Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Saturday, September 17, 2011

Sakit Hati


Salam Pagi Sabtu Semua,

Hahaha.... tak sakit hati pun, tapi pagi ini, itulah judulnya, tentang sakit hati. Kenapa saya bawakan tajuk ini untuk dibualkan? Sebab saya tahu ramai yang kadang-kadang tak tahu kenapa dirinya jadi murung atau tak 'happy'. Hoi hoi... bukan senang nak cerita tetapi inilah realitinya. Sakit hati yang bukan senang nak kendali.

Apa pun, sebelum saya panjangkan cerita, baru-baru ini saya terbacalah sebuah artikel yang mengisahkan tentang orang yang baik hati. Katanya, kadang-kadang orang yang baik hati ini terlalu murah hatinya. Siapa saja hendak ditolongnya, tahu-tahu dirinya sendiri makan hati. Eh, kenapa pulak? Iyalah... dia nak tolong sebabkan kesian, tapi rupa-rupanya yang dia kesiankan tu tak tahu pula nak kenang budi. Bila dah senang aje, dia pula menjaja cerita yang bukan-bukan, konon-konon yang si 'baik hati' sebenarnya tak baik mana. Hah, dahlah macam menolong anjing yang tersepit... huhu, sedihnya. Tapi kan, cerita tu macam pernah dengar, kan?

Memang lah tak menghairankan kerana banyak cerita yang macam tu. Mungkin anda juga pernah terkena. Bila saya baca artikel itu, saya tersenyum sendirian. 'Memang dah banyak kali kena,' itulah bisik di hati. Bukanlah nak kata saya ni baik hati, tapi memang saya selalu nak tolong orang, tahu-tahu saya terkena balik. Pernah dulu-dulu masa saya kerja di UKM, ada seorang pakcik ni datang kat ofis kami. Dia tunjuk gambar anak perempuan dia yang cantik. Katanya anaknya ditimpa kemalangan dan akan dibedah, tapi dia tak cukup duit. Saya pun apa lagi, hulurlah. Begitu juga teman-teman yang lain yang sangat 'baik hati'. Tapi rupa-rupanya, pakcik itu menipu kami. Sebenarnya panjang ceritanya, tapi kami memang dapat maklumat, gambar yang ditunjuk tu entah gambar siapa-siapa, bukan pun anaknya, jauh sekali ditimpa kemalangan! Huh!

Sekali tu pula, saya menolonglah 'mangsa' ni. Katanya dia perlukan duit untuk berubat penyakit kroniknya. Saya pun kesian, lalu menolong. Rupa-rupanya, duit yang dikumpul itu dibuat pagar mewah untuk rumahnya. Dia sendiri yang mengaku. Adoi... saya tak kisahlah kalau nak buat pagar apa pun, tapi kenapa kata perlukan duit untuk berubat? Oi... kesiannya.

Kalau cerita pasal tolong member nak menulis ni, ada juga cerita sedih. Masa nak minta tolong tu, bukan main lagi... tapi bila dah boleh menulis, kita pula dikeji-keji. Tapi, tak apalah... biarlah orang buat kita.

Okeylah, bukan perancangan saya nak mengungkit, sekadar bercerita, teringat pada subjek yang saya baca di artikel berkenaan. Sekarang ni nak cerita pasal hal 'sakit hati'. Biasanya kalau kita sentuh tentang bab ini, mesti orang akan sangka corak perbualan pastinya 'negatif'. Tapi saya nak ubahkan cara bincang.

Kenapa kita selalu sakit hati? Kadang-kadang kita sakit hati sebab kita menyakitkan hati orang lain. Tanpa disedari, kita sengaja keluarkan kata-kata yang mahu menyakitkan hati orang. Kadang-kadang, kita tak sengaja pun, tapi orang sakit hati! Apa hal pulak? Iyalah, kadang-kadang kita bercakap besar atau bermegah diri (tanpa sengaja), dan orang yang mendengar itu iri hati, lalu hatinya terasa perit dan sakit. Mungkin kerana dia 'cemburu' atau 'menyampah'.

Adoi... Kadang-kadang pula, kita yang menyakitkan hati sendiri. Ini berlaku bila kita mendengar kisah orang lain atau orang-orang yang sangat rapat dengan kita. Bila kita dengar tentang 'kehebetannya' dalam apa jua segi yang dibicarakan, kita jadi iri hati, atau mungkin 'cemburu', lalu kita pun menyakitkan hati kita sendiri. Huhu...

Nak buat macam mana ni?

Sebenarnya tak susah pun, tapi kita perlu mencuba untuk tidak sakitkan hati siapa-siapa termasuk diri sendiri. Tak nak sakitkan hati orang memang tak susah. Tak payahlah kita 'cakap besar', tak usahlah kita anggap diri kita hebat sangat. Cakaplah dengan rentak yang biasa-biasa dan bersederhana. Dengan cara itu, kita tak akan sakitkan hati siapa-siapa.

Tentang hati kita pula, pun tak susah nak kendalikan. Bila ada orang cakap 'tinggi-tinggi', kita buat biasa sahaja. Kalau dengar tentang hal orang yang meletup-letup, kita relaks sahaja. Katakan kepada diri bahawa itu rezeki dia. Doakan baik-baik untuk orang lain, terutama yang rapat dengan kita. Kalau ada orang naik pangkat, terima pingat, dapat bonus, dapat berkahwin, dapat pakwe atau makwe, dapat anak, dapat isteri lebih dari satu, dapat rumah besar, dapat tanah berekar-ekar, dapat harta karun... kita doakan sahaja untuknya, agar semua itu adalah Rahmat Tuhan. Kita belajar untuk bertenang dan katakan pada diri, 'aku juga ada rezekinya'. Insya-Allah, hati kita tak akan berasa sakit.

Sebagai orang Islam, paling mujarab untuk menjaga hati, rajin-rajinlah solat sunat, rajin-rajinlah membaca kitab suci al-Quran (dan tahu maknanya), insya-Allah, hati kita dijauhi daripada penyakit 'sakit' itu.

Wallahua'lam.