Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, December 21, 2011

Kiamat Akan Tiba

                        Bumi, bulan dan matahari


Salam

Berduyun-duyun yang menyinggah di blog saya kerana judul entri yang bertajuk 'Tangkap Basah'. Agaknya ramai yang search tajuk itu... untuk apa saya tak tahulah. Okeylah, pagi ini saya nak bawa anda ke tajuk lain pula iaitu 'Kiamat' atau akhir zaman yang dijanjikan Tuhan di dalam Al-Quran. Bukan tujuan saya untuk takut-takutkan anda semua, tetapi sekadar untuk mengingatkan diri saya dan anda juga. Semoga apa sahaja yang kita kejar di dunia ini, kita tetap ingat bahawa bila tiba masanya nanti, kita akan bertemu dengan Akhirat.

Kalau kita duduk dan fikir-fikirkan, dan melihat sekeliling kita, mungkin rata-rata kita boleh katakan yang ramai benar tidak ambil kisah tentang kiamat. Kalau kisah, tentu ramai yang takut. Kalau takut, tentu ramai yang tak nak buat jahat, tak nak lakukan apa-apa yang akan buat Tuhan marah. Kita semua akan lakukan yang terbaik di dunia ini agar ia akan membawa kita ke syurga bila akhirat nanti. Kita tak mahu lupakan Allah swt walau sesaat pun. Bila kita tak lupa pada Tuhan, tentu payah kita nak buat benda-benda yang tak baik. Kita tak akan lupa untuk solat, tidak lakukan rasuah, tidak mengumpat dan mencaci, tidak menipu dan mencuri, tidak lakukan zina, tidak lupa untuk puasa di bulan Ramadhan dan semua kebaikan akan kita buat kerana Tuhan kita. Kita tidak berlaku zalim pada kanak-kanak dan orang tua. Kita akan tunaikan zakat dan menolong mereka yang memerlukan. Kita tidak fikirkan diri kita sahaja, tetapi kita pentingkan anak isteri, ibu bapa, kaum kerabat kita, jiran-jiran dan kawan-kawan.

Kita tak tahu bila kiamat akan tiba. Wallahua'lam , tetapi yang pasti ia akan tiba. Akhirat itu memang benar, cuma kita manusia yang sering leka dengan hal-hal dunia sampai tak mahu pun fikirkan tentang hari kiamat. Mungkin kita takut, jadi paling mudah, kita lupakan sahaja.

Kalau kita mengaku kita Islam, selain daripada mengaku bahawa Allah itu yang Maha Satu, wujudnya para Rasul dan Nabi Muhammad s.a.w. itu Rasul yang terakhir, percaya adanya malaikat-malaikat, Al-Quran itu kitab-Nya, kita juga wajib percaya pada hari Kiamat dan Qada' dan Qadar. Itulah iman kita, tanpa iman, kita mampu untuk tersesat dan hilang di jalan.

Sebagai manusia, kita tak pernah sempurna, tak mampu untuk lakukan segala-galanya seperti apa yang dilakukan Nabi Muhammad s.a.w., namun kita boleh lakukan yang terbaik dan kita perlu tahu bahawa Allah sentiasa membuka pintu taubat-Nya. Setiap kesalahan dan silap yang kita lakukan, pohon ampun pada-Nya. Carilah keredaan, lakukanlah dengan ikhlas. Hiduplah di dunia ini dengan kesedaran bahawa kita hanya menumpang. Tidak ada yang kekal hanya cinta kita pada Allah SWT itulah yang abadi.

Semoga kita sama-sama ingat untuk lakukan kebaikan dan jauhkan diri daripada kejahatan, semoga kita dilindungi di dunia ini dan akhirat nanti.

Saya bukan 'ustazah', bukan juga bijak dalam hal agama. Saya tahu sebagai manusia kerdil di alam ini, sudah banyak dosa yang saya lakukan dan kerana itulah saya mengingatkan diri sendiri untuk cuba lakukan apa yang saya mampu lakukan. Saya ingin mencari keredhaan Tuhan. Insya-Allah, semoga Allah SWT sentiasa buka hati kita untuk menjadi insan yang beriman. Amin ya robilalamin.

Bersedialah kita, bukan sekadar untuk kiamat, tetapi juga untuk alam barzakh. Kematian akan tiba untuk kita semua, hanya Tuhan yang tahu.