Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, March 31, 2014

Tempat Termahal Di Dunia

Assalam

Saya sibuk dengan skrip drama buat masa ini, tetapi saya tetap akan update blog ini. Hari ini, saya bercadang untuk bawa anda kembali ke tanah suci Mekah dan Madinah, mungkin juga Jeddah. Ramai yang suruh saya cerita lagi, kata mereka tak puas membaca berita tentang tempat-tempat itu.

Okeylah, bagi saya dan famili, memang tak rugi ke sana, walaupun mungkin akan ada perkara-perkara terjadi yang buat kita rasa geram (dengan perangai manusia sebenarnya), namun Tanah Haram adalah tempat-tempat yang perlu kita kunjungi dalam hidup ini sebagai orang Islam. Di sana barulah kita dapat bayangkan keadaan hidup Nabi agong kita, Muhammad SAW. Padang pasir, gunung ganang yang gersang, bayangkan bagaimana mereka bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Dari Madinah ke Mekah setiap kali baginda tunaikan umrah dan haji (kita hari ini bergerak dalam kenderaan yang dingin). Mereka tinggal dalam khemah, (kita tinggal dalam hotel yang selesa). Malah, tak ada apa-apa yang boleh membebankan kita bila ke sana (kecuali hal manusia).

Tetapi yang penting, bila berada di sana, hati dan jiwa kita akan jadi tenang setenangnya (Alhamdulillah), kita kerjakan pelbagai ibadah dengan rasa seronok teramat sangat, malah kita panjatkan doa kepada Allah SWT dengan terasa dekat pada-Nya. Berkali-kali ustaz kami berpesan agar kami semua perbanyakkan doa kepada Ilahi, kerana katanya di tanah suci terutama ketika berada di depan kaabah dan tempat-tempat strategik yang lain, doa kita insyaa-Allah akan dimakbulkan. Semestinya kita mempunyai perasaan yang sangat lain daripada biasa. Ketika di sana, kita berlumba-lumba mahu berada di masjid dan tunaikan ibadah. Pahalanya beribu ganda (itu yang dijanjikan). Kita sentiasa berdoa pada Tuhan agar semua dosa-dosa kita diampunkan-Nya. Subhanallah. Apa yang lebih indah dari itu?

Di Madinah, kita berasa dekat dengan Rasul kita Muhammad SAW. Berada di Masjidil Nabawi, terasa baginda sedang melihat kita dan perasaan itu membolehkan kita bercakap-cakap dengannya. Masya-Allah. Rindu kepada Baginda terubat.

Langit, burung yang berterbangan, gunung-ganang membawa kita kembali kepada zaman Rasulullah, terbayang bagaimana baginda dengan hati yang ikhlas berdakwah, melakukan semua yang baik-baik agar ummatnya dapat mencontohi akhlaknya.

Kerana itu juga, sesiapa yang sudah ke tanah suci, mereka mahu kembali lagi dan lagi. Mahu berada di tempat yang mempunyai pelbagai manusia dari pelbagai pelosok dunia. Insyaa-Allah, selagi ada umur, ada rezeki, ada kudrat, pasti akan sampai lagi ke tempat yang paling mahal di dunia, hari ini.

Di Jeddah (kota yang terdekat dengan Mekah), segala-galanya kelihatan moden dan canggih. Rumah besar-besar, kereta canggih-canggih... bangunan pun begitu. Segala-galanya ada. Tak ada apa-apa yang kurang di sana. Semoga rakyatnya juga turut peka pada kewujudan orang Islam di dunia ini.

Wassalam.




Sunday, March 30, 2014

What Goes Around Comes Around

Assalam

Hari ini hari Ahad dan alhamdulillah, kami sekeluarga banyak berehat dan buat gardening. Sudah lama tak urus rumah kami ni, jadi dah sampai masa untuk beri tumpuan. Mujurlah Nabil yang tak ikut sama untuk tunaikan ibadah umrah, berjaya untuk uruskan rumah kami dengan baik. Syukur. Hari ini, sibuklah saya dan suami, juga anak-anak menguruskan kebersihan keliling rumah. Saya ni pantang tengok kalau taman saya tak terurus.

Okeylah... saya nak bercerita tentang apa yang saya sentuh pada entri terakhir sebelum entri ini. "What goes around comes around," peribahasa Inggeris yang merungkai tentang balasan di atas apa sahaja yang kita buat tak baik dalam hidup kita. Mungkin serupa dengan hukum 'Karma' atau 'Kaffarah', bermakna balasan yang terjadi masa di dunia. Kita tak tahu lagi balasan di Akhirat, nauzubillah. Apa-apa pun, jom kita bercerita tentang kisah benar yang terjadi di kalangan teman-teman saya, semoga ia menjadi pedoman untuk kita lakukan yang baik-baik di dunia ini, insyaa-Allah.

Baru-baru ini, saya sempat berbual dengan seorang teman lelaki yang junior saya (kami memang baik sejak berpuluh tahun lalu), dia seperti adik saya. Saya bertanya padanya (kebetulan dia juga baik dengan seorang teman veteran yang baru-baru ini menikah lagi satu), "DH tak encourage you untuk buat macam dia ke? Maksud saya... cari lagi satu isteri? Sekarang ini kan dah jadi trend?" Sebenarnya saya sengaja mahu menguji dia kerana teman saya ini orangnya agak berupa, berpangkat tinggi juga dan isterinya pula tak pernah melahirkan zuriat, mereka sekadar membela anak angkat sahaja.

Katanya pada saya, "Kak... saya tak ingin fikirkan hal-hal ini. Sebenarnya saya tahu DH sedang berdepan dengan masalah besar. Hidupnya sangat tertekan. Jadi... apa guna nak kahwin dua, kalau tak bahagia? Biarlah saya hidup begini. Banyak aktiviti yang boleh saya lakukan yang akan membawa pahala dan anak-anak saya (anak-anak angkatnya) semuanya bagus-bagus belaka. Mereka menghiburkan hidup saya. Akak tak ingat ke pada MB? Kawan kita yang pernah kahwin satu lagi tu?"

                                  sekadar hiasan

Semestinya saya ingat, sebab MB memilih seorang teman saya untuk jadikan isteri keduanya. YG adalah seorang janda anak tiga. Suami pertama YG sangat good looking dan tinggalkannya untuk berkahwin dengan perempuan lain. Mungkin sakit hati, YG mula berbaik dengan MB (suami orang yang berusia matang). Mula-mula sekadar bercerita, lama-lama dia mula menggoda MB. Tanpa persetujuan isteri pertamanya, MB kahwin dengan YG. Walaupun MB tidak menceraikan isteri pertamanya, MB pilih untuk tinggal dengan YG. Kiranya lama juga mereka berkahwin dan isteri pertama MB hidup menderita bertahun-tahun lamanya.

Baru-baru ini kami semua dapat cerita bahawa MB sedang sakit (mungkin kena strok agaknya) dan isterinya YG tak mahu lagi hidup dengan MB (kerana menyusahkannya), lalu meminta cerai. Setelah berpisah dengan YG (yang dikatakan sebuah perkahwinan yang tidak membahagiakan), MB balik kampung (Parit, Perak), terpaksa meminta belas kasihan adik-beradiknya yang masih hidup lagi, untuk menjaganya. Sangat menyedihkan, kerana keluarga MB yang masih ada di Bangi, buat tak ambil kisah pun. Isteri pertamanya sudah lama lali dan sedang hidup aman damai bersama anak-anak yang dah besar panjang dan punyai keluarga sendiri.

"Kak... saya tahu kalau kita buat tak baik pada orang lain, terutama isteri sendiri, pasti kita akan menderita satu hari nanti. Balasan tetap ada di dunia ini. Saya dah tengok banyak kali dah. Saya juga percaya DH akan merasakannya tak lama lagi. Inilah hukum Allah swt kalau kita tidak belajar untuk bersyukur atas segala nikmat yang dianugerahkan-Nya dan tidak menghargai nikmat Tuhan, Allah akan ambil pergi. What goes around comes around, kak... percayalah. Sebab tu saya mengelak daripada buat benda-benda yang menyakitkan hati ini. Bagi lelaki, memanglah seronok kalau dapat berfoya-foya atau kahwin dua, tapi bagi isteri yang kena tu, pasti sakit hati. Macam mana kita nak mengelak daripada balasan Tuhan nanti? Kak... saya tak mahu rasa seronok yang sekejap tapi menderita yang panjang nanti. Nauzubillah. Tak guna kalau menyesal kemudian nanti."

Semestinya saya teringat pada MB. Sekarang ini semua kawan-kawan bercakap tentangnya. Begitu juga tentang DH. Masing-masing nak tunggu apa yang akan terjadi nanti. Wallahuaklam.

Semoga anda relaks-relaks di hujung minggu ini.

Wassalam.




Friday, March 28, 2014

Kesakitan Yang Berbeza

Assalam

Bila saya melihat lautan yang luas dan berwarna biru pekat, saya cuba bayangkan juga jiwa-jiwa yang sedang sakit dan merana kerana orang yang disayangi berkemungkinan besar telah ditelan Lautan Hindi yang teramat dalam itu. Tentulah sayu terasa di hati ini. Bukan mudah untuk terima kenyataan tentang suatu pemergian yang berlaku tanpa diduga, tanpa sakit atau apa-apa. Namun, semua adalah ketentuan Ilahi. Ajal maut di tangan-Nya.

Semalam, saya bertemu dengan seorang teman lama (dia jauh lagi berusia daripada saya), katanya dia sudah setahun kehilangan suaminya yang meninggal dunia ketika mereka tunaikan ibadah umrah. Katanya juga, dia terkejut dan sangat terkesan dengan kehilangan pasangan yang sangat disayangi. Hampir enam bulan dia merana. Kini, dia sudah pulih, alhamdulillah. Katanya, banyak perkara yang cuba dikenang agar jiwanya dapat bertenang. Persahabatan, percintaan sejak zaman universiti hinggalah ke alam matang, kini menjadi nostalgia penting buat dirinya. Malah, dia teringat pada solat jenazah yang dilakukan selepas solat Asar di tanah suci Mekkah buat suami yang tersayang... beratus ribu yang tunaikan solat itu. (Ketika saya di tanah suci, saya tak akan miss tunaikan solat jenazah selepas solat wajib). Itulah yang menjadi ubat teman saya. Betapa agungnya Ilahi, bila diuji manusia ini, diberikan ubatnya sekali. Alhamdulillah.

Lain pula dengan teman yang seorang lagi. Kisahnya lagi menyedihkan. Bukan suatu kematian, tetapi satu penyeksaan batin dan jiwa kerana orang yang dipercayai telah menghampakannya, malah telah mengkhianati kepercayaannya. Suami teman saya, secara bersembunyi telah menikahi wanita lain tanpa pengetahuan isterinya. Sudah lapan tahun berlalu pergi dan baru inilah teman saya mengetahuinya. Itu pun secara mengejut, bila dia terjumpa emel kepada isteri kedua. Rupa-rupanya sang suami sudah beranak dua dengan isteri kedua. Kini, teman saya sedang meratapi rasa hampa dan kecewa. Katanya, "Mungkin lebih mudah menerima sebuah kematian pasangan daripada menerima sebuah pengkhianatan dan pembohongan pasangan." Katanya, dia begitu terluka dan sakit di jiwanya. Malangnya, si suami tidak mahu melepaskannya kerana mungkin takut hartanya kehilangan kepada sang isteri pertama. Betapa manusia ini jahil sesungguh-sungguhnya.

Saya teringat pada kata-kata Ustaz Faisal (ustaz kami di tanah suci) baru-baru ini. Katanya, banyak manusia tertipu dengan amalan sunnah yang diutamakan sedangkan manusia itu melakukan sesuatu yang haram untuk tunaikan yang sunat. Dia memberi contoh pada insiden di tanah suci Mekkah, kerana ada yang sanggup membayar wang sogok kepada penjaga kaabah untuk dapatkan kemudahan mencium batu hitam hajar al aswad. Perbuatan mencium batu itu adalah sekadar sunnah, namun memberi sogokan adalah HARAM. Dalam kes ini, perbuatan itu menjadi haram. Maknanya siapa yang buat begitu, dia berdosa. Begitulah dalam hal berkahwin lebih, di mana sang suami menipu isteri untuk melakukannya. Menipu, membohong dan putar belit adalah perbuatan HARAM, apatah lagi membohongi pasangan sendiri. Maka, mengutamakan sesuatu sunnah itu menjadi berdosa kalau dilakukan sesuatu yang HARAM untuk menegakkan yang sunnah. Kita mesti mencontohi Nabi Muhammad SAW, baginda tidak pernah membohongi isteri-isterinya. Yang penting, Baginda berkahwin lebih adalah kerana desakan dakwah, bukan untuk keseronokan. Baginda tidak pernah berkahwin lebih ketika bersama Siti Khadijah selama sekitar 25 tahun sehingga Siti Khadijah wafat.  Masya-Allah. Baginda sentiasa tidak mahu ummatnya mendahului sunnahnya daripada yang wajib yang ditetapkan Allah dalam al-Quran. Subhanallah.

Semoga kita sentiasa peka dan cuba lakukan yang terbaik, kerana setiap hati yang kita lukakan pasti ada balasan. Kata orang putih, "What goes around comes around."

Wallahuaklam.

Wassalam.


Thursday, March 27, 2014

Diskriminasi Di Tanah Suci

Assalam

Itulah yang saya perhatikan. Di Tanah suci juga berlaku perbuatan diskriminasi yang membawa maksud tidak adil. Tak kisahlah sama ada di Madinah atau di Mekkah, pihak authority selalu dilihat bersikap tidak adil pada orang-orang bukan Arab. Malah, di antara orang Arab juga mereka terus memilih kasih. Tetapi yang pastinya, mereka tidak menghormati orang-orang Asia. Berlaku tindakan untuk mengasingkan kumpulan mengikut bangsa dan semua orang Asia Tenggara dikumpulkan dan bahasa Melayu digunakan untuk memberi arahan. Puak Arab akan diberi keutamaan terutama ketika mahu memasuki ruang Raudhah di Masjidil Nabawi. Begitu juga di Masjidil Haram, pihak authority sentiasa tidak berlaku adil pada orang-orang bukan Arab.

Kami berasa sedih melihat kelakuan mereka. Pun begitu, bukan semua orang Arab begitu kerana saya bertemu dengan beberapa orang Saudi yang sangat baik hati. Ayah saya dilahirkan di Mekah dan tentulah saya rasa terkilan dengan sikap sebahagian daripada mereka yang bagi saya, sangat tidak Islamik. Mungkin ini merupakan antara ujian untuk orang-orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga tanah suci. Mungkin juga mereka terlupa bahawa tanah suci bukan merupakan hak mereka tetapi hak seluruh orang Islam, tak kira bangsa, bahasa dan warna kulit.

Nasihat saya bagi kaum wanita, kalau hendak ke tanah suci, elok lebihkan pakai pakaian hitam. Kalau orang lelaki, lebih sesuai pakai bukan baju Melayu. Kalau anda tahu berbahasa Arab, sangat bagus, kalau tidak, lebih sesuai guna bahasa Inggeris dengan mereka. Biasanya mereka lebih hormat bila kita berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kalau tidak bahasa Arab.

Dalam pada itu, saya juga ingin menarik perhatian anda tentang kewujudan burung-burung merpati, terutama menghampiri Masjidil Haram. Elok kalau kita perhatikan baik-baik, kerana tidak kelihatan najis burung di kawasan itu, walaupun burung-burung berkeliaran dalam jumlah yang ribuan. Sungguh menghairankan kerana burung-burung itu bijak untuk memilih tempat membuang najis mereka. Burung-burung itu adalah generasi yang turun-temurun daripada zaman nabi-nabi. Insyaa-Allah, ini adalah nikmat anugerah Ilahi buat kita untuk melihat keajaiban yang disediakan di tanah suci. Begitu juga dengan telaga zam-zam yang tak pernah kering-kering walaupun berbilion manusia meminum airnya. Bayangkanlah... satu kawasan padang pasir mampu mengeluarkan telaga sehebat zam-zam. Masya-Allah.

Ketika Rasulullah SAW pergi ke Mekah untuk tunaikan umrah dan haji, baginda sentiasa berada dalam keadaan yang sederhana, semoga kita umatnya terus begitu, tidak ghairah untuk ke sana dalam keadaan yang terlalu mewah, kerana itu tidak sesuai dengan sunnah baginda. Wallahuaklam.

Wassalam.




Wednesday, March 26, 2014

Mentaliti Yang Daif

Assalam

Semestinya kita terasa akan kemurungan yang melanda negara ini.  Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un. Dari Dia kita datang, kepada Dia juga kita kembali. Kematian itu adalah satu kepastian buat semua manusia yang bernyawa, hanya kita tidak tahu bila ajal akan tiba. Pun begitu, bila maut tiba, kita tak mungkin dapat mengelaknya sekalipun kita menangis keluar air mata darah. Setiap ujian itu datangnya bersebab, dan ada hikmah di sebaliknya yang mungkin menjadi pengajaran buat kita semua. Penerbangan MAS yang hilang, tentu berpunca, hanya kita belum tahu mengenainya. Pelbagai teori yang diketengahkan, semoga kita akan temui jawapannya nanti. Insyaa- Allah. Sebagai orang Islam, kita wajib terima ketentuan Ilahi. Hanya sabar sahaja yang dapat tenangkan hati dan jiwa. Kebetulan, tiga orang daripada mereka yang berada di pesawat yang hilang itu, tinggal di kejiranan kami. Tentunya kami turut rasa sedih buat kaum keluarga yang terlibat.

Dalam entri hari ini, saya ingin membawa anda kembali ke tanah Haram, kota Madinah dan kota Mekah. Perkara ini pernah saya bangkitkan semasa kembali dari ibadah umrah pada tahun 2011. Kali ini, saya bangkitkan sekali lagi. Bagi kami dan juga mereka yang lain (ketika berbual-bual), kita dapat rasakan bahawa kedua-dua kota itu sedang pesat membangun untuk kemudahan jemaah yang bakal datang ke kota-kota ini untuk tunaikan ibadah umrah dan haji. Namun begitu, persiapannya terlalu fokus untuk mereka yang berduit banyak. Kemudahan hotel (terutama di kota Mekah) lima, enam dan tujuh bintang disediakan di keliling Masjidil Haram, secara automatiknya akan mengizinkan mereka yang kaya-raya sahaja untuk mengecapi kemudahan yang disediakan, sementara yang tidak berduit, mungkin satu hari nanti, tidak berdaya untuk tunaikan ibadah ini. Betapa sedih yang kami rasakan. Kalau anda mempunyai kemampuan, eloklah pergi secepat mungkin ke tanah suci. Jangan tunggu-tunggu lagi. Jangan terlalu berkira-kira sangat, kerana bimbang di masa akan datang, ibadah itu akan menjadi satu kemewahan dalam hidup kita yang mungkin kita tak mampu untuk merasa.

Kebetulan, kami menaiki Saudi Air untuk ke Jeddah. Kerajaan Saudi menyediakan terminal khas buat airline mereka itu dan kami rasa selesa kerana tidak banyak songeh. Semuanya cepat. Tetapi bagi mereka yang menaiki airline lain, terpaksa guna terminal lain yang makan masa berjam-jam untuk keluar dari terminal berkenaan. Ada yang sampai enam tujuh jam terpaksa tersadai di lapangan terbang.

Dalam pada itu, kami juga berasa hairan dengan pihak pegurusan negara Arab Saudi yang kaya-raya itu. Dalam pada kesibukan untuk menaik taraf kota Mekah dan Madinah, kemudahan yang disediakan dalam perjalanan antara kedua-dua kota itu, sangat daif standardnya. Memang payah nak cari tempat rehat yang okey-okey di sepanjang highwaynya. Walaupun lebuh rayanya bagus, tetapi kemudahan sangat kurang. Itu menunjukkan bahawa kerajaan Saudi tidak prihatin atau sebenarnya mereka mempunyai mentaliti yang daif.

Sebenarnya ada lagi perkara-perkara yang akan saya ceritakan, mungkin sebagai pengajaran buat kita semua. saya akan sambung lagi di entri selepas ini, insyaa-Allah.

Wassalam.









Tuesday, March 25, 2014

Alhamdulillah... Sudah Pulang

Assalam semua

Alhamdulillah, kami sudah pulang daripada menunai ibadah umrah dan ziarah di tanah suci Mekah dan Madinah. Kami juga sempat singgah di Jeddah. Semuanya berjalan lancar. Memang tidak ada kata-kata yang lebih indah daripada ucapan syukur di atas nikmat, rahmat, zat dan segala anugerah Ilahi di atas peluang yang diizinkan untuk kami berada di sana. Ketika sampai, cuaca di Madinah sangat dingin. Cukup indah... alhamdulillah. Perasaan bahagia muncul di jiwa ketika sekali lagi menjejaki kaki di Masjid Nabawi. Sudah ku sampaikan salam semua yang memesan kepada Nabi Muhammad SAW, semoga semua yang tak pernah ke sana akan dijemput ke sana nanti, insya-Allah.

Alhamdulillah, kami dapat bersujud di Raudhah, walaupun bukan mudah untuk ke situ. Alhamdulillah juga kami dapat berada di depan kaabah sekali lagi. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu hati dan perasaan kami, semoga anda yang belum lagi ke sana, akan ke sana juga suatu hari nanti. Buat teman-teman yang mengirim doa, alhamdulillah sudah saya panjatkan kepada Ilahi di depan kaabah, semoga Allah berikan yang terbaik buat kita di dunia dan akhirat.

Pagi ini saya tak tulis panjang-panjang kerana saya perlukan sedikit masa untuk berehat, insyaa-Allah esok-esok akan saya bercerita tentang pengalaman kali ini ketika berada di sana. Saya kembarkan sama beberapa gambar untuk dikongsi buat semua yang saya sayang.

Wassalam.

                               Di Masjid Nabawi
                                      Kota Madinah - kawasan hotel
                                Dataran Masjid Nabawi
                                   Dataran Masjid Nabawi
         Di depan Masjid Kuba ketika ziarah di kawasan Madinah
                           Kawasan Masjid Kuba
               Ketika ziarah - masih di kawasan Madinah
                                                  Di Madinah
                     Dalam bas yang disediakan untuk ziarah
                    Di kawasan Jabbar Uhud
        Bas yang disediakan untuk kumpulan kami seramai 13 orang
                            Ketika ziarah
                       Ketika ziarah
                          Di ladang unta
                                 Bergambar dengan kawan lama
              Dengan kawan kami di kawasan shopping Hilton
                            Di kawasan Mekkah
                                 Bersama unta
                                 Kedai buah - Mekkah
                           Depan kaabah
                               Ketika berhenti untuk bermiqat
                           Burung merpati yang beribu-ribu di kota Mekkah
                Berjalan-jalan di kawasan Mekkah
                       Burung merpati yang sedang termenung
                            Di Dataran Masjidil Haram
                               Depan kaabah
              Di jeddah - tepi Laut Merah berlatarkan masjid terapung
                                 Di Jeddah dengan kumpulan kami

Thursday, March 13, 2014

Doakan Yang Terbaik

Assalam

In syaa Allah, hari ini saya dan keluarga akan berangkat untuk ke negara Arab Saudi untuk tunaikan ibadah umrah. Doakanlah agar segala-galanya dipermudahkan Allah swt, semoga selamat kami pergi dan kembali dalam keadaan kesihatan yang baik, begitu juga buat anda semua, semoga Allah pelihara kita dalam iman dan takwa, semoga kita diberi yang terbaik untuk dunia dan akhirat.

In syaa Allah saya akan berada di blog ini sebaik sahaja pulang nanti. Bagi anda yang telah mengirim doa, in syaa Allah akan saya usahakan semoga doa itu dipanjatkan kepada Ilahi. Semoga dunia dan akhirat kita dipeliharai Allah swt. Ameen.

Wassalam.

Wednesday, March 12, 2014

Adam Dan Hawa



Assalam

Insyaa-Allah proposal saya sempat siap sebelum berangkat ke tanah suci. Tetapi apa yang menariknya, saya terpaksa membaca novel saya (yang lamalah) dan kerana dah lama saya tak baca, rasa macam tak pernah tahu ceritanya... hehe, macam kelakarlah pulak.

Kadang-kadang hidup ini terasa seperti kelakar, namun sebenarnya kalau kelakar pun, mungkin buat seketika sahaja. Selebihnya jauh lagi serius. Hidup di dunia bukan sekadar untuk 'happy-happy' sahaja tetapi malangnya, ramai yang mahu berasa seronok sahaja hinggakan terlupa peranan mereka sebenar sebagai insan hamba Allah. Kita terlupa bahawa sebenarnya hidup kita di dunia ini adalah kerana-Nya, namun kadang-kadang manusia terlupa untuk mengingati-Nya. Kita lebih risaukan soal wang, soal makan dan minum, soal hiburan dan pelbagai soal lain, seolah-olah kita akan mati kalau tidak dapat semua itu. Mungkin itulah fitrah manusia. Seperti mana manusia menyentuh tentang fitrah lelaki yang menyukai makanan dan seks. Betul ke? Bukan semua lelaki begitu kot, kerana kebetulan saya mempunyai seorang teman lelaki yang tidak begitu perangainya. Walaupun isterinya sudah lama sakit, tetapi rakan saya itu tetap setia pada yang satu.

Huh! Betulkah lelaki dijadikan Tuhan begitu, untuk mempunyai pasangan lebih daripada satu? Tetapi kita harus ingat bahawa ketika Allah swt wujudkan Adam di dunia ini, Allah juga jadikan Hawa untuknya. Hanya seorang Hawa sahaja. Itu bermakna, itulah fitrah yang dijadikan Allah buat insannya.

Adoi... saya teringat pada karya saya 'Aura Cinta' di mana terkisah tentang satu jiwa yang mahu berkongsi kasih orang, maka jiwa itu hampa dan kecewa akhirnya. Walaupun cinta, tidak bermakna cintanya berjaya untuk dia jadi insan yang bahagia.

Sekadar bercerita kosong pada malam yang hangat begini. Good night... eh good morning kot.

Okeylah... nak tidur dah...

Wassalam.

Sunday, March 09, 2014

Kemelut dan Dugaan

Assalam

Saya masih tidak berkesempatan untuk teruskan sambungan cerpen yang berjudul 'DIA YANG KUPANGGIL YANA'. Kebetulan ada proposal yang perlu saya siapkan sebelum berangkat untuk tunaikan ibadah umrah, insyaa-Allah. Ia merupakan satu komitmen yang tak dapat saya ketepikan. Malah, saya terus sibuk dengan skrip drama.

Selain dari itu, saya masih sibuk berulang-alik ke hospital untuk melawat anak saudara suami yang terus berada dalam keadaan koma. Hanya Allah sahaja yang akan berikan yang terbaik, itulah doa kami semua.

Hari ini, rakyat Malaysia terus berada dalam kegelisahan terutama ahli keluarga yang terlibat dalam misteri kehilangan kapal terbang MAS Boeing 777 dari Kuala Lumpur ke Beijing. Semoga Allah swt membawa kita kepada penyelesaian misteri ini. Abang saya merupakan veteran kapten juruterbang untuk syarikat MAS, dan banyak teori yang disampaikan kepada kami untuk memahami krisis kehilangan pesawat berikut.



Selain itu, negara terus berada dalam keadaan kemarau yang berpanjangan. Kita doakan supaya Allah curahkan rahmat dengan menurunkan hujan agar kita tidak ditimpa masalah kekurangan air. Kita juga harus berjaga-jaga dengan kemelut yang bakal muncul kerana sudah ada berita yang mengatakan bahawa negara akan berdepan dengan masalah ekonomi yang meruncing. Semoga kita dapat berdepan dengan ujian ini, insyaa-Allah.

Ada beberapa orang pembaca yang berniat untuk menghantarkan doa kepada saya, dan saya masih menunggu mesej mereka yang masih belum hantar. Semoga Allah swt berikan kekuatan dan keimanan kepada kita untuk terus move forward. Insyaa-Allah.

Wassalam.

Friday, March 07, 2014

Bila Hati Terubat

Assalam

Ya, saya masih kesibukan. Hari ini, bukan sekadar hendak ke hospital, tetapi nak berjumpa dengan kawan-kawan lama lagi. Ada lunch date. Apa-apa pun, ingin saya maklumkan bahawa sudah ada ramai yang mengirim e-mel kepada saya untuk hajat mereka ketika saya tunaikan ibadah umrah di tanah haram nanti. Insya-Allah, akan saya tunaikan untuk memohon doa bagi pihak mereka yang mengharapkan. Kalau ada lagi yang mahu saya tolong doakan, sila hantar e-mel cepat-cepat, mudah untuk saya kumpulkan.

Sekadar untuk berkongsi rasa dengan anda semua. Pernah tak sesuatu yang tidak enak berlaku dalam hidup anda dan anda begitu kecewa dan terkesan akibat apa yang berlaku itu? Pastinya anda sedih dan tidak tahu bagaimana untuk menghapuskan rasa kecewa itu. Hanya Allah sahaja tempat mengadu dan Alhamdulillah, Allah Maha Penyayang, Maha Adil... suatu hari, anda berasa lega kerana apa yang mengecewakan anda itu sudah pun terubat. Sesuatu berlaku dan sesuatu itu pastinya akan mencelikkan mata dan hati mereka yang pernah menyakitkan hati anda itu. Allahuakbar!



Sebagai insan yang kerdil, pasti kita tidak lari daripada melakukan kesilapan. Namun, kalau kita sengaja memilih untuk sakitkan hati orang lain, atau melakukan sesuatu dengan sengaja untuk mengambil bahagia orang, kemudiannya kita tidak rasa bersalah, pasti akan ada balasannya. Kalau kita tahu yang kita sudah melakukan kesalahan untuk menyakitkan hati orang, eloklah kita bertaubat, berjanji pada Allah yang kita tidak akan ulangi lagi. Kalau kita sombong pada Tuhan, pasti kita akan dikecewakan pula dan pasti kekecewaan yang datang itu akan buat kita betul-betul rasa kecil dan mungkin insaf.

Pada hari yang baik ini, mudah-mudahan kita pasanglah niat untuk memperbaiki hati kita, agar dijauhkan Allah SWT daripada berbuat zalim kepada insan lain. Allah Maha Melihat, Maha Mendengar. Jangan biarkan ada tangisan dan ada tangan yang menadah pada Allah di atas kezaliman yang pernah kita lakukan itu. Nauzubillah min zalik.

Wassalam.

Tuesday, March 04, 2014

Tangguh Buat Sementara Waktu

Assalam.

Saya terpaksa tangguhkan sambungan cerpen saya, kerana buat masa ini saya sedang kesibukan dan kesedihan. Anak saudara suami saya sedang tenat di hospital. Insya-Allah, bila keadaan lebih melegakan, saya akan sambung semula cerita saya itu.

Untuk makluman anda semua, saya juga sedang sibuk menyediakan skrip drama adaptasi dari salah sebuah novel saya, sebanyak 26 episod, di mana 'shooting' akan bermula bulan Mei ini, insyaa-Allah. Pihak produser dan team nya akan ke England bulan Mei untuk mulakan penggambaran.

Untuk makluman anda juga, insyaa-Allah saya dan keluarga akan berangkat untuk tunaikan ibadah umrah pada 13 Mac ini. Bagi anda yang mempunyai sebarang hajat dan mahu saya bantu untuk doakan di depan ka'abah, sila hubungi saya melalui e-mel dan maklumkan hajat anda itu. Insyaa-Allah, saya akan usahakan. Saya lakukan perkara yang sama juga ketika tunaikan ibadah umrah pada tahun 2011.

Semoga Allah cucuri rahmat buat kita semua dan selamatlah dunia dan akhirat.

Wassalam.