Assalam
Alhamdulillah hari ini sudah pun hari Isnin, maka bermulalah minggu yang baru pula. Syukur kerana Allah masih memberi nikmat untuk berada di dunia ini, masih ada kesihatan. In syaa Allah ada iman dan jiwa yang bersih, ada rezeki yang sederhana dan hidup juga yang sederhana, namun cemerlang dalam ketaatan kepada Ilahi. Buat apa pun, buatlah kerana Allah bukan kerana benda-benda yang lain.
Itulah sepatutnya menjadi pegangan hidup kita kerana kalau kita tersasar, melakukan apa-apa sahaja bukan kerana Allah, maka tak mungkin jiwa kita akan tenang. Sekalipun mungkin Allah sudah menguji kita, namun kalau kita tidak menghargai ujian itu sebagai nikmat pengajaran, Allah pasti akan menguji lagi. Paling perit kalau jiwa kita tak mampu untuk tenang, asyik risau dan berdebar-debar.
Sebenarnya sebagai insan, itulah yang kita mahukan melebihi segala harta dan wang ringgit. Kita mahukan jiwa dan hati yang tenang, kita mahukan kesihatan yang baik. Kalau duit banyak setinggi gunung pun, atau harta macam harta firaun pun, tak ada gunanya kalau apa yang kita makan itu tidak halal, harta orang kita ceduk jadikan harta kita, hak orang kita ambil sesuka hati. Lebih sedih kalau kita hidup dengan membohong sana sini, tipu sana sini, sorok sana sini, tak amanah sana sini, buat sesuka hati tak peduli kerana ingat tak ada siapa yang perhati. Kalau kita lupa yang Tuhan sentiasa tengok perbuatan kita, maka jadilah kita manusia yang tak beriman dan manusia jahil, tak berjalan di atas jalan yang lurus. Kita ingat dunia ini kita yang punya. Segala ujian yang kita lalui tak membuatkan kita jadi manusia yang serik. Kita teruskan dengan perbuatan jahil dan terus sahaja hidup tak beriman. Buat dosa macam tak ada apa-apa kerana sangka tiada yang tahu. Nauzubilah min zalik.
Kerana perbuatan kita itulah maka kita terus hidup dalam ketakutan. Jiwa tak tenang, dada berdebar-debar. Orang yang hidup dalam kesalahan memang begitulah dia. Sepatutnya kita ambil peluang untuk sentiasa minta ampun pada Allah dan minta Allah berikan petunjuk dan hidayah agar kita keluar dari kesesatan, bukan hidup merungut-rungut, asyik kompelin tak cukup segalanya. Mahukan semua apa orang lain ada. Sudah itu, kita rendahkan maruah, buat apa sahaja yang orang suruh, asal kita dapat apa yang kita mahukan! Nauzubillah. Disebabkan itulah kita tertanya-tanya, 'kenapa aku jadi macam ni, asyik tak tenteram sahaja? Dah tu hutang keliling pinggang!'
Wahai manusia... apa sahaja yang kita nak buat, ingatlah... buatlah kerana Allah taala. Kenalilah apa itu dosa dan apa itu bukan dosa. Jangan jadi manusia keliru yang mengikut telunjuk syaitan. Nauzubillah min zalik.
Semoga jiwa kita tenteram, perasaan tidak goyah, tidak perlu mengintai sana sini kerana hati gelora. Berimanlah kepada Allah dan jauhilah perbuatan tak baik. Elaklah jadi manusia yang berpenyakit jiwa tak tenteram itu.
Wassalam.
Sakit Jiwa - sekadar hiasan