Aku sekadar menumpang di dunia ini. Selagi ada umur, selagi itulah aku cuba berbakti, semoga aku dirahmati dan diberkati... Tuhanku... berilah aku hidayah untuk berbicara dari sudut hati dan pandangan mata...
Tuesday, October 04, 2011
Kampung Bendang Panjang
Salam semua
Rasa macam dah lama sangat tak update blog ni. Okeylah, semalam saya kurang sihat, malah hari ni pun tak berapa elok sangat, tapi rasa macam nak berbual kat blog ni.
Malam Ahad yang lepas, saya telah ke Shah Alam untuk hadiri perjumpaan 'orang kampung' saya. Bagi saya, itu merupakan satu pertemuan yang jarang kami lakukan. Kali terakhir, mungkin tujuh atau lapan tahun yang lalu, juga kami buat di kawasan Lembah Klang ini.
Sekarang ini, orang macam saya memang jarang sekali balik kampung. Ini adalah kerana rumah kampung saya dah tak ada. Malah, tanah pun dah kena ambil sebahagiannya (kerajaan ambil nak buat jalan). Jadi, yang tinggal hanyalah kenangan.
Pernah suatu masa dahulu, saya terasa macam tak nak tinggalkan kampung saya tu (masa remajalah), tapi Tuhan lebih mengetahui, tahu-tahu saya kini dah tinggal di Negeri Sembilan. Dulu pernah tinggal di Selangor. Begitulah hidup kita, kan? Kita tak tahu ke mana kita akan berada di masa depan. Kita tahu di mana kita dilahirkan, tetapi tak tahu di mana kita akan dikebumikan.
Dulu, kampung saya memang ada bendang (atau sawah padi) dan bendangnya pula agak panjang, mengikut rumah-rumah yang dibina di tepinya. Tapi sekarang ini, bendangnya dah lama tak ada, apatah lagi kedudukan yang memanjang. Sekadar tinggal nama sahaja.
Di Kuala Kangsar, itulah satu-satunya kampung yang mempunyai banyak penduduk yang berketurunan Jawa. Yang bukan Jawa tak banyak, dan keluarga kami merupakan antara keluarga yang bukan berketurunan Jawa. Tetapi kerana dah biasa tinggal di situ, kami (masa keci lah) pandai juga berbahasa Jawa dan tentu sekali bijak makan makanan Jawa. Malah, hingga ke hari ini, kami memang tak lepas makan 'Sambal goreng'. Kalau musim raya sahaja, sambal goreng mesti ada, kalau tak ada, macam tak sah pulak.
Kebanyakkan orang tua kat kampung saya tu, kami panggil 'Wak', jadi macam-macam 'Wak' lah yang ada kat sana. Antara yang popular ialah 'Wak Reso', 'Wak Bejo', Wak Lemes', 'Wak Sujak' dan macam-macam lagi. Sekarang, semua mereka tu dah tak ada lagi, sudah tinggalkan dunia fana ni. Apa pun, kami tak akan lupa pada mereka dan juga semua kenangan manis di kampung kami itu.
Antara makanan istimewa kampung kami, selain daripada sambal goreng, ada juga kuih sagon (jenis yang berkeping) dan kadang-kadang saya terasa rindu nak makan kuih lama seperti itu.
Pada malam Ahad itu, kami juga berpeluang untuk melihat gambar-gambar lama yang dijadikan slide dan juga penceritaan kisah kampung kami itu. Saya berasa sayu apabila melihat gambar Tok Guru saya (yang mengajar saya mengaji), mereka suami isteri yang saya panggil Pak Majid (dia bangsa Melayu) dan Wak Bandi (dia berketurunan Jawa).
Down the memory lane - itulah yang saya rasa pada malam itu. Melihat gambar adik-adiik saya semasa mereka masih muda membuat saya ketawa. Biar sekalipun kampung kami sudah berubah wajahnya, namun segala nostalgia Kampung Bendang Panjang tetap berada di hati.
Terima kasih saya ucapkan kepada Saudara Khairudin dan Saudara Mus kerana berusaha keras untuk membawa kami pulang ke Kampung Bendang Panjang!
Subscribe to:
Posts (Atom)