Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, October 26, 2017

Rezeki Bersih Pasti Hati Tenteram

Assalam

Isu rezeki sentiasa menjadi isu penting dalam hidup kita. Selagi bernafas dan ada nyawa, kita kerap kali risaukan rezeki kita. Siapa yang nak beri kita makan?

Allah swt sudah janjikan kita bahawa setiap manusia ini ada rezekinya. Allah yang tentukan dan disebutkan hal ini dalam al-Quran. Namun begitu, sama ada banyak atau sedikit, barakah atau tidak, mungkin kitalah yang usahakan.

Trend hari ini, seolah-olah tak kisah pun kalau kita mendapat makan secara kotor. Mencuri, menipu atau melalui rasuah, janji kita dapat keuntungan yang banyak! Penting ke kalau kita ini hidup dalam dunia dengan material yang berlambak-lambak? Mestikah kita makan hingga tak muat perut? Mestikah kita hidup mewah hinggakan tak tahu nak buat apa lagi dengan wang yang kita ada? Sanggupkah kita untuk mengumpul harta melalui jalan yang tak pernah diredai Allah swt? Mengapakah kita membudayakan cara hidup yang langsung tak sihat dan tak berbarkat ini? Mungkinkah kerana kita kurang ilmu, atau tak ambil peduli, atau merasakan 'tak mengapa' kerana orang lain buat juga?! Allahuakbar! Di manakah agama kita dan di mana pula letaknya iman kita? Atau kita sebenarnya tak kisahkan semua itu kerana bagi kita asal sahaja hidup senang lenang, apa peduli dengan akhirat nanti!

Tak malukah kita ini... malu kepada Allah swt, kerana mungkin orang luar tak berapa nak tahu atau teka, tapi Allah swt tetap melihat dan tahu?

Kenapa kita tak amalkan mencari rezeki dengan cara yang bersih? Tak perlu berasuah, tak perlu menipu, tak perlu mencuri, tak perlu amalkan apa-apa yang tak baik untuk mencari keuntungan! Kalau makan duit haram, atau material yang haram, itu bukanlah kita panggil rezeki, kerana rezeki itu datangnya daripada Allah swt, yang haram itu datangnya daripada syaitan! Kita dah dirasuk dan terbelenggu dek penipuan syaitan, maka kita juga berubah menjadi sama seperti syaitan!

Kalau kita dapat rezeki yang bersih, walaupun mungkin tak banyak namun hati kita tetap tenteram. Nilainya sangat tinggi, tiada mata wang yang mampu memberi ketenteraman itu! Selagi kita mencari duit secara tidak bersih dan tidak halal, sampai ke lubang kubur pun hati tak akan tenteram! Apatah lagi di akhirat nanti.

Jangan fikir 'ah sikit aje ni'... sekalipun sikit duit haram yang kita libatkan diri, namun ianya tetap haram dan kotor! Apatah lagi kalau banyak... takut kita taubat pun Allah tak mahu terima, atau mungkin kita tak sempat nak taubat, tapi dah mati! Allahuakbar!

Semoga kita berhati-hati, didiklah anak-anak untuk tidak hidup berasuah, jangan amalkan budaya rasuah dan menipu, jangan dekat dengan mereka yang suka berasuah dan menipu, jangan kita berpura-pura baik tetapi sebenarnya hati kita kotor!

Ya Allah ya Tuhanku... Kau tunjuklah kami jalan yang benar, jangan sesatkan kami seperti syaitan yang sudah lama sesat dan jahat. Kau berilah kami, anak-anak dan keturunan kami barakahMu, rezekiMu yang halal, hidup kami yang bersih, hati yang mulia, iman yang tegap dan teguh, terimalah kami disyurgaMu yang tertinggi. Aamiin ya Rabbal alamin.

Wednesday, October 25, 2017

Nak Ke Bandung

Assalam

Memang dah lama tak ke luar negara. Malah, tahun ini saya hanya ke Singapura. Hah, luar negara lah tu... huhu, tapi saya ke sana pun sebab melawat arwah abang saya yang sakit. Kemudian, abang saya meninggal dunia.

Ahad ini saya akan ke Bandung. Sepatutnya pertengahan bulan Oktober saya ke sana, tapi malangnya banyak sangat halnya. Tapi Ahad ini insyaa-Allah kami akan ke sana. Bukan untuk libur tetapi untuk melawat ayah saudara saya, Ami Mus yang kini sedang sakit. Semoga Ami Mus diberi kemudahan Allah swt. Aamiin.

Memang tahun ini bukan merupakan tahun untuk kami makan angin. Saya dan suami tak habis-habis sibuk dengan urusan. Suami saya masih ligat bekerja dan ligat pula dengan projek di Lenggeng. Saya pun begitu... macam-macam rancangan kami. Alhamdulillah, kami bersyukur di atas nikmat dan barkat yang Allah berikan. Semoga mampu untuk menjalankan aktiviti dunia dan akhirat. Aamiin.

Tuesday, October 10, 2017

Jalan-Jalan Cari Makan

Assalam

Dah lama tak update blog ni. Maklumlah... banyak sangat aktiviti. Namun alhamdulillah, masih bernafas lagi, masih sihat yang Allah swt berikan, masih mampu untuk lakukan pelbagai tugasan.

Baru-baru ini, kami ke Yan Kedah. Adik saya yang mengajak. Konon-konon nak jalan-jalan sambil cari makan. Jadi kami tinggal di sebauh retreat yang bernama Casa Murni, yang bertuan tanah dua orang suami isteri yang bergelar 'Datuk'. Alhamdulillah, kedua-dua mereka mempunyai budi yang tinggi. Sekalipun mereka merupakan orang yang bergelar, namun budi bahasa mereka sangat mulia. Melayan kami bagaikan kami ini merupakan tetamu istimewa.

Merata dibawanya kami. Kami minum air nira dan laksa kedah di sebuah laman indah yang mempunyai tanaman palma yang menghasilkan air nira. Hebat!

Kami ke Tanjung Dawai membeli hasil laut buatan orang kampung seperti belacan, kicap, kuah rojak, ikan bilis, ikan masin dan macam-macam lagi. Di malam hari, makan pula seafood yang sedap lagi lazat dan yang termurah yang pernah kami makan... memang hebat!

Puas kami berjalan sana-sini, melihat kawasan air terjun (ada tiga yang kami melawat), pergi ke muzium Tamadun Lembah Bujang, pergi ke Alor Star dan juga Sungai Petani, pergi ke Kuala Kedah dan Pantai Merdeka dan macam -macam lagi. Semuanya ecotourism. Masa nak balik tu, siap pergi ke tempat orang buat buahulu (sebelah retreat kami) dan makan panas-panas buahulu berbentuk ikan! Paling best, kami juga makan mee rebus tulang dan pulut udang. Terbaik!

Jangan ingat di tempat kita tak ada apa-apa nak tengok, sebenarnya memang banyak! Kebetulan tahun ini saya memang tak berkesempatan untuk bercuti-cuti keluar negara kerana kesibukan tugasan, namun kami mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di dalam negeri. Alhamdulillah. Jomlah kita...


                                                     Casa Murni, Yan Kedah