Rakan saya merupakan seorang 'tuan punya' sebuah syarikat pembikinan filem. Dalam hal pengurusan syarikatnya ini, dia memerlukan banyak 'editor' (Pengedit filem)untuk membantunya. Begitu juga jurukamera, pengarah dan macam-macam lagi. Masalah besar yang dihadapi rakan saya ialah, kebanyakan editor dan petugas-petugas yang saya sebut ini, yang ditemuinya adalah orang-orang yang kuat jiwa seninya. Mereka sangat artistik. Malangnya, tak ramai pula yang sifat profesionalismenya tinggi. Kerana itu, rakan saya selalu berdepan dengan masalah untuk menyiapkan kerja-kerjanya pada masa yang ditetapkan.
Kata rakan saya,"Maklumlah... orang senilah katakan... pakaian selekeh, rambut panjang tak terurus, datang kerja tak pernah tepat pada waktunya. Mood pula ikut suka hati."
Sifat-sifat seperti inilah yang mengganggu tugasnya. Kawan saya bertanya saya pula, "Penulis pun macam tu ke?"
Saya jawab, "Terpulanglah... mungkin ada yang macam tu. Tapi saya rasa kalau ada yang macam tu, memang rugilah. Sepatutnya cinta kita kepada seni janganlah sampai mengatasi segala sifat profesionalisme yang perlu ada juga. Rugilah kalau ada seni sahaja tetapi kita tak profesional. Memang tak boleh cari makanlah... boleh syok sendiri sahaja."
Ini bukan merupakan perkara baru. Memang saya tak nafikan ramai yang terlibat dalam bidang seni tak mampu untuk menjadi seorang yang profesional juga. 'Penggunaan masa' lah yang selalu mengalahkan seseorang itu. Bukan itu sahaja, termasuk juga sikap kita yang lain-lain. Cara kita berkomunikasi, pakaian kita, ketrampilan kita... semuanya menonjolkan sifat profesionalisme kita. Malah, orang seni jangan juga bersifat macam 'budak-budak' yang tak tahu hendak bawa diri. Memang merugikan!