
Pernahkah anda membaca novel saya yang berjudul 'Bunga-Bunga Kemboja'? Kisah Nabil, Nur Qahira dan juga Nadya. Nur Qahira atau Chaya merupakan gadis kacukan Kemboja-Melayu, ibunya Melayu tetapi ayahnya berketurunan Kemboja yang asalnya bukan Islam. Chaya dibesarkan datuk dan neneknya dalam agama yang berbeza daripada agama asalnya, iaitu Islam. Kisah Chaya atau Nur Qahira ini, saya ambil dari kisah benar seorang teman yang sememangnya berasal dari Johor. Dalam cerita benar ini, anaknya itu bernama Suraya dan bekas suaminya itu pula berasal dari Burma atau Myanmar.
Kami bertemu dengan kawan kami ini semasa kami tinggal di England dulu. Dia dan suaminya bertemu dan kahwin di sana,beberapa tahun kemudian, mereka datang lagi ke England bersama anak mereka itu. Saya percaya, Suraya kini berusia dalam 24 atau 25 tahun... namun kami dah lama tidak menemuinya lagi. Anak gadis itu, memang sangat cantik. Ibunya merupakan seorang yang sangat cantik. Namun, ibu bapa Suraya telah bercerai.Ibunya pulang ke Malaysia (bekerja sebagai pensyarah). Pada mulanya Suraya tinggal dengan ibu, namun sesuatu terjadi, tahu-tahu Suraya sudah berada di Myanmar. Kini, kami sudah tidak tahu Suraya berada di mana... setahu kami, dia tidak lagi berada dengan ibunya, tetapi terus tinggal di Myanmar dan ada kala berada di UK.
Saya percaya memang banyak cerita benar yang sebegini... perkahwinan campur, satu orang Malaysia dan satu lagi orang luar. Memang malang bagi kanak-kanak yang terpaksa berpisah dengan ibu bapa mereka dan bertambah malang sekiranya agama mereka juga hilang dek kerana keadaan tertentu yang memaksa mereka berada dalam situasi yang tak menentu itu.
Hari ini, saya masih teringatkan kanak-kanak comel yang bernama Suraya itu. Apakah nasib dia, saya tidak tahu kerana kami tidak lagi mendapat berita tentangnya. Mungkinkah satu hari nanti, dia juga akan jadi seperti Nur Qahira... bertemu dengan cahaya yang akan memulangkannya kepada agama asalnya, iaitu Islam? Saya sentiasa doakan untuknya. Insya-Allah.