Cara orang sekarang meraikan perkahwinan anak-anak mereka juga adalah jauh berbeza daripada semasa zaman saya muda dulu. Perkahwinan saya sendiri adalah terlalu sederhana. Sekadar majlis akad nikah, dan sedikit kenduri kecil.... itu sahaja. Semasa itu, saya merupakan pelajar tahun akhir, dan suami pula, baru lagi bekerja. Kebetulan juga, arwah ayah saya tidak suka majlis yang membazir untuk kahwinkan anaknya. Saya pulang ke kampung sekadar dua hari sahaja untuk majlis tersebut. Selepas itu, pulang semula ke Kuala Lumpur dan balik tinggal di hostel universiti tempat saya belajar!
Hari ini, masyarakat bandar biasanya meraikan majlis perkahwinan anak-anak mereka dengan perbelanjaan yang tinggi. Kebanyakan majlis, mempunyai tema warna, ada konsep, dan ada macam-macam yang mahu menonjolkan keunikan majlis tersebut.
Tentunya trend seperti ini menakut-nakutkan orang-orang muda yang sedang berkira-kira untuk berkahwin. Mana nak cari duit yang banyak ni? Mungkin itulah yang membimbangkan mereka.
Kami sering didatangi tetamu yang merupakan anak-anak muda, kebanyakan adalah kawan-kawan Irfan. Saya selalu berbual-bual dengan mereka dan cuba dapatkan pandangan mereka tentang trend yang diamalkan sekarang ini. Seperti yang dijangkakan, anak--anak muda ini juga turut rimas. Kata mereka, kalau ibubapa yang mahu beriya-iya mengaturkan majlis yang gilang-gemilang, biar ibubapa yang uruskan budgetnya, tanpa menyusahkan anak-anak.
Irfan pula menyuarakan kepada saya, "kalau umi dengan abah banyak duit dan bercadang nak buat majlis yang glamor-glamor, tak payahlah! Berikan budget itu kepada saya... pandailah saya uruskan."
Saya sekadar ketawa mendengar pandangannya itu. "Lagipun..." katanya lagi, "saya dah tak larat tengok majlis perkahwinan yang besar-besar ini. Nak muntah dah. Biar majlis perkahwinan saya nanti, yang simple sahaja." Kebetulan, sememangnya sebahagian daripada bisnes Irfan ada kaitan dengan majlis-majlis seperti itu.
Apapun, perbelanjaan perkahwinan pada hari ini cukup membebankan anak-anak muda kita. Ada yang terpaksa berkira-kira bila memilih bakal calon isterinya. Takut terkena anak orang berada yang terlalu 'demanding', ada juga yang takut terpilih calon bukan daripada golongan berada tetapi lagaknya lebih daripada yang berada!
Saya percaya, sebagai ibubapa, terutama kalau kita ini ibubapa kepada anak-anak perempuan, kita janganlah meminta yang bukan-bukan daripada bakal menantu kita, hinggakan menyusahkan mereka. Kalau kita betul-betul berkemampuan, biarlah apa yang kita minta itu, sekadar menunaikan kewajipan dalam agama, bukan menunaikan kemegahan di kalangan rakan-rakan dan jiran tetangga. Kalau kita menyenangkan anak-anak dan bakal menantu, insya-Allah, TUHAN akan mencucuri rahmat kepada perkahwinan mereka itu! Amin.

Monday, May 15, 2006

SELAMAT HARI IBU!

Semalam, saya cuba imbaskan kembali kenangan lama semasa melahirkan putera-putera dan puteri saya.
Anak pertama, Faiz... dilahirkan di Hope Hospital, Salford Manchester. Saya sakit selama 48 jam sebelum berjaya melahirkannya. Kelahiran anak sulung cukup mencemaskan kami suami isteri. Ketika itu, tiada ahli keluarga lain kecuali kami berdua untuk menantikan dan berdepan dengan keadaan yang paling cemas dalam hidup saya. Faiz merupakan bayi yang besar, dan kerana itu dia terpaksa divacuumkan, selain daripada penggunaan alat forcep. Saya masih teringat kepada jururawat berketurunan Cina, rakyat Malaysia, yang menemani saya ketika melahirkan bayi sulung saya itu. Masih terngiang-ngiang lagi suara jururawat itu, yang sedang memegang tangan saya, "baby dah lemas!" Dia memberitahu doktor.
Saat itu, saya berdoa, memohon agar TUHAN selamatkan saya dan juga bayi saya. Dalam kesakitan yang teramat sangatlah, Faiz muncul di dunia ini. Saya bersyukur, alhamdulillah di atas kelahiran anak sulung saya pada jam 4.44 petang November itu.
Irfan pula dilahirkan di Hospital Assunta, Petaling Jaya. Kesakitan yang saya rasa untuk melahirkannya tidak lama. Tidak sampai lima jam. Irfan dilahirkan pada jam 11.40 pagi bulan Disember. Sama bulan dengan tarikh kelahiran saya. Semasa saya lahirkan Irfan, perkataan pertama yang terkeluar daripada mulut jururawat yang berada di bilik bersalin itu ialah, "panjangnya bulu mata baby ni!"
Memang tepat, bulu mata Irfan panjang dan lentik. Macam bulu mata unta!
Satu-satunya puteri kami, anak ketiga, juga dilahirkan di Hospital Assunta, Petaling Jaya. Laila Hana dilahirkan pada waktu Maghrib pada bulan November, setelah saya sakit hampir 18 jam. Walaupun dia merupakan baby kami yang terkecil saiznya, namun kelahirannya tidaklah mudah. Saya terpaksa 'diinduced' kerana terlalu lama menghadapi kesakitan.
Semasa melahirkannya, kami memang kepinginkan seorang puteri. Sebaik sahaja dia keluar di dunia ini, jururawat yang membantu bersorak, "anak perempuan! Anak Perempuan!"
Nabil, anak bongsu saya pula dilahirkan pada bulan Februari, di hospital yang sama dengan abang sulungnya. Saya berasa sakit di awal petang dan terpaksa dihantarkan ke hospital. Itulah merupakan kali pertama suami saya menemani saya semasa saya melahirkan anak kami. Sebenarnya suami saya memang takut. Dia tidak berani untuk melihat darah. Tapi entah mengapa, tiba-tiba terdetik di hatinya untuk menemani saya semasa melahirkan Nabil. Nabil juga merupakan bayi yang agak besar, tapi alhamdulillah, kelahirannya tidaklah seteruk Faiz. Nabil telah dilahirkan pada awal pagi, sekitar 3.00 pagi. Dia dilahirkan sama bulan dengan tarikh kelahiran suami saya.
Dalam mengingati hari-hari kelahiran anak-anak saya, saya juga cuba bayangkan hari saya dilahirkan di hospital daerah, Kuala Kangsar. Ibu saya yang melahirkan, dan ibu saya kini, sudah lama tinggal dengan saya. Semalam, kami menyambut hari ibu beramai-ramai. Saya tahu yang ibu saya berbangga kerana anak-anak dan cucu-cucunya (termasuk keluarga adik-adik saya dan kakak saya) tidak pernah melupakannya. Bagi saya, ini adalah hari tua ibu saya yang telah banyak berjasa untuk kami semua. Satu hari nanti, saya juga akan tua sepertinya (kalau panjang umur), dan pastinya juga saya perlaukan kehadiran anak-anak dan cucu-cucu disekeliling saya. Kepada anda semua, selamat menyambut hari ibu! Semoga anda tidak melupakan ibu-ibu anda!

Thursday, May 04, 2006

Sambungan Cerita Romantis!

Ramai yang minta agar saya menyambungkan cerita pada entri saya yang bertarikh 1 Mac 2006.
Okeylah... inilah alkisahnya...
Pagi itu, guru sastera bahasa Inggeris kami, Puan Raj (mendiang) merungut-rungut. Katanya dengan suara yang marah-marah, "eh... kamu ni semuanya pemalas! Apa yang susah sangat?" Dia berbahasa Inggeris dengan kami. Ketika itu kami baru sahaja mulakan kelas subjek bidang pengajarannya. "Kan aku dah cakap. Usahalah sikit. Kalau tidak, kamu tak akan dapat kertas-kertas soalan itu. Pergilah pujuk budak-budak lelaki tu. Takkan tak pandai nak mengorat! Buat penat jadi budak perempuan!"
"Macam mana nak mengorat cikgu? Kami budak Cina. Suruhlah budak-budak Melayu." Jawab salah seorang daripada rakan kelas yang berbangsa Cina. Kebetulan, hanya ada empat orang sahaja budak Melayu yang mengambil subjek itu. Saya merupakan salah seorang daripada budak2 Melayu itu.
"Hah... Azian (Allahyarham)... Salmah... tengok2 apa lagi? Usahakanlah!" dijerkahnya kawan-kawan Melayu saya. Saya terkejut. Buku 'Mills and Boon' ada di bawah meja saya. Perlahan-lahan saya menolak buku itu masuk ke dalam meja, dan cuba fokus kepada apa yang Puan Raj bicarakan.
"Cikgu..." Terketar-ketar suara Salmah, "kami tak tahu macam mana nak buat. Bukan ada yang kami kenal pun. Diorang tu... sombong-sombong cikgu. Dia orang tu... suka berlagak!"
"Eh! Kamu tu perempuanlah! Kalau cakap lembut-lembut... budak2 lelaki tu... mesti melentok. Jangan takut!" Puan Raj cuba memberi semangat. "Atur strategi!"
Semasa waktu rehat pagi itu, kami budak-budak Melayu kelas itu pun berkumpul. "Nak buat macam mana ni?" Soal Azian. "Aku adalah kenalan kat Malay College tu... tapi... isy! Seganlah. Aku tak pernah mintak tolong apa-apa. Nanti apa pulak kata dia."
"Aku tak kenal sape-sape pun!"
"Aku lagi tak kenal. Aku tak pernah cakap dengan budak lelaki."
"Eh T (nama saya)... bukan ke kamu kata kamu ada... sedare kat kolej tu?"
"Isy! Mana ada. Bukan sedare akulah! Sedare mak aku... itu pun bau2 bacang. Sedare mak aku kahwin dengan sedare tok nenek dia." Aku ketawa. "Aku tak kenal dia. Tak pernah tengok... tak tahu apa-apa." Jawabku lagi.
"Nama... tau tak?"
"Entah. Nanti aku tanya mak aku. Kalau mak aku ingat."
Entah kenapa, saya pun jadi 'mak sanggup'. Kononnya nak jadi heroin kelas. Sebenarnya saya nak ambil hati Puan Raj. Puan Raj merupakan idola kami. Dia suka bercerita kisah-kisah romantis. Maklumlah... puas kami berlakon dan meneliti cerita-cerita William Shakespear, dan Puan Rajlah mentor kami.
"Nak buat macam ni?" Saya bertanya Salmah dan Azian sebaik sahaja sudah mendapat maklumat tentang 'sedare' mistri saya itu. Rohani, kawan Melayu kami yang seorang lagi itu memang tak mahu ambil kisah.
"Tulislah surat pada dia. Konon-konon kamu berminat nak berkenalan."
"Nak berkenalan? Isy!" Saya kurang bersetuju. "Dia tu pengawas... tingkatan enam atas pulak! Takkan dia minat nak berkawan dengan aku? Lagi tu... si Salasiah (Salasiah merupakan kawan sekolah yang kenal ramai budak-budak kolej yang dimaksudkan) kata... dia ni eksyen! Dia tu... calon Colombo Plan untuk ke New Zealand, budak 'Pure Science". Macamlah dia minat nak kenal aku." Saya ketawa.
"Peduli apa kita? Bukannya nak kenal betul-betul pun. Acah aje. Buat-buat nak kenal. Esok bila dah dapat kertas-kertas soalan tu, tak payahlah layan lagi." Pujuk Salmah beriya-iya. "Kalau tak... Puan Raj mesti tanya lagi. Apa kita nak jawab ni?"
"Okeylah. kamu tolong aku... apa nak tulis... okey?"
28 Ogos,....
Kami pun mengarang sepucuk surat untuk ditujukan kepada budak lelaki itu. Surat itu, 'simple' sahaja, sekadar memperkenalkan diri dan menceritakan serba sedikit mengenai famili saya. Konon-kononnya ibu saya telah meminta saya menghantar surat itu kepadanya. Pada hal, setahu saya remaja lelaki itu sudah pun berada di kolej itu bertahun-tahun lamanya, dan dia ketika itu sudah pun sampai di hujung pengajiannya di kolej tersebut.
Beberapa hari selepas itu... deng... deng... deng... saya mendapat balasan daripadanya. Dia menjawab ringkas. Katanya terima kasihlah kerana bersusah payah menghantar surat kepadanya. Dia berkirim salam kepada keluarga saya. Saya teruja dengan suratnya itu, kerana tidak sangka dia mahu melayan.
"Apa lagi T? Tulis surat lagi. Kali ini... kamu cakapkan yang kamu nak mintak tolong dia. Suruh dia carikan kertas-kertas soalan peperiksaan percubaan daripada budak-budak tingkatan lima sekolah dia. Mesti dia nak tolong. Surat dia ni... bunyi macam okey je. Saja si Salasiah nak buat cerita kata yang dia eksyen." Salmah juga turut teruja dengan surat yang baru kami terima itu.
Sekali lagi kami mengarang beramai-ramai. Kali ini kami berterus-terang meminta dia mendapatkan kertas-kertas soalan seperti yang kami mahukan.
Dengan penuh debaran, saya menunggu jawapan daripadanya.
Namun... penantian itu cukup mengecewakan saya. Surat balasannya kali ini, saya renyuk-renyukkan sahaja. Benci betul!
Saya merungut kepada ibu saya. "Sedare umi ni... sombong!"
Kepada rakan-rakan saya pula saya luahkan perasaan geram "Berlagak betul dia tu! Dia ingat... dia pandai sangat. Konon2 dia tak ada masa." Tak habis-habis saya membebel. "Kamu tengoklah Salmah... apa yang dia kata. 'I have no time to do that. The junior boys don't live in the same block...' macamlah dia tak boleh nak usaha sikit pun! Kan aku dah cakap. Benci betul aku!"
Saya malu. Saya tidak hubunginya lagi.
Tiba-tiba, dia menghantar kad ucapan Selamat Hari Raya. Ketika itu sudah masuk bulan Ramadhan, dan Syawal sudah hampir.
"Kamu jawablah."
"Tak ingin aku!"
Saya tak endahkan kad ucapannya itu.
Empat hari sebelum hari raya, saya menerima satu lagi kejutan. Dia menghantar segulung kertas-kertas soalan seperti yang pernah saya minta. Malah... semua subjek telah dikumpulkan untuk saya. Bersama-sama kertas soalan-soalan itu, dilampirkan sekeping surat ringkas.
Katanya, "nanti saya datang rumah saudari untuk ambil kertas-kertas soalan itu nanti. Saya pinjamkan untuk saudari."
Saya tergamam! Nak datang? Bila?
Bersambung.......

Monday, May 01, 2006

Kenapa susah sangat?

Seperti yang saya jangkakan, pemuda itu sebenarnya memang tidak berminat untuk berkahwin dengannya!
Sofia hubungi saya lagi. Katanya, "kak... dia tak nak balas panggilan saya. Dia buat tak tahu saja, kak! Nak buat macam mana ni?"
"Apa yang kamu katakan pada dia, Sofia?"
"Saya tanya dia... sama ada dia serius nak berkahwin dengan saya atau apa?"
"Apa yang dia jawab?"
"Dia diam saja, kak. Tak sempat saya nak cakap yang saya nak akak datang berjumpa dengan dia. Dia terus membisu, kak. SMS saya dia tak jawab, panggilan saya pun dia tak layan. Dia buat tak tahu saja..." Suara Sofia sebak.
"Kan akak dah ingatkan pada kamu, Sofia. Akak tahu dia tak serius. Dia seronok nak layan kamu, sebab kamu cantik. Bukannya dia nak kahwin dengan kamu pun."
"Saya sedih, kak. Takkan dia sampai hati buat saya macam ni?" Kali ini Sofia menangis. Esakan melalui corong telefon membuatkan saya turut rasa terharu.
"Sofia..." Saya cuba memujuknya. "Lupakan dia. Dia bukannya untuk kamu. Dia tidak ikhlas sayangkan kamu."
Begitu payah untuk Sofia menerima kata-kata saya itu. Mungkin saya terlalu keras dengannya, atau mungkin saya sudah tahu itulah yang akan terjadi akhirnya. Kerana itu, saya tidak terkejut dan tidak berasa sedih untuknya. Bagi saya, Sofia patut lupakan sahaja 'dia'. Lelaki itu memang bukan untuknya.
"Sofia... lupakan dia." Sekali lagi saya cuba memujuk. "Akak tahu... ada orang lain yang lebih sesuai untuk kamu."
"Kak... saya sayang dia... "
Aduhai.... kenapa susah sangat? Bisik hati saya.
Kalau dah tahu yang dia tidak sanggup mengahwini kamu, buat apa nak buang masa menyayanginya? Saya masih merungut seorang diri.
Memang pelik bagi saya. Kalau kita dah tahu orang itu tidak sayangkan kita, buat apa kita masih nak sayang dia?
"Sofia... dia tu... nak tipu kamu! Dia seronok luahkan kata-kata manis pada kamu kerana dia tahu yang kamu akan lemah dengan kata-katanya itu. Buat apa kamu nak buang masa, Sofia? Buat penat aje!"
Namun... hingga saat ini, Sofia masih tidak mahu berputus asa!

Thursday, April 27, 2006

Budak nakal itu adik saya

"Itu adik-adik kamu, kan?"
"Betul cikgu." Saya mengaku.
"Keempat-empat adik kamu tu, macam gengster!" Cikgu M jerkah.
Saya hanya mendiamkan diri, tak berkata-kata. "Di pekan ini, tak ada budak-budak lain yang nakal macam adik-adik kamu ni! Apa yang kami nak buat, kami pun tak tahu!" Suaranya lantang lagi. "Kalau nak diikutkan... kami nak repot polis saja. Tapi... kami hormat bapa kamu, abang kamu... dan kamu juga." Cikgu M terus berkhutbah lagi, dan saya terus mendiamkan diri.
Itu bukan merupakan satu cerita dongeng, tapi cerita benar yang terjadi mungkin sekitar 31/32 tahun yang lampau. Masih ternampak-nampak kelibat adik-adik lelaki saya ketika mereka masih remaja. Suatu ketika dahulu saya menyangkakan yang adik-adik saya itu mungkin tidak cerah masa hadapannya. Mereka terlalu nakal, hinggkan sekolah tidak sanggup untuk melayan kerenah mereka. Kebetulan saya juga bersekolah di tempat yang sama, semasa tingkatan enam. Ada-ada sahaja yang terjadi di sekolah itu kerana kenakalan adik-adik saya.
Dalam ramai-ramai, adik lelaki saya yang kecil sekali itulah yang paling nakal!
Alhamdulillah kini, adik saya itulah yang paling berjaya sekali. Saya berbangga dengan pencapaiannya, walaupun puas saya mengharungi kerumitan semasa membesarkannya dulu. Semasa adik-adik saya budak-budak, mereka rapat dengan saya, walaupun kami mempunyai ramai adik beradik yang lain. Sayalah yang paling lama tinggal di rumah ibubapa kami itu berbanding dengan adik beradik yang lain.
Adik saya yang kecil itu, hanya menamatkan pengajiannya sehingga SPM sahaja. Namun... dia bersemangat waja. Semangatnya itulah yang telah membawanya ke tahap kejayaan yang cemerlang. Hari ini, adik saya itu, yang suatu ketika dahulu bagaikan tidak tahu apa yang jahat dan apa yang baik, juga merupakan seorang insan yang taat kepada agamanya. Syukur.
Setiap kali dia ke luar negara, pasti dia akan menghubungi saya di lapangan terbang. "Kak... saya nak pergi ni. Nanti kita jumpa, ya?" Tidak pernah sekali pun dia terlupa untuk menelefon saya. Sudah ke merata ceruk dunia ini di rantaunya, tapi tidak pernah dia melupakan kakaknya ini.
"Kak... nanti datang, ya? I want my family to be with me." Kata-katanya itu sering membuatkan hati ini pilu. Budak nakal itu... sudah lama tidak nakal lagi. Malah, dia telah berjaya membesarkan anak-anak lelakinya... mereka menghormati orang tua, bertertib, dan penuh sopan santun. Alhamdulillah.

Sunday, April 23, 2006

Dunia Aneh!

Semasa anda masih kecil, sukakah anda bersendirian dan bercakap seorang diri? Pernahkah anda melalui kehidupan di mana anda berkawan dengan rakan-rakan ciptaan anda sendiri? Mereka hanya wujud di mata dan hati anda sahaja? Pernahkah anda tidak kisahkan orang lain, kerana anda seronok dengan keadaan anda itu?
Mungkin bila anda besar sedikit, anda suka berangan-angan. Anda mempunyai kehidupan 'asing' yang orang lain tidak tahu dan nampak. Anda akan lari ke sana bila anda kecewa, sedih... apa jua keadaan yang tidak menyeronokkan. Di alam 'asing' itulah anda terasa bahagia. Anda membawa sama alam itu hingga anda dewasa, tetapi tiada sesiapa yang tahu mengenai hal itu.
Mungkin juga anda mengalami keadaan yang berbeza daripada apa yang saya ceritakan di atas. Saya ingin berkongsi pengalaman ini bersama-sama anda. Baru-baru ini, ada seorang kenalan (yang baru lagi saya kenal) menceritakan pengalamannya yang mungkin pada pandangan orang lain merupakan sesuatu yang 'aneh' atau weird.
Saya pernah terbaca mengenai penulis Latin Amerika yang terkemuka, PAULO COELHO, (penulis buku 'THE ALCHEMIST'). Beliau mempunyai tingkah laku yang pelik ketika kecil dan remaja, membuatkan ibu dan bapanya mengurungnya di rumah 'sakit jiwa', kerana bimbang anak mereka diganggu masyarakat ketika itu.
Saya memahami keadaan 'weird' ini... mungkin saya sendiri pernah mengalaminya. Anda bagaimana?

Friday, April 21, 2006

Jiwang karat!

"Saya dah putus dah, kak." Suara Nina melalui corong telefon.
"Aik... kenapa pulak?"
"Saya lemaslah, kak. Tak boleh nak bernafas."
"Kenapa?" Bertambah hairan.
"Dia ni... jiwang karat! Mati saya macam ni. Sekejap-sekejap SMS, sekejap-sekejap telefon. Pastu... tanya saya... 'awak ngan siapa tu?' Aduh, kak... gila saya dibuatnya."
"Kan seronok tu, ada orang tengah gilakan kita." Saya mengusik Nina.
"Saya tak suka!"
"Tapi... dulu tu kan kamu yang sukakan dia. Kenapa... sekarang tak lagi?"
"Dia handsome, pastu pandai giler... itu yang buat saya sukakan dia. Tapi... bila dah kawan nagan dia... baru saya tahu. Dia ni... jiwang karat! Tahap sewel! Mana boleh macam tu. Akak nak tahu... bila dia hantar SMS kat saya... penuh ngan kata-kata romantis and puitis. Dia memang tererlah bab tu. Tapi... saya pening. Nak muntah, kak!"
"Habis tu... kamu tak nampak yang dia tu handsome lagi? Kan dia pandai? Bukan senang nak dapat pakwe yang pandai macam tu. Sentiasa dapat 3.9 ke atas!" Saya masih menguji Nina.
"Isy, kak! Biarlah tak dapat 3.0 pun. Asal dia tak sewel. Biarlah tak hensem sangat, asal dia tak lemaskan saya. Saya nak cari yang sedang-sedang aje. Yang sederhana je. Kalau nak romantik pun, biarlah sikit-sikit je. Nak jiwang pun... janganlah terlebih sampai saya tak cukup tidur sebab asyik kena ganggu ngan SMS dia!"
Saya ketawa mendengar luahan hati Nina. Bagi saya, begitulah keadaan orang muda-muda. Bila mencari, mahukan yang segak bergaya. Mahukan yang pandai-pandai. Bukankah yang sedang-sedang tu, ada juga yang menarik? Yang sederhana tu mungkin ada keistimewaannya. Entahlah... mungkin juga citarasa masing-masing. Anda mahu cari yang macam mana, ya?

Wednesday, April 19, 2006

Sementara masih Muda!

Kalau dikira umur, semestinya saya matang (tak suka dikata tua). Tetapi, dalam kehidupan hari ini, saya sering bayangkan keadaan yang lebih muda daripada usia. Manakan tidak, sejak kebelakangan ini, ramai kawan-kawan(terutama pembaca), yang datang menceritakan masalah mereka. Saya terpaksa menjadi kakak kepada mereka, atau ibu (kalau yang terlalu muda)...dan terpaksa menjiwai perasaan muda mereka.
Tak mengapa! Kerana apa yang saya lakukan itu sebenarnya memberi semangat kepada diri saya sendiri. Kadang-kadang, perasaan itu membawa saya kembali ke alam remaja saya. Ada ketika dulu, saya juga sama seperti mereka. Merasakan bahawa gua itu, tiada cahayanya...dan tidak mungkin akan dapat jalan keluar!
Namun hari ini, saya sedar dan tahu, insyaAllah... apa jua dugaan, semestinya ada penyelesaiannya.
Sebenarnya, hargailah dunia remaja, dunia muda kita itu, kerana suatu hari nanti, masa akan tiba, dan anda akan sedar bahawa zaman itu sudah berlalu! Pungutlah semua pengalaman dan jadikan ia sebagai ingatan dan kenangan kita. Zaman remaja, zaman muda adalah zaman yang manis untuk kebanyakan mereka biar apa jua kepahitan yang dirasainya. Bila anda sampai ke tahap umur saya, mungkin anda akan tersenyum mengingati zaman silam anda! Banggalah untuk bercerita semula!

Saturday, April 15, 2006

Kisah Benar!

Lazimnya pada hujung minggu, saya akan relaks dulu selepas solat Subuh. Tetapi pagi ini, saya mendapat mesej(sistem pesanan ringkas) dari Sofia. Dia meluahkan perasaan sedihnya. Saya bimbang, lantas saya menghubunginya.
"Kenapa, Sofia? Ada apa ni?" Suara kebimbangan saya terserlah di telinganya.
"Akak risau, ke?" Dia menyoal balik.
"Mestilah. Kamu mesej macam tu, takkanlah akak tak risau." Saya membalas.
"Entahlah, akak. Pening kepala saya ni. Peningkan kerja, peningkan... si dia."
"Apa cerita si dia? Jadi ke nak kahwin ni?" Saya bertanya lagi.
"Entahlah, akak. Dia tak kata apa-apa pun. Takkan saya pulak yang nak bersuara. Kan dia lelaki?"
"Iyalah dia lelaki." Kata saya lagi. "Tapi... kamu perempuan memang ada hak untuk menentukan masa depan. Dia susah apa? Diakan dah beristeri? Kalau dibiarkan memang dia seronok nak berkawan saja. Kamu pula kian hari kian meningkat umur tu. Dan lagi, kamu orang Islam. Tak baik kawan lama-lama macam ni." Saya mula membebel.
Kalau ikutkan hati saya, saya tidak suka Sofia berkawan dengan lelaki itu. Lelaki itu adalah seorang asing (beragama Islam) yang berniaga di sini, dan dia sudah mempunyai isteri. Sofia pula, dia adalah seorang gadis yang baik budi. Yang menjadi kebimbangan saya ialah Sofia juga adalah seorang mualaf. Ibu bapanya tidak tahu yang beliau sudah lama memeluk agama Islam. Dia masih tinggal dengan keluarga.
Sofia adalah seorang gadis berketurunan Cina. Dia cantik orangnya, dan sering berdepan dengan masalah diganggu lelaki. Umurnya sudah meningkat, dan setiap kali berkawan dengan lelaki, dia sentiasa berdepan dengan masalah yang sama. Jatuh cinta dengan suami orang. Dia merupakan pembaca saya, dan kini dia juga seorang kawan.
"Macam nilah, Sofia." Saya menyambung lagi. "Kamu beritahu dia yang kakak angkat kamu akan datang untuk berjumpa. Biar akak saja yang berterus terang dengannya."
"Kalau dia tak ready nak kahwin dengan saya macam mana, kak?"
"Tinggalkan! Kamu tak usah buang masa, Sofia. Ramai lagi di luar sana. Kalau dia betul sayangkan kamu, dia akan ajak kamu kahwin. Kalau tidak... pedulikan dia."
"Akak... tolong saya ya, kak. Saya...tak ada orang lain yang nak buat macam ni untuk saya."

Wednesday, April 12, 2006

"Kak... saya tak ada perabot!"

"Kak... tak payahlah datang ke rumah saya. Saya malu." Ujar Lin kepada saya.
"Kenapa malu?" Saya menyoalnya, agak hairan.
"Rumah saya kosonglah, kak. Tak ada apa-apa." Jawabnya lagi.
"Kosong? kamu tak ada TV? Kamu tak ada kerusi meja? Kamu tak ada... apa lagi?"
"Adalah sikit-sikit. TV adalah. Kerusi ala kadar sahaja. Tapi...tak lengkaplah, kak. Saya segan kalau akak datang rumah saya." Lin masih begitu berat untuk membenarkan saya ke rumahnya.
"Ya ALLAH, Lin. Kalau saya ke rumah awak pun, bukannya saya nak kira apa yang awak ada dan apa yang awak tak ada. Saya tak kisah semua tu. Mari sini... saya nak cerita sikit." Saya memanggilnya untuk datang dekat kepada saya.
"Lin nak tahu. Masa saya pulang pertama kali dari England dulu... masa tu anak sulung saya baru enam bulan umurnya. Kami tinggal di sebuah kampung... di Selangor ni. Masa tu... rumah sewa saya memang kosong. Bila saya katakan kosong... memang kosong. Tak ada apa-apa. TV tak ada, kerusi tak ada, meja tak ada... semuanya tak ada. Ada seorang kawan tu... pinjamkan kami tikar. Dan kakak angkat saya pinjamkan tilam pula. Selain daripada kereta kami, rumah sewa yang kosong, dan pakaian yang kami ada, kami tiada apa-apa.
Malah orang kampung di situ, cukup hairan. Ada yang bertanya kami, 'betul ke kamu baru balik dari luar negara? Habis tu... kenapa macam orang miskin ni?'" Saya termenung seketika teringatkan kisah silam saya. "Saudara-mara dan kawan-kawan kami pun turut hairan."
"Ada kawan suami saya yang datang bertandang. Dia berkata kepada suami saya, 'aku tak pernah tengok ada orang perempuan macam isteri kamu ni.' Suami saya pula bertanya, 'kenapa?'
'Mana ada orang perempuan yang sanggup tinggal dalam rumah seperti ini? Segala-galanya tak ada!'
Saya memang hairan Lin, kenapa semua orang susah hati kerana kami tidak mempunyai apa-apa. Sedangkan saya ketika itu, tidak pernah kisahkan itu semua. Berbulan-bulan saya tinggal di rumah itu tanpa perabot seperti orang lain. Saya tetap seronok. Saya tidak masak, kerana tak ada perkakas. Jadi kami makan di luar sahaja. Tapi, Lin... " Saya menyambung bicara. "Inilah hikmahnya!"
Lin memandang tepat kepada saya. Mungkin dia hairan.
Saya menambah lagi. "Mungkin suami saya tahu siapa diri ini. Bila dia sudah mampu... dia tidak pernah berkira dengan saya. Dia melayan saya seperti Tuan Puteri. Dalam begitu, saya tidak pernah membulinya. Kami menjadi kawan rapat yang begitu mengenali hati budi masing-masing. Mungkin juga kerana itu, saya menghargai segala nikmat anugerah Ilahi kepada kami. Itulah yang sering saya ceritakan kepada anak-anak, agar mereka mengerti apa erti kesusahan dan kepayahan."
Lin melemparkan senyuman kepada saya. Saya berkata lagi, "sebenarnya... keadaan seperti itu mengajar kita untuk menghargai kehidupan. Kalau kita tidak mengenali kesusahan, bagaimana kita mahu menghargai kesenangan? Dan lagi, Lin... kalau kita sudah biasa susah... kita tak akan berasa takut untuk hidup dan mengharungi apa-apa kepayahan. Itulah nilai kesusahan yang kita lalui." Nasihat saya kepadanya. Wallahu'alam.

Tuesday, April 11, 2006

Orang Kampung! Tekak Kampung!

Salam Maulidur Rasul!

Hari ini mengingatkan saya kepada suasana kampung. Biasanya bila menyambut maulidur rasul semasa di kampung dulu-dulu (semasa saya budak-budak), saya selalu mengikut ibu tiri saya ke masjid mendengar ceramah. Saya tidak ingat apa yang diceritakan Pakguru-Pakguru(kerana saya terlalu kecil), tapi saya ingat kepada bau nasi minyak yang disiapkan untuk para tetamu yang datang!
Apapun, nasi minyak bukanlah makanan kegemaran saya. Malah saya tidak suka apa-apa makanan yang kering-kering. Saya suka yang basah-basah (berkuah). Saya kurang suka kepada makanan Barat, walaupun saya boleh menjamahnya. Begitu juga dengan makanan Arab/Timur Tengah. Saya boleh makan semuanya, mungkin kerana sudah dibesarkan dengan makanan seperti itu.
Tetapi, makanan yang paling saya suka ialah makanan kampung! Makanan asli orang Melayu. Saya suka tempoyak, ulam-ulam, masak kampung seperti masak sayur keladi asam, masak lemak pisang muda, masak lemak rebung... Aduhai, cukup menyelerakan!
Saya tidak berapa suka makan daging atau ayam. Saya lebih suka makan ikan, termasuk ikan air tawar. Dalam keluarga, hanya saya yang makan ikan keli.
Bila mahu makan di luar, biasanya kami akan berbincang dulu sebelum mencari restoran. Lazimnya saya akan menurut sahaja selera anak-anak yang lebih menggemari makanan Barat atau Timur Tengah. Kalau mahu makanan kampung, saya akan keluar bersendirian atau dengan suami. Suami saya, memang 'best in the world'! Dia akan melayan tekak saya. Apa sahaja yang saya mahukan, biasanya dia akan cuba carikan. Kalau dia terjumpa tempat makan yang menyediakan makanan kampung yang enak-enak, pasti dia akan membawa saya ke sana.
Begitulah. Orang kampung seperti saya ini, hanya sesuai makan makanan kampung sahaja!

Sunday, April 09, 2006

Kelantan oh kelantan!

Sudah terlalu lama saya tidak menjejakkan kaki di negeri Kelantan. Bila diberi kesempatan untuk ke sana saya tidak menolak peluang. Kota Bahru... hampir saya terlupa bagaimana rupa bandar itu.
Malangnya, hari pertama saya ke sana, saya terkilan kerana kami sampai lewat. Penerbangan ditangguhkan sebanyak dua kali. Kesian pihak penganjur yang sudah pun menjemput pihak Radio untuk bersama-sama kami petang itu. Namun, pihak penganjur tetap ceria kerana ramai pengunjung ke cawangan baru kedainya.
Walaupun saya sudah terlewat, saya tetap berbesar hati dengan sambutan pihak penganjur. Semuanya ramah belaka, membuatkan saya terlupa yang saya sudah terlewat tiba.
Kebetulan ketika tiba di Kota Bahru, Pak Lah (Perdana Menteri) juga berada di tempat itu. Jadi, Kota Bahru sibuklah daripada biasa.
Pada malam itu, saya dibawa ke cawangan baru itu lagi untuk beramah mesra dengan pengunjung kedai. Seronok kerana saya diberi peluang untuk berbual-bual dengan penduduk tempatan, termasuk DJ radio yang saya tidak sempat jumpa petang itu. Mereka bukan hanya mesra tetapi ramai yang manis-manis dan cantik-cantik belaka! Memang seronok saya di sana.
Malam itu kami (saya dan anak perempuan saya) dibawa makan malam, dan kemudian dibawa untuk ke sebuah pasar borong untuk membeli belah.
Kebetulan esoknya pula, selepas ke cawangan baru itu lagi, saya ke Pasar Besar Siti Khadijah... shopping lagi. Kawan anak saya, Anies, dan keluarganya telah datang menjemput kami untuk makan tengah hari dan kemudian kami ramai-ramai mengunjungi kawasan membeli belah KB Mall. Kebetulan ada promosi Cuti-cuti Malaysia di situ. Walaupun saya agak kepenatan, saya tetap terhibur dengan beberapa persembahan yang ada di situ. Kami didendangkan dengan persembahan dari Kumpulan Rabbani, dan pelbagai acara rakyat.
Penerbangan pulang agak lewat. Di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra saya sudah terlelap. Apapun, saya cukup terhibur dengan lawatan singkat saya itu. Seronoknya dengan orang-orang Kelantan! Hah... kalau nak tahu... orang sana memang best! Kalau ada yang nak cari teman... hah carilah orang Kelantan! Satu promosi hebat. Saya tahu ramai pembaca saya yang masih solo yang membaca blog ini. Apa lagi....

Wednesday, April 05, 2006

Menulis Untuk Apa?

Saya tidak menafikan yang menulis, insyaAllah boleh buat duit. Namun begitu, ramai yang menulis tetap berasa hampa kerana mereka tidak mendapat bayaran yang setimpal dengan apa yang telah dihasilkan.
Bagi saya, semestinya banyak faktor yang boleh menentukan sama ada penulisan kita itu akan mendatangkan hasil atau pun tidak. Selain daripada karya itu sendiri, faktor-faktor utama adalah siapa penerbit kita, siapa editor kita, keadaan pasaran, trend, dan banyak perkara lain yang menyumbang untuk menentukan sama ada karya kita tadi dapat dijual dengan jumlah yang baik atau pun tidak.
Saya juga tidak menyangkal bahawa penerbit yang terkemuka banyak membantu untuk menaikkan nama penulis baru. Dalam begitu, kalau produk yang dihasilkan tidak menarik, penerbit yang besar juga akan gagal untuk menaikkan nama penulis itu. Kerana itu, ramai penulis baru tidak berjaya untuk kekal lama dalam dunia penulisan. Semangat mereka mati begitu sahaja.
Kawan saya, seorang penulis yang sudah ada nama, pernah bercerita, "Kak Aina... salah satu buku saya tu, memang tak bagus mana. Tapi dah banyak yang terjual. Mungkin pembaca beli sebab tengok nama saya. Tapi... saya terkilan. Saya sebenarnya tak suka buku itu."
Saya juga percaya, nasib juga bermain peranan dalam menentukan sama ada kita akan berjaya sebagai penulis atau pun tidak. Ada kawan saya telah menghantar manuskrip pertamanya kepada sebuah penerbit yang termuka. Namun, tidak menjadi juga, walaupun buku diterbitkan.
Saya sendiri, masih terlalu muda dalam dunia penulisan ini, walaupun usia sudah matang (terlalu matang!). Saya melihat kepada kawan-kawan dan perkembangan dunia penulisan hari ini. Semasa saya mula menulis dulu, saya tidak langsung fikirkan hal wang. Kerana ketika itu saya tidak tahu yang menulis di Malaysia boleh buat wang. Seperti yang saya kata tadi, mungkin nasib menyebelahi saya.
Dalam begitu, saya percaya kita akan lebih bahagia menulis dan menghasilkan karya kalau kita lakukannya tanpa fikirkan sangat hal wang! Tulislah kerana menulis itu merupakan sesutu yang dekat di hati kita. Berkaryalah tanpa fikirkan sangat berapa hasil yang kita akan pungut nanti. Menulislah untuk kepuasan diri. Saya percaya, kepuasan tidak boleh disamakan atau dinilaikan dengan wang ringgit. Kalau kita menulis kerana kita suka, kita akan berasa puas, sekali pun kita tidak mengutip beratus-ratus ribu. Namun, kalau sudah ditentukan TUHAN kita akan diberi rezeki yang melimpah di situ, terimalah dengan hati yang ikhlas!
Saya gerun dan ngeri bila orang datang bertanya saya, "berapa banyak duit kita boleh buat kalau menulis ni?" Saya lebih suka kalau orang bertanya, "seronok tak menulis ni?"

Monday, April 03, 2006

Sedih dan Cemas!

Malam begini, tiba-tiba saya terasa rindu. Teramat sangat! Rindukan anak sulung saya, Faiz. Dia sudah lama merantau. Sudah masuk sembilan tahun.
Saya pernah terasa sedih teramat sangat, dan risau semasa Faiz tinggal di Montreal, Kanada. Saya dan keluarga pernah ke sana untuk melawatnya. Kami di sana selama hampir tiga minggu. Puas berjalan dari New York, ke Montreal, kemudian ke Otawa, Toronto... hingga ke Niagara Falls. Memang Kanada sebuah negara yang menarik.
Namun Faiz tidak suka tinggal di sana. Semasa kami mahu tinggalkannya, saya begitu sedih. Faiz tidak serasi tinggal di Montreal. Dia hilang berat badannya, dan tidak seronok belajar di McGill. Kami (saya dan suami) membuat keputusan untuk pindahkan Faiz semula ke UK. Sebelum itu dia sememangnya belajar di UK.
Namun, ketika meninggalkannya di kota Montreal, saya dan adik perempuannya menangis teresak-esak. Entah mengapa, kami terasa pilu. Ketika itu, hati saya sebagai ibu, bagaikan tidak sanggup untuk tinggalkannya di situ. Saya masih ternampak-nampak wajahnya semasa saya memandang di tingkap belakang kereta kami. Sayu dan perit ulu hati. Sepanjang perjalanan ke New York, kami tidak banyak bercakap. Masing-masing sedih. Malah, saya tahu yang suami saya(yang payah mahu tunjuk emosinya), begitu terasa sekali.
Bagi kami, Kanada itu terlalu jauh dari Malaysia. Malah semasa Faiz di sana, dia kerap pulang untuk bercuti. Mungkin kerana tidak selesa di Montreal.
Kami pun mengaturkan rancangan untuk Faiz teruskan pengajiannya di Edinburgh, Scotland pula. Empat hari sebelum Faiz berpindah ke UK, twin towers di New York telah diserang! Kejadian 11 September! Saya masih ingat ketika kejadian itu. Saya sedang menonton telivisyen, dan saya terus menghubunginya di Kanada. Kecoh!
Saat itu cukup mencemaskan kerana Faiz akan menaiki kapal terbang yang sama yang telah diserang. Empat hari lagi! Saya jadi takut. Malah lebih bimbang kerana wajah Faiz memang mirip orang Arab. Ketika itu dia berjambang(bukan panjang). Kawan-kawan 'mat salih'nya telah meminta Faiz berpindah ke rumah mereka daripada rumah kawan2 Arabnya. Di Montreal, memang ramai Yahudi. Kerana itu juga, ramai pemuda Arab ditangkap, kononnya ada kaitan dengan penyerang. Malah saya bertambah bimbang kerana Faiz rajin mengikut kumpulan Timur Tengah berdemonstrasi di Montreal suatu ketika dahulu. Takut dia juga dijadikan 'scapegoat'. Saya meminta Faiz melicinkan mukanya, tukar penerbangannya (terpaksalah berkorban wang ringgit), dan akhir sekali, meninggalkan semua buku-bukunya yang berkaitan dengan perjuagan Palestin dan persengketaan di Timur Tengah (Faiz ada koleksi)
Berpuluh-puluh kali saya menghubunginya semasa menanti untuk terbang ke UK. Saya tidak senang hati selagi Faiz tidak sampai di UK. Saya bimbang kalau dia terpaksa masuk ke US dulu sebelum ke UK. Kerana itulah dia menaiki kapal terbang Kanada yang terus ke London. Saya takut, kerana Faiz juga pernah ke Syria, Jordan dan Lebanon. Maklumlah, menjadi kesalahan besar bagi orang2 Amerika kalau seseorang itu berwajah Arab dan pernah memasuki negara2 seperti itu!
Alhamdulillah, Faiz sampai di London dengan selamatnya. Bila teringatkan peristiwa itu, kini saya sudah mampu untuk tersenyum (Lain kali saya cerita pula kisah Faiz semasa hendak masuk Lebanon dari Syria).
Sebagai ibu, saya akan berasa seronok kalau Faiz sudah balik dan tinggal di Malaysia sahaja. Semoga dia akan lakukan itu untuk ibunya!

Dunia yang Berbeza

Dia orang sains, saya pula sastera. Dia pendiam... saya pula becok! Dia suka formula one, saya apa-apa sahaja jenis sukan. Dia suka tengok cerita perang, saya pula suka cerita 'romantik'. Kami sebenarnya datang dari dunia yang berbeza!
Kenapa tiba-tiba sahaja saya bercerita mengenai hal ini, ya? Bukannya apa... cuma terasa kelakar dengan kelakuan suami sejak pesta buku baru-baru ini.
Antara dia dan saya, sayalah yang suka membaca buku. Saya suka baca apa saja, tapi paling saya suka ialah buku-buku fiksyen. Dia pula lebih rajin membaca buku-buku agama, tapi biasanya buku agama dari luar (barat dan timur tengah). Dia suka membaca buku mengenai Nabi Muhammad SAW, anak, menantu dan cucu-cicitnya. Selalunya dia akan bercerita bila sudah habis membaca. Jadi, saya tidak perlu membaca lagi.
Biasanya kalau saya yang membaca, saya jarang suka bercerita kerana saya terlalu banyak membaca. Tak sempat hendak bercerita kecuali ada sesuatu kelainan yang ada pada buku. Biasanya sayalah yang tidur lewat kerana terlalu asyik membaca atau sejak kebelakangan ini asyik menulis.
Tapi, sejak minggu lepas lagi, suami saya asyik tidur lewat. Dia ralit membaca buku-buku perang. Semasa pesta buku baru-baru ini, beratus-ratus ringgit dibelanjakannya untuk membeli buku-buku cerita perang. Dia jarang meronda di kedai buku kerana tak ada masa. Tapi kali ini, dia mencari masa, semasa menunggu isterinya.
Dia paling minat cerita perang dunia kedua, terutama sekali kalau ceritanya ada kaitan dengan kapal selam!
Saya pula.... masya-Allah, pening kepala kalau membaca buku cerita perang! Memang saya tak suka. Tapi... memang pelik bagi saya kerana dia sanggup tidur lewat kerana sedap sangat membaca cerita-cerita pasal kapal selam Amerika yang kena serang dengan Jepun semasa perang dunia kedua tu!
Dalam kapal selam... memang tak ada cerita cinta! Langsung tak ada... kerana tak ada perempuan! Hahaha... itulah suami saya. Dia dan saya.... kami datang dari dunia yang berbeza!
Pernah dulu saya terfikir... dia dan saya... kami cukup berbeza dari segi karakter, latar belakang (saya orang kampung, dia orang bandar), kegemaran, malah segala-galanya... namun... TUHAN lebih mengetahui. Walaupun datang dari dunia yang berbeza, namun kami masih mampu hidup dalam satu dunia yang baru.... walahualam!

Sunday, April 02, 2006

Budi dan Bahasa!

Sepanjang Pesta Buku ni...ramai yang saya berjumpa. Termasuklah rakan-rakan penulis yang dah lama mengenali saya.
Saya juga bertemu dengan penulis2 muda, perkartun, pelukis dan macam-macam lagi...semuanya orang muda belaka! Yang hebatnya mereka merupakan karyawan2 yang berbudi bahasa. Saya kagum, kerana walaupun muda....mereka tetap memaparkan tertib yang budiman. Alif, Nur Azmi, Meor...dan ramai lagi. Mungkin mereka menghormati saya sebagai orang yang sudah matang usianya. Saya juga kagum dengan sikap pemain2 muzik'underground' yang saya temui baru2 ini. Walaupun pakaian mereka tidak melambangkan imej yang menarik, namun budi bahasa mereka tetap menarik!
Saya bertemu juga dengan Noor Suraya. Dia adalah penulis terkenal dari penerbit Creative. Walaupun saya baru lagi mengenalinya, tapi Noor Suraya cukup berbudi bahasa orangnya. Dia mesra, dan sungguh ramah hinggakan saya terasa bagaikan sudah lama mengenalinya. Noor Suraya juga menonjolkan imej wanita muslimah yang cukup sopan.
Dalam begitu, saya terkilan dengan sikap seorang makhluk ALLAH ini. Beliau yang sudah saya kenali lama (semasa buku saya yang pertama baru keluar di pasaran), tiba-tiba sahaja berpura-pura seperti tidak tahu siapa saya. Dia pernah ke rumah saya, dan pernah meminta nasihat tentang penulisan dari saya. Namun....inilah realiti kehidupan. Mungkin apa yang saya paparkan dalam cerita2 menarik saya, ada kebenarannya. Imej manusia itu sebenarnya tidak menunjukan sikap sebenarnya.
Apa sekali pun...bagi saya, kita adalah manusia yang istimewa kalau budi bahasa itu kita ada!

Friday, March 31, 2006

Sibuk tapi Seronok!

Minggu lepas saya sibuk. Minggu hadapan ni pun, sibuk juga. Habis sahaja pesta buku di PWTC nampaknya saya akan berpesta di Kota Bahru pula. Ada pengedar buku yang menjemput ke sana. Apa lagi... ke Kelante lah kita. Saya akan ke sana dengan anak dara saya. Dia tidak pernah ke negeri itu.
"Kawan Nana...ramai yang ada kat sana. Bolehlah jumpa2." Saya pun bersetuju untuk bawa dia bersama. Lagipun, dia sedang bercuti sekarang ini.
"Okey...nanti kita lepak-lepaklah kat sana. Boleh makan-makan." Itulah yang paling saya ingat di Kota Bahru ini. Pelbagai makanan yang sedap-sedap, dan teramat murah!
Pengedar berkenaan akan menjemput kami di lapangan terbang. Saya akan tidur di sana satu malam. Sayang sekali kerana Mimie Afinie tak dapat ikut sekali.
"Tak apalah Mimie... lain kalilah pulak. Apapun... tahniah...kerana Mimie naik pangkat." Itulah sebabnya mengapa Mimie tak dapat mengambil cuti.
Mimie ketawa dalam kecewa. "Saya nak sangat ke Kalantan tu, Kak Aina... dah lama tak ke sana. Sejak anak dara lagi."
"Lain kali kita jalan sama-sama." Saya memujuk. "Tapi 8 April ni jangan lupa, tau? Kita ada perbincangan dengan bakal penulis2 KarnaDya."
"InsyaAllah.... saya datang. Esok pun saya datang kat Pesta Buku tu, Kak Aina. Kan ada kumpulan pembaca kita yang nak jumpa petang esok kat PWTC?"
"Betul tu..."
Sibuk dan sibuk! Tapi...memang seronok!

Sunday, March 26, 2006

Kami berpesta sakan!

Tak sangka langsung yang kami boleh bergembira pada musim pesta buku kali ini. Maklumlah, sejak berpindah penerbit, ramai pembaca dan rakan tak pasti sama ada kami akan berada di pesta buku atau pun tidak.
Alhamdulillah, penyokong saya yang tahu saya berada di tapak pesta buku, telah bersusah payah datang berjumpa dengan saya. Seronoknya! Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih....kepada semua pembaca, dan bloggers yang telah berusaha untuk mencari saya dan rakan-rakan penulis lain.
Suasana kali ini cukup berbeza. Selain daripada berjumpa pembaca, kami juga dicari oleh pengedar...dari pelbagai tempat. Banyak juga infomasi yang kami terima untuk perkembangkan dunia penulisan ini. Semangat saya meningkat...melambung-lambung, walaupun sebelum ini, alhamdulillah tak pernah lemah.
Kami semua berada dalam keadaan yang begitu relaks sekali. Kami berborak, bercerita, melawak, bergurau senda dan merapu. Seronoknya. Ramai bakal penulis yang datang berborak-borak dengan kami. Mereka semua berminat untuk ikut jejak kami.
Walaupun kami cuba bercerita-cerita di antara penulis, tapi malangnya, tak sempat, kerana kebanyakan masa kami berada dengan pembaca dan tetamu-tetamu yang datang. Saya juga seronok kerana ramai kawan-kawan saya yang meluangkan masa untuk memberi sokongan.
Wah Gee....tak sempat nak bercerita, kan? Asyik terputus aje cerita kita tu. Tak apa...hujung minggu depan, kita jumpa lagi. Kak Puteri....tak sempat nak berborak. Nita...ha...akak tengok Nita dah pandai buat promosi. Apa macam, best tak? Mimie.....hah Mimie seronok kerana ramai pembaca datang tak habis2 puji buku dia Maafkanku Sayang. Rasa macam balik kampung pulak!
Izza and Izzul....seronok jumpa awak berdua ni, tapi sayang tak sempat nak bercerita panjang2, kan? Lain kali, ya? Hunjung minggu depan jangan lupa datang, ya? Kalau tak ada, kesian kat pembaca yang nak jumpa dengan penulis glamor ni!
Samsiah....tak apa. Walaupun Samsiah datang sekejap aje, tapi dah banyak info yang Samsiah terima, kan?
Apapun, kami berterima kasih kepada pihak KIDDIBIRD, kerana sudi tumpangkan kami. Terima kasih En. Aziz. Terima kasih juga kepada Rizal dan Irfan. Wah...nampaknya popularnya abang 2 kita ni. Ramainya yang nak berkenalan dengan jejaka2 idaman MALAYA ni!

Wednesday, March 22, 2006

Balik Kampung!

Kampus UKM adalah seperti kampung saya. Kerana saya pernah bertugas di sana selama 17 tahun. Walaupun saya selalu juga masuk ke kampus itu, tapi biasanya saya tak lama di situ. Mungkin sekadar singgah di bank atau ke Fakulti Kejuruteraan untuk bertemu kawan. Minggu lepas, saya ke UKM untuk menghadiri simposium Orang Asli. Tapi, itu adalah di Lestari, sebuah bangunan yang terletak jauh dari bangunan utama di tempat lama saya bekerja.
Bila saya dijemput untuk hadiri sebagai panel diskusi Novel Popular, di Fakuliti Kesusasteraan, saya begitu berbesar hati sekali. Bukannya apa, tapi seronok teramat sangat kerana akan bertemu dengan rakan-rakan lama.
Semalam, pagi-pagi lagi, rakan-rakan penulis saya telah bertemu saya. Kak Puteri dari Kelang, Mimie Afinie dari Senawang, Anita dari Semenyih, dan Fauziah Ashari dari Johor Baru. Jauh tu! Tapi mereka datang untuk bersama-sama saya dan memberi sokongan!
Kami ke kampus beramai-ramai. Di antara orang pertama yang saya berjumpa di sana ialah adik angkat saya, yang saya gelar "Razak". Dia kini sudah pun memegang jawatan penting di fakulti berkenaan. Dia merupakan hos kami pagi itu.
"Wah...Kak Aina...handsomenya adik angkat Kak Aina ni...macam Anuar Ibrahim campur Jalaludin Hassan." Kata seorang rakan penulis. Saya ketawa.
"Memang pun. Dulu...saya hampir diketuk orang...sangkanya saya ada hubungan dengan Razak. Mujurlah saya sempat memberitahu yang saya ketika itu sudah kahwin dan dah ada dua orang anak. Orang tu tersilap orang!" Saya ketawa lagi.
Yang menariknya, sebaik sahaja habis diskusi, ramai betul rakan-rakan lama yang datang menegur saya, terutama kakitangan akademik fakulti itu. Mereka masih ingatkan saya. Betul-betul terasa bagaikan balik kampung! Malah, kawan-kawan penulis saya pun seronok kerana dapat berkenalan dengan pensyarah-pensyarah UKM. Kami juga seronok kerana berkenalan dengan para siswazah, pelajar-pelajar, dan ada juga orang luar yang datang kerana merupakan pengikut novel-novel kami.
Saya sibuk sangat, sehinggakan tak sempat pun nak menjamah makanan yang disediakan oleh urusetia. Apapun, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat untuk menjayakan program itu. Kami berbual-bual di ruang legar dewan hampir satu setengah jam lamanya. Bersembang, bergambar dan ditemubual para wartawan.
Kata 'Razak' kepada saya, "Kak T....nanti kita buat macam ni lagi, ya? Mungkin seminar pulak. Saya pun seronok....ada kerjasama yang baik dari semua."
Malah, pihak dekan juga telah menunjukkan sokongan dengan menghadiri diskusi itu. Yang pasti UKM, kami akan datang lagi, insyaAllah! Terima kasih semua.