Assalam
Memang penat kita mendengar pelbagai masalah besar yang berlaku sana sini di dunia ini. Kalau kita perhatikan, negara-negara Islam lah yang banyak terjejas akibat pergolakan dan kemisikinan. Maknanya, orang Islam lah yang sedang diberi ujian yang besar. Agaknya kenapa ya?
Pasti kerana iman. Inilah ilmu Tawheed yang kita semua perlu ada. Allah mahu uji kepercayaan kita kepada-Nya. Sebab itu kita dengar kisah mereka yang berasal dari agama Islam sanggup untuk tinggalkan Islam dan menganut agama lain kerana tak sanggup ditimpa ujian. Maknanya, manusia seperti ini lemah imannya. Kalau ilmu Tawheed kita tinggi, diri kita akan jadi bertambah kuat sekalipun kita ditimpa musibah.
Kalau kita perhatikan kepada dunia hari ini, kita dapat melihat negara-negara milik bukan Islamlah yang sedang hidup dengan penuh kejayaan dunia, kekayaan serta kemewahan. Negara-negara seperti Sweden, Denmark, Austria, Germany dan banyak lagi, tidak ada masalah besar yang melanda mereka. Rakyatnya semua berilmu, mempunyai harta dan hidup hampir sempurna. Ini kalau kita sukat dengan kesenangan duniawi. Mereka lengkap semuanya. Tidak di kebanyakan negara Islam. Rata-rata rakyat di negara Islam hidup sengsara. Di Iraq, di Afghanistan, di Palestin, di Yemen, Pakistan, Bangladesh dan banyak lagi.
Inilah cara Allah sukat iman kita. Allah tidak sukat iman mereka yang memang tak percaya pada-Nya.
Hari ini, banyak negara di benua Afrika sedang berperang dengan pelbagai penyakit pelik seperti Ebola dan juga Hepatatis E. Hepatatis E dikatakan telah meragut 1.4 juta rakyat Afrika, lagi dahsyat daripada penyakit Ebola. Hal-hal ini sangat merunsingkan dunia, khasnya di Afrika.
Jadi kita di Malaysia bagaimana agaknya? Tak ada masalah dan musibah?
Mungkin ramai yang fikir bahawa kita di Malaysia sangat aman damai. Tetapi kita banyak terlupa untuk melihat struktur masyarakat hari ini, terutamanya dalam hal sistem kekeluargaan. Akibat masa yang terluang dan mungkin juga kerana keselesaan yang ada dalam masyarakat, kita melihat terlalu banyak kes perceraian yang kadang-kadang seperti trend yang perlu diamalkan dalam rumah tangga orang muda. Perceraian terlalu kerap terjadi hinggakan tidak ada lagi rasa hairan. Kalau dulu-dulu, rumah tangga tidak mudah runtuh. Tetapi hari ini, pantang ada masalah. Pasti akan runtuh. Paling malang, bukan hanya orang-orang muda sahaja yang banyak bercerai, tetapi pasangan berusia juga telah mengamalkan trend cerai-berai ini, seolah-olah masing-masing sudah jadi bingung dan tak mampu untuk berfikir lagi.
Bagi saya inilah dikatakan musibah yang datang pada kita di negara ini. Masyarakat kita sedang bergelumang dengan masalah. Banyak lelaki yang menjadi 'selfish' dan pemalas dan tak bertanggungjawab. Banyak juga perempuan yang mata duitan, sombong bongkak dan tak ada maruah. Akibat ciri-ciri buruk ini yang ada dalam kebanyakan insan-insan di Malaysia, rumah-tangga bergelora. Inilah penyakit yang mungkin jauh lagi bahaya daripada Ebola atau Hepatatis E. Jauh lagi teruk daripada peperangan di sesetengah negara.
Sudah itu, umat Melayu kita semakin hari semakin tidak bijak. Semakin hari semakin membiarkan diri ditindas orang lain. Semakin hari semakin bingung, tak bersemangat. Semakin hari semakin suka membuang masa dan buat benda-benda yang tak ada faedah.
Inilah zaman di akhir zaman... semakin hari tidak cemerlang dan kita semua perlu salahkan diri sendiri kerana kita yang buat pilihan untuk terima kelemahan dan kecundang! Wallahuaklam.
Apa-apa pun, kita jangan lupa, kita perlu beramal dan bersedia untuk dunia akhirat. Hidup di dunia ini hanya seketika sahaja. Di akhiratlah yang buat selama-lamanya. Jangan biar diri sengsara di dunia dan akhirat. Betapa ruginya kita.
Semoga kita sibukkan diri, amalkan ilmu agama dengan sebaik dan sebijak mungkin kerana tanpa keimanan yang kuat, diri kita akan dirasuk syaitan untuk lakukan perkara-perkara yang memudaratkan hidup kita dan keluarga.
Wassalam.
PS. Dalam banyak-banyak gambar yang dikirmkan kepada saya berkaitan dengan drama 'Setulus Janji', saya suka dengan gambar-gambar di bawah ini.
Abang Ilham, Insyirah dan Aiman.
(Ilham dan Aiman kelihatan sangat macam adik-beradik)
Gambar ni cute sangat. Insyirah bersama Abang Ilham dan Aiman naik motosikal kat kawasan sawah padi. Sangat menarik gambar ni, kan?

