Lelaki itu sudah dua minggu berada di rumahku. Aku tidak pernah bertanya kenapa dia datang. Bagiku tak mengapa kalau dia mahu berada di rumahku. Bukankah dia juga kaum kerabatku?
Suatu hari, semasa aku sedang bersantai di ruang wakaf yang baru lagi kami bina, aku berbual-bual dengan lelaki tua itu. Ibuku yang melihat aku sedang berbual-bual, datang menyampuk lalu bercerita pula, "dia datang ni, nak tahu kenapa? Dia berkecil hati dengan ahli keluarganya."
"Kecil hati? Kenapa pula?" Aku bertanya.
"Kata dia, sejak dah tua ni, tak ada sesiapa yang menghargai dirinya lagi. Anak-anak dan isteri sudah tak mahu ambil peduli. Maklumlah... sudah tak pandai hendak cari makan."
"Oh, ya? Anak-anak kan ada. Takkan tak tolong?" aku soal lagi.
"Anak-anak memang tolong sikit-sikit, tapi semuanya diserahkan pada ibu mereka. Anak lelaki kan macam tu, sayang ibunya lebih. Ibunya pula... simpan semuanya, satu sen pun tak mahu hulur pada Si Tua ni," tambah ibuku lagi.
Aku agak keliru juga, lalu aku bertanya lagi, "duit simpanan dah habis terus?" aku tahu yang dia pernah bekerja dulu, pasti ada sedikit yang disimpannya untuk bekalan.
"Dah habis semuanya... tolong anak-anak bayar duit muka beli kereta, beli rumah..." ibuku bercerita lagi. "Sekarang ni nak beli apapun tak dapat. Yang sedihnya... baru-baru ni, isterinya dapat sedikit wang pampasan semasa bekerja dulu, tapi satu sen pun tak mahu dihulurkan pada suaminya. Dulu, apa-apa yang suaminya dapat, semuanya dikongsi sama. Apa nak buat... sudah nasib badan agaknya, bila sudah tak berpendapatan, tiada yang mahu ambil tahu lagi. Baju tak pernah berbeli lagi... nak beli surat khabar pun dah tak mampu. Dia merajuk, sebab tulah datang ke mari. Di sini... bolehlah tolong kamu sikit-sikit."
Aku terdiam. Muka tuanya aku pandang lama-lama. Di hujung matanya sudah ada air yang bersedia untuk mengalir. Hatinya terguris, namun seperti yang aku kenalinya selama ini, dia tidak pernah merungut. Dia memang jenis pendiam dan tak pandai hendak marah-marah. Dia hanya tahu merajuk sahaja, mungkin mahu membawa diri dan mengharapkan simpati anak-anak saudara yang berada di perantauan.
"Tak apalah... duduk saja di sini. Makan minum, pakai... semuanya boleh kami urus. Duit tangan akan kami beri... janganlah susah hati." Kataku cuba memujuk hati tuanya.
Dalam begitu, aku tertanya-tanya juga. Apakah orang perempuan memang begitu? Bila suami pandai cari duit, mereka sayang, tapi bila suami sudah tak berkudrat lagi, mereka tolak ke tepi. Anak-anak pula, terutama lelaki... bila mahu memberi, hanya teringat pada ibu sahaja, tidak ayah. Mungkin mereka harapkan yang ibunya mahu menghulur kepada ayah juga bila diberi anak. Mungkin mereka tidak tahu yang ibunya bila diberi, menganggapkan yang itu adalah haknya!
Entahlah... apa-apapun, aku cuba sahaja memujuk hati tuanya agar dia tidak terasa terasing dan tersisih. Masanya tidak lama... entah esok entahkan lusa... mungkin juga bertahun-tahun lagi, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Aku sekadar berdoa agar orang-orang yang masih dikasihinya itu terbuka hati untuk mengambil berat tentang lelaki tua ini yang masih berada di rumahku.