Assalamualaikum...
Pagi ini memang saya ada mood untuk bercerita tentang watak hero. Semestinya watak hero dalam novel. Terus terang saya katakan, saya memang payah nak buat perwatakan hero yang mempunyai ciri-ciri negatif. Hero saya biasanya sangat budiman, baik hati, prihatin dan lembut dengan wanita. Ini adalah kerana pengalaman saya memang begitu. Saya berkahwin dengan seorang lelaki yang baik hati, mungkin jauh lagi baik daripada saya sendiri (memang diakui itu) dan kerana itulah saya memang susah nak buat hero yang macam lain... hehe...
Sengaja saya bawa kelainan dalam perwatakan hero Beautiful Asmara (novel saya yang terbaru), malah ceritanya juga mempunyai kelainan. Heronya lain sebabkan pengalamannya yang berbeza. Bukankah kita semua begitu? Bagaimana kita dibesarkan, itulah cara kita bila kita dah besar nanti. Namun manusia boleh berubah. Tapi kalau karakter yang melampau negatif (macam merogol, suka seks, kuat minum atau berjudi), kadang-kadang dalam dunia realiti memang sukar untuk berubah. Kalau berubah pun, mungkin bila dah tua sangat-sangat, atau sesuatu yang dahsyat menimpanya. Kerana itu, saya tak akan buat hero yang melampau negatif pada karakternya. Lagipun, kan hero? Hero mestilah melambangkan lagak 'wira' nya.
Kata seorang teman, 'wira' bagi masyarakat Melayu ada tiga jenis. Satu, yang ala-ala wira 'kesultanan' atau 'raja-raja', yang melambangkan kekuatan semangat dan macho. Satu lagi, ialah yang jenis berdendam dan marah-marah. Yang akhir sekali ialah jenis suka buat lawak, macam 'Pak Pandir' kot. Mungkin yang hebat, yang campur-campur kot.
Apa pun, terima kasih kepada pembaca yang suka membaca 'Beautiful Asmara'. Saya sedang cuba bawa lagi satu kelainan untuk novel yang akan datang ini.
Wassalam.
Ada macam hero tak?
