Ayat pada judul entri ini pernah saya catatkan dalam novel 'Nama Aku N'. N memberitahu kakaknya, tak salah kalau hendak memilih seorang duda sebagai calon suami. Bermakna duda itu sedang menerima 'second chance' dalam hidupnya... dan tidak pula bererti yang kakaknya sedang mendapat sesuatu yang 'second hand'!
Biasanya memang begitu. Kita suka berburuk sangka kepada sesuatu yang kita anggap sudah digunapakai. Takkanlah kita nak samakan orang dengan barang, kan? Tentu tak sama. Pun begitu, ada kala, barang juga jadi berharga apabila menjadi lama dan antik! Mungkin lebih mahal dari yang baru.
Apa-apa pun, hidup kita di dunia ini, kita tak tahu apa yang akan datang berdepan dengan kita. Bukan sekadar perkahwinan, mungkin juga dalam hal lain seperti bisnes, kerjaya, hobi dan macam-macam lagi, termasuk kawan. Ada ketika, yang kali pertama tidak menjadi buat kita. Tetapi itu tidak bererti nasib kita akan begitu sahaja. Kalau datang 'second chance' atau mungkin 'third chance', janganlah kita tolak pula kerana takut untuk mencuba buat kali kedua atau mungkin ketiga. Sepatutnya, apa jua pengalaman yang pernah kita lalui yang mungkin lebih negatif dari positifnya, biar ia menjadi pengajaran buat kita. Biar kita matangkan fikiran untuk mencuba buat kali kedua atau ketiga.
Kalau anda seorang bujang (lelaki), jangan gerun untuk menerima wanita yang bergelar janda atau balu untuk dijadikan isteri. Biasanya, mereka yang sudah pernah melalui suatu perkahwinan, akan menjadi lebih matang daripada mereka yang tak pernah berkahwin. Jangan kita anggap manusia sama seperti barang. Manusia mempunyai hati, mempunyai jiwa dan perasaan. Hati, jiwa dan perasaan itulah yang membuat kita hidup dan bahagia. Begitu juga dengan wanita, jangan takut untuk memberi peluang kepada lelaki yang pernah berkahwin. Kebanyakan mereka akan menjadi suami yang lebih prihatin.
Bagi saya, apa sahaja yang Tuhan sediakan untuk kita di dunia yang fana ini, itulah KetentuanNya. Terima dengan hati yang terbuka dan jangan berburuk sangka. Cubalah dengan keikhlasan. Buat kerana Allah SWT, kita akan menerima ganjarannya, insya-Allah.
Ramai yang bertanya kepada saya,"Boleh ke Kak Aina... nak cuba sekali lagi?"
"Apa salahnya?"
Bukankah Tuhan lebih mengetahui? Mungkin kerana itulah Dia memilih kita untuk menerima 'second chance' atau mungkin 'third chance' dalam hidup kita. Apa sekalipun, buatlah yang terbaik agar kita berpuas hati dan tidak menolak peluang yang datang kepada kita itu.
*Gambar hiasan anak-anak saudara saya yang masih kecil. Basla Damya dan Hannan.