
Gambar di atas sekadar hiasan
Salam
Kalau ikutkan hati, kadang-kadang saya memang tak suka ikut suami bila dia akan berjumpa dengan geng MCKK nya. Tapi, sekali-sekala saya ikut juga, terutama kalau menghadiri majlis perkahwinan. Kita memang beri sokongan. Saya memang kenal baik dengan teman-teman MCKK nya, sebab dulu saya memang tinggal di Kuala Kangsar dan kenal mereka sejak di sekolah lagi. Bayangkanlah... sampai sekarang masih kenal.
Baru-baru ini semasa saya menghadiri satu majlis perkahwinan anak teman suami (geng MCKK), sempatlah saya mendengar perbualan salah seorang member suami saya, kebetulan seorang profesor di sebuah IPTA di Lemabh Klang. Apa yang dikatakan kepada kami memang agak membingungkan. Mungkin elok kalau saya kata merunsingkanlah. Mana tidaknya, kata profesor ini, sekarang ini tenaga pengajar di universiti-universiti sibuk membuat research dan membuat penulisan artikel hinggakan mereka tidak ambil berat tentang pelajar. Mengajar bukan merupakan sesuatu yang membanggakan, tetapi menulis artikel atau buku yang boleh menaikkan nama mereka dan seterusnya untuk meningkatkan perjalanan kerjaya mereka.
Sedih saya mendengarnya. Saya pernah bekerja di universiti dan kini, saya tahu tentang amalan mereka yang sepatutnya mengajar di universiti-universiti. Tapi nak salahkan siapa? Bukankah sistem yang ada sekarang ini memaksa tenaga pengajar universiti bersikap demikian? Adoi. Apa nak jadi sekarang ini?
Memang bukan tugas kita untuk ambil kisah hal-hal seperti ini. Tapi kalau kita sebagai ibu bapa dan juga sebagai rakyat yang membayar cukai, apa hal-hal seperti ini kita buat-buat bodoh saja ke? Sedangkan 'profesor' tadi juga bimbang dengan hal-hal ini.
Nampaknya, kakitangan akademik sibuk menulis artikel-artikel untuk jurnal, mungkin sibuk juga membuat research, tetapi... apa hal pula dengar mengajar? Bolehkah kita jamin kualiti pelajar-pelajar universiti kalau universiti tak ambil kisah tentang mereka lagi?
Mungkin ada yang baca dan nak komen. Boleh hantar e-mel kepada saya.