Ini merupakan satu penyakit yang sering dirasai oleh semua. Ada ketika, dalam kesibukan bekerja dan mungkin juga semasa sedang rancak berbual-bual dengan teman, tetapi dalam hati, itulah yang dirasai. Sepi dan sunyi. Malah, perasaan ini juga mungkin terhinggap pada mereka yang merupakan pakar lawak dan orang yang suka berjenaka. Penyakit sepi dan sunyi tak dapat di lihat dari luar. Ada orang pandai menutup perasaannya dengan berlakon seolah-olah semuanya okey belaka. Tetapi ada orang pula, sering kelihatan gelisah dan suka bermurung. Bila ditanya, dia akan kata, "Tak ada apa-apa." Tetapi sebenarnya hatinya sedang gundah gulana, kerana perasaan sepi dan sunyi sedang menghinggapnya.
Penyakit ini boleh datang tanpa diduga. Tiba-tiba sahaja. Kadang-kadang tak ada apa-apa sebabnya... mungkin sekadar perasaan sahaja. Jadi, bagaimana boleh kita atasinya? Selain daripada membaca ayat-ayat suci, seperti Ayat Kursi, mungkin kita perlu lakukan sesuatu untuk hilangkan rasa sunyi dan sepi itu. Salah satu cara terbaik ialah dengan meluahkan perasaan itu kepada seseorang yang mahu mendengarnya. Kadang-kadang, kita tak perlukan sebarang jawapan, hanya sekadar sepasang telinga yang mendengar dan bersimpati, itu saja. Apa pun, janganlah biarkan diri kita dilanda sunyi dan sepi. Carilah jalan untuk keluar dari perasaan yang begitu.