Assalam
Alhamdulillah hari ini dah pun hari Jumaat, semoga kita terus dilindungi Allah swt.
Hari ini saya nak berbual-bual tentang kehidupan kita, sama ada kita rasa puas hati atau pun tidak. Memang banyak orang akan rasa tak puas, mungkin kerana mereka tidak pernah mensyukuri apa yang ada pada mereka. Mungkin juga mereka asyik nak bandingkan diri mereka dengan orang lain. Dengan jiran, dengan kawan, dengan rakan sekerja, dengan adik-beradik dan macam-macam lagi. Kita selalu melihat di atas sebab itu mungkin kita tak berasa puas. Dalam hal ini, memang ada baiknya juga, kerana dalam keadaan yang begini mungkin kita akan bekerja kuat supaya kita mendapat kepuasan.
Pun begitu, sebenarnya tak mungkin kita dapat seratus peratus kepuasan. Tentu ada kekurangan di sana sini, tetapi kalau kita mahu mendapat kepuasan secara jalan pintas, mungkin akhirnya nanti kita akan kecundang. Orang kata, 'Menangis tak berlagu'. Bermakna kita akan menyesal di atas apa yang kita dah lakukan itu.
Sebab itulah Allah swt mengingatkan hamba-Nya untuk bersabar di atas apa jua ujian dan setiap kesabaran kita itu ada hikmahnya. Janganlah kita tidak mensyukuri hidup kita kerana perbuatan kita itu adalah sangat jelek! Allah tak suka.
Bila kita dapat sesuatu, belajarlah untuk menghargainya walaupun apa yang kita dapat itu sangat sedikit. Misalnya kita mempunyai pekerjaan tetapi gajinya tak besar, jauh lagi baik daripada tidak mempunyai pekerjaan dan tak mempunyai pendapatan. Tetapi kalau kita nak bandingkan diri kita dengan orang lain yang mempunyai pendapatan yang banyak, semestinya kita akan rasa sakit di ulu hati. Itu merupakan satu keadaan yang sangat tak elok.
Dalam hal ini, kawan-kawan juga mungkin menjadi penyebab perbuatan kita yang mungkin elok lalu berubah jadi tak elok. Kalau kita berkawan dengan mereka yang suka merasuk fikiran kita dengan perkara yang tak elok dan buat kita fikirkan bahawa yang tak elok itu adalah elok, semestinya kita akan terasuk lalu melakukan perbuatan yang tak elok kerana kita sangkakan itu adalah elok! Nauzubillah min zalik.
Sebab itulah kita kena guna akal fikiran kita dan kerana itu juga kita kena berjaga-jaga bila berkawan kerana bukan semua kawan boleh jadi kawan. Ada kawan memang jenis makan kawan. Mereka suka kalau kawan mereka itu hidupnya menjadi huru-hara dan mereka mendapat kepuasan secara itu.
Kita juga kena fikirkan tentang rezeki yang Allah berikan kita setiap manusia ini, terutama insan yang beriman. Masing-masing ada rezekinya dan sedikit atau banyak merupakan sesuatu yang sangat subjektif. Rezeki juga dari segi anak-anak, kaum kerabat dan lain-lain hal yang mungkin kita terlupa untuk menilaikannya, bukan setakat wang dan harta.
Kerana itu juga tak payahlah kita nak mencari jalan pintas untuk dapatkan apa yang kita mahu. Misalnya dengan makan rasuah, dengan mencuri, dengan mengelat, dengan menipu atau mungkin dengan mencari 'suami' atau 'isteri' yang berduit kerana kita sangka dengan duit kita mampu jadi bahagia. Kalau tak betul gaya, kita mampu menderita kerana semua ini adalah apa yang Allah aturkan untuk kita, tak kira sama ada kita jenis tamak atau tidak!
Semoga hari Jumaat ini membawa rahmat buat kita dan belajarlah untuk sentiasa bersyukur. Janganlah asyik tertanya-tanya 'bila aku nak kaya ni?'
Wassalam.