Salam
Terharu bila saya mendapat pesanan SMS daripada seorang teman lama yang berkata kepada saya bahawa dia selalu datang menjenguk blog saya ini. Sebelum itu, ada juga teman-teman rapat saya yang buat begitu, menyinggah di blog saya untuk membaca tulisan-tulisan saya yang tak seberapa ini. Apa pun... daripada teman yang SMS tadi, saya tak menyangkanya. Saya suka meletakkan sesuatu yang dia lampirkan untuk berkongsi dengan anda semua.
"It's better to be hated for what you are than to be loved for what you are not." Cantik, kan? Biarlah kita dibenci kerana siapa diri kita yang sebenar dan bukan disayangi kerana diri yang berpura-pura." Sangat dalam maksudnya. Mungkin terlalu biasa berlaku begini, kita berlakon untuk jadi baik atau kita berdongeng di mata masyarakat, maka kita pun disenangi lalu disayangi. Namun kalau itu bukan kita yang sebenar, lambat laun, akan terbongkar juga. Sekalipun di luar kita tutup, namun kalau hati tak bersih, akan terpancar suatu hari nanti.
Tentunya sukar buat orang menerima kita seadanya kerana masyarakat mempunyai 'standard' tertentu dalam kehidupan dan mungkin kerana mahu kejarkan 'standard' itu, ramai yang senang berpura-pura, melakukan sesuatu yang bukan dirinya. Ramai pula yang kena tipu kerana 'makan' lakonan yang berpura-pura tadi.
Kadang-kadang pula, kita payah mahu menerima sesuatu yang ikhlas kerana bagi kita, mungkin tidak mencapai 'standard' kita tadi. Tetapi hidup kita tak bahagia kerana terpaksa berlakon sama dalam sebuah sandiwara yang sedang dipentaskan.
Kata teman saya lagi, "I may not be perfect but part of me is excellent." Menarik. Sungguh tu, kita tak pernah sempurna, namun demikian ada sesuatu yang indah di dalam kita dan keindahan itulah yang paling hebat. Setiap kita ini ada kelebihannya. Kita tak perlu berlakon untuk jadi sesuatu yang bukan kita kerana sebenarnya setiap kita ini mempunyai sesuatu yang cantik dan indah sekalipun tak pernah sempurna. Masya-Allah.
Saya lampirkan beberapa gambar cantik telur siput gondang emas. Memang cantik dan menarik, namun siput yang mempunyai telur yang cantik ini merupakan racun buat pokok padi, mampu memusnahkan padi. Dalam pada itu, siput ini menjadi makanan buat sesetengah orang. Masya-Allah. Terima kasih buat Rozie kerana mengirim gambar-gambar ini. Saya melihat sendiri telur siput ini berhampiran dengan sawah padi.