Assalam.
Pagi ini, saya ingin bawakan isu sensitif ini di sini kerana sejak kebelakangan ini, memang isu ini hangat diperkatakan. Rata-rata di bumi Malaysia, lelaki Melayu mempunyai ego yang terlalu tinggi dan merasakan bahawa hak poligami adalah hak mutlak mereka. Mungkin ada yang bersetuju dan ada yang tidak. Apa-apa pun, saja saya nak sembang-sembang di sini, membawa beberapa cerita yang boleh kita fikir-fikirkan.
Baru-baru ini, saya berjumpa dengan seorang teman lama yang merupakan seorang ustazah berijazah Ph.D (tentunya dalam bidang agama). Saya pernah bekerja di universiti dan tentulah ramai teman-teman saya mempunyai ijazah yang sebegitu. Kami pun bersembang-sembang dan kebetulan adalah isu poligami yang dibicarakan. Ketika itu, ada beberapa teman lain yang bersama kami. Maklumlah, sebagai penulis saya memang hendak tahu macam-macam cerita.
Kata ustazah itu kepada kami, "Sebenarnya saya sangat hairan dengan sikap lelaki Melayu Islam di Malaysia ini. Tak habis-habis mereka bangkitkan isu poligami ini, seolah-olah mahu masyarakat kita menerimanya tanpa apa-apa soalan kerana dikatakan ada ayat dalam al-Quran yang menyatakan tentang hak lelaki untuk berkahwin sehingga cukup quata empat. Tapi... kalau di negara Barat, di kalangan para intelektual Islam, perkara ini tak pernah pun dianggap sebagai isu penting, kerana bagi mereka, isu 'dakwah', isu 'Tauheed', isu 'Iman' isu 'Ketuhanan' menjadi isu yang berat dan utama yang selalu dibicarakan. Isu poligami bukan sesuatu yang penting kerana dalam surah yang sama juga, Allah bicarakan tentang kekuatan 'iman' hambanya dan tentang sifat kesabaran yang wajib ada pada insan yang beriman pada-Nya, secara automatik juga, tidak memberatkan isu kahwin dua, tiga atau empat orang isteri. Malah, dalam ayat Allah yang membenarkan poligami, berakhir dengan ayat yang menyoalkan balik sifat lelaki itu sendiri. Mampukah lelaki bersifat 'adil' seadil insan yang kuat imannya?"
Kami terkebil-kebil mendengar penjelasan ustazah itu. Katanya lagi, "Saya tak pernah tentang hak berpoligami, tetapi semua yang halal itu mestilah dilakukan dengan cara yang halal juga, kerana kalau tersilap langkah, yang halal mampu menjadi haram kalau cara yang digunakan itu cara yang salah atau haram."
Kami dengar lagi. "Misalnya, kalau lelaki mahu berpoligami, maknanya mahu berkahwin seorang lagi atau dua orang lagi, mestilah dia bertanya atau berbincang dengan isteri pertamanya dulu. Ini adalah kerana dalam Islam, tiada apa-apa pun yang boleh kita paksa. Jadi orang Islam tidak boleh dipaksa, berkahwin pun tidak boleh dipaksa, kenapa bermadu pula boleh dipaksa? Mestilah itu merupakan satu isu berat yang kita semua kena ambil tahu. Hak berkahwin lagi itu memang hak lelaki, tetapi Allah Maha Adil, tidak pernah zalim pada wanita, jadi... hak untuk dimadukan juga merupakan hak wanita. Kalau isteri pertama tidak rela, sang suami tidak boleh paksa. Kalau mahu juga berkahwin lagi, terpaksalah ceraikan isteri pertamanya. Kalau sang suami menipu isteri di belakangnya, bermakna sang suami sedang melakukan sesuatu yang diharamkan Allah swt, iaitu mempunyai sifat penipu, apatah lagi yang ditipu itu adalah pasangan hidupnya. Dalam Islam, tidak ada bohong sunat. Malah, kalau ada persetujuan di antara pasangan suami isteri semasa mereka berkahwin dulu bahawa sang isteri tidak mahu dimadukan, kalau sang suami menikah juga dengan perempuan lain, maka pernikahan keduanya boleh dibatalkan, kerana pada hakikatnya, pernikahan itu tidak sah, bertentangan dengan perjanjian yang telah dipersetujui. Jadi... kita sebagai umat Islam di bumi Malaysia ini, janganlah ambil berat tentang 'poligami' tetapi ambil ringan tentang 'perjanjian' atau 'sikap menipu' atau membohong. Menipu atau membohong adalah sifat orang munafik, yang mempersendakan Islam."
Wow! Kata kawan saya seorang lagi, "Ustazah... patutlah baru-baru ini, saya dengar cerita tentang seorang ustaz, dia juga merupakan imam masjid dan dia telah disaman oleh isteri pertamanya, kerana imam itu menikah lagi satu tanpa pengetahuannya. Kebetulan, isteri pertamanya merupakan seorang doktor perubatan. Terkangkang-kangkanglah ustaz itu turun naik mahkamah kerana isteri pertamanya protes! dah tu, isterinya itu mengguna peguam wanita yang sangat terkenal di Malaysia. Rupa-rupanya imam itu berkahwin dengan seorang janda anak lima, konon-konon nak selamatkan ibu tunggal itu, last-last mungkin isteri pertamanya akan menjadi ibu tunggal pula. Subhanallah."
"Itulah..." kata ustazah lagi. "Masalah di Malaysia ini memang inilah... ego lelaki Melayu yang rata-rata merasakan sangat tak macho kalau tak kahwin lebih dari satu. Pada hal iman tak kuat mana pun. Lainlah kalau imannya mantap, ilmu agamanya tinggi, pengetahuan tentang pelbagai perkara juga hebat, barulah okey kot kalau nak amalkan poligami ni. Macam Rasulullah SAW, baginda tidak pernah menipu siapa-siapa pun untuk berdakwah dengan berkahwin banyak. Tetapi kita semua mesti ingat dan contohi 'semangat hormat' Nabi jungungan kita, baginda tidak pernah menduakan cintanya pada isteri pertama Siti Khadijah setelah wanita itu berkorban segala-galanya untuk membantu Rasulullah SAW menegakkan agama Islam di kalangan manusia jahiliah. Masya-Allah."
Seorang lagi kawan bercerita pula. "Ustazah... baru-baru ini saya berjumpa dengan kawan lama. Kawan saya itu mempunyai suami yang agak kaya juga, kerana mempunyai syarikat perniagaan yang agak gah. Tahu-tahu staf di pejabatnya telah menggoda lalu berkahwin dengan suaminya. Kawan saya itu merana, sakit jiwa dan hatinya, maklumlah bila dah kahwin dengan isteri muda, biasalah lelaki ini, mereka tidak bersikap adil pada isteri pertama. Itu kisah beberapa tahun yang lalu, jadi saya pun bertanyalah padanya, "Macam mana you sekarang? Madu dah ada anak ke?" Katanya pada saya, "Madu I dah lama tak ada. Dah meninggal dunia." saya pun bertanya lagi, kenapa dia meninggal dunia? Kata kawan saya, "Ada perompak masuk rumahnya dan menembaknya, lalu meninggal dunia! Terlopong mulut saya mendengar ceritanya itu. Subhanllah."
Ustazah hanya senyum sahaja. Katanya, "Mungkin Allah nak meringankan beban jiwa kawan awak tu."
Kawan saya yang seorang lagi membawa cerita lain pula. Katanya, "Ustazah... ada kawan saya di Muar... suaminya berkahwin senyap-senyap. Dia menikah di tempat lain, lepas tu buat majlis di kampung perempuan yang diambil sebagai isteri kedua. Yang geram tu, dia boleh pula bawa balik nasi beriani majlis kahwinnya dan memberi anak isterinya makan. Tanpa tahu, isteri pertamanya menjamahlah. Kemudiannya selepas beberapa bulan, isteri pertama baru sedar yang suaminya dah menikah lagi. Apa lagi, dia pun mengamuk sakan terutama bila tahu yang dia sudah makan nasi beriani perkahwinan madunya dengan suami. Bila suaminya pulang dan sedang tidur lena, dia pergi ke dapur dan menumbuk cili api. Lepas itu, dia menyental cili api itu pada ******** suaminya. Apa lagi... melolong-lolonglah suaminya itu!" Kami semua ketawa berdekah-dekah. Ustazah pun turut ketawa juga.
"Lepas tu... apa yang terjadi? Suaminya menceraikannya ke?" kami semua nak tahu.
"Suaminya menceraikan isteri keduanya kerana tahu yang dia sudah tersilap langkah."
Kata ustazah lagi, "Kalau lelaki kita guna akal yang bijak, amalkan ilmu mereka dengan cara yang adil, ambil berat tentang keluarga, ibadah isteri dan anak-anak, berdakwah untuk menegakkan agama Islam di bumi ini, semestinya lelaki kita tiada masa untuk fikirkan tentang berapa banyak yang boleh mereka kahwin lagi. Kalau lelaki pandai kawal nafsu kerana cinta mereka kepada Allah SWT, isu poligami tidak menjadi sesuatu yang 'trendy' sekadar untuk menghebatkan 'ego' lelaki. Bagi saya, kita wajib mengamalkan perentah Allah dengan cara yang bijak, guna al-Quran untuk membawa kita ke jalan yang benar, bukan untuk mendekatkan kita ke neraka jahanam. Kalau kita putar-belitkan ayat Allah untuk keuntungan diri kita, akhirnya nanti kita jua yang merana."
Teringat saya pada seorang pakcik yang sedang uzur di rumah orang tua-tua yang saya lawati baru-baru ini. Kata seorang pekerja lelaki pada saya, "Pakcik tu ada dua orang isteri. Tapi masa kahwin lagi satu, dia abaikan isteri pertama dan anak-anaknya. Bila dah tua dan sakit, isteri kedua tak mahu jaga dia. Pakcik tu malu nak balik pada isteri pertama. Jadi... datanglah dia ke sini."
Hah!
Kata ustazah lagi kepada kami, "Tapi kita jangan salahkan seratus peratus pada lelaki sahaja, kerana kalau tiada wanita yang tidak ada akal dan hati perut, kalau tiada wanita yang bersikap 'jahil' dan pentingkan diri mereka, mungkin juga wanita yang 'tamak', maka tidaklah lelaki menjadi lemah dan melakukan perkara-perkara yang tidak disukai Allah SWT. Poligami merupakan sesuatu yang tidak salah, tetapi ia mungkin jadi salah, kalau yang mengamalkannya buat benda-benda salah. Wallahuaklam."
Wassalam.
