Assalam semua
Selamat berhujung minggu, semoga anda semua dapat rehatkan tubuh dan tenangkan jiwa. Semoga kita semua dapat beristirehat dengan ahli keluarga yang tersayang.
Hari ini saya bercadang untuk mengemas rumah. Adik saya akan ke Pulau Langkawi dengan kawan-kawannya, jadi hilanglah pembantu saya di rumah. Mujurlah dia pergi tiga hari sahaja.
Minggu awal November nanti, ramai yang akan ke luar, termasuk saya dan suami. Anak perempuan saya akan ke Kota Kinabalu dengan kawan-kawannya, anak-anak lelaki saya Faiz dan Irfan akan ke Jakarta menghadiri Pesta Buku dan juga ada mesyuarat dengan rakan kongsi mereka di sana, insyaaAllah saya dan suami kami akan ke Phuket, macam dalam novel saya 'Terbanglah Sayang'. Saya pernah ke pulau itu tetapi suami saya belum lagi, jadi kami akan rehat di sana.
Mungkin sekali-sekala itu yang kita perlukan, untuk berehat, mental dan emosi dan juga tubuh badan. Tapi dalam hal ini, kadang-kadang kita tak dapat nak makan angin pun, tetapi terpaksa ke luar kerana bertugas. Banyak kawan-kawan saya selalu ke luar stesen atau luar negara, tetapi hanya untuk tugasan, bukan untuk rehatkan badan. Tapi tak apalah, kadang-kadang memang macam tu kot, terpaksa sibuk-sibuk untuk kerja yang kita lakukan. Saya tahu, ramai kawan-kawan yang selalu ke luar, mereka jadi bosan kerana keletihan dan tak dapat menghabiskan masa dengan keluarga. Dalam hidup ini, yang penting ialah untuk berada dengan orang-orang yang kita sayang.
Bila saya melihat jenazah Yeop saya, saya tahu betapa keluarga itu sangat penting selagi hayat berada di kandung badan. Kerana itu juga, kita sangat digalakkan untuk melawat jenazah, agar kita beringat selalu bahawa hidup ini adalah sementara. Sebaik mungkin kita berikan perhatian kepada orang-orang yang kita sayang. Satu hari nanti, kita akan tinggalkan semuanya untuk berada di alam barzakh.
Semoga Allah SWT melindungi kita dunia dan akhirat. Amin.
Wassalam
