

Masih nak cerita pasal zaman kanak-kanak. Tak tahulah kenapa, mungkin sebab bulan puasa kot. Masa kecil dulu, bulan puasa memang meriah, maklumlah kan saya ni banyak adik-beradik? Ada-ada saja ceritanya. Tapi hari ni, bukan saya nak cerita pasal saya atau adik-bradik saya, tetapi pasal fantasi kanak-kanak perempuan.
Kebanyakan kanak-kanak perempuan yang berusia antara empat hingga 10 tahun atau lebih, suka berangan-angan nak jadi Tuan Puteri atau Princess. Bagi mereka 'princess' cantik, kaya, ada taman dan istana yang besar dan cantik, ada dayang dan yang penting, mesti ada putera yang akan jatuh cinta dengannya.
Sebenarnya, fantasi ini atau impian ini akan terus berada dengan mereka hinggalah dewasa. Sekalipun dah kahwin atau mungkin dah beranak-pinak, dan mungkin tinggal di rumah biasa-biasa sahaja, namun impian seperti itu tetap ada... cuma tak diluahkan saja. Mungkin kerana itu jugalah, ramai yang suka baca novel romantis, penuh dengan cerita-cerita yang seronok dan juga dengan benda yang cantik-cantik belaka. Memang tak salah pun. Ia merupakan satu terapi dan akan membuatkan seseorang itu rasa senang dan tenang. Kalau kita rajin membaca, tak kira apa sahaja, biasanya kita akan berfikir-fikir dan otak kita sentiasa berjalan dan itu adalah baik untuk kita. Elok kalau kita sentiasa pastikan anak-anak kita membaca sejak kecil lagi agar otak mereka sentiasa berkembang dan jiwa mereka sihat. Wallahua'lam.