Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, September 30, 2009

Mencari Kelainan



Sehari suntuk semalaman, saya kesibukan. Banyak yang perlu saya lakukan, maklumlah anak perempuan hendak berkahwin. Saya tak ada niat untuk buat besar-besaran, sekadar cukup untuk meraikan. Memang saya pun jenis yang simple, walaupun anak saya ini satu-satunya anak perempuan kami.

Teringat 31 tahun yang lalu, semasa saya sendiri berkahwin.Paling simple. Mudah sangat-sangat, tetapi yang penting, banyak rahmat-Nya. Alhamdulillah,sehingga ke hari ini, masih teguh dan aman damai, insya-Allah.

Berbalik kepada cerita semalam. Saya melawat ke beberapa lokasi yang kami anggap sebagai unik atau esotik... bagi kami, kalau nak meraikan, biarlah ia merupakan sesuatu yang berbeza. Tetapi tak bermakna besar-besaran, tetapi biarlah meriah dan sesuatu yang boleh menjadi kenangan. Jadi, saya dan Irfan meronda-rondalah mencari kelainan itu.

Selepas itu, kami ke pusat kota, bertemu dengan dua orang lelaki yang sedang memberi info kepada saya untuk manuskrip yang sedang saya garapkan. Hah, mesti nak tahu, kan siapa yang saya maksudkan ini? Sebenarnya, salah seorang daripada lelaki itu telah banyak berkomunikasi dengan saya dalam pembinaan watak utama novel akan datang saya. Seperti yang saya katakan sebelum ini, ada kelainan dalam kerjaya watak utama saya ini. Sesuatu yang saya anggap esotik juga!

Kami berbual tentang perasaan dan apa kaitan dengan kerjayanya yang unik itu. Menarik. Ada kelainan tentunya. Lewat malam, barulah saya dan Irfan pulang. Agak keletihan juga. Tapi... puas hati, kerana saya telah temui kelainan yang saya cari, insyaAllah.

Tuesday, September 29, 2009

Don't Judge a Book by It's Cover.



Semalam, saya berchatting dengan seorang pembaca saya. Dia memang biasa berchatting dengan saya dan kebetulan, kami bersembang-sembang kosong sahaja. Maklumlah mood baru masuk bekerja selepas cuti panjang berhari raya. Sambil bersembang, terbukalah pulak satu cerita. Pembaca saya ini belum berkahwin lagi. Lawa, pemalu dan sopan orangnya. Dia kata kepada saya, adalah seorang pak cik di tempta kerjanya yang mahu kenalkan dia dengan anak lelaki pak cik itu.
"Tapi saya tak naklah, Kak Aina." Katanya kepada saya.

"Kenapa pulak?" soal saya.

"Dekat ofis tu, semua orang tak suka pak cik tu. Kata diaorang pak cik tu kedekut. Isterinya pulak garang."

"Laaa... buat apa dengar cakap orang? lagipun, bukan dengan pak cik tu yang.... nak kahwin. Dengan mak dia pun tak. Kenal lah dulu dengan mamat tu. Entah-entah mamat tu best macam hero Kak Aina kat dalam novel." Gurau saya dalam serius.

Tapi... betul, kan? kebanyakan orang akan buat andaian sendiri tentang orang yang mereka lihat dan selalunya, semuanya ada yang tak kena. Sebenarnya kita selalu buruk sangka pada orang kerana kita tak betul-betul mengenali mereka. Kadang-kadang, selepas kita berkenalan, barulah kita tahu budi bahasa seseorang itu. Saya kata pada pembaca saya itu. "Pak cik tu ada taste... sebab tu lah dia pilih.... untuk jadi calon isteri anak dia. Kasilah peluang. Mesti okey punya." Itulah yang saya katakan untuk memberi semangat padanya. Lagipun, tukang komen memang ramai. Semuanya tak kena, tapi tukang nak tolong, memang tak ada. Betul tak?

Inilah yang dikatakan orang, "Don't Judge a Book by It's Cover." Kenalilah mamat itu dulu... tambah pulak covernya tu ialah pak cik dengan isterinya saja. Kesian kat mamat tu.

Monday, September 28, 2009

Aku-Kamu, Aku-Engkau



Saya sedar ramai yang berpendapat kalau kita bercakap dengan menggunakan ganti nama aku-kamu atau aku-engkau, bunyinya macam kurang adab. Atau tak sopan. Katanya kasar. Betul ke kasar? Saya tidak pasti. Yang saya tahu, apabila ganti nama aku-kamu atau aku-engkau digunakan, ini menunjukkan kemesraan atau pertalian yang rapat antara dua orang yang berbual itu.

Semasa anak-anak saya kecil, memang saya gunakan 'umi' dan nama anak-anak saya. Tetapi apabila anak-anak saya dah dewasa dan semakin rapat dengan saya, saya guna aku-engkau dengan mereka (yang sulung dan yang nombor dua) apabila saya berbual. Mereka tentunya masih memanggil saya umi. Mungkin bunyi macam pelik, atau bagi mereka yang tak biasa, mereka kata bunyi kasar. Tetapi bagi saya pula, ia adalah satu ikatan yang terlalu rapat antara saya dengan anak-anak. Kami macam kawan. Bila saya tidak menjarakkan diri dengan protokol biasa, mereka senang meluahkan perasaan pada saya. Kami senang berbincang. Tak ada apa-apa yang menjarakkan kami. Sebetulnya, kami berasa mesra begitu.

Lagipun... bukankah begitu semasa kita bercakap dengan Tuhan? kita guna 'aku' dan 'kamu' atau 'engkau'. Bukankah kita berasa rapat dengan Tuhan? Tidak pula kita guna saya, atau nama kita.

Ini sekadar pendapat saya sahaja. Bagi saya, perkataan 'aku' itu sangat dalam dan mempunyai kekuatannya.

Sunday, September 27, 2009

Terapi yang Mujarab!



Semalam, saya sempat ke majlis perkahwinan anak jiran semasa kami tinggal di Bangi dulu. Meriah majlisnya. Kebetulan, anak perempuannya itu merupakan anak tunggal jiran saya, bertambahlah meriah majlisnya itu.

Balik rumah pula, di sebelah petangnya, anak perempuan saya pula dilamar orang. Nampaknya saya bakal berbesan dengan orang Utara pulak. Orang pulau. Kawasan itu sebenarnya tak jauhlah dari kawasan arwah nenek saya. Siapa yang pernah baca novel saya semasa bersama dengan Alaf21, ia itu Setulus Janji... akan teringat kisah-kisah yang saya paparkan tentang suasana di kawasan yang saya sebutkan ini. Memang penuh dengan nostalgia. Nampaknya, tak lama lagi anak perempuan saya pula akan mendirikan rumah tangganya. Insya-Allah, sebelum akhir tahun ini. Walaupun anak saya masih muda lagi, tetapi kerana dah ada serunya, kami tidak menghalang untuk dia mendirikan rumah tangganya. Sebagai ibu bapa, kami mendoakan yang terbaik untuk puteri tunggal kami ini.

Kebetulan, semasa saya berada di majlis jiran kami, kami terserempak dengan kawan lama. Saya memang baik sangat-sangat dengan kawan saya itu. Dan mengikut ceritanya, apabila dia tahu yang saya menulis novel, dia telah mencari novel-novel saya dan menghantarkannya kepada anak perempuannya yang ketika itu sedang belajar di UK. Rupa-rupanya, anak perempuannya itu dah lama jadi pembaca dan penyokong saya. Apa lagi, semasa berjumpa, macam-macamlah ditanyakan saya. Wah, dia hampir hafal semua kisah-kisah dan nama-nama watak dalam novel-novel saya! Rupa-rupanya juga, kedua-dua ibu bapanya turut membaca novel-novel saya. Kedua-duanya adalah pensyarah, satu UKM dan satu lagi UPM.

Itulah yang saya katakan kepada mereka. Ramai kaum wanita merelakskan diri dengan membaca novel. Itulah cara yang terbaik untuk dapatkan terapi.

Kebetulan, di malam harinya pula, saya telah pergi ke 'openhouse' salah seorang jiran yang berdekatan dengan rumah saya di Nilai. Isterinya juga sudah menjadi pembaca novel-novel saya. Begitu juga yang dirasakannya. Satu cara terapi yang mujarab! Insya-Allah.

Saturday, September 26, 2009

Bisnes, Orang Melayu dan Homestay



Masih cerita di Terengganu. Apa yang menariknya ya? Setiap kali saya ke kawasan Pantai Timur, memang berbeza rasanya. Salah satu ialah kerana lebih banyak peniaga berbangsa Melayu yang kita jumpa di daerah ini. Macam-macam bisnes yang dijalankan. Mungkin networknya bagus dan saya sangat berharap suatu hari nanti, orang Melayu di bahagian Pantai Barat juga berani untuk memulakan bisnes dan tubuhkan satu rangkaian yang kukuh untuk memperkukuhkan bisnes. Sepatutnya kita memang boleh melakukan perkara ini kerana orang Melayu merupakan majoriti penduduk di Malaysia. Itu bermakna kuasa membeli masih ada pada orang Melayu.

Mungkin kita kena rajin ke Terengganu dan ke Kelantan. Tak kisahlah kalau bisnesnya bukan bisnes besar, tetapi yang penting kita berani melakukannya dan dengan cara itu kita akan bina rangkaian bisnes untuk orang kita. Ini termasuklah bisnes perhotelan, pelancongan dan lain-lain.

Dari dulu lagi, saya percaya orang Melayu boleh lakukannya. Tetapi mungkin kerana ramai yang masih takut-takut dan juga mungkin kurang 'exposure', kita selalu tertinggal, sedangkan mereka dari keturunan lain dah lama memasuki arena ini.

Saya tertarik dengan sistem Homestay (Saya tak tinggal di situ) kerana sebenarnya ia mengingatkan saya semasa di UK dulu. Di sana, Bed and Breakfast merupakan rumah tumpangan yang sangat popular dan Homestay di sini pun mempunyai gaya rumah tumpangan yang sama. Di UK, saya banyak mempelajari gaya hidup orang Inggeris kerana selalu menumpang di Bed and Breakfast di merata-rata tempat. Agar budaya itu juga dapat diamalkan oleh orang-orang kota yang tak berkampung semasa ke kawasan luar kota. Saya melihat banyak rumah-rumah yang dijadikan kawasan homestay dan rumah-rumah ini menarik, bersih dan terletak di kawasan yang tak kurang menariknya juga!

Friday, September 25, 2009

Republic of Besut



Bagi saya, memang menarik cerita ini. Mungkin sama menarik macam pantai di Penarik! Kata suami anak saudara saya, yang berasal dari Kelantan... namanya Joe. "Besut asalnya daerah Kelantan. Tetapi bila raja kalah dalam pertarungan 'laga ayam', Besut telah diserahkan kepada raja Terengganu. Maka jadilah Besut daerah Terengganu, padahal orang-orang Besut bertutur dengan loghat Kelantan. Malah, orang-orang Besut marah pada Kelantan kerana mereka telah dipisahkan tanpa rela. Orang Besut juga tidak berasakan yang mereka adalah sebahagian daripada Terengganu. Kerana itulah mereka lebih rela mengatakan yang Besut mempunyai kerajaan sendiri, ia itu 'Republic of Besut'. Kelantan tidak, Terengganu pun tidak.

Mungkin ini sekadar cerita dongeng, tetapi realitinya apabila kita bertanya dengan orang Besut, "Awak datang dari mana?", jawapan yang kerap diberi ialah, "Dari Besut". Tak pernah kata Terengganu, jauh sekali Kelantan!

Saya tak tahulah benar atau tidak cerita ini. Tapi saya memang mempunyai teman yang datangnya dari daerah ini. Memang tak pernah dia berkata yang dia orang Terengganu, sentiasa mengaku yang dia adalah orang Besut!

Menarik kan cerita ini?

Apa-apa pun, saya memang syok lepak di Kuala Besut... nampak unik tempat itu. Mungkin kerana tempat itu mempunyai jeti ke Pulau Perhentian (Kecil dan Besar), maka banyak juga terdapat hotel-hotel comel di sekitar kawasan itu, membuatkan Kuala Besut bertambah cantik.

Jom kita cuti-cuti Malaysia dan pergi berehat di sana! di Republic of Besut.

Thursday, September 24, 2009

Raya Sakan!

Ke mana-mana kami pergi, tak habis-habis dengar lagu raya. Memang raya sakan!

Seperti biasa, hari raya pertama, saya duduk di rumah saja. Adik-adik, kakak saya (yang tinggal di Ampang), teman-teman... semua datang ke rumah saya. Termasuklah besan baru saya dan juga seorang anak angkat (Pelajar Yemen). Meriahlah hari raya pertama tu. Sampai ke tengah malam baru kami dapat tidur. Penat mengatur meja makan dan penat jugaklah tak berhenti-henti membasuh pinggan.

Esoknya pula, ia itu pada hari raya kedua, kami telah ke Johor Baru. Awal pagi dah pergi sebab takut jam. Kami pergi dua kereta. Maklumlah, ahli dah bertambah. Sampai sahaja di sana, kami pun pergi menziarahi rumah-rumah kaum kerabat suami saya, termasuklah ibu saudara, bapa saudara, kakak dan abang. Lepas itu, kami pun pulang. Sampai rumah hampir tengah malam. Mujur juga tak kena jam.

Esoknya pula, awal pagi kami dah ke Pantai Timur. Terus ke Kuantan dan selepas itu ke Kuala Kemaman. Kami check in kat hotel, lepas itu merayau ke Kuala Kemaman. Pergi makan otak-otak dengan sata... best giler! Malam itu kami makan nasi dengan ikan bakar kat Geliga. Selepas makan, kami ke rumah sepupu saya, yang kebetulan tinggal di kawasan itu. Sepupu saya ialah seorang doktor gigi yang bertugas dengan kerajaan.

Awal pagi keesokannya, kami mula naik ke atas lagi. Mula-mula ke Dungun dan selepas itu ke Kuala Terengganu. Keluar dari Kuala Terengganu kami terus ke Penarik. Mungkin ramai yang tak tahu pun tempat ini... tetapi Penarik memang menraik! Mempunyai pantai putih bersih yang panjang sejauh mata memandang. Kami bersantai sambil makan Keropok lekor. Tak sah kalau ke sana tak makan makanan istimewa itu.

Selepas itu, kami terus ke Jertih dan dari situ kami ke Gong Kedak (itulah tempat tujuan saya sebenarnya) dan kemudian kami berehat di Kuala Besut. Minum teh tarik, sambil melihat bot-bot keluar masuk kuala untuk ke Pulau Perhentian. Memang best!

Kami tinggalkan Kuala Besut dan terus menuju semula ke Kuala Terengganu. Makan malam di Pantai Batu Buruk. Tengah makan, hujan ribut... tapi okey lagi. Selepas itu, kami terpaksa sahaja redah dalam hujan untuk terus pulang ke Kemaman. Kami sampai tepat-tepat jam 12.00 tengah malam. Alhamdulillah.

Pagi tadi, selepas sarapan, kami bersiap untuk pulang. Takut kalau terlewat, kami terpaksa bersesak pula. Alhamdulillah, jam 12.30 tengah hari kami tiba di Kuala Lumpur dan terus pulang ke Nilai. Sepanjang masa semasa kami berada dalam kereta di Terengganu, kami mendengar radio stesen Pantai Timur. Seronoknya berhari raya!

Saturday, September 19, 2009

Lemang n Ketupat Hari Raya!


Thursday, September 17, 2009

Selamat Hari Raya!


Salam Hari Raya Aidil Fitri buat semua pengunjung blog ini. Semoga kita diberkati Ilahi, dilindungi-Nya dari dosa kecil dan besar. Semoga kita menjadi umat Islam yang menyayangi Tuhannya dan semoga kita berjumpa Ramadhan pada tahun hadapan.

Selamat tinggal Ramadhan yang mulia, selamat datang Syawal yang ceria... semoga kita dipeliharai Allah SWT. Ameen...

Seronok Jadi Perempuan?



Seronok tak, jadi orang perempuan? mungkin kadang-kadang kita terasa bengang sebab kita dijadikan orang perempuan. Lepas makan, adik beradik lelaki main blah aje, kita kena basuh pinggan. Kalau kita ada kat rumah, emak kita pun suruh kita menyapulah, kemas dapurlah, masukkan kain kotor dalam washing machine lah... ada-ada saja. Bosan! kita mungkin merungut-rungut sebab kena buat kerja lebih daripada adik-beradik lelaki kita. Dah tu, belajar sama saja. Ada kala kita lebih rajin daripada yang lelaki. Results kita lagi hebat, tapi emak kita tak pulak puji kita lebih-lebih. Buat dek aje... tak ada maknanya!

Kadang-kadang kita geram sebab kat ofis pun macam tu. Bos kita asyik suruh kita aje buat kerja, yang lelaki boleh relaks. Kalau yang lelaki ponteng pun bos buat-buat tak nampak. Kalau kita hilang kejap masuk toilet pun bos sibuk tanya, menyampah betul!

Bila dah kahwin pun sama, kita lagi teruk buat kerja daripada pasangan kita. Sama-sama pergi ofis, tapi bila balik, dia rehat duduk-duduk sambil baca surat khabar, kita kena ke dapur pulak. Kalau ada anak, mengasuh anak lagi. Kalau dapat baby, kita yang kena jaga malam, menyusu lagi... tu tak termasuk duty-duty lain... isy, isy!

Begitulah hidup kita apabila dijadikan Tuhan sebagai perempuan.

Tapi yang bagusnya... biasanyalah... orang perempuan hidup lebih lama daripada orang lelaki. Orang perempuan kurang stres daripada lelaki, sebab tu orang lelaki lagi mudah kena sakit jantung! orang perempuan lebih cekap mengendalikan stres, sekalipun orang perempuan yang kena melahirkan anak-anak. Itulah nikmatnya jadi perempuan. Dah tu, orang perempuan ada period... ada kala dapat relaks daripada mengerjakan perkara-perkara wajib. Tengok tu, bukankah Tuhan sayangkan kita?

Sebenarnya memang seronok jadi perempuan, orang lelaki je yang tak tahu. Orang perempuan lebih ikhlas berkawan berbanding lelaki. Orang perempuan juga lebih setia berbanding lelaki. Lebih bersabar daripada lelaki. Kalau kita perempuan dan mengamalkan cara hidup yang sederhana... pandai relakskan diri, jangan suka merungut, bersabar dan belajar untuk sayang menyayangi... hidup kita akan menjadi lebih sihat lagi. Kalau kita rajin bersolat dan berdoa (lebih daripada yang disuruh)lalu terus suka membaca, bertambahlah gemilang hidup kita. Orang yang tidak stres itu, hidupnya lebih seronok daripada mereka yang suka naik angin, marah-marah dan serba tak kena.

Jadi... kalau anda seorang perempuan... be happy dan bersyukurlah!

Wallahua'lam.

Wednesday, September 16, 2009

Hari Raya Tak Balik Kampung



Kebanyakan orang Melayu yang tinggal di kawasan Lembah Klang akan balik ke kampung masing-masing apabila musim Hari Raya tiba. Dah lama saya tak buat begitu. Hari Raya pertama memang ada di rumah saya sahaja. Kebetulan adik-adik saya dan ramai adik beradik yang lain (lain ibu)semuanya tinggal di sekitar Lembah Klang. Ibu saya tinggal dengan saya, jadi ramailah yang datang ke rumah saya pada Hari Raya pertama. Ibu dan ayah mertua saya, dah lama tak ada. Saya dan suami, biasanya balik ke Johor Bahru (kampung suami) pada Hari Raya kedua. Sejak kebelakangan ini, saya dah jarang tidur di sana sebab kami lebih suka balik hari sahaja. Lagipun, kalau ke Johor Bahru biasanya kami tidur di hotel sahaja sebab nak tumpang rumah orang, tak muat pun... hehe. Sekarang ini pula, anak-anak saya (yang sulung dan kedua) dah berumah tangga, jadi kami lebih selesa berhari raya di rumah kami.

Tahun ini, pada hari raya ketiga, saya akan ke Pantai Timur, di kawasan negeri Terengganu. Saya tak ada sesiapa di sana, kecuali seorang sepupu yang tinggal di Kemaman... mungkin akan menyinggah di rumahnya nanti. Tapi, sebenarnya saya ke sana sebabkan novel saya yang saya sedang tuliskan manuskripnya... haha sampai ke sanalah saya. Banyak benda yang saya kena cek kat sana, takut salah maklumat. Hari Jumaat barulah saya balik ke Nilai semula. Hari Sabtu pula ada majlis perkahwinan yang saya kena hadiri. Hari Ahad itu pula... kemungkinan besar anak perempuan saya akan dipinang orang, insya-Allah. Jadi... tak bolehlah nak ke mana-mana lagi.

Tuesday, September 15, 2009

Kuih Raya





Tahun ini, saya tak kisahkan kuih raya. Sebabnya ialah tahun lepas terlalu banyak sangat kuih raya yang tak habis dimakan, satu pembaziran. Kebetulan, tahun lepas bila ada orang suruh beli kuih aje, saya pun belilah. Kesianlah, teringinlah... kadang-kadang beli sebab anak-anak suruh beli. Lepas tu, kebetulan juga kami dapat banyak sangat kuih yang orang bagi free... eh hadiahlah. Last-last, kuih banyak sangat.

Tahun ni... biarkan, saya buat tak kisah aje. Kuih yang saya beli... dodol dengan kek lapis Sarawak. Yang tu saja yang mengancam. Yang lain-lain, tak apalah.

Monday, September 14, 2009

Hari Raya Cara Orang Kita



Hari Raya Aidil Fitri... nama pun hari raya, kan? Tapi cara kita di Malaysia ni agak berlainan sedikit. Bershopping sakan, menukar langsirlah, kalau yang rajin tu, bukan setakat buat atau beli kuih, tetapi siap ada yang tukar sofa lagi. Yang sempat tukar kereta, masa ni jugaklah nak tukar kereta. Maklumlah nak bawak balik kampung. Bila lagi orang kampung dan saudara mara nak tengok?

Tak apalah kalau kita nak meraikan hari raya. Tapi, biasanya jugak, bila hari raya saja... kenapa agaknya orang kita suka berasa sedih? misalnya, kalau tak dapat beraya kat kampung, aduhai macam satu dunia nak terbalik! antara suami isteri pulak, sampai boleh berkelahi, nak berebut pilih tempat beraya. Masing-masing nak beraya di rumah mak ayah mereka. Konon-konon tak best raya kat tempat lain.

Pernah dulu, ada saudara suami saya, langsung tak mahu balik ke rumah ibu mertuanya. Asyik ke rumah dia saja. Kampung masing-masing memang jauh, satu di utara dan satu di selatan. Saya pulak jadi hairan. Saya kata, "Eh, suami you tak kisah ke?"

"Ah pedulikan dia, kisah ke tidaknya. I memang tak boleh beraya kat tempat lain, mesti nak beraya kat tempat I." Itulah jawabnya.

Dahlah beraya kat tempat emak dia sahaja, ke tempat suaminya langsung tak nak pergi. Konon-kononnya tempat suaminya kat kampung, tak best. Alahai... kesian kat suami dia. Dalam begitu, saya hairanlah jugak dengan suami dia tu, kenapa tak bertegas? kan awak ketua keluarga? lagipun, dia memang mampu pun. Hari ini, orang yang saya kisahkan ini, dah lama terlantar di atas katil, kerana kena stroke.Umurnya masih muda lagi.

Berbalik kepada apa yang ingin saya katakan tentang hari raya ni. Macam yang saya pernah katakan sebelum ini, setiap kali hari raya, televisyen kita akan siarkan drama-drama yang sedih-sedih, dan biasnya juga cerita tentang anak yang derhaka, anak yang tak kenang jasa ibu ayahlah... semua yang tak elok pasal anak. Saya tak tahulah kenapa pihak TV kita terlalu negatif fikiran mereka. Kenapa tidak kita tunjukkan cerita yang positif, yang baik-baik tentang anak-anak... anak-anak yang menyayangi ibu bapa mereka, menyayangi keluarga mereka? Apakah dah tak ada ke anak-anak yang baik di dunia Malaysia? Tambah pula di hari raya, asyik-asyik cerita yang melawat ke kubur!

Kebetulan, semalam saya terbaca artikel yang ditulis oleh Dr.Asri (bekas Mufti Perlis), dan beliau telah bincangkan tentang cara orang Melayu di sini meraikan hari raya. Katanya, orang kita tak meraikan hari raya... lebih suka menyambutnya cara bersedih-sedih. Kenapa ya? Fikir-fikirkanlah.

Sunday, September 13, 2009

Tempatku Di Nilai Saja!



"Awak tinggal di mana?" Dia bertanya.

"Nilai."

"Nilai? isy jauhnya."

Jauh untuk siapa? kata hatiku. Salah ke kalau aku duduk di Nilai? Mungkin jauh untuk mereka yang tinggal di Damansara, atau mungkin Subang Jaya, atau juga Bangsar. Ya lah... kan Nilai saja. Bagi dia, mungkin aku duduk di ceruk dunia. Kalau bukan memilih tempat-tempat glamor, memang tak sesuai dibicara.

Setiap kali aku berkata yang aku tinggal di Nilai... ada-ada saja yang berkata-kata. Seolah-olah Nilai itu di kawasan pedalaman yang hanya ada jalan tanah merah. Tapi, kalau sekalipun aku duduk di Pos Lenjang, apa dia ingat aku tak bahagia? Bukankah ini tetap bumi Tuhan... di mana-mana sahaja, sama dan serupa. Yang penting apa yang berasa di hati kita.

Pernah anak perempuanku bercerita. Semasa itu dia baru masuk tahun pertama di universitinya. Bertemulah dengan seorang rakan yang tinggalnya di daerah Petaling Jaya. Ketika itu kami tinggal di Bangi. Kata anakku kepada rakan barunya itu, yang dia bersekolah di Bangi sahaja dan kemudian masuk universiti di Bangi juga.

Rakannya itu pun bertanya. "Awak pernah ke pergi ke Petaling Jaya?"

Aduhai... emosional jugalah mak cik tu, lalu terus berkata, "Eh... ayah saya berulang alik ke PJ... sebab kerjanya di sana. Saya pula, memang lahir pun di PJ. Awak ingat saya tak pernah ke mana-mana ke?"

Dia balik lalu bercerita kepadaku tentang hal itu. Saja aku menyakatnya, "Kenapa tak cakap aje yang awak pernah ke Manhattan... bukan setakat PJ saja."

Memang kelakar apabila diingatkan. Tempat yang glamor sahaja dipandang sebagai istimewa, yang lain-lain itu dianggap sebagai terceruk dan jauh. Sekali lagi, jauh untuk siapa?

Aku pernah ke kota Paris dan aku juga pernah ke Parit di negeri Perak. Kedua-duanya 'special' di mataku. Rakan baikku berasal dari Parit dan pernah bertugas di Paris. Baginya, tentulah Parit lagi istimewa. Itu kan kampung dia?

Aku juga pernah ke New York dan Los Angeles, apatah lagi kota London,namun apabila aku masuk ke perkampungan orang asli di hutan Belum dan Pos Lenjang di Kuala Lipis, aku tetap tak dapat membezakan keunikannya dengan kota-kota besar itu.

Kenapa mesti rasa tempat macam Nilai itu seolah-olah tak ada apa-apa? Apakah bau bumi dan tanah di Damansara dan Bangsar itu lebih harum sekalipun mungkin udaranya lebih tercemar? agaknya mungkin kerana Nilai ada lebih banyak lembu dan sapi yang suka jalan berkeliaran, tanpa tuan dan membuangkan najisnya bersepah-sepah? Mungkin mereka tidak tahu, ada ketika, bau tahi lembu itu nyaman sahaja... itulah bau 'nature' yang tiada tandingnya.

Setiap tempat di dunia ini telah dijadikan Tuhan buat kita manusia kerdil. Tak ada tempat yang tidak istimewa. Kerana itulah jangan kita jadi katak di bawah tempurung... beranggapan yang tempat-tempat yang 'berlabel tinggi' itulah yang glamor di dunia ini!

Wallahua'alam.

Saturday, September 12, 2009

Menumpang di Bumi



Perjalanan hidup untuk menuju ke destinasi, bagaimanakah agaknya kita menghayatinya? Ada ketika, sebagai manusia ini, kita terlalu ghairah untuk mengumpul harta, mencari duit agar hidup selesa, hinggakan kita tak kisahkan bau-bau udara nyaman yang ada di seliling kita. Setiap hari kita bernafas, namun mungkin kita tak perasankan udara yang kita hidu itu. Kita 'take things for granted'. Kita tak pedulikan bau air,bau pokok-pokok, bau tanah, bau rumput...

Kita ambil berat tentang kerja kita, mungkin ada yang menggila buat kerja, tetapi kita tak menghayati apa yang kita buat itu. Sekadar kerja untuk mencari rezeki sahaja. Kita takut berkongsi ilmu, kita risau kalau ada orang tahu apa yang kita tahu. Kita kira perbelanjaan yang kita keluarkan untuk dapatkan ilmu itu dan kerana itu kita jadi kedekut, seolah-olah akan berkurangan ilmu kita kalau kita kongsi dengan orang lain. Sedangkan betapa indahnya kalau ilmu yang ada pada kita dapat dimenafaatkan orang lain sekalipun orang-orang itu bukan kaum kerabat kita.

Hidup ini lebih indah kalau kita jangan pedulikan tentang berapa banyak duit kita harus kumpul dan berapa banyak harta kita perlu ada. Jangan takut kalau hari ini kita rasakan yang rezeki kita kurang dari biasa. Hayatilah hari-hari yang ada ini, hayatilah kesihatan yang dianugerah Tuhan buat kita, hayatilah keindahan alam ini... kerana itulah kita diberi peluang oleh Tuhan untuk masih berada di alam ini.

Suatu hari... mungkin duit yang ada segunung itu akan tidak menjadi erti lagi, kalau semua kesihatan kita diambil pergi. Ketika itu, mungkin kerana sudah puas menghayati segala apa yang Tuhan berikan kepada kita dan juga sudah kita beri dan kongsi sama apa-apa sahaja yang ada pada kita, tidaklah kita terkilan nanti.

Dunia ini hanya tumpangan sahaja. Bukan kita punya. Suatu hari nanti, kita akan pergi jua. Kerana itulah, selagi ada nyawa, selagi itulah kita harus bersyukur dan tanda bersyukur ialah dengan memberi dan berkongsi apa yang kita ada kepada yang lain, yang juga tumpang di dunia ini. Setiap kali kita memberi, setiap kali itu juga kita akan rasa 'happy', itulah keindahannya... hidup dan menumpang di bumi ini!
Wallahua'lam.

Friday, September 11, 2009

Bila Ada yang Pergi

Suami saya selalu bercerita tentang dia. RE nya, atau apa yang kita panggil Residence Engineer nya. Katanya lelaki itu memang yang terbaik yang pernah berkhidmat untuk projeknya. Semasa suami saya menguruskan bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya beberapa tahun yang lalu, dialah yang telah menjalankan tugas yang baik. Namanya Hisham. Selepas siap projek itu, suami saya masih mengambilnya untuk urusan projek yang lain pula. Beberapa bulan yang lalu, lelaki itu telah dilantik sebagai Pengurus Projek bagi sebuah syarikat yang terkemuka. Malah, namanya sering menjadi sebutan suami saya kerana kehebatan kerja yang pernah ditunjukkannya.

Tetapi, semalam suami saya telah dikejutkan dengan berita kematian Hisham. Dengan tiba-tiba sahaja, dalam bulam Ramadhan yang mulia ini, Hisham telah dijemput Allah SWT. Umurnya 42 sahaja. Masih muda. Anak-anak ada lima orang. Mujurlah isterinya bekerja.

Saya bertanya suami saya, "Dia meninggal kerana apa? sakit jantung ke?"

Kata suami saya, "Mengikut kata isterinya, tiba-tiba sahaja Hisham jadi lemah. Tak dapat nak bercakap dan tak kisahkan apa-apa lagi. Entah apa yang menyerangnya, isterinya pun tak tahu. Terlalu pantas. Kata doktor, tak ada apa-apa yang sakit. Pelik."

Mungkin memang pelik, namun memang ajalnya sudah sampai. Tuhan lebih menyayanginya, semoga rohnya dirahmati Allah SWT, semoga tergolonglah dia dalam golongan mereka yang beriman. Al-Fatihah.

Thursday, September 10, 2009

Dunia Penulisan yang Indah



Memang cerita pasal penulisan ni, tak akan habis. Ada-ada sahaja. Saya tahu ramai yang datang ke blog ini untuk membaca apa yang saya tulis tentang hal-hal dunia penulisan. Saya menerima banyak emel tentang ini. Bagi saya, apa yang saya tulis adalah sekadar maklumat yang saya ingin kongsi bersama pembaca blog saya dan semoga apa yang saya sampaikan ini dapat membantu, terutama mereka yang baru lagi menceburi dunia penulisan ini.

Saya masih ingat ketika saya mula-mula menulis dulu. Sekitar enam tahun yang lalu. Ketika itu, semuanya saya belum tahu. Sudah tu, tak tahu pula nak tanya siapa. Di mana nak hantar manuskrip, lepas tu macam mana nak tahu pasal perjanjian... semuanya saya tak tahu. Malah, saya main hentam sahaja. Mungkin kerana itulah saya menulis apa yang saya tulis ini, agar saya dapat memberi tip kepada mereka yang tak faham lagi.

Dalam begitu, saya ingin juga berkongsi maklumat ini. Bila kita menulis, hayatilah tulisan kita itu. Buat betul-betul, bukan sekadar 'cincai' sahaja. Kalau menulis manuskrip untuk dijadikan novel, cuba selami watak-watak yang ada dan bayangkan kita berada di sekitar tempat yang menjadi cerita kita. Kalau sebagai penulis, kita tak dapat menghayati penulisan kita, maka tak mungkin pembaca dapat buat begitu.

Pastikan logik kita tepat. Jangan main ikut suka hati sahaja. Kalau ada jalan cerita yang mengimbau masa silam, pastikan logiknya ada. Janganlah pula kita buat kesilapan, misalnya watak kita sedang mendengar lagu nyanyian Faizal Tahir tujuh tahun yang lalu. Atau pun kita kata watak kita sedang memandu kereta Persona lima tahun yang lalu. Kalau buku dicetak pada tahun 20009, pastikan bila kita kata tujuh tahun yang lalu, itu bermakna sekitar 2002! Jangan lepas pandang. Atau mungkin pula, kita mula bercerita dan cerita itu meleret hingga enam atau tujuh tahun. Tetapi masa tahun pertama bercerita, sudah kita sebutkan benda-benda yang dah ada sekarang ini. Misalnya MP4... telefon bimbit canggih yang ada masa kini. Inilah yang akan merosakkan novel kita nanti.

Begitu juga tentang penyakit. Mungkin tujuh tahun yang lalu, kita tak tahu pun pasal H1N1 ni. Janganlah dalam keghairahan menulis kita terlupa semua ini. Ada pembaca di luar sana yang sangat cerewet dan teliti.

Satu lagi perkara penting. Kalau kita tak pandai berbahasa Inggeris, lebih baik kita tolak tepi bahasa itu dalam cerita kita. Jangan main hentam sahaja. Grammar mesti betul dan ejaan juga mesti tepat. Perkataan 'call' dan 'called' ada bezanya. Banyak penulis suka mengguna perkataan 'oversea' untuk menerangkan yang wataknya belajar di luar negara. Perkataan yang tepat ialah 'overseas'. Begitu juga 'Master'... perkataan yang tepat untuk jelaskan program Sarjana ialah 'Masters'. Bunyinya janggal kalau kita tak guna grammar yang betul untuk perkataan Inggeris yang kita gunapakai dalam manuskrip kita. kalau kita tak pasti, lebih baiklah kita jangan guna bahasa itu.

Apa-apa pun, 'enjoy' lah penulisan kita itu. Dengan cara itu kita akan berasa seronok dan tak akan bosan menulis!

Okeylah, nanti saya sambung lagi, insya-Allah.

Wednesday, September 09, 2009

Nasihat untuk yang Menulis

Apa yang ingin saya sampaikan kali ini ialah tentang pertalian penulis dan penerbit bukunya. Mungkin ramai yang terlupa atau masih tak faham dengan pertalian dua hala ini. Sebagai penulis, kita mahukan penerbit kita bersikap profesional. Semua perkara dilakukan dengan ada hitam putihnya. Tak mahu setakat bercakap mulut sahaja. Dalam begitu, kita sebagai penulis pula mestilah mempunyai sikap yang serupa. Sentiasa 'maintain' sifat profesionalisma kita. Janganlah kita mahukan orang lain berlaku adil kepada kita, tetapi kita pula tak berlaku adil kepada mereka, terutamanya apabila kita tahu pihak penerbit kita bukan jenis yang 'mengelat' atau menipu!

Sebagai penulis, kita harus teliti surat perjanjian yang kita tanda tangani. Jangan kita cepat melatah dan buruk sangka pada penerbit kita hanya kerana kita tak faham surat perjanjian yang kita telah bersetuju untuk tanda tangani.

Ada pihak penerbit yang membayar royalti kepada penulisnya tanpa ambil kisah tentang buku-bukunya yang masih belum dijual. Ada juga membayar royalti kepada penulisnya tanpa menolak jumlah buku yang rosak dan juga jumlah buku yang dibuat promosi. Kalau dah begitu caranya, janganlah kita sebagai penulis masih mendesak nak tahu berapa banyak buku kita yang rosak dan berapa banyak pula yang dijadikan buku promosi. Dalam keadaan seperti ini, ada pihak penerbit yang lebih selesa untuk menampung kerugian yang sikit-sikit seperti itu... mungkin kerana mudah begitu.

Kita kena faham cara pihak penerbit kita. Janganlah pula kita mula nak bandingkan dengan penerbit lain. Sepatutnya kita bersyukur sahaja yang pihak penerbit kita tidak terlalu berkira-kira.

Ini adalah lebih baik daripada penerbit yang sentiasa mencari peluang untuk menolak pembayaran royalti penulis mereka. Ada juga pihak penerbit yang akan menolak jumlah buku promosi setiap kali buku itu diulang cetak, padahal apabila buku sudah berulang-ulang kali dicetak, mungkin jumlah buku yang dijadikan promosi sudah tidak banyak atau terus tidak ada. Tetapi dalam perkiraan royalti, masih lagi ditolak jumlah itu. Namun biasanya, penulis terpaksa sahaja ikut caranya.

Sama juga dengan cara sesetengah penerbit yang rajin buat 'gimik promosi' dengan sengaja memukul canang tentang jumlah buku yang terjual. Ada ketika, jumlah yang disebut atau dihebohkan itu mungkin terlalu 'gempaq'! Sebenarnya ia sekadar promosi sahaja, tetapi apabila penulis menerima royaltinya, pembayaran yang diberi sekadar 'seciput' sahaja. Mungkin benar bukunya itu berkali-kali masuk dalam carta penjualan terbaik untuk segelintir kedai buku mewah yang mengamalkan promosi 'carta' sedemikian. Tetapi sekali lagi saya suka mengingatkan penulis, kita jangan cepat terpengaruh dengan gimik-gimik sedemikian. Ada kalanya, pihak penerbit sengaja pukul canang begitu dalam 'peperangan' mendapat publisiti!

Apa sahaja yang kita kurang puas hati, eloklah kita lakukannya dengan menghubungi pihak penerbit secara yang berhemah. Jangan pula kita amalkan budaya bergosip sesama penulis. Kerana kalau apa yang kita gosipkan itu tidak benar, maka kita sebenarnya sedang menabur fitnah. Perbuatan itu semestinya tidak sihat. Kita mestilah ingat juga bahawa penerbit kita sedang membantu untuk menjual buku kita agar kita nanti akan mendapat royaltinya.

Penulis yang baik dan profesional adalah penulis yang matang fikirannya, tidak mudah mendengar kata-kata orang tanpa usul periksa. Kadang-kadang, ada yang memang jenis suka memburuk-burukkan orang lain dan kalau kita mudah makan kata-katanya, akhirnya nanti kita jua yang rugi. Kita harus faham bahawa mereka yang menjalankan urusan penerbitan itu adalah manusia juga, sama macam kita. Mempunyai hati dan perasaan. Kalau kita dah tahu bahawa pihak penerbit kita memang jenis yang membayar royalti, janganlah kita macam tak sabar pula. Sikit-sikit dah hubungi penerbit, nak tanyakan tentang pembayaran yang mungkin ketika itu belum lagi sampai masanya. Bersabarlah dan tunjukkan sikap bekerjasama kita agar pihak yang di sebelah sana senang bekerja dengan kita. Seperti yang saya katakan tadi, mereka sebenarnya sedang membantu kita untuk sama-sama mendapatkan rezeki.

Kita juga harus mengerti bahawa pihak penerbit mempunyai tanggunjawab yang besar untuk membayar hal-hal percetakan buku, reka bentuk buku, promosi, penghantaran dan penjualan. Semua itu melibatkan kos yang teramat tinggi. Jangan pula kita fikirkan bahawa pihak penerbit sedang berjoli-joli dengan duit yang mereka dapat dari penjualan buku kita itu. Kita juga harus faham, bukan semua buku senang dijual dan apabila dijual, bukan pembayarannya dapat dikutip masa itu juga. Prosesnya panjang. Ada ketika, bayaran yang dikutip makan masa melebihi setahun!

Tuesday, September 08, 2009

Kekasihku



Tatkala aku keriduan
Akan ku cari mu
Ketika aku kesedihan
Kugabai tanganku
Mencari tenangan
Merayukan kebahagiaan
Menghinakan diriku padamu
Megharapkan agar impian
akan jadi kenyataan

Sekalipun kau tak kulihat
Aku tahu kau ada
Aku dapat merasakannya
Akan kehadiranmu di sisiku
Kerana itu
Aku selalu bisikkan kasihku
Kepadamu
Kuhulurkan bait-bait indah buatmu
Kupujimu selalu

Aku tahu siapa aku
Insan kerdil yang tak bermaya
Tanpamu aku pasti hilang
Takkan tahu mencari jalan
Tentu bergelapan
Hati dan Jiwa ini
Akan menjadi kosong
Sunyi sepi, bagaikan rumah tak berpenghuni

Kerana itulah Kekasihku
Aku setia padamu
Aku tahu kuasamu
Aku tahu cintamu padaku
Tak ada kekasihku yang seperti mu
Takkan ada yang menyayangiku
Seperti mana kau menyayangiku
Kerana itulah
Aku terus mencintaimu
Dunia dan akhiratku
Bersamamu.

Monday, September 07, 2009

Pilih Jodoh Zaman Sekarang



Betulkah zaman sekarang susah nak cari lelaki yang baik-baik? Ramai yang merungut, kata mereka sekarang ni susah nak jumpa lelaki yang baik-baik. Dari segi sifatnya, keimanannya, kerjayanya dan rupanya. Huh!

Entahlah, susah juga saya nak komen, kan? Dalam begitu, banyak juga orang bujang (lelaki) yang saya kenali merungut-rungut. Kata mereka , susahnya nak jumpa gadis yang baik-baik. Dari segi karakternya, paras rupanya dan juga keserasiannya. Huh!

Nampak gayanya macam sama saja, kan? Di sana mencari, di sini pun mencari. Mungkin tak jumpa kot. Mungkin ada yang tertanya-tanya, Kak Aina bukannya orang muda, macam mana dia tahu pasal hal ni? Jawapannya... walaupun saya bukan muda, saya ada anak-anak, lelaki dan perempuan dan anak-anak saya ni pula, ada banyak kawan-kawan. Saya juga mempunyai banyak anak saudara, sepupu dan macam-macam lagi. Tentulah tahu, sebab dalam dunia ni, hal kahwin-kahwin ni memang pun penting. Islam menyuruh umatnya untuk berkahwin. Kalau cukup syarat, elok jangan tunggu-tunggu,tak baik.

Kalau zaman dulu, umur tiga belas pun ada yang dah kahwin. Sekarang ni aje orang dah tak buat macam tu. Umur 25 rasa macam muda lagi. Kalau perempuanlah. Kalau lelaki pula, 30 pun masih relaks.

Masalahnya, kalau kita kahwin lambat sangat, lambatlah juga dapat zuriat. Orang sekarang bila dah kahwin pun, masih nak tunggu-tunggu lagi, ada tu memang susah pulak nak dapat zuriat. Bukanlah saya nak suruh orang kahwin cepat-cepat, cuma saya suka mengingatkan, dalam kesibukan kita belajar dan berdepan dengan kerjaya yang mencabar, jangan biarkan diri kita terus keseorangan. Janganlah tunggu-tunggu terlalu lama dan janganlah mengamalkan 'biar dulu', takut bila terasa nak kahwin, dah tak tahu pula nak kahwin dengan siapa.

Percayalah cakap saya, ramai yang baik-baik kat luar sana. Yang penting, janganlah sibuk nak cari yang 'perfect' sebab memang tak ada manusia yang perfect pun. Diri kita pun, tiada yang perfect kerana kesempurnaan itu adalah hak Tuhan. Carilah yang serasi dengan kita, yang sesuai dengan karakter kita. Mungkin kalau susah, suruhlah orang lain yang tolong carikan. Tapi kalau tak diusahakan, mungkin payahlah jodoh nak datang bergolek di depan mata.

Apa-apa pun, kita sebagai manusi cubalah usahakan, selebihnya memang kerja Tuhan. Ada jodoh, datanglah ia. Insya-Allah. Doakan yang baik-baik, agar Tuhan anugerahkan yang baik-baik juga.

Wallahua'lam.

Saturday, September 05, 2009

Isy, Nak Bunuh Diri?!!



Masih aku teringat, bertahun-tahun yang lalu. Ketika itu aku berada di dalam kelas awal program sarjanaku. Sebaik sahaja selesai pensyarahku (Mat salih perempuan) memberi syarahannya, dia telah memberitahu kami semua supaya jangan rasa tertekan dengan semua kerja kursus dan assignment yang pensyarah-pensyarah kami berikan. Katanya lagi, kalau kami ada masalah, beritahulah pada pensyarah.

Aku pun jadi hairan. Kenapa pulak dia cakap macam tu? Hari tu, pensyarah semua takut-takutkan kami. Kata mereka, kalau kami tak siapkan assignment pada masa yang ditetapkan, jangan haraplah boleh dapat markah yang baik. Kerana itu juga, ramai yang kalut mengumpul buku rujukan untuk persediaan. Maklumlah, apabila dah ramai yang mencari buku-buku yang sama di perpustakaan, memanglah tak cukup. Nasib aku baik, sebab aku tinggal di bandar lain. Aku tumpang perpustakaan tempat suamiku belajar. Di sana, aku boleh pinjam apa saja buku yang aku nak. No problem!

Berbalik pada cerita tadi. Aku pun bukak mulut tanya pensyarah tu. "Why?"

Dia pun menambah lagi. Katanya ada sesuatu yang terjadi pada salah seorang kumpulan pelajar kami. Lagilah aku nak tahu. "What happened?" aku tanya lagi.

Ada sesuatu yang tak elok berlaku katanya. Ada yang meninggal dunia. Sekali lagi aku bukak mulut. "Died? why? accident?"

Pensyarah tu terdiam, lalu aku bertanya lagi. "Commit suicide?" aku hentam sahaja. Aku syak mesti ada benda yang macam tu yang terjadi, kalau tak kenapa pensyarah aku tu macam panik je.

Rupa-rupanya memang betul. Ada seorang pelajar dari Afrika Selatan telah menggantung diri di dalam biliknya (hostel) kerana tak tahan dengan tekanan untuk menyiapkan assignment. Kata temannya, dia panik bila cari buku rujukan semuanya tak ada. Nak beli, mahal sangat. Dahlah famili tak ada, macam tak ada tempat untuk mengadu. Last2 gantung diri.

Tentulah kami pun kecoh. Masing-masing tertanya-tanya dan berminggu-minggu soal itu tak habis kami bicarakan. Lepas tu, pensyarah kami tak habis-habis tanyakan kami semua. "Are you all okay?"

Huhu... masa tu aku ada anak tiga orang. Bayangkanlah, aku kena berulang alik setiap hari dari Manchester ke Liverpool untuk menghadiri kelasku. Bila tiba musim sejuk, lagi parah. Terketar-ketar naik bas. Mana nak masak lagi, nak kemas rumah lagi, nak jaga anak lagi. Ada sekali tu, anak kecil aku sakit. Siap aku bawak pergi kelas. Bila aku ada kelas, kawan aku tolong jagakan. Alhamdulillah... Tuhan Maha Kaya dan Maha Penyayang. Aku selamat belajar. Member aku yang tolong jaga anak aku tu pun sekarang ni dah jadi 'Datuk' pun... bukan ada cucu, tapi anugerah dari Sultan.

Apa-apa pun... janganlah kita singkat fikiran. kalau ada masalah, jangan cepat putus asa dan rasa terbeban. Cari jalan untuk selesaikannya. Tak ada benda yang kita tak dapat selesaikan, insya-Allah.

Friday, September 04, 2009

Tambah Tip Penulisan



Okey, pagi ini mood baik saya datang lagi. Mungkin sebab ramai yang minta saya sambung tentang bab penulisan ni. Sebenarnya, apa yang saya tulis, sekadar apa sahaja yang saya teringat. Tak adalah pulak saya keluarkan nota ceramah saya. Nanti macam nak bagi ceramahlah pulak. Ini pun, sekadar nak kongsi ilmu sahaja. Kalau ada yang tak berkenan, tak apa.

Bagi saya, satu perkara yang sangat penting dalam penulisan ini, terutama penulisan kreatif, tak kira novel dewasa atau kanak-kanak, ialah unsur saspens. Ramai yang tak faham apa dia itu unsur saspens. Ramai yang fikirkan saspens adalah untuk penulisan yang bercorak thriller, cerita hantu atau siasat! Apa yang saya maksudkan ialah apa yang akan membuat pembaca berteka-teki. Kita hendak buat pembaca sentiasa tertanya-tanya. Jangan biarkan pembaca dapat agakkan jalan cerita kita itu dan jangan biarkan pembaca tak berminat untuk membaca sehingga habis kerana dia sudah tahu apa yang kita akan tulis di akhir cerita kita itu! Kalau itu yang terjadi,pembaca tak akan berpuas hati.

Lagi satu perkara penting, sebagai penulis, kita mesti mempunyai stail penulisan sendiri. Jangan terikut-ikut dengan stail penulis idola kita. Jangan biarkan pembaca, semasa membaca novel kita, terasa seperti pernah membaca stail penulisan yang begitu. Kalau kita nak bertahan lama, kita wajib ada stail tersendiri. Biar orang mengenali kita dengan stail penulisan kita itu. Jangan terikut-ikut orang lain. Sebagai contoh, cara kita memperkenalkan watak. Jangan buat seperti apa yang idola kita lakukan. Buatlah cara kita pula. Begitu juga dengan dialog. Tulis cara kita.

Apabila kita membawa sesuatu konflik dalam penulisan kita, jangan bawa konflik yang sama seperti orang lain pernah lakukan. Fikirkan tentang konflik atau isu yang baru. Jangan biarkan pembaca terasa seperti isu yang kita bawakan itu sama saja macam novel-novel lain yang pernah dibacanya.

Ada seorang pembaca memaklumkan kepada saya yang dia tersilap beli sebuah novel yang dikatakan sungguh membosankan. Kata pembaca itu, kerana terlalu geram, dia membaling sahaja novel itu. "Saya baca beberapa bab sahaja. Lepas tu, dah tak boleh masuk dah." Jadi, jangan biarkan pembaca kita rasa begitu.

Biasanya, saya mempunyai stail penulisan yang agak 'slow and steady' dalam peringkat awal. Saya lebih gemar cara begitu, mungkin biasa dengan cara novel-novel 'mat salih' yang saya baca dulu-dulu. Atau mungkin saya memang begitu, jenis lambat 'warm-up'. Tetapi, pembaca-pembaca saya dah biasa dengan stail yang begitu daripada saya. Alhamdulillah, hampir semua terima dengan baik.

Saya lebih suka membawa pembaca berkenal-kenalan dengan watak-watak utama dalam peringkat awal. Jadi, anda cubalah sesuatu yang anda rasa lain daripada orang lain.

Apa yang menarik tentang penulisan kreatif ini, penulis boleh 'explore' dan cuba sesuatu yang baru. Kelainan yang ada dalam penulisan kita itulah yang boleh membuat kita bertahan. Jangan asyik-asyik tulis benda yang sama. Pembaca akan terasa bosan!

Thursday, September 03, 2009

Tip Penulisan Lagi



Semalam, saya telah menemuduga watak hero untuk manuskrip novel baru saya. Oh ya, memang bukan mudah. Watak hero saya kali ini memegang jawatan yang sangat unik, mungkin boleh saya katakan 'real hero' punya job! Beliau sedang berada jauh di tempat lain. Kerana itulah saya terpaksa menghubunginya untuk dapatkan info yang tepat. Kalau tersilap, payahlah. Lagipun... memang saya tak pakar sangat tentang kerjayanya itu, walaupun sejak dulu lagi saya memang suka sangat dengan apa yang dilakukan itu.

Wah, misteri, kan? Kalau saya cakap sekarang, tak best lah! potong steam.

Apa pun, ini yang saya nak katakan kalau nak menulis. Kumpulkan fakta, jangan main tembak-tembak aje. Sekalipun nak buat cerita bertema cinta, janganlah buat cerita cinta ala-ala syok sendiri. Mesej mesti ada, jalan cerita mesti buat orang tertanya-tanya. Watak-watak yang dipilih mestilah interesting, bukan biasa-biasa. Kalau boleh, cari tempat latar yang lain juga, agar pembaca terhibur dengan sesuatu yang baru. Pastikan ada terselit unsur humor, tapi janganlah buat lawak bodoh. Warna-warnikan penulisan anda!

Jangan menyinggung pembaca dengan menunjuk ajar mereka... seolah-olah penulis bagus sangat. Jangan menyinggung pembaca dengan menggambarkan cara orang berpakaian dengan watak mereka yang jahat atau baik. Perkara-perkara ini memang penting kerana kalau kita menyinggung pembaca, mereka akan membenci buku kita. Kalau terjadi begitu, kita tak dapat pun nak menyampaikan mesej apa-apa kepada mereka.

Ini lagi satu komen saya. Ramai yang menulis tetapi tak mahu menyemak hasil kerja mereka. Tulis sekali, dah cukup. Lepas tu terus hantar pada penerbit. Kalau kita buat macam tu, itulah yang nak kena reject tu. Lebih elok kalau dah habis tulis, kita semak berkali-kali sekalipun kita rasa tulisan kita tu dah bagus sangat. Lepas tu, suruh member yang kaki membaca, tolong bacakan manuskrip kita tu. Dengar komen ikhlas dia. Kalau dia kata manuskrip kita tu biasa-biasa aje, maknanya tu tak baguslah tu. Kalau dia kata best giler, barulah kita boleh yakin yang manuskrip kita tu ada harapan.

Apa pun, lepas dikembalikan manuskrip kita tu, semak lagi. Pastikan ejaan tak banyak silap, tanda soal, segala-gala tanda dibetulkan. Format betul. Spacingnya betul. Biar manuskrip kita itu kelihatan cantik dari segi penulisannya agar yang membaca nanti tak rasa penat dengan kesilapan yang banyak! kalau kita tak semak dan betulkan kesilapan, bermakna manuskrip kita tu banyak salahnya. Penyemak tak suka membaca manuskrip yang bahasanya tunggang-langgang. Malah, manuskrip yang begitu melambangkan 'ketidakseriusnya' penulis itu!

Okeylah, setakat itu dulu. Nanti bila ada mood saya sambung lagi. Selamat mencuba!

Wednesday, September 02, 2009

Mencintai-Nya...



Kemungkinan besar, ramai di antara kita lebih mendekatkan diri kepada Tuhan apabila berada dalam keadaan yang susah berbanding dengan senang. Mungkin kerana bila dalam kesenangan, kita tak rasa yang kita perlu dekat kepada-Nya. Kita tak rasa sakit dan perit, jadi kita kurang rasa memerlukan. Sekalipun kita sembahyang lima waktu setiap hari, mungkin kita tak mengambil masa untuk berhubungan dengan-Nya. Kita sekadar bersolat sahaja tanpa mahu duduk berdoa pada-Nya.

Bagi saya, setiap kali Tuhan berikan kita kesusahan, sebenarnya Dia menghadiahkan kita hidayah. Kerana dalam kesusahan manusia akan berusaha untuk dekatkan diri kepada-Nya. Semasa itulah kita menghinakan diri dan meminta-minta pada-Nya. Semasa susahlah kita banyak menghabiskan waktu dekat kepada-Nya.

Mungkin lebih elok dan lebih baik kalau kita ubahkan cara kita dekatkan diri kepada-Nya. Susah atau senang, kita tetap hinakan diri mendekatkan diri kepada-Nya. Bertambah kita senang, bertambahlah kita bersama-Nya. Berdoalah dan lakukan apa-apa sahaja yang Tuhan suka. Hargailah masa kita, hargailah kehidupan kita dengan bersyukur sentiasa kepada-Nya. Bersedekahlah. Semasa kita senang, lakukan yang terbaik buat-Nya agar Tuhan akan sentiasa dekat dengan kita. Apabila kita diduga-Nya, janganlah terlalu cepat mengeluarkan kata-kata tak baik seolah-olah kita tak sanggup diduga. Segala baik dan yang tak baik itu datang daripada-Nya. Apa sahaja yang berlaku ada hikmahnya. Cintailah Tuhan kita... cintailah Allah Swt sebagaimana Tuhan mengasihi hamba-Nya.

Tuesday, September 01, 2009

Tip: Menulis Cara Saya



Bila penulisan kreatif dibicarakan, masing-masing penulis ada cara tersendiri. Ada yang begitu dan ada pula yang begini. Nak cerita sikit tentang cara yang sering saya lakukan.

Biasanya, saya akan lakarkan jalan cerita tentatif. Saya berikan tajuk, mudah untuk dirujuk nanti. Mula-mula, saya tuliskan keseluruhan jalan ceritanya sekitar dua muka surat. Kemudian, saya aturkan pula jalan ceritanya mengikut Bab, dari Bab 1 hinggalah Bab yang akhir. Cara saya ialah saya lakarkan sekitar lima Bab dulu, lepas tu sambung lagi, hinggalah selesai. Pagingnya (muka surat) saya jaga supaya setiap Bab tidak lari dari jumlah muka surat yang saya target.

Saya akan tulis dulu apa sahaja yang saya rasa sedap ketika itu. Lepas itu, saya baca semula. Apa-apa yang tak sedap atau tak kena, saya akan ubah dan saya lakukan ini berulang-ulang kali. Saya semak ejaannya. Apa-apa ejaan yang saya tak pasti atau terlupa, saya tandakan dengan warna merah. Begitu juga dengan fakta yang saya tak semak lagi... saya tanda juga.

Bila saya free, saya akan kumpulkan peribahasa dan juga ayat-ayat bunga yang saya rasa sesuai untuk manuskrip saya itu, dan ini akan saya gunakan setelah habis menulis. Saya akan masukkan pada tempat-tempat yang perlu untuk indahkan bahasa saya dalam manuskrip berkenaan. Saya akan semak semula untuk pastikan dialog dan naratif seimbang agar pembaca tak rasa bosan.

Ada banyak lagi yang saya ingin maklumkan, tetapi buat masa ini, ini sahaja yang saya ingin bicarakan. Semoga tip ini dapat membantu mereka yang teringin untuk menulis.