Assalam
Saya masih kesibukan kerana ibu saya masih berada di hospital. Walaupun sudah baik keadaannya daripada mula-mula sakit, namun kata doktor, dia perlukan oksigen lagi, jadi terpaksalah duduk di hospital. Harap-harap tak lama lagi dia akan dibenarkan pulang. Bukannya apa, mungkin jauh lagi seronok buat ibu saya untuk berada di rumah kami. Maklumlah, dia rindu pada cicit-cicitnya.
Pun begitu, di pagi hari Khamis ini, saya ingin bercerita tentang apa yang kita suka buat. Kadang-kadang seseorang itu jadi jururawat atau jadi doktor kerana terpaksa, tetapi bagi mereka yang melakukannya kerana itu adalah pilihan hati mereka dan mereka betul-betul suka pada bidang perubatan ini, pasti mereka seronok buat kerja. Walaupun memenatkan dan mungkin juga tension, tetapi kerana suka akan bidang itu, mereka sanggup sahaja melayan kerenah pesakit dan orang lain yang ada kaitan dengan bidang mereka itu. Berbeza dengan mereka yang melakukan sesuatu kerana terpaksa.
Dalam pada itu, mungkin elok kalau kita bawa berfikir tentang apa sahaja tugasan yang kita perlu lakukan dalam hidup ini. Kadang-kadang kita lakukannya kerana memang kita tiada pilihan. Misalnya seorang suri rumah, walaupun tiada gaji, mereka tetap kena uruskan rumah tangga. Memasak, mencuci pakaian, mengemas rumah, melayan anak-anak dan suami, malah kerja mereka dari pagi sampai malam, memang tak berhenti-henti. Kalau sakit pun tak dapat ambil cuti sakit. Sungguh kesian. Kalau suami dan anak-anak menghargai pengorbanan mereka ini, alhamdulillah.
Tetapi kadang-kadang memang ada suami yang tak ambil peduli sangat. Baginya itu adalah kewajipan isteri, tak kisahlah kalau tak bergaji dan terpaksa bekerja sepanjang hari. Tetapi kalau kita fikir baik-baik, kita tak akan jadi manusia yang tak bertimbang rasa, kerana Allah SWT itu maha kaya dan maha adil, tidak menjadikan kaum Hawa untuk menjadi kuli kepada lelaki. Sepatutnya memang begitu. Kalau lelaki mempunyai hati budi, mereka akan menghormati isteri-isteri yang terpaksa bertungkus-lumus di rumah untuk keluarga. Bukan biarkan isteri jadi kuli, tetapi mereka mengambil kesempatan untuk berseronok-seronok atau menyenangkan hati di tempat lain. Kalau kita 'buat begitu' dan baru tersedar bahawa itu merupakan satu kezaliman, harap-harap kita mampu untuk memperbaiki diri. Jangan biarkan kita buat apa yang kita suka buat, dan biarkan isteri buat apa yang dia terpaksa buat!
Begitu juga dengan kaum wanita, jangan pula kita mengambil kesempatan. Janganlah kerana kita fikir kita dah jumpa dengan lelaki yang baik hati, maka kita pun mula membuli. Jangan lupa... bila apa yang kita buat tu merupakan sesuatu yang tak baik, balasannya tetap akan ada. Tak kiralah kita perempuan atau lelaki. Biarlah kita buat apa yang kita suka dan buatlah dengan niat yang baik dan melalui cara yang baik, agar kita tidak tergolong sebagai mereka yang zalim. Wallahuaklam.
Wassalam
