Cantik dan bergaya
Salam
Dah pun hari Jumaat sekali lagi. Alhamdulillah, kita masih di sini lagi.
Kepada mereka yang ingin mendapatkan novel terbaru saya, Pukul 3.00 Pagi dalam bentuk e-book (boleh dibaca pada iPad & iPhone), sila klik di sini.
Semalam, ada teman berkata pada saya, "You tahu tak yang dunia kita ni dah sampai ke penghujung hayatnya?"
"Kenapa you kata macam tu?" Sebenarnya saya pun bersetuju yang kita sedang berada di akhir zaman.
"I kata sebab sekarang ni dah payah nak jumpa orang baik hati. Yang jahat, banyak sungguh. Yang paling I takut, sebab ada tu nampak macam baik sangat, rupa-rupanya dialah yang jahat sekali. Dah tu, dah susah nak cari orang baik hati yang buat sesuatu kerana Ilahi. Terlalu banyak orang yang bertuhankan wang sampaikan mata dan hati dah tertutup. Kalau tak beri upah dan ganjaran, tak usah haraplah dia nak berbudi. Sekarang ni 'it's all about money.' I takutlah..."
Mungkin sungguh kot. Apa yang dikatakan teman saya tu, manusia hari ini dah berubah perasaan mereka. Malah, ada yang mahu memilih cinta bila 'wang' menjadi utama. Huhu... ada satu drama Korea ni (tak payahlah saya cakap yang mana satu), itulah kisahnya. Kalau kita tengok dari luar, dialah manusia yang sempurna. Cakap dia lembut, pakaian dia cantik dan bergaya, dan bersopan-santun gila. Tapi... dalam ramai-ramai, dialah yang paling jahat. Hati dia sama buruk macam kain buruk, sampaikan dia tak rasa apa-apa bila buat orang lain jatuh hingga tersungkur. Lepas tu, bila dia kena pula, dia terlupa yang dia pernah buat orang. Dia akan bercakap seolah-olah dia tetap baik hati. Saya suka tengok drama tu, sebab jalan ceritanya menarik, bukan kisah cinta yang biasa-biasa. Malah, kisah cinta dalam drama tu tak banyak mana, sikit saja.
Begitulah agaknya kebanyakan manusia hari ini. Cukup ramai yang bertopeng, tak kiralah kaya atau miskin. Yang kaya nak pekenakan orang lain, yang miskin pun sama juga, nak juga pekenakan orang lain. Dah susah nak jumpa manusia ikhlas yang melakukan sesuatu kerana Ilahi.
Misalnyalah, saya tengok ada syarikat tertentu yang beria-ia sponsor orang ke Mekah untuk tunaikan umrah. Dalam masa yang sama, mereka juga merupakan kumpulan yang menindas orang lain.
Banyak jawatankuasa yang terdiri daripada ahli-ahli yang tak menjalankan tanggunjawab, walaupun mereka telah diamanahkan untuk lakukan sesuatu untuk menyalurkan dana-dana tertentu. Terlalu ramai yang mempunyai agenda sendiri dan semuanya berkaitan dengan keuntungan peribadi. Malah, ada yang diamanuhkan untuk jadi orang yang menghakimkan turut tidak amanah dalam tugas mereka. Jadi macam mana ya? Siapa lagi yang kita nak harapkan? Mungkin di dunia ni, kita terpaksa berjaga-jaga takut terlibat dengan mereka yang berbudaya rasuah dan tidak amanah, jangan sampai kita terperangkap. Sungguh menyedihkan. Yang menggembirakan ialah bila kita percaya bahawa 'setiap yang baik itu akan dibalas baik, yang jahat tetap jahat' dan insya-Allah, biar sekalipun di dunia kita tak bahagia, di akhirat nanti kita berasa sempurna dan hebat. Wallahua'lam.
Sekalipun kita nak bekerja kuat di dunia ni, biarlah apa yang kita lakukan itu adalah untuk akhirat juga. Jangan biarkan diri jadi hamba abdi kepada 'MONEY', takut tak ke mana pun!
Ya sungguh, banyak yang berlaku sekarang ini menakutkan kita. Semoga setiap apa yang kita lakukan, biarlah kita lakukannya kerana Allah SWT. Semoga kita semua selamat dunia dan akhirat. Amin.