Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, May 19, 2015

Kafarah Dosa Tak Bayar Hutang

Assalam

Semalam, kami raikan hari lahir Rustam yang sekarang ini sudah 15 tahun, alhamdulillah. Rustam boleh berbahasa Melayu dah, fasih juga berbahasa Inggeris dan tentunya boleh berbahasa Rusia. Malah, mungkin mampu cakap Melayu berloghat Negeri Sembilan.

Semalam, ketika kami selesai solat Maghrib dan mengaji di kamar kami, riuh-rendah di bahagian bawah rumah kami kerana bising dengan suara kanak-kanak kecil. Sungguh, suara-suara itu membahagiakan kami kerana berasa syukur di atas nikmat Allah swt. Cucu-cuca dah mula membesar dan pandai berkomunikasi dengan kami terutama Yusufia, Firas dan Ali. Alhamdulillah.

Di bahagian lewat malam pula, produser yang biasa buat kerja dengan saya, telah menghubungi saya. Kali ini beliau merayu-rayu agar saya tidak menolak tawaran pitching yang sedang diaturkan dengan sebuah stesen TV. Sebenarnya bukanlah saya 'kerek' pun, cuma ada ketika saya tidak selesa dengan sesuatu yang dipinta untuk ditambah atau diubah. Apa-apa pun, setelah berbincang semula, saya bersetuju untuk teruskan. Lagipun, itu adalah kerjanya untuk 'cari makan'. Semoga berjayalah hendaknya. Aamiin.

Okeylah, nak sentuh sikit tentang 'kafarah' ni, memang tajuk ini sangat popular dengan mereka yang cuba memahami konsep Allah swt ini. Kadang-kadang orang kita kata 'Kifarah' dan banyak juga yang confuse dengan 'karma' atau 'karama' kata orang Melayu. Sebenarnya cara mudah memahaminya ialah cara Allah meringankan dosa kita atau membersihkan salah silap kita, atau mungkin juga cara Allah mahu kita buka mata dan hati di atas segala kekurangan kita atau mungkin segala kesilapan yang kita lakukan di dunia ini. Allah swt mungkin gantikan dengan kesakitan atau kesempitan atau kesusahan, agar kita manusia fikirkan tentang segala dosa (kecil atau besar), segala kesilapan yang kita dah lakukan, mungkin cuba perbaikinya, cuba perbetulkannya dan yang penting sekali, kita minta ampun pada Tuhan dan bertaubat. Allahuakbar.

Janganlah kita ambil ringan tentang hal-hal yang mungkin kita rasa remeh. Misalnya, kita pinjam duit orang, tetapi lepas itu kita buat tak tahu sahaja, tak ambil berat untuk pulangkan balik. Perkara-perkara seperti ini mampu mendatangkan bala dalam hidup kita. Kadang-kadang, kita buat sesuatu melalui penipuan dan Allah berikan kita kesakitan untuk buat kita sedarkan dosa kita itu.

Semoga kita sentiasa peka dan cuba buat perkara-perkara baik termasuk ambil berat tentang hal-hal besar yang kita sengaja kecilkan. Subhanallah.

Wassalam