Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, December 31, 2009

Demi Masa



Demi masa...
Sesungguhnya semua manusia di dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal saleh,
yang berpesan kepada kebenaran dan yang berpesan kepada kesabaran.

Itulah yang aku pohonkan, agar setiap masa yang berjalan, aku gunakan buat Mu ya Allah... semoga hatiku terus tenang, sabar, yakin dan ikhlas. Aku mengharapkan kebaikan buat diriku ini dan itu semua adalah daripadaMu ya Allah. Berikanlah aku yang terbaik di dunia dan akhirat.

ps: Gambar di atas ialah di Saufiville Resort, Janda Baik.

Wednesday, December 30, 2009

Novel Terbaru Dalam Proses


Design kulit dah siap... tajuk dah ada, layout pun dah siap... tunggu dalam proses untuk cetak sahaja. Insya-Allah dah tak lama lagi. Dada saya... dub-dab, dub-dab... gerunlah pulak.

"Takut ke Kak Aina? penulis dah lama menulis pun takut jugak ke?" soal seorang teman.

"Mahu tak takut! setiap buku saya ada sesuatu yang lain saya bawa. Itu yang takut tu. Takut orang payah nak terima."

Hehe... tak kisahlah. Kalau anda sayang saya... terimalah, kerana apa yang saya tuliskan itu, adalah daripada saya, insya-Allah.

Sunday, December 27, 2009

Hujan Membawa Rahmat




Pada kedua-dua hari majlis perkahwinan Laila Hana dan Ezmal (pernikahan dan reception), hujan turun dengan lebatnya. Namun bagi kami,itulah Rahmat Tuhan... semoga kedua mempelai dirahmati Allah SWT hingga ke akhir hayat dan akhirat.

Khemah yang bertema krim - majlis di rumah. Tema merah jambu dan putih pula, majlis di Saufiville Resort, Janda Baik.

Cerita Jiran Kami




Alhamdulillah,kami dianugerahkan jiran tetangga yang baik hati. Semasa di Bangi dulu, jiran-jiran kami baik belaka. Malah, ramai yang datang memeriahkan majlis perkahwinan anak kami. Bekas jiran sebelah rumah saya di Bangi, siap berikan hadiah untuk dijadikan dulang hantaran. Jiran kami di Nilai ni (kumpulan wanita berbaju biru/ungu dalam gambar- ada yang bukan Melayu juga), bertungkus lumus menyiapkan pelbagai macam benda untuk majlis pernikahan anak kami yang kami buat di rumah. Termasuklah jambangan bunga besar dan menghiaskan taman kami sekali. Sampai ke larut malam, mereka masih bekerja keras, bergotong-royong membantu kami. Jiran yang first class! Terima kasih kepada mereka.

Lagi Gambar Laila dan Ezmal






Lagi Gambar Majlis Perkahwinan Laila Hana dan Ezmal



Gambar-Gambar di Majlis Perkahwinan Puteri Kami





Saya cuba susunkan beberapa foto yang kami ambil semasa puteri kami menikah dan majlis Reception... di rumah dan di Saufiville, Janda Baik.

Satu-Satunya Puteri Kami

Sejak dilahirkan lagi, satu-satunya puteri kami, tak pernah berpisah dengan kami. Dia tidak pernah pun bersekolah asrama dan semasa di universiti (UNITEN) dia berulang dari rumah. Walaupun dia merupakan pelajar yang pintar (kebetulan dianugerahkan Dean's List) Laila Hana, kami tak benarkan dia ke asrama. Tentunya sebagai 'only girl', suami saya sangat manjakan anak perempuan kami ini. Ketika usianya dua bulan, saya terpaksa menghadiri suatu mesyuarat di utara, dan kerana dia masih menyusu badan, suami saya terpaksa membawa anak-anak ke utara dan ketika itu, kami menyinggah di Pulau Pinang dan tak sangkalah pula yang puteri kami itu akan berkahwin dengan orang Pulau Mutiara itu.

Laila Hana dilahirkan 22 tahun yang lalu di Petaling Jaya... sekitar waktu Maghrib, dan dia merupakan anak kami yang terkecil saiznya ketika dilahirkan. Sejak kecil lagi, dia memang manja dan kami tak pernah terlintas untuk menghantar dia ke mana-mana yang jauh dari kami. Malah, dia tidak pernah pun ikut rombongan sekolah ke mana-mana. Ke mana sahaja dia pergi, dia hanya pergi dengan kami ahli keluarganya.

Mungkin kerana itu, semasa hari nikahnya dia, saya menangis. Ketika kedua-dua anak lelaki saya menikah, tidak pula saya rasa sedih, tetapi semasa anak perempuan saya dinikahkan (Ayahnya yang menikahkannya), saya tak tergamak untuk melihat. Mungkin sedih kerana tiba-tiba terasa yang puteri kami itu sedang diambil orang... aduhai...

Apa-apa pun, kami berdoa agar Tuhan berkati dan rahmati perkahwinannya ini dengan suami yang tersayang, akan jadikan dia seorang isteri yang solehah dan ibu yang baik buat anak-anaknya nanti. Walaupun anak kami masih lagi tinggal dengan kami, namun kini... dia adalah isteri orang.

Saturday, December 26, 2009

Puteriku Isteri Orang

Selamat Pengantin Baru!


Saya tak sempat hendak berbual panjang dalam entri ini, tetapi ingin ucapkan selamat pengantin baru kepada semua pasangan yang baru menikah dan akan menikah dalam tempoh terdekat ini.Hari ini, saya ada empat jemputan yang terpaksa saya kunjungi. Walaupun banyak kerja di rumah, tetapi tak apalah. Sekali-sekala sahaja sibuk begini. Kepada mereka yang baru menempuhi alam berumah tangga dan yang akan menempuhinya, saya nasihatkan supaya suburkanlah keindahan alam itu. Sayang-sayangilah insan yang kita pilih untuk dijadikan teman hidup, dan hiduplah dengan aman damai hingga ke pintu syurga. Kasih sayang jangan dibiar pergi begitu sahaja. Cintailah teman anda sampai bila-bila. Semua itu adalah anugerah Tuhan dan kini berada di tangan kita, jangan biarkan ia pudar dan berlalu pergi. Tidak mustahil kita boleh menyayangi teman hidup kita hingga ke pintu syurga. Banyak bersabar, banyak bertolak-ansur, sematkanlah perasaan kasih dan sayang dan juga kasihan di hati kita.Insya-Allah, semarakkanlah perkahwinan kita ini.

*Gambar di atas sekadar hiasan sahaja.

Thursday, December 24, 2009

Doa Tidak Semestinya Dimakbulkan


Kenapa saya suka merantau? mungkin kerana banyak yang saya pelajari apabila melihat tempat orang dan bertemu dengan insan-insan yang bergelar hamba Tuhan. Lagi banyak kita berjalan,lagi banyak yang kita belajar. Semasa di Riau baru-baru ini, saya bertemu dengan Ibu Mariam, isteri kepada Pak Buya Karim, teman suami saya yang tinggal di Kerinchi(ini Kerinchi yang dekat dengan Pekanbaru, bukan yang di Jambi) dan semasa berbual-bual dengannya, ada sesuatu yang dikatakan kepada saya yang sangat-sangat berkesan di hati.

Katanya,"Tak semua yang kita doa pada Tuhan, dimakbulkanNya. Kadang-kadang, sekalipun kita berharap sangat,doa kita itu tak menjadi. Janganlah kita berkecil hati dengan Tuhan, kerana Tuhan lebih Mengetahui. Kalau Tuhan tidak makbulkan, itu bermakna ada sesuatu yang tersirat. Lagipun... tak ada maknanya kalau apa sahaja yang kita minta kita dapat. Mungkin lain kali kita tak tahu merasa nikmatnya."

Lama saya berfikir-fikir tentang hal ini. Malah sepanjang perjalanan pulang dari Kerinchi ke Pekanbaru, itu yang saya fikirkan. Ibu Mariam banyak bercerita tentang pengalaman hidupnya. Walaupun dia merupakan anak orang kampung, tidak berpelajaran tinggi, namun dia merupakan seorang wanita yang sangat bijak orangnya. Dialah merupakan tulang belakang Pak Buya Karim dan saya percaya, kerana kebijaksanaan Ibu Mariam, maka Pak Buya Karim menjadi salah seorang yang terkaya di kawasan itu. Tetapi yang penting, kedua-dua mereka sangat rendah diri orangnya dan sangat taat kepada perintah Tuhan. Alhamdulillah.

Semasa saya mengadakan majlis perkahwinan untuk anak sulung saya (Bulan Ogos yang lepas), Pak Buya Karim dan Ibu Mariam turut datang, sekalipun ketika itu Pak Buya Karim kurang sihat. Saya sangat menghormati mereka berdua dan kerana itulah, sekalipun masih lelah, saya dan suami tetap sampai ke sana. Alhamdulillah sekali lagi.

Relaks di Riau


Oh ya... bagi saya, memang saya ke Riau untuk relakskan diri. Apatah lagi setelah penat menganjurkan majlis perkahwinan anak perempuan kami. Kebetulan... ini merupakan kali kedua saya ke tempat yang sama, di daerah Kerinchi, Pekanbaru untuk menghadiri majlis perkahwinan anak rakan kami. Untuk makluman anda, rakan kami ini memang orang berada. Kira macam orang kaya di kawasan itulah. Khemah di depan rumahnya sebesar-besar tidak, siap dengan macam-macam makanan istimewa. Pada malamnya pula, ada jemputan penyanyi Indonesia (Akademi Fantasia Indonesia)... dua orang dan banyak lagi penyanyi lokal yang menghiburkan para tetamu. Terdapat juga sekolah agama di atas tanah kawan kami itu, jadi ramailah pelajar-pelajar sekolah agama yang turut berada di situ.

Mengikut cerita seorang kawan yang lain, anak rakan kami yang berkahwin ini adalah anak bongsunya. Kerana anak bongsunya itu mengikut kata orang tua, dia dihadiahkan sebuah jam tangan rolex dan sebuah kereta mercedes! aduhai... syoknya jadi anak orang kaya, kan.

Kami tidur satu malam di Kerinchi dan esoknya kami pergi ke Pekanbaru. Memang dah banyak perubahan di tempat itu. Saya datang sekitar tiga tahun setengah yang lalu, bersama suami dan dua orang anak (yang sulung dan kedua) dan kali ini, saya datang dengan suami sahaja. Suami saya dah berkali-kali ke sana (atas urusan perniagaannnya)tetapi kali ini, kami datang untuk relaks sahaja.

Pekanbaru sudah banyak berubah. Rata-rata, penduduknya jauh lebih senang dari dulu. Masing-masing bawa kereta baru (kebanyakannya kereta Honda dan Toyota) dan kawasan Pekanbaru juga sudah ada banyak pembangunan yang pesat. Banyak bangunan yang cantik dan menarik dan banyak hotel baru dibina. Memang berbeza. Malah, bagi saya, orang di kawasan Riau, jauh lebih senang dari orang di pulau Jawa... atau mungkin orang Malaysia?

Apa-apa pun, saya seronok di sana kerana rata-rata orang di sana sangat berbahasa. Cakap lembut-lembut dan bersopan santun dengan tetamu. Semasa saya di kedai, semuanya baik belaka... tidak seperti di Malaysia, pekerja kita jarang yang tahu berbahasa. Paling saya seronok kerana rata-rata di sana, kedainya bertuankan orang Melayu. Menarik!

Maaflah... saya tak ambil gambar di sana, yang ada ni... pinjam dari google. Masjid Besar Pekanbaru.

Sunday, December 20, 2009

Terima Kasih...

Salam, semua

Saya tak dapat update kan blog ini kerana masih keletihan. Hari Jumaat dan hari Sabtu yang lepas ialah majlis perkahwinan anak perempuan saya. Esok pula saya akan ke Riau, Indonesia untuk menghadiri majlis perkahwinan anak seorang rakan. Hari Rabu baru pulang, maknanya...mungkin hari Khamis baru boleh duduk di depan komputer. Apa-apa pun, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu yang menghadiri kedua-dua majlis perkahwinan anak perempuan saya, Sharifah Laila Hana dan suaminya Muhammad Ezmal Yusuf. Terima kasih kepada keluarga dan rombongan pengantin lelaki, terima kasih jua kepada saudara mara, rakan-rakan dan jiran-jiran yang sudi menghadiri majlis kami sekalipun kedua-dua hari, hujan agak lebat juga. Bagi kami itulah Rahmat Tuhan, semoga kita semua menerima anugerah Ilahi dengan kesyukuran, kesabaran dan keikhlasan.

Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada jiran-jiran saya yang bertungkus-lumus menolong saya, teman-teman yang datang dari jauh dan dekat... dan juga kepada Encik Sarofini Saufi Datuk Saufi dan isteri, Raja Izrinda, pengurus Saufiville Resort, Janda Baik... yang bersusah payah menguruskan majlis reception di resort mereka itu. Semoga Allah Swt. memberkati keikhlasan dan budi baik anda sekelian.

Thursday, December 17, 2009

Kenapa Tulis Novel?



Ramai yang dah tanya soalan yang sama, "Kak Aina... kenapa tulis novel?"

Saya percaya, setiap penulis mempunyai jawapan yang berbeza, namun bagi saya,saya memang seronok melakukannya, iaitu menulis manuskrip untuk dijadikan novel. Bagi saya, saya ingin memaparkan kisah hidup kita manusia yang berbeza-beza. Penuh dengan dugaan dan cabaran... namun segala pahit yang kita rasai itu, kalau diharungi dengan perasaan sabar, bertolak-ansur dan bersyukur, ganjarannya besar. Segala sakit dan perit itulah yang memaniskan pengalaman hidup. Apa sahaja yang negatif yang terpaksa kita hadapi, anggapkan sebagai suatu pengajaran dan apa sahaja tindakan yang kita harus ambil, lakukan dengan niat yang suci dan ikhlas agar kita diberkati Tuhan. Segala jalan yang sempit, kita laluinya dengan ketabahan dan tanamlah sifat kuat dan positif supaya hidup kita tidak terikat dengan kemalapan.

Bagi saya memang tak lojik kalau kita hidup tanpa melalui sakitnya. Namun, apa sahaja yang perit itu kita bawakanlah kepada jalan yang mencemerlangkannya. Kita mampu lakukannya dengan sentiasa berdoa kepada Ilahi dan berusaha.

Kerana itu juga, saya tidak menulis untuk mengajar pembaca menjadi orang yang bersifat negatif. Itulah cara saya berfikir. Kita jangan takut dengan kegelapan yang berdepan dengan kita, kerana kita mesti percaya, cahaya akan berada di hujung gelap itu.

Itulah yang selalu buat saya rasa seronok untuk menulis! Saya sentiasa ingin berkongsi cerita. Insya-Allah.

Wednesday, December 16, 2009

Malam Yang Kalut



Sepanjang hari semalam, saya kesibukan. Kebetulan, badan pun tak berapa sihat. Pening dan dedar... mungkin sebabkan flu. Tapi, tak apalah... bukannya teruk sangat pun. Awal pagi, suami saya telah ke Johor Bahru. Alhamdulillah, mungkin kami memang sesuai tinggal di Kota Seriemas ini, kerana tak jauh dari lapangan terbang (KLIA dan LCCT). Suami saya hampir setiap minggu, kadang-kadang sampai dua tiga kali seminggu terpaksa ke Johor Bahru sebabkan projek yang sedang dijalankan syarikatnya. Kadang-kadang ke tempat lain juga. Siangnya itu, banyak benda yang saya kena buat. Mujur juga anak bongsu saya dah selesai peperiksaan SPMnya, jadilah dia supir saya, ke hulu dan ke hilir. Nasib baik juga dia sudah lama berlesen memandu.

Suami saya pulang pada petangnya, sempat pula menyinggah di kedai gunting rambut setelah pulang dari lapangan terbang dan sebaik sahaja solat Maghrib dia sudah ke KL semula kerana terpaksa menghadiri jamuan malam yang diundang seorang duta luar. Kebetulan pula, saya dan anak-anak termasuk ibu dan adik saya, kami dijemput besan kami untuk makan malam di Putrajaya. Sekali lagi anak bongsu saya yang menjadi pemandunya.

Sesampai di rumah, hari dah agak lewat malam. Saya hanya menanti sumai pulang, dia lambat sikit kerana agak jauh juga untuk ke Ampang. Sekitar 11.30 malam, dia menghubungi saya. Katanya, "I accident lah!"

Tentulah saya terkejut, tetapi alhamdulillah, kerana dia sendiri yang menghubungi saya, tidaklah saya panik sangat. Katanya ada seorang pemandu wanita yang terbabas dan berpusing lalu terus melanggar keretanya. Malam tadi hujan.

"Habis tu, you macam mana?" soal saya, risau juga.

"I okay. Dia pun okay. Cuma keretalah teruk. Kereta I pun tak boleh bergerak ni sebab tayar belakang tersangkut." Tetapi suami saya tak mahu saya datang. Ketika itu dia tidak jauh dari kawasan Tol Sungai Besi, lalu saya pun hubungi anak sulung saya yang kini tinggal di rumahnya di Bangi untuk pergi membantu ayahnya.

Berkali-kalilah saya hubungi suami saya untuk pastikan semuanya okey. Alhamdulillah, dia tiba rumah hampir 3.00 pagi. Dia relaks dan saya pun relaks juga. Katanya dia sudah pun buat laporan polis dan anak sulung kami yang menemaninya.

Sungguhpun malam tadi agak malang buat kami, namun hati ini tetap tenang. Bagi saya dan suami, ini hanya sekadar dugaan kecil yang Tuhan berikan dalam keadaan kami yang sedang kesibukan. Biasalah... kita hanya manusia, dari masa ke masa, dugaan seperti ini akan datang kepada kita untuk menguji.

Pagi ini, selesai solat Subuh, saya turun sebentar untuk menjenguk keadaan kereta suami saya. Memang kena buat major repair... namun alhamdulillah, saya terima dengan baik, begitu juga suami. Tak apalah kalut sikit...

Tuesday, December 15, 2009

Janji Yang Tak Ditepati


Buat apa kita berjanji kalau kita tahu yang kita tak akan menepati kata-kata kita itu? Saya memang tak faham dengan orang yang buat janji tetapi akhirnya membatalkan janjinya dengan sengaja. Di atas alasan-alasan yang tak konkrit, dengan senang hatinya janji dilupuskan. Sebenarnya saya tak berniat untuk menceritakan kisah ini, tetapi saya rasa elok juga saya ceritakan untuk satu pengajaran buat kita semua.

Semasa bulan Ramadhan yang lepas, awal-awal lagi saya telah berancang untuk sponsor buka puasa kepada sebuah rumah anak yatim yang terletak tidaklah jauh dari kawasan kami di Bangi. Saya 'book' tarikhnya pada penghujung bulan Ramadhan, kerana kata pihak pengurusannya, masa itu sangat sesuai kerana tak ada orang lain yang hendak sponsor. Saya pun okey dengan tarikh yang diberikan itu. Malah, dua minggu sebelum tiba tarikh itu, saya bertanya lagi apa makanan yang kanak-kanak itu suka untuk dijadikan juadah berbuka puasa. Saya pun berpakat dengan staf KarnaDya untuk aturkan program berbuka puasa itu. Semua staf KD bercadang untuk turut serta dalam majlis yang dirancang itu.

Pada hari berkenaan, saya pun telefonlah pihak pemgurusan dan memaklumkan tentang perkara itu sekali lagi. Malangnya, pihak pengurusan memaklumkan kepada kami bahawa pada petang itu, kanak-kanak itu akan dibawa ke sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya kerana ada syarikat lain yang akan 'sponsor' berbuka puasa.

Jadi saya pun bertanyalah, "Bukan ke kita dah berjanji yang petang ini kami yang nak sponsor buka puasa?"

Kata pihak pengurusan, "Nak buat macam mana, ada syarikat ni dah ajak. Kalau Puan nak hantar makanan, hantarlah."

"Siapa yang nak makan kalau dah budak-budak tu makan di hotel?"

"Hmm... tak apa. Nanti kami boleh bawak balik. Budak-budak tu pun, mungkin masa balik nanti masih lapar."

"Kan dah lewat masa tu, takkan dia orang boleh makan lagi? lagipun... banyak yang kami beli nanti." Kami rancang untuk order pizza kerana kanak-kanak itu kata nak makan pizza. Tapi... ialah, pizza nak lawan makanan hotel lima bintang, tentulah pizza tak laku.

Kami terkilan, kerana permintaan kami itu dihampakan begitu sahaja. Sudahlah pihak berkenaan tidak memaklumkan kepada kami dari awal lagi tentang perubahan rancangan. Bertambah terkilan kerana saya sudah berkali-kali menghantar 'sedekah' dalam bentuk wang kepada pihak berkenaan sebelum itu.

Kami terpaksa batalkan perancangan kami itu dan saya hanya belikan makanan untuk staf KD berbuka puasa di pejabat. Tak jadilah makan bersama-sama anaka-anak yatim. Begitulah nasib kita, hinggakan nak bersedekah pun susah... terpaksa compete dengan syarikat gergasi. Maklumlah, kita sekadar semut... janji yang dibuat dengan kita tak ada erti dan harganya. Sejak itu, saya pun carilah rumah anak yatim yang lain, yang mungkin lagi daif dan lagi payah untuk orang lain sampaikan sedekah mereka.

Apa yang saya ingin ketengahkan ialah tentang 'janji'... janganlah kita anggap itu sekadar perkara remeh sahaja. Bila kita perlu, kita keluarkan kata-kata manis, tapi bila kita dapat yang lebih baik, janji kita tadi, kita tolak tepi.

Monday, December 14, 2009

Kebetulan, Suatu Perjalanan Yang Indah



Tuhan Maha Berkuasa. Apa-apa sahaja boleh terjadi dalam hidup kita. Pernah saya dengar komen seseorang yang mengatakan, kebanyakan novel Melayu atau novel yang bertemakan cinta, banyak sangat unsur kebetulannya dalam jalan cerita. Dan kerana itu, baginya perkara itu tidak sesuai dan tak kena. Namun, saya juga pernah membaca sebuah buku agama (Dah tak ingat yang mana)yang ada menyatakan bahawa hidup kita ini dijadikan Tuhan dengan pelbagai 'kebetulan'. Kerana kebetulan inilah, ramai yang menemui jodoh, mendapat kawan, berkenalan, melakukan aktiviti, malah mungkin juga menemui ajal. Jadi, janganlah kita pandang remeh kepada 'kebetulan' yang sentiasa ada dalam hidup kita ini.

Saya berikan satu contoh yang benar-benar berlaku. Ini adalah kisah anak sulung saya. Dia tinggal di UK lebih 13 tahun dan kerana itu, saya sangat mengharapkan agar dia mahu terus pulang ke Malaysia. Akhirnya dia bersetuju untuk balik. Semasa itu, anak saya masih 'single and available'. Jenuhlah kami cuba carikan pasangan yang sesuai untuk dijadikan jodohnya, namun tak juga dapat-dapat. Kami pun berpindah ke Kota Seriemas.

Kebetulan, semasa kami berpindah itu, kawasan Laman kami menganjurkan program silaturahim untuk penduduk. Kebetulan lagi, anak saya terpandang seorang anak jiran... dan dia tertanya-tanya tentang gadis itu. Tetapi kami tak pasti sama ada anak jiran itu sudah berpunya atau tidak. Maklumlah, kami belum mengenali jiran-jiran ketika itu. Sejak itu, anak kami terus menaruh minat, tetapi tidak pula 'approach' anak jiran itu, mungkin kerana tak pasti.

Suatu hari, ada jemputan perkahwinan salah seorang jiran dan 'kebetulan' saya terpaksa ke Langkawi dengan anak perempuan saya, jadi saya berpesan pada suami supaya menghadiri majlis itu bersama anak sulung saya. Sekali lagi, 'kebetulan' semasa menghadiri majlis itulah, entah macam mana, mungkin kerana orang terlalu ramai, anak saya dan suami saya 'terduduk' bersebelahan dengan jiran kami yang mempunyai anak dara yang anak saya berkenan itu. Dari situlah mereka berkenalan hinggalah diijabkabulkan. Satu kebetulan yang real!

Perjalanan hidup kita ini sememangnya mempunyai banyak kebetulan dan itulah menariknya! Banyak benda yang kita tak sangka terjadi kerana ia adalah di atas Keizinan Ilahi. Allah SWT Maha Agung!

Sunday, December 13, 2009

Chatting



Baru-baru ini, saya berchatting dengan seorang penulis. Saya memang jarang berchatting, cuma bila free, kadang-kadang terasa juga macam nak berchatting. Penulis ni barulah jugak... dan dia bertanya macam-macam dengan saya. Salah satunya, "Kak Aina... kalau ada penulis lain kutuk buku kita macam mana ya?"

Saya pun bertanya balik, "Kutuk macam mana tu?"

"Yalah... konon-konon buku kita tak sedap. Ini terjadi pada kawan saya. Siap penulis yang komen tu, kutuk dalam blog dia lagi. Pada hal dia pun penulis jugak."

"Agaknya dia hebat benarlah tu." Kata saya.

"Tulah... saya pun rasa pelik. Lagipun, tak baiklah buat pada orang lain macam tu. Kawan saya tu terus putus semangat. Tak ada semangat nak tulis lagi."

"Aduhai..." saya mengeluh. Memang tak baik. Bagi saya, apa-apa yang saya rasa tak elok tentang sebuah buku, kita boleh komen dengan cara yang baik... hantar terus emel kepada penulisnya. Itu pun kalau rasa dah tak tahan, mesti nak komen jugak.Kalau tidak, diamlah sahaja. Kalau rasa ada benda yang kita nak tegur, kita boleh buat secara beralas. Tak payah sebut nama buku dan tak payah sebut siapa penulisnya. Sebut sahaja apa kesilapannya. Itu pun tak payah kita sentuh terang-terangan. Jadi, tidaklah kita mengaibkan sesiapa pun.

Sebagai penulis, kita janganlah berasa takut kalau ada orang sengaja mengutuk kita, kerana memang lumrah alam, akan ada manusia yang begitu, yang suka mengutuk orang. Anggaplah itu sebagai cabaran. Saya sendiri sudah berkali-kali dikutuk orang... siap tulis dalam blog lagi. Tak apalah, apa yang boleh saya buat, kecuali berdoa agar saya dilindungi Allah SWT. Allah SWT maha Kasihan... insya-Allah, belum lagi saya berpatah semangat sekalipun pernah juga orang lain cuba sabotaj. Biarlah orang buat kita, asal kita tidak buat orang.

Baru-baru ini, seorang chatter juga beritahu saya untuk melihat sebuah blog ini. Katanya blogger itu menulis tentang buku saya, 'Matahariku'. Sebenarnya sudah banyak juga blogger yang tulis tentang buku-buku saya. Selalunya orang lain yang beritahu saya kerana saya memang jarang masuk ke blog orang. Anyway... sebab sekarang ini saya agak free... saya pun pergilah menjenguk. Saya tersenyum-senyum seorang diri... bukan kerana komennya yang sangat positif itu (sebab dah ramai yang kata begitu), tetapi tentang 'detail' nya komennya itu... dari pelbagai sudut pandangan. Penulis blog itu sangat teliti orangnya dan memang faham apa yang saya ingin sampaikan dalam 'Matahariku'. Walaupun saya yang menulisnya, tetapi apabila ada orang lain nampak apa yang ingin saya sampaikan sebenarnya, saya memang teruja. Memang dari awal lagi saya telah maklumkan kepada pembaca saya bahawa 'Matahariku' saya tulis ala-ala Mills and Boon (zaman dulu-dulu saya memang kaki baca Mills and Boon) dan saya juga kata cerita saya itu ala-ala Bollywood... dan ramai yang bersetuju, sebab ada unsur-unsur fantasi. Mungkin ini adalah satu kebetulan yang saya juga sengajakan. Saya memang dari awal lagi mahu menulis tentang hero kacukan Arab ni... pada mulanya saya nak ambik latar di UAE, tetapi saya telah ke Yemen. Tiba-tiba di sana, saya betul-betul terjumpa dengan hero yang saya cari-cari, jadi saya tukar latarnya... beralih ke Yemen. Dan kebetulan juga, saya telah dimaklumkan oleh pihak Mills and Boon (KarnaDya memang ada kerjasama dengan pihak itu) bahawa mat salih 'suka giler' baca novel-novel yang heronya campur Arab. Pelik, kan? itu yang saya teruskan dengan perancangan saya itu.

Okeylah... alhamdulillah, ramai yang terima baik dengan penulisan saya itu, walaupun tidak semua yang setuju. Bagi saya, it's okay... itu cita rasa masing-masing, asalkan tidak mengaibkan saya di mana-mana...

Terima kasih kepada semua yang telah memberi sokongan kepada saya dan juga yang telah berikan semangat kepada saya untuk terus menulis. Terima kasih, Tuhanku.

Saturday, December 12, 2009

Personaliti Hero Saya




Semalam... alahai sibuklah pulak! Walaupun saya kata tak kisah, suka tak suka, kena juga ambil kisah, maklumlah anak nak kahwin. Terpaksa sibukkan diri mengemas rumah, luar dan dalam. Bab ini, suami saya memang rajin. Dia tak berat tulang. Malah, setiap hujung minggu, itulah kerja dia, mengemas dan mengemas!

Hari ini, saya nak puji suami saya. Bukanlah saya nak menunjuk-nunjuk, tetapi apa salahnya, kan? selalu juga saya komen pasal orang lelaki dalam blog saya ini. Bila masa nak puji, kita pujilah. Alhamdulillah, Tuhan telah hadiahkan seorang suami yang baik hati buat diri yang kerdil ini. Mungkin kami telah mengharungi pelbagai masalah bersama-sama sejak mula berkahwin, tetapi sekali lagi alhamdulillah, kami dapat mengatasinya bersama-sama.

Di antara dia dan saya, saya rasa dia jauh lebih baik daripada saya. Dia lebih bersabar, lebih menjaga hati dan lebih menyayangi saya. Dulu-dulu, saya ni jenis berangin. Silap sahaja, suka melenting, suka merajuk. Merajuk ialah 'main aktivity' saya. Tapi, suami saya, dia dah faham dan kenal hati budi saya. Dia tahu macam mana nak 'tackle' saya. Kalau orang lain agaknya, dah lama orang seperti saya ditinggalkan.

Mungkin dia menepis segala yang kecil-kecil untuk menghayati kebaikan besar saya.

Saya percaya, kerana pengalaman hidup saya dengan suamilah berjaya menghidupkan watak-watak lelaki dalam novel-novel saya. Bagi saya, hero adalah hero, kerana mungkin suami saya yang begitu. Bukan soal rupa atau wang ringgit, tetapi soal personaliti yang saya suka dan 'ngam' dengan saya.

okeylah... lain kali kita sambung lagi. Hari ini, saya ada dua wedding yang saya kena pergi. Jumpa lagi!

Thursday, December 10, 2009

Berangan-angan!



Inilah yang sering saya lakukan apabila tidak sibuk menulis. Berangan-angan. Saya suka fikirkan tempat-tempat menarik yang saya teringin hendak pergi. Di dalam kepala sudah ada nama-nama tempat ini, tetapi ialah... beranganlah dulu. Bukannya boleh kata, "Jom pergi sekarang!". Banyak benda yang saya kena fikirkan.

Dalam masa seminggu lagi, anak perempuan saya akan melangsungkan perkahwinannya. Walaupun saya buat kecil-kecilan, kecohnya sama saja, cuma saya ini bukan jenis orang yang suka buat kecoh. Ada saja yang bertanya, "Dah siap ke semuanya?" Saya jadi terpinga-pinga."Nak siap apa?" Hehehe. Macam itulah. Saya mungkin jenis 'sempoi' kata budak-budak sekarang dan suka hati anak sayalah nak buat macam mana. Lagipun, jiran-jiran saya sporting, dia oranglah yang sibuk-sibuk untuk saya. Alhamdulillah... tak sangka sungguh, walaupun tak lama mana saya tinggal di tempat ini, namun jiran tetangga sudah mesra dengan kami semua. Banyak yang 'volunteer' untuk membantu. Esok-esok, saya pula kena tolong mereka.

Berbalik kepada tajuk di atas. Berangan. Saya rasa, semua penulis kena wajib berangan, itu kalau nak tulis fiksyenlah. Kalau nak tulis perkara non-fiksyen, kenalah banyak buat research. Tapi fiksyen pun kena buat research jugak, tapi berangan dulu tentang apa yang hendak ditulis nanti.

Anak-anak saya semuanya dah besar, malah tahun depan ni, dah tak ada yang pergi sekolah. Tak payah sibuk nak beli baju sekolah atau kasut sekolah. Tunggulah dia nak sambung belajar di mana. Buat masa ini, sedang berangan nak berjalan-jalan dengan anak saya yang bongsu ini. Yang tiga lagi, dah kahwin. Bayangkanlah... tahun ini saya dapat tiga orang menantu. Tahun lepas dok fikir-fikir, bila anak-anak saya ni nak kahwin. Kepada pembaca blog ini, kalau ada yang rasa nak datang majlis perkahwinan anak saya, jemputlah datang ke rumah pada 18 Disember ini, di sebelah petang. Alamat rumah saya,qqqqq Laman wwwww, Kota Seriemas, Nilai. Insya-Allah, Receptionnya saya buat di Janda Baik... private sikit, sebab tempatnya tak besar, jadi tak dapatlah jemput semua orang. Tapi, saya tak kisah kalau ada yang nak ke sana. Jemputlah... tempatnya di Saufiville Boutique Resort, Janda Baik, Pahang pada 19 Disember... juga di sebelah petang. Saya ikhlas menjemput anda semua...

Okeylah... saya nak sambung berangan!

Wednesday, December 09, 2009

Akhlakmu Di Mana?


Sebagai penulis, saya cuba membaca sesuatu dari wajah seseorang, kelakuannya dan juga dari tertibnya. Namun, saya sekadar manusia biasa, ada kala, apa yang saya anggarkan itu tepat sekali, ada ketika tidak juga. Kalau dulu, saya selalu mengandaikan bahawa mereka yang dari luar kelihatan seperti 'baik', tentulah baik juga akhlaknya. Sebenarnya, kita jangan sesekali melihat sekadar pakaian orang atau mungkin gelarannya untuk meletak orang itu sebagai 'bagus' atau tidak. Saya seperti orang lain juga, akan secara automatik menghormati mereka yang memegang gelaran 'ustaz' atau 'ustazah', dan juga mereka yang berpakaian sopan (bertudung labuh dan berserban).

Suatu ketika dahulu, saya pernah mengenali seorang wanita yang juga kami panggil 'ustazah'. Selain daripada menjual barang-barang kemas, beliau juga mengajar bahasa Arab dan memberi ceramah di surau-surau, semestinya tentang agama, untuk kaum hawa. Ketika itu, saya masih bekerja, dan 'ustazah' ini rajin ke tempat kerja saya kerana mencari pelanggan untuk barang-barang kemasnya. Saya juga merupakan salah seorang dari pelanggan beliau.

Kalau dia datang ke pejabat kami, dia akan mencari orang-orang seperti saya, yang ada potensi membeli barangnya juga. Saya pula ketika itu memang tengah 'loaded' dan tak kisah, apa sahaja orang tunjuk pada saya, akan saya beli. Dia memang baik dengan saya, dari jauh lagi sudah mnenegur saya dengan suaranya yang lemah gemalai. Ketika itu, saya memang menganggap dia baik, maklumlah, dia juga rajin memberi nasihat-nasihat agama kepada kami.

Suatu hari, saya bertanya kepada kawan saya (Seorang rakan baik) yang bekerja sepejabat dengan saya, tentang 'ustazah' tadi. Kawan saya berkata, "Dia tak suka saya."

"Kenapa?"

"Saya tak pernah beli barang kemas dia. Mana saya ada duit."

"Hah? takkan sebab tak beli barang kemas, dia tak suka awak pulak?" saya tak yakin.

"Betul. Kalau tak percaya, nanti awak tengoklah bila dia datang sini. Dia hanya tegur mereka yang jadi pelanggan dia sahaja. Yang lain-lain dia buat tak nampak."

Selepas itu, saya perhatikan tingkah wanita itu. Memang betul kata rakan saya. Tetapi saya tak hendak berburuk sangka kepadanya. Saya terus berkawan. Kemudian, saya memilih untuk bersara pilihan. Dia datang pula ke rumah saya, kali ini, dia juga jadi pelanggan ibu saya dan jiran saya. Suatu hari, dia berjanji untuk lakukan sesuatu untuk saya. Kami berjanji untuk berjumpa, tetapi dia tak datang. Saya terkilan kerana dia langsung tak hubungi saya. Selepas itu, saya mula berjaga-jaga. Bila dia datang lagi ke rumah saya, saya buat tak kisah, saya biarkan ibu saya yang melayan. Dia langsung tak minta maaf, malah bila saya tanya, dia kata dia ada pergi ke tempat itu tapi terlewat. Tetapi saya tahu dia menipu.

Saya juga pernah bertanya kepada dia, "Ustazah tak takut ke bawak barang-barang banyak-banyak macam ni? tak takut orang kacau?"

"Siapa nak kacau saya? saya tahulah... saya ni orang agama. Bila saya jalan, orang tak nampak saya." Itulah yang pernah dikatakannya. Dalam hati, saya beranggapan yang dia terasa hebat mungkin.

Selepas kejadian yang saya katakan di mana dia'kantoikan' saya tu, saya sudah tak mahu ambil kisah tentangnya lagi. Dia pun tak adalah sibuk nak cari saya lagi.

Tahu-tahu suatu hari, saya dengar yang dia telah diserang orang semasa sedang bawa barang-barang kemasnya di sebuah perhentian bas. Habis hilang beratus-ratus ribu dalam sekelip mata. Dalam masa yang sama, dia parah teruk kerana bergelut dengan orang yang menyerangnya. Pakaiannya koyak rabak dan badannya luka teruk kerana tersagat di atas jalan raya.

Saya bersimpati mendengar ceritanya.

Begitu juga kisah seorang lagi 'ustazah' yang saya kenali. Beliau sering memberi ceramah (Malah dalam TV selalu ada), dan katanya kepada kaum Hawa,"Kita sebagai orang perempuan, jangan suka menunjuk-nunjuk. Tak baik, berdosa." Dalam berkata begitu, dia sendiri memakai barang kemas hampir separuh tangannya hingga ke siku! selepas itu, saya tak kuasa mendengar ceramahnya lagi.

Bagi saya, akhlak itu penting, bukan sekadar cara kita berpakaian atau gelaran yang kita ada sahaja yang melambangkan kebaikan kita. Sudah berkali-kali saya terserempak dengan orang-orang yang pakaiannya begini tetapi sambil memandu, mencampak sampah dari dalam kereta mereka!

Tuesday, December 08, 2009

Novel Terbaruku






Insya-Allah, bulan depan novel terbaru saya akan berada di pasaran. Itu pun kalau semuanya berjalan dengan lancar. Saya tak tahulah sama ada apa yang saya tulis kali ini akan menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan pembaca-pembaca saya semua. Bagi saya, ada kelainan yang saya bawa... dari segi perwatakan karakter-karakter utama,kerjaya yang saya tonjolkan dan mungkin juga banyak 'luahan perasaan' yang saya anggap sebagai agak 'dewasa'.

Kalau tanya saya, saya akan berkata yang novel ini saya tak galak untuk pembacaan mereka yang masih budak-budak. Walaupun tak ada apa-apa 'berat' yang saya selitkan, namun banyak perkara matang menjadi perbualan dan perbincangan karakter-karakter berkenaan. Sebab itulah saya kata tak berapa sesuai untuk yang terlalu muda. Tapi... seperti biasalah, kan? kalau saya kata tak sesuai untuk yang muda, lagilah yang muda hendak membacanya. Anyway, saya tidak melihat itu sebagai suatu kesalahan, kerana kalau mereka yang muda membacanya, mungkin akan menjadi ilmu dan pengetahuan. Macamlah budak-budak sekarang tak tahu! kalau hendak diikutkan, memang ramai yang cekap. Nak susah apa kan? Internet ada.

Setiap kali menulis, memang saya cuba mencari kelainan, tetapi saya sekadar manusia biasa, tak tahulah dapat memenuhi cita rasa semua pembaca saya atau pun tidak. Bagi mereka yang sudah mengenali saya dan stail penulisan saya, mungkin mereka tak kisah apa sahaja yang saya tuliskan. Sebenarnya, saya cuba menghiburkan pembaca dengan membawa sesuatu yang boleh dikongsi bersama. Banyak info yang saya selitkan, banyak isu yang bermain dengan perasaan yang saya ketengahkan.

Kisah dua orang teman baik, yang rapat dan mempunyai kemiripan rupa, kerana mereka juga merupakan dua sepupu. Sebaya umur dan sentiasa berkongsi perasaan. Namun, mereka adalah manusia biasa... sekalipun rapat dan sayang-menyayangi antara satu dengan yang lain, mereka juga seperti berlumba-lumba mengejar sebuah trofi. Siapa sabotaj siapa, siapa yang merana nanti... dan apa pula perasaan orang yang terasa bersalah?

Pernah tak kita lakukan sesuatu yang kita tahu 'salah' dan sebab itulah kita terus-terusan rasa bersalah dan tak tahu macam mana nak keluar dari perasaan seperti itu?!

Okey... tak boleh cerita lebih-lebih. Setakat ini saja.

Monday, December 07, 2009

Ubatilah Hati



Seperti yang saya khabarkanlah dalam posting sebelum ini, saya sibuk menghadiri majlis perkahwinan pada hujung minggu dan tentunya, dalam majlis seperti ini, saya berjumpa dengan ramai teman-teman lama yang sudah lama tak jumpa. Memang menyeronokkan. Macam-macam cerita ada. Yang begitu dan yang begini. Mana dah ada anak-anak yang besar, sibuklah bercerita tentang nak dapat menantu atau dah dapat cucu. Yang mana anaknya masih remaja, cerita pula tentang masalah remaja. Begitulah kehidupan kita.

Dalam fikirkan hal seperti ini, saya percaya ramai di antara kita sering bertanya-tanyakan tentang sesuatu yang ada kaitan dengan kehidupan mereka. Ada yang sedang bahagia, mungkin kerana sedang jatuh cinta, baru naik pangkat, dapat cucu, mungkin dapat gelaran 'Datuk', ada yang dapat pergi keluar negara sama ada makan angin ataupun bertugas... tetapi tak kurang pula sedang 'tension' fikirkan hal-hal yang sedang menekan jiwa.

Kita sebagai insan memang begitulah setiap hari. Ada-ada sahaja. Bila sedang berbahagia,kita rasa bagaikan tak ada apa-apa masalah di dunia, tetapi apabila sedang merana atau sakit hati, terasa bagaikan gelap-gelita semuanya. Mungkin kita bersedih, menangis dan terusik hati kita.

Biasalah tu... itulah kata saya. Hidup memang begitu, sentiasa ada turun naiknya. Hari ini okey, esok pun okey, mungkin lusa kurang okey. Tak apa tak okey sekali-sekala. Be cool. Bersabar. Muhasabah diri. Usahakan untuk mengatasi apa jua masalah yang sedang kita hadapi.

Biasanya, biar kita cuba berubah, lakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan, kerana itu lagi mudah daripada menyuruh orang lain berubah. Kita boleh kawal diri, tetapi tak mampu mengawal orang lain. Gunakan cara 'psikologi'... lakukan apa sahaja, tetapi teruskan berusaha. Jangan biarkan hati terus merana. Jiwa kita perlu dibelai dan disayangi. Insya-Allah... ubatilah hati.

Saturday, December 05, 2009

Realiti Kehidupan



Seperti biasa, hujung minggu di musim cuti sekolah, saya mesti busy menghadiri jemputan perkahwinan anak rakan-rakan. Hari ini ada, esok pun ada (dua lagi), minggu depan pun ada (Rasanya ada empat sekali). Sebenarnya saya tak kisah, kalau orang jemput, insya-Allah saya akan pergi, kecuali kalau memang tak dapat sebab ada hal yang tak dapat nak dielakkan. Saya memang pelik dengan tabiat orang yang cari sebab untuk tidak ke jemputan yang dihulurkan orang. Ada sahaja sebab yang diberi untuk tidak datang. Mungkin memang jenis begitu agaknya, sekalipun tahu, walimatul urus ini memang wajib kita hadir untuk raikan pengantin. Begitu juga untuk mengunjungi mereka yang meninggal dunia.

Hari ini, selepas selesai sahaja ke majlis perkahwinan, saya sempat ke rumah salah seorang jiran lama yang juga telah pulang ke rahmatullah. Saya dapat berita agak lewat, jadi sebaik sahaja tiba, jenazah sudah pun dikebumikan. Tapi, kami berjumpalah dengan waris-warisnya. Begitulah hidup kita, sampai masa akan pergi jua. Kerana itu, selagi kita bernafas, lakukanlah yang terbaik agar kita dipeliharai Allah SWT sentiasa. Kita tidak tahu bila ajal kita tiba.

Semasa keluar dari dewan majlis perkahwinan anak teman saya, saya juga terserempak dengan seorang teman. Dia merupakan pakar psikologi dan juga seorang kaunselor. Malah, itulah kepakarannya kerana dia juga adalah seorang pensyarah universiti. Kebetulan, dia membaca semua novel-novel saya.

"Eh, you dah siap ke novel baru you?" dia bertanya.

"Sedang disemak." Jawab saya.

"Lain kali kan, you cuba tuliskan cerita seorang isteri... yang duk teringatkan kekasih lama." Katanya kepada saya.

"Hah! hisy, nanti orang marah pulak." Saya tergelak.

"Sungguh. I rasa memang ramai yang mungkin marah, tapi ni realiti. Banyak kali I kena nasihat depa yang macam ni. Dah jadi wife, tapi duk ingat buah hati lama. Something is wrong somewhere." Dia kata kepada saya.

"Yalah... I know," saya pulak jawab. "Banyak jugak yang duk cakap macam ni pada I. Nanti I fikirkan. Tapi novel I 'Hanya Kita Berdua' ada sikit2 macam tu, cuma heroin tu taklah ingat gila kat boyfriend lama masa dia masih berkahwin dengan husband dia."

"Yalah. Yang I kata ni... lain sikit."

Aduhai... memang macam-macam, kan? ialah, ini yang kita katakan realiti sebuah kehidupan. Kita sebagai manusia, doakanlah yang terbaik buat diri kita ini.Insya-Allah, Tuhan lindungi kita sentiasa, dunia dan akhirat.

Friday, December 04, 2009

Kelentong Pun Okey...


Tiba-tiba teringat filem-filem P. Ramlee. Cerita kisah orang yang kaki kelentong! Dalam dunia memang banyak orang yang macam tu. Ini sebuah kisah yang diceritakan seorang pembaca saya yang rajin menghantar emel kepada saya. Katanya, "Kak Aina, saya ni taklah muda sangat. Tua pun tidak, sedang-sedang saja. Dulu saya pernah berkali-kali jatuh cinta, tetapi tak pernah mengena. Ada-ada saja yang membatalkan tali perhubungan saya dengan mereka yang baik dengan saya itu. Banyak yang saya jumpa, memang kaki kelentong! Tak ikhlas.

Akhirnya, saya jumpalah seorang lelaki ini. Memang betul-betul baik hati. Rajin menghubungi saya, lepas tu rajin pulak belanja saya.Bukanlah saya kisah pun, tetapi saya tertarik sebab dia ambil berat pasal saya. Dia suka tanya saya bila saya balik, dah makan ke belum, penat tak, banyak kerja rumah ke...macam tu lah setiap hari. Kali ni, memang saya rasa saya dah jumpa dengan orang yang betul-betul baik. Kami berkawan selama tiga bulan. Dia ajak saya kahwin dan saya pun rasa okeylah. Saya cerita pada mak saya..."

Saya pun tanyalah lagi pada dia, apa lagi ceritanya, takkan sampai situ sahaja.

"Kak Aina... saya cakap pasal dia ni, tentang dia ajak saya kahwin ni... tiga tahun yang lepas."

"Dah kahwin ke dengan dia, atau dia dah tinggalkan?" soal saya.

"Sampai sekarang Kak Aina... kami dok ding-dong je. Saya masih tunggu dia masuk meminang."

"Laaa... lamanya. Kenapa?"

"Entahlah, Kak Aina... tapi kan, saya rasa dia ni memang dah ada isteri, tapi tak mengaku. Sebab tulah dia duk tertunggu-tunggu."

"Habis tu, awak tunggu lagi, buat apa?"

"Entahlah, Kak Aina... saya dah biasa berkawan dengan dia. Tiap-tiap hari dia call saya, tanya pada saya ... kalau dia tak ada nanti, macam mana? siapa nak call saya, nak tanya saya lagi?"

"Alahai... awak kenalah buat keputusan. Kalau dia tak serius, nak tunggu apa lagi? buang masa aje. Tanyalah dia, kenapa lambat sangat. Tanya juga apa yang berteka-teki dalam hati. Dia dah ada isteri ke? awak tak rasa ke yang dia sedang mainkan hati awak?"

"Saya tahu semua tu, Kak Aina. Saya tahu dia juga kelentong saya macam orang lain, tapi ialah..."

Thursday, December 03, 2009

Lelaki Kaki Bergosip?


Gosip... satu benda yang banyak orang suka lakukan. Kalau di negara kita, jangankan orang perempuan, orang lelaki pun kuat bergosip. Kadang-kadang lagi teruk daripada perempuan! Sebab tu mungkin, banyak lelaki suka melepak, termasuklah melepak di kedai-kedai kopi. Biasanya, bila berkumpul, maka akan keluarlah pelbagai cerita yang hangat-hangat. Mungkin mula-mula cerita politik.

Dalam politik pun memang banyak gosip. Ada gosip betul, ada gosip palsu! Kalau yang betul, bermakna memang cerita sahlah... bukan jadi gosip lagi, tapi biasanya, cerita-cerita macam itu mesti dah ditokok tambah. Berbunga sana sini,ada bunga wangi ada bunga busuk! Habis cerita politik, mungkin pergi ke cerita kereta. Orang lelaki memang suka cerita-cerita macam tu, terutamanya bila ada keluaran kereta baru di pasaran. Mereka pun bercakap lagi. Kadang-kadang melalut dari kereta pergi ke tempat lain pulak.

Akhir-akhir nanti, mereka akan bangkitkan cerita orang-orang yang mereka kenal. Kisah kawan yang berkahwin lagi, kisah kawan yang bercerai dan sebab bercerai, kisah kawan ada skandal... yang paling teruk, bila mereka bualkan tentang kaum wanita tertentu, yang mungkin mereka kenal, siap bercerita tentang fizikalnya dan macam-macam lagi. Biasanya yang seronok dibualkan ialah tentang perkara yang tak elok. Kadang-kadang siap cakap-cakap kotor.

Bagi kumpulan lelaki yang begini, it's okay... biasalah, kan namanya lelaki!

Tetapi, saya perhatikan, mat salih pun sama jugak. Suka bergosip. Kisah Tiger Woods ada aweks... merupakan satu kisah paling panas, sampaikan tak henti-henti tersebar dalam Internet. Peduli apa kita kalau lelaki kaya itu nak ada sepuluh orang kekasih? lantak dialah! yang paling teruk kerana yang menyebar cerita-cerita panas ini adalah orang lelaki. Serupa juga di sini. Lelaki yang banyak menyebarkan cerita-cerita jaga tepi kain orang!

Orang perempuan yang bekerjaya, tak sempat sangat nak bergosip, sebab mereka jarang baca 'paper'... sebab tak ada masa. Balik rumah, sibuk buat kerja rumah. Suri rumah pun sama, mungkin kalau yang tak ada kerja tu, adalah yang suka bergosip.

Okey, mungkin ada lelaki yang akan marah saya, sebenarnya saya bukan bercakap tentang semua lelaki, tetapi lelaki-lelaki yang memangnya begini, yang suka sibukkan hal orang lain dan ini adalah sebagai satu 'entertainment' buatnya!

Sorry, sorry!

Wednesday, December 02, 2009

Hantar Suratlah, Sayang...




Apa yang sedapnya kalau dapat mesej di telefon bimbit? mungkin sebab dapat melihat kata hati. Kalau hati kata sayang,maka tertera dan terejalah kata s.a.y.a.n.g. itu. Nampak. Kalau sekadar berkata-kata sahaja, lepas tu tak dapat melihatnya dan takkan nak suruh mengulanginya berkali-kali.

Bermesej lagi hebat buat orang yang malu, yang tak pandai meluahkan kata hati melalui suaranya. Rasa macam nak tercekik! Tetapi kita jangan lupa, orang kaki kelentong pun suka main hantar-hantar mesej. Sebab dia boleh hantar kata-kata hatinya yang kelentong itu tanpa perlu menyebutnya. Mungkin nak tulis lagi senang dan mudah untuknya.

Percayalah kata-kata abg ni. Sumpah abg tak tipu! Ina soranglah sayang abg.

Begitulah katanya, kaki kelentong. Rupa-rupanya dah ada isteri dan ada anak tiga orang pun. Si Hamba Allah tu percaya aje, sebab termakan kata-kata yang tertera di atas skrin telefon bimbitnya.

Ada pula tu, suka hantar pesanan melalui emel.Yang ini lagi hebat daripada melalui teks telefon bimbit. Boleh tulis panjang-panjang, macam surat juga. Cuma tak payah pos. Tak payah beli setem.

Emel lebih menarik, sebab hayatnya lagi panjang daripada teks di telefon bimbit. Kalau pesanan dalam handphone kita tu, lambat laun kena delete juga, sebab takkan nak kumpul sampai beribu-ribu kot?

Paling menarik... ialah hantar surat. Memang romantik habis! Sampai bila-bila pun boleh simpan.Dah tu, surat yang ditulis tangan ada personal touch. Biasanya Si Penipu tak ada masa nak tulis surat. Yang hantar surat... yang serius, yang romantik. Surat pula boleh diulang-ulang baca, boleh jadi kenangan dan simpanan. Boleh buat harta karun. Kalau ada nama pulak, satu hari nanti, surat mungkin boleh jadi berharga, tetapi sesudah tuannya matilah!

Okeylah... saja seronok bercerita. Teringat kisah dulu-dulu, semasa sibuk berjiwang. Sekarang pun berjiwang jugak... cuma, stailnya sudah berbeza.

Tuesday, December 01, 2009

Terusik Jiwaku


Salam semua.

Ada sesuatu yang selalu mengusik jiwa saya. Sesuatu itu ada kaitan dengan sikap manusia. Satu sikap yang selalu buat saya rasa terkilan. Pernahkah anda bertemu dengan kenalan, orang yang anda sangkakan baik akhlaknya. Segala apa yang diucapkan, tentang perkara yang baik-baik belaka. Mungkin kerana itu juga anda sungguh percaya kepada kata-katanya. Kalau dia berhujah tentang agama, bagaikan nak rak. Begitulah kata orang Perak. Namun, setelah bertahun-tahun mengenalinya, banyak perkara yang dilakukan tak serupa dengan ucapannya.

Baginya, untuk memperkukuhkan kekuatan dan kedudukan dalam bidang yang diceburinya, dia sanggup lakukan apa sahaja. Berkali-kali saya mendengar dan mendapat info mengatakan dia sering mengamal perbuatan 'jolok-menjolok'. Maksud saya, untuk dapatkan sesuatu yang baik, dia akan menghulur dan tentunya kita sedang berbicara tentang 'wang', sesuatu yang akan membutakan banyak hati. Paling saya benci ialah amalan 'rasuah', tak kira apa sekali caranya. Asalkan tujuannya untuk dapatkan faedah dari segi bersaing dengan orang lain, maka itu kita katakan rasuah.

Tak usahlah kita berselindung di balik apa-apa yang mungkin boleh membuatkan kita dilihat sebagai orang yang berakhlak mulia. Kalau 'rasuah' merupakan cara kita, lebih baik kita mengaku sahaja. Bukankah Tuhan melihat kita? apakah kita sekadar berlakon, tunjuk baik, sedangkan diri sendiri tahu yang kita sedang memijak orang lain dengan cara yang kotor? apakah kita masih mulia dan baik hati? Allahuakbar!

Cubalah kita lihat di sekeliling kita. Ramai remaja yang akhlaknya runtuh dan menjadi manusia yang paling tak guna dalam masyarakat. Tentu kita sering tertanya-tanya, kenapa mereka begitu? saya percaya, antara sebab mengapa anak-anak runtuh akhlaknya, kerana ibu bapa membesarkan mereka dengan rezeki yang tidak 'halal'. Rezeki yang diperolehi melalui'rasuah'. Begitu juga dengan orang yang tukang beri. Sama-sama menanggung beban dunia.

Apakah kita takut kalau kita berniaga tapi kurang menjadi? oleh kerana itu, kita pun tukar strategi. Yang haram kita halalkan! Kita mahu dilihat sebagai satu dinasti yang hebat, walaupun cara kita lakukan itu adalah cara yang kotor? tidakkah kita melihat apa yang pernah terjadi sebelum ini? bukankah banyak syarikat gergasi yang lingkup akibat perkara-perkara seperti ini? biarlah kita bergerak perlahan, asalkan apa yang kita perolehi itu adalah halal. Kita tidak memijak kepala sesiapa dan kita tidak menzalimi orang lain dalam kerja merebut rezeki!

Janganlah pandai berhujah, tetapi tidak mengamalkan apa yang kita sudah tahu. Jangan jahilkan jiwa... kerana jiwa itu akan merana suatu hari nanti.

Wallahua'lam.