Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, July 11, 2011

Ubah Haluan



Salam

Dalam hidup ini, berapa kali agaknya kita memilih untuk berubah haluan? Atau mungkinkah kita tak berani untuk melakukannya? Ada orang, tak kiralah apa pun yang akan atau bakal terjadi, dia tetap tidak berubah, kerana baginya perubahan adalah satu penyeksaan. 'Status Quo' lebih selamat sekalipun keadaan itu mungkin akan mematikan dirinya.

Dalam hal rumah tangga, memang ramai yang tak berani untuk mengubah haluan. Ada sang isteri, sekalipun suaminya tak bertanggungjawab dan jahat macam setan, dia masih sanggup menunggu dan masih kekal taat walaupun jiwa raganya hancur bagaikan kaca terhempas atas batu!

Begitu juga dalam hal lain. Memang ramai yang takut untuk mengubahkan haluannya walaupun tahu yang ribut sedang berdepan dengan kapal yang dilayari, padahal lautan itu sangat luas.

Kenapa kita takut? Bukankah sebagai manusia dan insan yang beragama Islam, sudah dinyatakan Allah SWT dalam al-Quran bahawa manusia hanya perlu takut kepada-Nya. Itu sahaja. Tak perlu takut pada syaitan atau iblis kerana syaitan dan iblis juga takut pada Allah SWT.

Tak perlu takut dengan manusia lain, tak perlu takut pada 'sabotaj' yang dilakukan manusia lain, tak perlu takut rezeki kita disekat, tak perlu takut dengan fitnah, tak perlu takut dengan kata-kata umpat, perbuatan dengki manusia, atau apa-apa sahaja. Kita hanya perlu takut pada Tuhan. Kerana takut pada-Nya lah kita wajib taat pada-Nya dan kerana itulah kita solat dan kita dekatkan diri pada-Nya. Kita lakukan apa yang Dia suruh dan jauhkan diri daripada larangan-Nya.

Dalam pada itu, tak usahlah kita pula berlagak macam 'Tuhan' dan menghukum orang lain yang tak sehaluan dengan kita.

Dalam mencari rezeki di bumi Tuhan, itulah yang perlu kita lakukan. Berusaha. Kalau jalan ini tak lurus buat kita, maka ubahlah haluannya. Bumi ini luas dan macam-macam yang disediakan Allah SWT. Kita buatlah yang terbaik dan 'ubah'lah kalau itu yang perlu kita lakukan. Tak ada manusia di dunia ini yang berhak untuk pegang dan sekat rezeki kita. Tak ada siapa-siapa yang mampu mengawal masa depan kita kecuali Allah SWT.

Kalau hari ini kita rasakan ada 'gangguan', percayalah Tuhan sedang memberi kita jalan yang lebih baik. Hanya teruskan berusaha dan bersabar. Insya-Allah, dengan mengubah haluan kita, kita akan berada di landasan yang lebih baik.

Fikir-fikirkanlah. Dunia ini tetap luas sekalipun negara kita hanya sebuah negara yang kecil.

Wallahua'lam.