Tukang sibuk
Assalam
Ada orang bagi tahu saya yang dia tidak senang dengan 'followers' Facebook nya yang menjadi 'followers' tapi sebenarnya tak suka pun padanya. Mereka sengaja mengikutnya kerana nak mengintai hidupnya. Nak tahu apa yang dia buat setiap hari. "Dia orang bukan kawan, tapi musuh rupa-rupanya." Katanya, bila ada kesempatan, mereka mengumpat tentang dirinya di tempat lain, bergosip dan bercerita benda-benda yang menyakitkan hati.
Saya pun tak tahu nak kata apa, tapi mungkin biasa kot, dalam hidup kita ini, mesti ada yang tak suka dengan kita. Saya sendiri sama saja, walaupun mungkin ada yang sayang saya, ada juga yang tak suka dengan saya. Saya tahu, ada yang mengutuk saya dan mengata saya di tempat lain. Berita itu disampaikan oleh orang lain kepada saya setelah melihat catatan yang 'tak elok' tu di tempat lain. Bagi saya, biarlah kalau mereka sengaja nak mengata kita, nak buat macam mana lagi. Tapi yang peliknya, bila nak mengata tu, tak tahu berlapik, main hentam sahaja. Saya pernah tahu tentang seseorang yang mengata tentang tulisan saya. Katanya di sebuah ruang bahawa tulisan saya tak sedap pun, macam tulisan yang dah 'lemau'. Hah! Bila saya tahu, saya hanya senyumlah. Mungkin itulah pandangannya. Bagi saya, mungkin dia tak suka gaya tulisan saya kot. Mungkin juga dia baca hanya satu buku aje. Tapi kalau dia baca banyak, maknanya dia sukalah tu, tapi tak tergamak nak kata 'suka' tapi lagi seronok kalau dapat 'menghina' saya kot! Tambah pula dia mengata di tempat di mana orang lain juga membaca tulisannya itu!
Sebenarnya bagi saya sangat mudah. Orang yang suka buat perangai macam tu, memang kurang bijak pun. Dia cakap ikut suka hati dia, konon-konon hak dia sebagai pembaca, tetapi dia terlupa kedudukan dia sebagai 'orang Islam'. Dia kata sesuka hati dia, tapi dia terlupa kata-katanya mampu menggoreskan hati orang lain. Dia juga terlupa, kata-kata 'hina' dia mampu dipatah balik pada dia. Kalau kita hina orang, nanti kita pula akan dihina. Tak mustahil itu boleh berlaku pada kita tanpa kita sedar. Mungkin satu hari nanti, kita tertanya-tanya, "Kenapa jadi macam ni, hah?" Rupa-rupanya kita dah lupa tentang perbuatan kita pada orang lain. Mungkin lagi baik kita diam aje bila kita tak suka. Subhanallah.
Saya sekadar mengingatkan diri saya juga, bila kita nak keluar apa-apa 'kata', biarlah kita berlapik, jangan sampai ada hati yang disakiti dengan sengaja. Lagi satu, kalau kita tak suka 'seseorang', buat apa kita follow dia? Sekadar nak sakitkan hati dia?
Semoga Allah SWT rahmati kita semua.
PS: Hari ini ulangan drama Selamat Malam Kekasih episod 11 di TV Al Hijrah jam 2.30 petang.
Wassalam.
