Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, July 27, 2012

Orang Melompat Selalu Rugi


Salam pagi Jumaat

Biasalah, kan? Kalau kita dengar lagu itu aje berulang-ulang kali, lama-lama kita jadi bosan. Sedap macam mana sekalipun, kita akan jadi bosan. Mungkin elok kita dengar sekali-sekala aje untuk tidak membuat ia jadi bosan. Sangat berlainan dengan mendengar orang mengaji al-Quran. Walaupun ayat yang sama diulang-ulangkan, kita tak berasa jemu. Insya-Allah, itulah hikmahnya. Semoga kita rajin mengaji di bulan Ramadhan ini.

Hari ini, saya nak bercerita sesuatu tentang 'attitude' orang muda hari ini, terutamanya orang Melayu. Walaupun tidak semua begitu, tetapi ramai juga yang macam itu. Terlalu suka melompat tempat kerja. Malam tadi setelah pulang dari surau, suami saya bercerita. Katanya pagi semalam dia menemuduga beberapa orang calon untuk post jurutera bagi membantu untuk mengendalikan sebuah projek baru. Rata-rata calon Melayu yang ditemeduga itu kebanyakan mereka jenis yang melompat tempat kerja. Paling lama ialah enam bulan, biasanya lima bulan dah berubah tempat kerja. Suami saya bertanya mereka dan inilah jawapannya, "Hendak mencari pengalaman."

Bagi suami saya itu merupakan satu alasan yang terlalu lemah, kerana jawabnya, "Pengalaman apa yang awak boleh dapat kalau bekerja setakat berapa bulan sahaja? Bukak fail pun tak sempat, macam mana nak dapat ilmu apa-apa?"

Sebenarnya kata suami saya, banyak orang muda hari ini terlalu kejarkan gaji tinggi. Bila ada offer gaji lebih sikit (kadang-kadang tak banyak mana pun), mereka terus berubah tempat, sedangkan di tempat lama tak sempat nak belajar apa pun.

"Awak tahu tak yang awak rugi besar bila buat macam ni? Kalau nak belajar kita kena duduk di satu-satu tempat tu lama sikit. Paling cepat ialah tiga tahun, paling baik ialah sekurang-kurangnya lima tahun, barulah awak banyak belajar. Kalau awak lompat sana-sini, apa pun awak tak belajar. Bukan itu sahaja, orang lain pun tak yakin dengan awak, kerana tahu awak tak boleh diharapkan sangat."

Suami saya dah 35 tahun berkecimpung dalam dunia kejuruteraan dan katanya, masih banyak yang perlu dia belajar. Sesungguhnya dia sangat hairan bila orang muda hari ini tak ambil berat untuk menimba ilmu. Mereka terlalu terkejar-kejar pada 'material' hinggakan mereka yang rugi.

Apa yang saya sampaikan ini sekadar untuk menegur dan mengingatkan mereka yang muda yang datang ke blog ini, semoga kita fikirkan tentang hal ini, untuk mengumpul ilmu dan pengalaman dalam bidang kerjaya yang kita lakukan. Jangan terlalu ambil kisah tentang hal material atau ganjaran dari segi wang sahaja, kerana akhirnya nanti, kalau kita kurang ilmu dan pendedahan, kita yang akan kerugian di masa depan. Wallahua'lam.

Wassalam.