Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, December 31, 2008

Ada Lagi Gambar di Yemen






Lihatlah langit di sana. Memang biru, tidak berawan!

Tuesday, December 30, 2008

Lagi Gambar di Yemen






Foto-foto yang sempat kami rakamkan.

Wadi Hadramaut dan Pak Arab Kaya






Salam, semua. Sudah lama saya bercadang untuk menulis entri ini, tetapi malangnya sejak pulang dari Yemen saya kurang sihat. Mungkin berjangkit semasa dalam penerbangan untuk pulang ke Malaysia. Maklumlah, kami pulang bersama serombongan Haji dan Hajah dari Indonesia, yang menyinggah dari Jeddah untuk pulang ke tanah air mereka. Kebetulan, ramai di antara mereka yang tidak sihat. Wallahua'lam. Apa pun, saya ingin berkongsi cerita semasa berada di negara Yemen selama lapan hari. Mungkin apa yang berada di fikiran memang tidak sama seperti apa yang saya alami di sana. Saya agak terkejut juga kerana kota Sana'a, ia itu ibu kota Yemen bercuaca dingin. Malah, teramat dingin hingga ada yang terpaksa membeli sarung tangan dan kot tebal. Kota Sana'a terletak di kawasan tinggi dan di musim sejuk, Sana'a menjadi sangat dingin. Kota itu terbahagi dua. Kota baru dan kota lama. Hotel kami terletak di kota lama dan di situlah terletaknya sebuah kawasan 'warisan' dan juga Bab Al Yemen, atau Pasar Arab. Kami sempat melepak di tempat itu sambil mencuci mata. Orang perempuan di Yemen semuanya tutup muka, hanya tinggal sepasang mata sahaja dan mereka berpakaian hitam.

Apa yang menarik bagi saya, orang di sana semuanya baik hati dan mesra, tidak kira lelaki atau perempuan. Malah, semasa kami berjalan-jalan di pasar, kanak-kanak lelaki sentiasa mengiringi kami untuk menunjuk jalan dan tempat-tempat yang menarik. Kebanyakan orang lelaki tempatannya memakai kain (bukan kain pelekat macam orang Malaysia) dan mereka juga meletakkan pisau atau apa yang dipanggil jambiya. Pisau ini banyak dijual di pasar.
Paling menarik buat rombongan kami semasa di sana ialah kami telah mendapat jemputan khas daripada seorang usahawan kaya (bertaraf billionaire dan dikatakan antara 10 orang terkaya di Timur Tengah). Pak Sheikh ini (daripada kaum Bugshan) telah menjemput kami untuk melawat Wadi Hadramaut sebelum ke Mukalla. Dia telah menyediakan kapal terbang untuk rombongan kami ke Seiyun, sebuah bandar kecil yang terletak di Wadi Hadramaut. Dari sana, kami telah dibawa untuk melawat pelbagai tempat indah, yang tidak pernah wujud dalam mimpi saya. Kami melihat sebuah hotel klasik di sana, kami juga melawat makam Syed Ahmad Isa, Syed pertama yang datang ke Hadramaut dari Iraq, kami juga melihat kawasan yang mengeluarkan produk madu lebah yang terbaik di dunia. Kami melawat istana Sheikh Bugshan di Lembah Du'wan dan resort yang baru dibukanya, yang diberi nama Hayd Al Jazeel. Sepanjang perjalanan, kami melihat sebuah keajaiban pada lanskap wadi itu. Gunung-ganang di sana bagaikan merata sahaja, kelihatan seperti ngarai (canyon). Gunung-ganangnya kelihatan kering kontang, tetapi wadinya pula menghijau. Banyak sayur-sayuran dan buah-buahan.

Kami juga sempat melawat 'Manhattan of the Desert'. Bayangkanlah, 500 tahun yang lalu, bangunan-bangunan tinggi mencakar langit sudah pun dibina di kawasan gurun seperti di Wadi Hadramaut itu. Kawasan itu merupakan kawasan 'heritage' dan bangunan-bangunan yang tinggi itu (dalam satu kawasan yang luas) masih kukuh dan gah berdiri, sekalipun hanya kayu dan tanah liat yang menjadi bahan pembinaannya. Siapa kata orang Islam tidak bijak?
Sepanjang perjalanan kami, kami tidak putus-putus disediakan makanan yang enak-enak. Semuanya disediakan oleh Pak Sheikh Bugshan. Beliau sangat rendah diri dan seronok melayan kami semua. Apa sahaja yang disediakan untuk tetamunya, semua pekerjanya turut makan makanan yang sama! Saya tak pernah lagi berjumpa dengan orang kaya yang baik hati sepertinya. Berkali-kali kami dibawa ke rumahnya semasa di Mukalla. Pak Sheikh ini adalah rakyat Saudi dan sudah pun menetap di Saudi, tetapi beliau sentiasa pulang ke Yemen untuk membantu kaum kerabatnya. Semasa di Mukalla (bandar di tepi laut), puas kami dihidang pelbagai jenis makanan laut. Semuanya enak belaka. Saya tertarik dengan bandar Mukalla. Lautnya biru, langitnya juga biru. Memang cantik. InsyaAllah, ada rezeki saya akan ke sana lagi kerana tidak puas berada di Wadi Hadramaut!

Friday, December 26, 2008

Macam Mimpi

Alhamdulillah, saya sudah pun kembali dari Yemen malam tadi. Masih keletihan dan masih tidak berdaya. Saya akan tulis lagi tentang pengalaman saya di negara itu. Buat masa ini saya ingin nyatakan bahawa pengalaman saya di sana bagaikan sebuah mimpi. Yemen penuh dengan harta karun yang perlu kita gali. 'Hidden Treasures' itulah yang ada di sana. Sebaik sahaja saya lebih selesa akan saya ceritakan tentang 'The Beautiful Yemen' dari sudut mata dan hati saya.

Monday, December 15, 2008

Kakak, Berjalan dan Kawan

Salam, semua

Sudah lama saya tak updatekan blog ini. Minggu lepas, saya sangat sibuk kerana kakak saya telah menjalani 'pembedahan major'. Terpaksalah saya kalut-kalut sikit. Alhamdulillah, semuanya selamat dan kakak saya kini sedang berehat. Pembedahan itu merupakan pembedahan yang kelima buatnya. Saya bersimpati, namun saya juga tahu Allah SWT sentiasa menduga kita sebagai manusia, dan itu merupakan dugaan buat kakak saya.

Ketika dia di dewan bedah (Lebih dari 6 jam), saya sempat berbual-bual dengan anak kedua kakak saya (anak sulungnya telah meninggal dunia sekitar 13 tahun yang lalu). Selama lebih enam jam itu, banyak perkara yang kami bual dan bincangkan terutama sekali tentang keluarga dan tentang kehidupan. Satu hikmah dan nikmat yang dianugerahkan Tuhan. Sejak kecil lagi, anak saudara saya itu memang rapat dengan saya. Malah, banyak urusannya saya yang menolong sehinggalah dia melanjutkan pelajaran ke Australia. Sekarang ini, dia sudah pun berumah tangga (umurnya sebaya dengan anak kedua saya, 25 tahun). InsyaAllah, dia akan mendapat cahaya mata dalam sedikit masa lagi.

Hari ini, saya sedang bersiap-siap kerana pada hari Khamis nanti (18 Disember) saya akan ke luar negara. Kali ini, tempatnya ialah tempat yang saya anggap sebagai eksotik, kerana tak ramai yang ke sana. Saya akan ke Yemen, sebuah negara Arab yang berada di Selatan negara Arab Saudi, bersebelahan juga dengan negara Oman yang terletak di Teluk Aden, berdekatan dengan Laut Merah dan Laut Arab. Kawasan teluk itu juga sangat hangat kini kerana sering dikatakan menjadi tempat lanun Somalia merompak kapal-kapal yang berlalu-lalang. Saya akan ke Sana'a (Ibu negara) dan kemudian akan ke Al Mukalla, yang terletak di tepi laut dan di kawasan Hadramaut. Hadramaut merupakan negara asal kebanyakan orang Arab di Malaysia, Singapura dan Indonesia. Ibu saya juga berasal dari keturunan ini. Begitu juga suami saya. Mungkin kerana itulah saya teruja untuk ke sana, sekalipun tambang dan hotelnya teramat mahal kalau saya bandingkan dengan tempat-tempat lain yang pernah saya pergi.

Saya bersyukur kerana Allah SWT memberi saya kekuatan, kesihatan dan umur untuk melawat tempat lain dan inilah cita-cita saya. Selagi ada rezeki dan ada kekuatan, saya akan terus mencari jalan untuk melawat negara lain, juga tempat-tempat eksoktik di negara sendiri. Doakan agar saya selamat pergi dan kembali. InsyaAllah akan saya cuba kongsikan pengalaman ini bersama pembaca-pembaca saya nanti.

Sebelum saya bertolak, insyaAllah pada hari Rabu ini, saya akan bertemu dengan rakan-rakan lama (kawan sekolah sejak sekolah rendah). Kami selalu berjumpa sebelum akhir tahun setiap tahun. Kawan-kawan saya terdiri daripada pelbagai bangsa, Melayu, Cina dan India. Saya mempunyai dua orang kawan berketurunan Cina yang sangat rapat dengan saya sejak kecil lagi. Alhamdulillah, kami terus rapat hingga kini.

Sunday, December 07, 2008

Salam Eidul Adha

Selamat menyambut Eidul Adha kepada semua pengunjung blog ini. Semoga segala pengorbanan kita lakukan di atas nama Tuhan Yang Maha Penyayang!

Thursday, December 04, 2008

Reka Bentuk Kulit dan Judul Buku

Sebagai seorang penulis, kita mahu buku kita dibaca orang. Kalau kita menulis, kita mahu manuskrip kita diterima penerbit untuk diterbitkan. Kalau tiada penerbit yang mahu menerimanya maka kita akan berasa hampa. Ada orang akan terus mati semangatnya untuk menulis lagi, namun ada orang yang kental semangat, mereka tidak berputus asa. Ada genre penulisan sangat senang dijual dan ada pula yang tidak mudah menembusi pasaran. Setiap kali pihak penerbit menerima manuskrip seseorang, mereka sebenarnya sedang mengambil risiko, kerana belum tahu sama ada manuskrip itu apabila dijadikan buku senang dijual atau pun tidak.

Sebagai penulis, kita perlu memberi kerjasama pada penerbit agar buku kita senang dijual nanti. Kita tidak boleh terlalu rigid dan tak mahu bertolak ansur dengan cadangan yang diberikan penerbit. Kalau kita mahu penerbit ikut cara kita dan apabila buku kita tak boleh dijual nanti, penerbit mungkin tak akan berminat untuk menerbit buku kita lagi. Percayalah, tak ada penerbit yang akan sesuka hati mahu mengeluarkan produk supaya ianya tak boleh dijual!

Biasanya, reka bentuk kulit buku dan judul buku memainkan peranan yang penting dalam penjualan buku. Sebelum pembaca membaca, mereka akan melihat judul buku dan reka bentuk kulit bukunya. Mereka belum tahu apa isinya. Di Malaysia, kebanyakan pembaca kita tidak berminat untuk mencuba sesuatu yang ada kelainan dan kerana itu juga, sekalipun buku kita merupakan 'genre' tertentu, kadang-kadang pihak penerbit terpaksa tukar cara agar pembaca tak takut untuk membeli buku yang diterbitkan itu. Tak guna kalau pihak penerbit memberi judul dan membuat kulit semata-mata untuk puaskan hati penulis tetapi malangnya buku tak dapat dijual kerana pembaca tak berminat untuk membeli.

Saya masih ingat pada buku pertama saya dahulu, ia itu Sesuci Cinta. Pihak penerbit saya ketika itu, ia itu Alaf21 telah menukar judul manuskrip saya daripada 'Mimpi AlHambra' kepada 'Sesuci Cinta', kerana mereka bimbang sekiranya mereka keluarkan buku saya dengan judul pilihan saya itu, buku itu tak boleh dijual. Saya akur dengan tindakan mereka itu. Begitu juga dengan reka bentuk kulitnya. Sekalipun pada asal, saya meminta gambar AlHambra di kulitnya, mereka terpaksa menukar kerana takut susah buku itu dijual nanti. Sekali lagi saya terima dengan hati yang terbuka. Saya faham bahawa mereka terpaksa buat begitu untuk pastikan buku saya senang dijual!

Sebagai penulis, kita janganlah terlalu mudah untuk merungut-rungut tentang hal seperti ini. Mungkin kita bijak menulis cerita, tetapi belum tahu kita juga bijak menjual buku kita. Kita mesti ingat, perkara pertama yang dilihat pembaca ialah kulit buku kita. Kalau mereka tak berminat, maka tak adalah buku kita dapat dijual nanti. Janganlah terlalu emosi tentang perkara seperti ini kerana akhirnya nanti kita juga yang akan rugi. Percayalah, kebanyakan penerbit lebih senang dan selesa untuk bekerjasama dengan penulis yang tidak terlalu banyak kerenahnya!

Berkata Baik

Berkata perkara baik tentang orang lebih baik daripada berkata perkara-perkara yang tidak elok. Kalau mahu menegur, biar kita menegur cara senyap, maksudnya tiada orang lain yang tahu. Dalam dunia maya hari ini, elok kita hantar e-mel secara peribadi. Jangan tulis tentang individu dalam blog atau website, kita akan mengaibkan orang yang kita nak tegur itu. Bayangkanlah kalau kita menjatuhkan maruah orang, hendakkah perkara yang sama timpa pada diri kita? Kalau kita tak mahu, jangan kita buat pada orang. Hendak menegur, sentiasa ada cara. Cakap sendiri padanya atau katakanlah secara berlapik, asal namanya tidak dikait terus terang. Sekalipun kita rasa kita hebat, jangan kita perkecilkan orang lain. Sebenarnya darjat kita tak tinggi mana. Kita kena ingat bahawa Tuhan tidak suka pada orang yang sombong. Jadi janganlah kita menjadi orang yang sombong.

Kalau mahu mengkritik buku orang, kita tanya dulu pada diri kita. Hebat sangatkah aku ini? Tidak salah kalau mahu memberi komen, tapi elok kalau kita cari yang baik-baik untuk kita ketengahkan. Yang buruk itu kita beritahu sahaja pada penulisnya. Kalau mahu bangkitkan tentang sesuatu, elok sebutkan isu itu sahaja tanpa menyebut nama penulis atau tajuk bukunya. Kita kena ingat bahawa penulis adalah manusia biasa. Mereka juga ada hati dan ada perasaan. Jangan matikan semangat orang, jangan merendah-rendahkan keupayaan orang. Kalau kita tahu ada orang komen buku seseorang dengan cara yang tidak enak, jangan kita pula tukang pukul canangnya, hebohkan ke sana dan ke mari. Kita tukang bersorak kerana seronok buku orang itu dihentam!

Perbuatan begini lagi kurang sopan kalau kita juga merupakan seorang penulis. Sama-samalah kita menjaga etika profesion penulis. Janganlah kita sebagai penulis suka menghina karya orang lain, sekalipun memang kita tak suka karyanya. Kalau kita tak minat, tak usahlah kita baca lagi. Mungkin apa yang ditulisnya bukan cita rasa kita. Kalau kita minat padanya, jangan pula kita sangka yang setiap apa yang ditulisnya mesti menepati cita rasa kita. Kita harus jadi orang yang matang dan boleh menerima apa sahaja jenis tulisan orang. Kalau betul-betul kita tak suka, jangan baca karya orang, baca sahaja karya sendiri!

Monday, December 01, 2008

Tentang Karya Orang Lain

Paling berat untuk saya lakukan ialah untuk memberi komen tentang penulisan orang. Kalau ingin saya katakan sesuatu, saya lebih suka berterus terang pada penulisnya dan saya tidak suka memberitahu pada orang lain tentang pendapat saya itu. Mungkin sekali-sekala saya akan menyentuh tentang karya orang dan biasanya saya hanya akan menyentuh apa-apa yang saya anggap positif sahaja. Kalau saya tidak suka sesuatu, saya langsung tak akan menyebut nama penulisnya. Saya lebih suka berkata sesuatu tanpa menyentuh mana-mana individu. Mungkin saya ingin menghormati orang lain, atau mungkin saya takut sekiranya saya menjatuhkan maruah orang, perkara itu akan berlaku pada saya juga! Sebab itulah saya sangat berjaga-jaga, terutama sekali tentang karyawan lain yang juga berkarya seperti saya. Saya lebih suka memberi semangat pada orang, bukan mematahkan semangat orang.

Sebab itulah di blog saya ini, saya tidak suka membicarakan tentang karya orang lain. Saya sudah membaca beribu-ribu buku sepanjang hidup saya ini. Setiap penulis ada caranya dan sebagai seorang penulis, saya juga tahu mustahil kita dapat memuaskan hati pembaca kita. Masing-masing mempunyai selera masing-masing. Yang penting, sebagi penulis, kita cuba yang terbaik dan yang terbaik buat kita tidak semesti terbaik untuk semua pembaca kita.

Sudah berbelas-belas karya saya diterbitkan sejak novel pertama, Sesuci Cinta pada akhir tahun 2003. Kini, sudah lima tahun saya berada di pesada dunia penulisan. Kalau saya mendapat sokongan, pujian dan dorongan daripada pelbagai pembaca dan teman, saya juga mendapat kejian, cacian daripada pelbagai insan yang tidak menggemari karya penulisan saya. Saya terima semuanya dengan baik. Saya sentiasa mengingatkan diri bahawa saya sekadar manusia biasa, bukan malaikat atau lebih daripada itu. Saya bersyukur kerana Allah SWT memberi saya rahmat dan dari situ semangat saya terus ada untuk menulis. Alhamdulillah, rata-rata pembaca saya lebih banyak yang menyukai dan memberi semangat kepada saya daripada yang tidak suka dengan karya saya.

Apa sekalipun pendapat orang, saya tidak mahu ambil kisah kerana masing-masing mempunyai hak untuk berbuat demikian. Bagi saya, e-mel dan mesej yang kerap saya terima daripada pembaca-pembaca sayalah yang banyak membantu memberi semangat untuk saya terus menulis. Tugas saya di pesada penulisan ini, bukan sekadar menulis sahaja tetapi juga memberi semangat dan dorongan kepada orang lain yang mahu jadi penulis. Saya tak pernah minta dibayar kerana bagi saya ini adalah anugerah Tuhan. Saya memberi nasihat dan saya cuba jauhkan daripada mematikan semangat mereka yang mahu menulis. Kalau saya menegur, saya lakukan secara profesional agar tiada yang terasa di hati. Bagi saya, kalau saya lakukan sesuatu yang tidak baik untuk orang lain, Tuhan sentiasa melihat dan saya mahu menjauhkan diri daripada Dimurkai Allah SWT.

Saya sentiasa mengingatkan diri, setiap kali saya melukai hati seseorang, Tuhan akan membalasnya. Subhanallah!

Monday, November 24, 2008

Kasih

Hari ini adalah hari lahir anak sulung saya. Sudah 29 tahun umurnya. Masih saya teringat detik dan saat saya melahirkannya di Salford, Manchester, tentulah 29 tahun yang lalu. ketika itu saya belum berumur 23 tahun. Mungkin masih muda untuk kaum Hawa hari ini untuk melalui proses menjadi seorang ibu. Bayangkanlah, ketika itu, saya hanya mempunyai suami sahaja sebagai rakan dan pendorong semangat, sedangkan ahli keluarga yang lain, semuanya berada di tanah air. Ketika itu, arwah ayah saya masih ada lagi dan dia meninggal dunia ketika anak sulung saya berusia sekitar dua bulan. Semua anak-anak saya tak pernah mengenali arwah ayah saya itu. Hanya melalui cerita-cerita yang kami sampaikan sahaja.

Apa yang ingin saya sampaikan dalam entri kali ini, ialah tentang pertalian kasih ibu dan anak, ayah dan anak, adik-beradik dan semua ahli keluarga. Kebetulan, pada hari sabtu yang lepas, saya telah menghadirkan diri untuk melihat anak saudara saya menikah di Masjid Negara. Dalam pertemuan seperti itu dan pada hari lahir anak saya ini, saya terpanggil untuk menulis tentang KASIH. Kasih yang payah untuk disukat, kasih yang susah untuk dinilai. Kita boleh jatuh cinta dengan orang lain, namun kasih yang wujud dalam ahli keluarga seperti ini, sememangnya tiada nilainya. Apa sekalipun yang berlaku, kasih ini tak mungkin terputus sampai bila-bila.

Saturday, November 22, 2008

Tarik Diri

Minah bersembang dengan rakan lamanya.

"Aku kelam-kabut dibuatnya." Kata rakan lamanya itu yang bernama Mariam.

"Kenapa, Yam?"

"Iyalah... beria-ia dia kata anak dia nak bertunang dengan orang utara minggu depan. Aku pun book lah hotel kat sana. Senanglah sikit nanti masa kami nak hantar tanda. Ingat aku nak ronda-rondalah kat sana."

"Habis tu, apa jadi?"

"Tiba-tiba dia call aku bagi tahu yang rancangan tu dah tak jadi. Aku ingatkan dia nak tangguh, rupa-rupanya terus batal."

"Apa pasal?" soal Minah.

"Dia kata adik-beradik budak perempuan tu nak suruh cepat-cepat kahwin. Mula-mula tu dah setuju bulan tujuh tahun depan nak buat kenduri kahwin, alih-alih nak suruh cepatkan ke Disember tahun ni. Bulan depan je tu. Habis tu anak dia tak mahulah, sebab kata dia belum ready."

"Laaa... kenapa tak bincang dulu?" soal Minah lagi.

"Entahlah. Anak lelaki dia panik. Kata dia... dia takut kalau kahwin dengan girl tu."

"Pasal pulak macam tu?" tak habis lagi Minah menyoal.

"Anak lelaki dia kata sekarang pun dah tak mahu dengar cakap dia, kalau kahwin nanti macam mana? pakai nak ikut cakap adik-beradik budak perempuan tu je. Dia kata budak perempuan tu tak nak dengar masalah sebelah dia. Asyik nak dengar cakap adik-beradik dia."

"Isy..." Minah menambah. "Tak boleh runding ke?"

"Entahlah... tahu-tahu dah tak jadi pulak. Anak lelaki dia tarik diri. Tak jadilah nak hantar tanda minggu depan ni. Semuanya dah batal. Aku pun terpaksa batalkan tempahan bilik hotel kat sana tu. Tak jadilah aku nak makan angin."

Tuesday, November 18, 2008

Kalau Belum Jodoh

Ramai yang terasa risau kerana umur dah meningkat tapi masih belum bertemu jodoh. Memang menjadi lumrah hidup, ramai yang akan bertanya kepada mereka yang masih bujang, tak kira lelaki atau perempuan. "Bila lagi nak kahwin ni?" Ah, tension! Mestilah tension kalau soalan macam ini datang bagaikan peluru berpandu, tak henti-henti. Lama-lama jadi bosan. Mungkin kerana itu juga, ada yang yang tak nak berfikir panjang, siapa sahaja dia main cekup. Janji Kahwin. Tak payah tunggu-tunggu, tak payah pilih-pilih.

Ada pula tu, sibuk mencari. Berusaha sana-sini. Kata orang kalau tak cari memang tak jumpa, kalau tak berusaha jangan pula disalahkan nasib badan. Tapi, nak kahwin bukan macam cari makanan kat pasar malam. Banyak dijual. Ada macam-macam jenis, tak kira berasal dari negeri mana. Pilih dan beli. Tapi nak cari pasangan hidup, langsung tak macam tu. Kadang-kadang, semua pun tak kena dengan cita rasa kita. Ada-ada saja yang membuat kita tak berkenan.

Jangan paksa diri. Kalau belum 'ready', tak salah kalau tunggu lagi. Biar sampai berkenan di hati. Kata orang kalau dah jumpa, yang buruk di mata orang, cantik di mata kita. Kalau dah berkenan di hati, biar beribu batu berjarak, akan kita rentasi untuk kita jadikan dia sebagai teman hidup. Apa sekalipun yang kita fikirkan, Tuhan yang Maha Mengetahui... Kalau Ada Jodoh, memang ia tak akan ke mana. Tapi... Kalau Belum Jodoh... Sabar ajelahhhhh...

Monday, November 17, 2008

Tulis dan Tulis Lagi

Ada ketika, saya memang pening kepala. Dah tahu memang nak tulis, tapi yang jadi pening tu sebab tak pasti nak tulis untuk siapa. Bunyi macam lucu, tetapi inilah dilema untuk penulis macam saya. Pembaca saya terdiri daripada semua peringkat umur, dari budak sekolah rendah sehinggalah nenek yang sudah melepasi 70-an. Tentu sekali apa yang mahu mereka baca, berbeza-beza. Sekalipun temanya mungkin serupa, novel cerita masyarakat dan cinta, tetapi kisahnya pula mungkin tak sama.

Saya kerap mendapat e-mel dari pembaca yang memberitahu tentang novel mana yang mereka suka. Semuanya berbeza. Kalau yang muda mahu begini, yang matang pula mahu begitu. Ada yang mahu cerita penuh dengan humor, ada yang mahu cerita sedih. Lagi banyak menangis lagi sedap katanya. Ada yang mahu 'lebih romantis'. Macam-macam permintaan pembaca dan inilah yang kerap memeningkan kepala. Mungkin kerana itu juga saya terpaksa tulis yang berbeza-beza. Ada ketika untuk pembaca yang muda dan ada ketika untuk pembaca yang matang. Ada juga permintaan dari pembaca wanita yang mahu saya menulis seperti Bunga-Bunga Kemboja, watak utamanya lelaki. Ada pembaca wanita juga yang tak mahu begitu. Uh! memang macam nak pengsan dibuatnya.... hahaha... melawak saja. Saya belum pernah lagi pengsan dek kerana menulis, cuma itu merupakan cara saya menggambarkan apa yang tersirat di hati.

Apa-apa pun, saya cuba yang terbaik untuk memenuhkan permintaan pembaca-pembaca saya. sebagai manusia biasa, sudah tentu saya tak mampu untuk membentangkan sesuatu yang sempurna. Setiap apa yang saya lakukan, tentu akan ada kekurangannya. Insya-Allah, pembaca-pembaca sayalah yang telah banyak memberi dorongan dan inspirasi dan Alhamdulillah, Yang Maha Esa sentiasa memberi saya semangat dan kekuatan untuk berkarya. Dicelah-celah penulisan saya itulah yang saya cuba sampaikan mesej yang tulus ikhlas dari hati ini. Saya akan terus menulis selagi kekuatan itu Tuhan berikan... insya-Allah.

Thursday, November 13, 2008

Menulis... Jangan Sampai Rugi.

Minah bertanya pada rakannya, Didi. "Kau hantar manuskrip kau ke mana?"

"Ke mana-manalah, kak. Asal aje ada yang nak terima. Janji boleh buat duit."

"Kau periksa tak dulu siapa penerbit kau tu?"

"Tak penting, kak. Asal dia setuju nak terbit, okeylah tu. Kalau tak, saya nak terbit sendiri, mana ada duit?"

"Bukan pasal nak terbit sendiri, tapi akak nak tanya ni... kau untung ke hantar pada penerbit tu? Ada perjanjian tak? Ada dibayar deposit? Kau tahu ke penerbit tu boleh dipercayai ke tak? Jangan main ikut sedap je. Nanti penat kau menulis. Hampas je yang kau dapat."

"Eh, okey, kak. Dah banyak dah buku yang dia terbitkan. Berlambak. Sekejap je saya tengok, dah gempak dah dia."

"Ya ke? habis tu... kau pasti kau pun dapat okey nanti?"

"Pasal pulak tak okey? saya tengok buku dia tersusun elok je kat kedai-kedai besar. Mestilah okey. Takkan tak okey kot. Kalau rugi, takkan dia nak buat berlambak-lambak macam tu."

"Ya ke? kau dah betul-betul buat perkiraan, Didi? jangan nanti bila dah lama, kau tanya bayaran royalti kau, dia kata tak banyak yang dia jual. Kau nak buat macam mana?"

"Boleh ke macam tu, kak? kalau tak untung, takkan dia nak buat banyak-banyak?"

"Untung untuk siapa, sayang? Untuk dia ke atau untuk penulis macam kau?"

"Apa akak cakap ni? Saya tak fahamlah." Kata Didi, sangat keliru.

"Macam ni. Mudah je. Dia boleh buat banyak-banyak buku untuk macam-macam penulis. Katalah seorang penulis tu, dia print 3000 buku. Lepas tu nanti, dia tak print lagi. Atau mungkin dia bagi tau kat kau, buku kau tak habis dijual. Banyak return dari kedai besar. Berlambak kat stor dia buku yang tak boleh dijual. Lepas tu, dia concentrate pada buku baru. Kalau kau nak tahu, dia tak rugi apa sangat. Kalau dia boleh buat buku, 2000 buku untuk satu judul, kau kalilah dengan 60 judul. Dah jadi 120,000. Betul tak? Nanti kau dapat ciput je untuk buku kau tu. Dia pulak dapat beratus-ratus ribu. Kau nampak tak apa yang aku nak cakap ni?"

"Blur lagilah, kak."

"Macam ni. Bagi dia, tak penting buku kau banyak dijual atau tak. Dia okey je kalau tak reprint. Dia lagi suka kalau dapat buat buku baru. Dia akan reprint buku yang betul-betul laju dijual. Lagi senang nak jual buku baru, sebab orang yang nak beli buku baru lagi ramai dari orang yang nak cari buku lama. Jadinya, buat apa dia buang masa buat lagi buku kau. Baik dia concentrate buat buku judul baru. Untung dia lagi banyak... maksud akak, lagi cepat dia dapat. Untuk kau pulak... peduli apa dia kalau takat itu yang dia boleh jual untuk kau. Maknanya, kau dapat royalti yang ciput. Lagilah sakit kalau buku kau tu tebal. Penat kau tulis macam nak rak. Untung tak seberapa. Penat macam nak gila otak kau berfikir. Yang dapat banyak duit... DIALAH!"

"Alamak! macam mana ni?"

"Akak bukan nak takut-takutkan kau. Tapi akak nak kau berfikir secara matang. Jadi penulis, mesti kena buat perkiraan juga. Cuba kau kira. Kau tulis buku tu berapa lama? Empat bulan? Tebal macam tu, takkan selama tiga minggu je kot? Okey... katalah buku kau tu dijual RM 19.90. Berapa dia bayar royalti kau? ada sampai 10% dari harga buku tu? Kurang lagi? Berapa? 9%? atau 8% je? apa lagi yang dia tolak? Okey... kalau kata untuk 2000 buah buku, mungkin kau dapat sebanyak RM 3,000 lebih. Dia pulak, untuk buku kau yang itu, dia mungkin dapat untung bersih antara RM3,500 - 5000. Tapi untuk dia, kalilah pulak jumlah buku yang lain yang dia terbitkan untuk orang lain. Tak penting dia buat buku kau banyak ke tidak, yang penting, dia buat buku banyak untuk macam-macam orang!"

"Peninglah, kak."

"Kau kira lagi. Kalau kau buat buku yang tak tebal, tapi senang ditulis dan senang dijual, bukankah lebih berbaloi? pastu kau tengoklah perjanjian dengan penerbit. Penerbit tu jenis bayar atau tak? jangan hentam hantar je, lepas tu tahu-tahu dia rupa-rupanya memang dah ada rekod tak bayar pada penulisnya. Lagi kau sakit jiwa!"

"Alah, kak... tak naklah macam tu."

"Pandai-pandai kaulah. Kau kan penulis. Takkan kau tahu tulis je. Lain kau tak fikir?"

Monday, November 10, 2008

Tidak Cantik

Semasa saya berada di Sekolah Menengah St. Mary, salah satu perkara yang saya sebutkan kepada semua pelajar sekolah itu (sekolah perempuan) ialah, "Anda semua cantik dan percayalah pada diri sendiri."

Kenapa saya sebutkan tentang cantik? Saya rasa tak ada orang perempuan yang tak kisahkan hal itu, sekalipun mereka katakan begitu. Kita semua mahu dilihat cantik. Ia menjadi penting apabila kita berkahwin kerana kita mahu orang yang kita sayangi merasakan yang diri kita cantik. Memang kita menipu diri kalau kita kata kita tak kisahkan hal itu! Sedikit sebanyak kita pasti kisah.

Kadang-kadang, isu ini menjadi terbeban kalau kita rasa yang diri kita didiskriminasi di rumah sendiri. Kita rasa mak ayah kita tak sukakan kita kalau dibandingkan dengan adik beradik yang lain kerana kita kurang cantik dan mungkin juga kurang pandai. Soal seperti ini boleh memakan hati, terutama bagi mereka yang masih muda. Saya sendiri pernah terasa seperti itu. Saya pernah terasa yang diri saya tidak secantik adik beradik perempuan yang lain dan juga tidak cerah kulit seperti mereka dan pernah kelihatan paling berisi daripada mereka. Saya pernah terasa rendah diri.

Namun perkara itu saya berjaya atasi. Yang penting, kita mesti percaya pada diri sendiri dan kita perlu beri semangat pada diri sendiri. Kita harus beritahu pada diri bahawa, "I am just as beautiful as other beautiful people." Sebenarnya, kecantikan itu datangnya dari dalam. Dari hati. Kalau hati kita baik, maka akan terpancar cahaya yang menarik dan dari situ, kita akan hilang rasa rendah diri. Percayalah.... kecantikan itu adalah anugerah Tuhan dan Tuhan berikan kepada semua.

Thursday, November 06, 2008

Cerita Tentang N

N yang saya kisahkan dalam novel terbaru ala chick lit saya, merupakan seorang remaja kota yang hidup di kawasan kelas bawahan. Sekalipun dikelilingi bangunan yang mencakar langit dan pelbagai kemudahan canggih di kota, namun N tak merasa hidup yang seperti itu. Ibu bapanya tak lengkap sifat, tidak hanya miskin, mereka juga tak berilmu dan kerana itu juga, mereka tertekan hidup di kawasan urban. Mungkin kerana itulah N terpaksa mencari sesuatu yang boleh menghiburkan hatinya. Dia berangan-angan dan membina alam imaginasinya. Di dunia itu, N menjadi Cinderella. Berpakaian indah, berkasut cantik, berakan yang baik-baik. Dia suka melepak di stesen-stesen LRT dan komuter. Dia suka menonton kerenah dan perangai manusia yang pelbagai rupa. Itu yang menghiburkannya. Namun... mampukah mimpinya menjadi kenyataan?

Setiap kita manusia, perlukan impian. Sekalipun kita tak punyai apa-apa, kita perlu ada cita-cita. Percayalah, kebanyakan kita berjaya mencapai cita-cita dan impian yang kita bina. Cita-cita mengajar kita untuk membina semangat. Impian kita mengajar kita untuk mencapainya. Insya-Allah, tak ada benda yang mustahil. Segala mimpi akan tercapai apabila kita berusaha.

Semasa saya memberi kawan-kawan membaca manuskrip 'Nama Aku N', inilah komen mereka. "Cerita ni simple sahaja, tetapi seronok dibaca. Kelakar pun ada." Entahlah... saya tak kisah apa orang nak kata. Semua kita mempunyai cita rasa masing-masing dan sebagai penulis saya cuba memberi sesuatu kepada pembaca saya. Kali ini saya memilih mereka yang remaja, suka ketawa dan gemar yang santai. Semoga terhibur dengan 'NAMA AKU N'!

Sunday, November 02, 2008

Cikgu Hilang Beg

Kebetulan, sejak kebelakangan ini saya sering bertemu dengan guru-guru, sama ada pertemuan formal dan juga tidak formal.

Minggu lepas, seorang rakan (dia pernah menjadi pembaca saya, tetapi sekarang ini sudah berubah menjadi kawan pula) juga seorang guru, telah datang ke Kuala Lumpur dari utara. Kami bertemu di lapangan terbang kerana saya sudah berjanji untuk tolong hantarnya ke hotelnya di Kuala lumpur. Sebaik sahaja kami bertemu, dia dan seorang lagi rakannya (juga seorang guru) kecoh. Mereka masuk kereta saya tetapi rakan saya itu nampak macam tak seronok. Rupa-rupanya, badan dia sahaja yang sampai di situ, tetapi begnya tak tiba bersamanya.


"Mana pergi beg?" saya bertanya.

"Tak taulah. Depa kata tak ada. Cari pun tak jumpa." Dia bersuara geram. Mukanya monyok, dalam begitu sesekali dia ketawa juga, kerana dia memang jenis suka ketawa. Setelah mendengar ceritanya, kami berpatah balik dan bersetuju untuk menunggu penerbangan yang akan tiba dari utara selepas itu. Manalah tahu, mungkin begnya tersilap masuk dalam penerbangan itu. Malangnya, tak ada juga. Kami pun terus ke KL. Rakan saya ke KL untuk menghadiri program kementerian pendidikan.

"Matilah I, nak pakai apa ni?" sekali lagi dia buat kecoh dan sekali lagi kami menyakatnya. Macam-macam yang kami cadangkan padanya. Suami rakan saya itu yang masih berada di utara, berjanji untuk mengirim pakaiannya melalui seorang pak cik mereka yang kebetulan akan ke Kuala Lumpur malam itu.

Lewat malam, saya dihubungi rakan saya itu melalui mesej SMS.

Beg I dah sampai Taiwan. Tersesat pi ke Taipeh. Esok baru depa dapat hantaq kat I

Saya ketawa. Wah, jauhnya beg dia melancong. Teringat sekitar 16 tahun yang lalu, semasa saya pulang ke Malaysia dari England bersama anak-anak. Kesemua beg kami (lebih dari 10) tak tiba di KL. Bayangkanlah, ketika itu anak kecil saya berusia 45 hari! kami tak ada barang yang hendak digunakan pada hari itu, terutama bayi kami.

Semasa kawan saya hendak pulang ke utara, sekali lagi saya berjumpa dengannya di lapangan terbang. Kali ini, bukan hanya satu sahaja begnya, tetapi dua! satu lagi ialah beg yang sudah dikirimkan suaminya melalui pak cik mereka!

Sunday, October 26, 2008

Nak Bakar Semangat!

Selepas ke St. Mary, Kuala Lumpur, saya akan ke Klang pula. Kali ini saya mendapat undangan dari sebuah sekolah yang terletaknya di daerah itu dan mereka meminta saya memberi panduan untuk menulis karya berbentuk kreatif kepada para guru sekolah dan juga pelajar mereka. Saya diminta untuk mengajar sebanyak dua kali, satu untuk guru sesi petang dan satu lagi untuk guru sesi pagi pula.

Saya bersetuju kerana saya sentiasa teruja untuk mencari sesuatu yang ada kelainan. Misalnya, apa yang saya temui semasa di Sekolah Menengah St. Mary telah mengajak saya kembali kepada memori lama semasa saya di sekolah dulu. Mungkin sekitar 35 tahun yang lampau! Alamak... rasa macam dah tua.

Tapi saya tak kisah, kerana perasaan itu tak ada di hati saya. Cuma sekali-sekala sahaja. Saya juga teringat kepada manuskrip saya yang sedang diedit sekarang ini. Apa yang saya tulis ialah kisah seorang gadis kota yang hidup di dunia urban. Bagaimana kemiskinan boleh melemahkan semangat seseorang, bagaimana kemiskinan juga boleh membuat seseorang itu rendah diri. Namun, kehidupan adalah hak kita.

Selagi kita hidup, kita berhak untuk mengatur impian dan mencapai cita-cita atau impian kita itu. Itulah yang saya kongsi bersama pelajar sekolah St. Mary. Saya teringat pada karakter utama dalam novel saya yang akan keluar November ini.... Saya teringat pada 'N'... gadis kota yang pernah bermimpi. Mungkinkah saya juga teringat pada diri saya suatu masa dahulu?

Saya berharap semua tip yang saya berikan pada mereka minggu depan ini, akan dijadikan pembakar semangat untuk mereka memulakan penulisan. Kita perlukan pelbagai buku di pasaran kita ini!

Wednesday, October 22, 2008

Sekolah Menengah St. Mary

Esok, saya akan berada di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Mary, Kuala Lumpur, yang terletak di sekitar kawasan Kepong. Saya mendapat undangan bagi program Majlis Anugerah Kokurikulum. Saya berbesar hati kerana akan terlibat sama dalam program seperti ini. Alhamdulillah, sekolah-sekolah mula melihat penulis sebagai warga yang dapat berperanan untuk memberi inspirasi kepada pelajar sekolah. Saya berterima kasih kepada pengetua sekolah itu, Cik Goh yang saya kenali baru-baru ini. Semoga penglibatan saya nanti akan mendorong pelajar sekolah itu untuk meningkatkan semangat mereka dalam menghadapi sebarang rintangan hidup remaja hari ini!

Monday, October 13, 2008

Cerita Loyar Buruk

Petang itu, semasa saya sedang memandu ke arah Lebuh Raya Karak, saya telah mendapat panggilan daripada pihak urusetia Majlis Pengetua Kanan Kebangsaan, yang bertanyakan sama ada saya boleh memulakan bengkel pada jam 8.30 pagi esok harinya di Genting Highlands. Saya bersetuju. Lagipun, saya memang suka memulakan di awal pagi.

Setibanya saya di hotel di mana mereka telah mengadakan program itu, saya sudah melihat kereta-kereta para pengetua kanan yang terletak di tempat letak kereta. Berderet. Ada 106 orang peserta. Sekalipun saya sudah biasa beri ceramah, perasaan gusar tetap terselit jua. Maklumlah, saya tak kenal mereka. Apa-apa pun boleh berlaku.

Namun... apa-apa yang mungkin membimbangkan saya, semuanya hilang begitu sahaja sebaik sahaja saya bertemu mereka di ruang makan yang disediakan untuk bersarapan. Ramai yang datang menegur saya. Malah, ada pengetua yang sudah menanti untuk bertemu saya, terutama mereka yang menjadi pegetua di sekolah-sekolah kawasan Ulu Langat!

Saya mendapat respons yang teramat baik daripada mereka. Patutlah mereka menjadi pengetua kanan, mereka adalah terpilih. Bukan hanya kerana usia yang sudah matang tetapi juga kerana perkhidmatan yang cemerlang. Mereka mendengar dan bertanya. Kami berkongsi pengalaman. Setelah puas saya bercakap, giliran mereka pula untuk bercerita.

Ya Tuhan... hampir pecah perut dibuatnya! Ada-ada saja cerita yang kelakar yang mereka sampaikan. Daripada kisah ngeri, takut, kisah loyar buruk, kisah nak kahwin tapi tak ada duit dan juga lakonan yang menggemparkan kami semua. Apa-apa pun, saya tak kering gusi dibuatnya. Ada-ada saja. Sekalipun profesion mereka adalah di bidang perguruan, namun mereka juga berupaya untuk menjadi penglipur lara dan penghibur. Saya tabik pada mereka!

Terima kasih saya ucapkan kepada semua pengetua kanan yang telah saya temui dan insya-Allah, kami akan berjumpa lagi.


PS: Saya jumpa seorang kenalan lama yang suatu ketika dahulu pernah tinggal di Kolej Pertama, Universiti Malaya bersama-sama saya.

Thursday, October 09, 2008

Ke Genting Highlands

Esok pagi, saya akan berada di Genting Highlands untuk berinteraksi dengan Pengetua-pengetua Kanan, Zon Tengah di bawah program anjuran Majlis Pengetua Kanan Kebangsaan (MPKK). Mereka menjemput saya untuk berbincang tentang tenik penulisan kreatif. Mengikut kata penganjur, ada lebih 100 orang Pengetua Kanan yang menyertai bengkel yang dianjurkan ini.

Saya teruja. Sekalipun sudah berkali-kali saya memberi ceramah, termasuk kepada 'cikgu-cikgi' sekolah, ini merupkan pertama kali saya akan berdepan dengan para Pengetua Kanan. Zon Tengah, mewakili Wilayah Persekutuan, Selangor dan Pahang.

Petang ini saya akan bertolak ke 'Selesa Hillhomes'... rumah percutian saya yang dah lama saya tak kunjungi. Saya akan ke sana untuk tidur satu malam dan bertolak ke Genting awal pagi esok.

Harap-harap selepas ini nanti, kita akan mendapat bahan penulisan daripada Pengetua Kanan untuk dijadikan bahan bacaan.

Monday, September 29, 2008

Salam Aidil Fitri

Antara yang menarik tentang ketibaan bulan Syawal, ialah kerana ramai teman-teman yang dah lama tak berhubungan, akan berusaha untuk bertanya khabar. Beginilah setiap tahun. Sekalipun terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada bulan Ramadhan dan terus berdoa agar Tuhan panjangkan umur untuk berjumpa dengan Ramadhan yang akan datang, namun Syawal tetap mulia kerana pada ketibaannya, kita akan secara automatik teringat pada teman-teman, saudara-mara... tak kira dekat atau jauh. Semoga silaturahim terus berkekalan, sama-sama bermaaf-maafan dan sama-sama menghormati yang tua dan yang muda.

Saya mengambil kesempatan ini untuk ucapkan Salam Aidil Fitri buat semua pengunjung blog saya. Kepada mereka yang beragama Islam, nikmatilah keindahan agama yang dikurnia Allah SWT buat kita semua. Semoga terjalin ikatan kasih sayang.

Wednesday, September 24, 2008

Kongsi

Sebagai penulis, saya banyak berkongsi ilmu dengan penulis dan bakal penulis lain. Bagi saya, tak mengapa berkongsi ilmu, kerana dalam Islam perkara itu memang digalakkan. Malah, kalau kita mahu kembangkan industri buku dan jadikan budaya membaca sebagai sebahagian daripada hidup kita, maka kita tak bolehlah berkira-kira untuk sampaikan maklumat kepada orang lain. Mungkin cara kita tak serupa dengan orang lain, namun apa sahaja yang kita tahu dan pelajari melalui pengalaman menjadi penulis, eloklah kita kongsikan bersama orang lain. Agar lebih ramai yang tahu dan faham tentang apa yang mereka perlu lalui dan pelajari.

Dalam hal ini, bagi saya antara maklumat terpenting untuk jadi seorang penulis yang komited ialah dengan memastikan fakta yang dimuatkan dalam penulisan adalah tepat. Selain daripada itu, penulis perlu punyai disiplin diri yang tinggi. Tak usah bermimpi untuk jadi penulis kalau kita selalu bertangguh-tangguh atau hangat-hangat tahi ayam. Kita mesti serius. Jangan cakap mahu jadi penulis kalau tak ada satu ayat pun yang sudah kita tulis untuk dinilai oleh orang lain. Kalau rasa nak jadi penulis, jangan buang masa. Tulislah. Kalau gagal, jangan putus harapan. Buat balik. Sekalipun berkali-kali manuskrip kita ditolak, jangan putus asa! Buat lagi dan belajarlah.

Monday, September 22, 2008

Menghayati Islam

Ramai yang bersembahyang, lagi ramai yang berpuasa dan ramai juga yang menghabiskan masa di masjid. Namun begitu, dalam bulan yang mulia ini, masih kedengaran lagi cerita tentang orang Islam yang makan di siang hari. Saya sendiri pernah terserempak dengan sekumpulan lelaki-lelaki Melayu (berbaju pejabat, siap bertali leher) dalam lingkungan pertengahan umur, sedang makan tengah hari di sebuah restoran India di Petaling Jaya, pada hari Jumaat dalam bulan Ramadhan. Kebetulan, saya menyinggah kerana mahu membeli manisan India untuk anak-anak dan kerana saya bertudung, kumpulan lelaki itu terasa malu teramat sangat apabila memandang saya yang masuk ke dalam restoran itu dan terserempak dengan mereka. Sudahlah mereka tak berpuasa, makan pula pada jam orang lain sedang bersolat Jumaat. Pun begitu, bukan tugas saya untuk menghukum mereka.

Apapun, yang penting buat kita semua, ialah untuk menghayati agama itu sendiri. Kalau kita dapat menghayatinya, tak ada tugas yang diperintah Tuhan menjadi berat buat kita. Malah, kita akan sentiasa rasa tak sabar untuk mengerjakannya. Tak sabar untuk menunaikan solat, tak sabar untuk menunggu Ramadhan tiba, tak sabar juga untuk mencari rezeki agar kita boleh tunaikan sedekah dan membayar zakat. Tak ada benda yang disuruh Allah SWT yang menjadi berat.

Bukan itu sahaja, malah kita sentiasa mahu dekat dengan-Nya. Kita mahu disayangi-Nya, kita mahu melakukan semua yang baik untuk-Nya. Kita hidup kerana-Nya dan mati juga untuk kembali pada-Nya.

Wednesday, September 17, 2008

Mencari Perubahan

Semasa saya mengikuti program ijazah sarjana dalam bidang pengurusan, bertahun-tahun yang lalu, di University of Liverpool, antara perkara penting yang saya pelajari ialah kekuatan 'Perubahan' dalam hidup kita untuk mencapai kejayaan. Semasa saya pulang ke UKM dan bertugas semula di Bahagian Latihan, itulah perkara utama yang saya cuba sebarkan dalam masyarakat di universiti itu... 'PERUBAHAN'.

Banyak orang menganggapkan bahawa manusia susah berubah dan tak suka untuk berubah. Mungkin teori itu ada betulnya. Namun, tahukah kita bahawa setiap insan boleh menjadi lebih baik lagi dengan melakukan perubahan dalam diri dan amalan. Kita boleh berubah melalui latihan yang diberi. Yang penting, kita perlu usahakan untuk mengubah sikap yang negatif kepada yang positif.

Ada orang suka menggunakan perkataan 'no' lebih kerap daripada 'yes'. Apa sahaja yang mahu dilakukan atau disarankan untuk dilakukan, dia akan berkata 'no' atau 'tak boleh', payah untuk dia berkata 'yes' atau 'ya, boleh'. Dia beranggapan, apa sahaja yang mahu dilakukan adalah payah dan kerana susah, lebih baik jangan buat. Kerana itu, apa sahaja yang disarankan tak akan dilakukannya kerana dia beranggapan perkara itu tak boleh dilakukan.

Untuk mencari perubahan, kadang-kadang kita perlu 'berhijrah'. Mungkin dari satu tempat kerja ke tempat kerja yang lain. Dari satu syarikat ke satu syarikat yang lain. Ada ketika, kita perlu berpindah rumah. Bertukar kerjaya. Kalau kita melihat 'perubahan' sebagai sesuatu yang positif, otak kita akan menerima ia sebagai sesuatu yang positif dan itu akan membawa kepada suatu perubahan yang positif juga.

Insya-Allah, kalau kita mahu mencari kejayaan dalam hidup, kita perlu bertindak positif dengan mencari perubahan dalam hidup. Tak mungkin kita boleh berubah kalau kita punyai sikap yang negatif tentang hidup kita dan perubahan yang perlu kita lalui. 'PERUBAHAN' adalah dalam pelbagai perkara dalam hidup kita. Jangan takut untuk mencari perubahan kerana biasanya, hanya perubahan yang mampu membawa kecemerlangan, kepuasan dan kejayaan dalam hidup. Kadang-kadang, kita perlukan ketua yang berbeza atau perubahan dalam 'leadership' untuk mencari kejayaan!

Renung-renungkanlah.

Sunday, September 14, 2008

Apabila Tertekan

Macam-macam boleh terjadi apabila manusia rasa tertekan. Cuba kita lihat di beberapa negara di Afrika. Kebanyakan rakyat negara-negara ini adalah golongan yang kurang berpelajaran dan miskin. Apabila mereka tertekan kerana tak punyai makanan dan pelajaran, mereka mula bertindak secara agresif. Nyawa manusia tak ada beza dengan nyawa musang di hutan. Mereka boleh berbunuhan dan melihat mayat sesama sendiri bergelimpangan. Semuanya tak ada harga dan nilai. Mereka bertindak begitu untuk lepaskan perasaan yang tertekan.

Tetapi di negara yang rakyatnya berpelajaran dan tidak papa kedana, mereka akan berfikir sebelum melakukan sesuatu untuk mencari perubahan. Kita tengok di Eropah Timur ketika kerajaan berubah tangan meninggalkan komunisme. Sekalipun ada negara yang berdepan dengan kacau-bilau dan peperangan, ia terjadi kerana pergaduhan antara agama, antara negara yang berjiran dan campur tangan negara lain. Pun begitu, mereka sesama sendiri tidaklah berbunuhan kecuali dengan puak yang dianggap musuh.

Lihat pula negara seperti Iraq. Hingga hari ini, negara itu musnah belum dapat dipulihkan lagi, gara-gara campur tangan pihak luar dan gara-gara tak sekepala untuk memilih ketua hanya kerana masing-masing punyai fahaman agama yang berbeza (sekalipun Islam merupakan agama utama). Mereka terus berbunuhan semasa sendiri. Tetapi, tahukah anda bahawa kebanyakan negara seperti ini, golongan elitnya tidak berada di negara itu? Mereka sudah lama meninggalkan negara untuk menyorok di tempat lain. Yang tinggal adalah rakyat biasa yang masih sayangkan negara mereka.

Satu lagi kisah menarik yang ingin saya kemukakan di sini. Ramai orang beranggapan apabila rakyat tertekan kerana harga barangan naik melambung, apabila mereka tak punyai cukup wang, antara barang yang tak akan menjadi pilihan mereka yang membeli, ialah buku. Kata mereka, ramai yang membeli buku menggunakan wang lebih daripada pendapatan. Betulkah? Saya tak berapa percaya, kerana saya tahu ramai yang suka membaca buku akan terus membelinya sekalipun wang dalam poket sudah berkurangan. Ini terjadi kerana bagi mereka, hati mereka dapat dihiburkan dengan membaca. Membaca merupakan tabiat mereka. Tak boleh hilang. Malah, ada buku yang dapat menjadi terapi dan penawar jiwa yang tertekan.

Bukti yang ketara ialah semasa zaman 'depression' di Eropah dan England, sekitar 1920-an dahulu. Zaman itu membawa kegelapan ekonomi negara dan rakyat. Masing-masing hidup tertekan. Ketika itulah, syarikat penerbitan buku Mills and Boon, telah mengalami lonjakan penjualan bukunya. Sejak itu juga, Mills and Boon meningkatkan penjualan buku mereka dan mula berkembang secara global. Rakyat Britain, tentunya wanita, cuba mencari penawar untuk menghiburkan hati yang lara. Hari ini, Mills and Boon masih kuat dan kental di seluruh dunia dan merupakan antara syarikat penerbitan buku yang terkaya di dunia!



Friday, September 12, 2008

Tangisan Tak Berlagu

Haha... bukan tajuk baharu novel saya, tetapi tajuk yang saya ingin bincangkan dengan pembaca blog sekelian. Sekali lagi saya ingin berkongsi perasaan tentang bahasa Melayu.

Saya tak faham mengapa masih ramai rakyat Malaysia, terutama orang Melayu yang beranggapan bahawa bahasa kita tak setaraf dengan bahasa lain di dunia ini. Memang tak salah kalau kita mahu belajar lebih daripada satu bahasa, bertambah tak salah kalau kita boleh bertutur dalam pelbagai bahasa. Tetapi, kita bersalah kalau mahu menolak tepi bahasa ibunda kita. Bukan sekadar bersalah, tetapi kita juga tak bermaruah kerana tak menghormati bahasa sendiri. Manusia jenis apakah kita kalau memandang rendah pada bahasa sendiri? Kalau kita buat begitu, sama seperti kita memandang rendah pada bangsa kita sendiri. Mungkinkah kerana sikap buruk seperti itu yang sedang kukuh dalam hati dan jiwa, maka orang Melayu hari ini hidup bagaikan tak ada identiti?

Saya sedang membaca sebuah artikel yang ditulis oleh seorang cendekiawan Melayu, pernah menjadi bos saya semasa saya di UKM dulu dan beliau berbincang tentang kerugian orang Melayu kerana tak mahu menghormati bahasa sendiri. Artikel itu membincangkan betapa salahnya kerajaan kita hari ini kerana memaksa pelajar sekolah mempelajari subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Itulah ungkapan yang digunakan beliau. Tangisan Tak Berlagu. Satu hari nanti, itulah yang akan terjadi kepada orang Melayu yang hidup di bumi sendiri tetapi sekadar sebagai penumpang yang tak punyai harga diri. Kenapa kita tak boleh jadi macam bangsa lain seperti orang German, orang Perancis, orang Korea, orang Jepun... yang maju dengan bahasa sendiri?

Gunalah bahasa Inggeris apabila kita mahu berkomunikasi dengan orang luar di tempat lain. Mungkin tak salah juga kalau kita mahu menggunkan bahasa pengantar itu di sini apabila kita berhubungan dengan orang asing. Tetapi, kenapa kita malu nak bercakap dalam bahasa sendiri apabila kita berbincang atau berbual sesama sendiri?

Orang Melayu memang pelik. Kalau disua belacan dengan tempoyak, memang tak tolak. Tapi... dalam begitu, kita begitu bangga dengan keju, seolah-olah kejulah makanan asal kita. Ah, memang lupa daratan!

Kalau tidak orang Melayu dan orang Malaysia yang bangga dengan bahasa Melayu, takkan kita nak tunggu 'mat salih' beritahu kita bahawa sebenarnya bahasa Melayu itu ada nilai komersilnya... barulah nanti kita pun terhegeh-hegeh nak sibukkan bahasa kita ini! Hisy... takut semasa itu kita sudah menangis tak berlagu!

Tuesday, September 09, 2008

Tak Ada Akal?

Kita selalu terdengar ungkapan ini. "Tak ada akal ke?" Apabila kita marah pada seseorang kerana perbuatannya yang tidak menggunakan fikiran, mungkin itulah yang akan kita terjahkan. Namun kini, malang sekali kerana kita sentiasa diperlakukan seolah-olah kita tak berakal. Cuba kita baca surat khabar, tak kisahlah sama ada surat khabar arus perdana atau yang dimiliki pihak pembangkang... sama saja. Cuba kita melihat berita di TV, tak kira stesen apa, sama saja.

Masing-masing cuba tonjolkan kebaikan masing-masing dan bentang kejahatan pihak lain, seolah-olah rakyat hari ini semuanya sudah tak ada akal untuk berfikir. Mungkin di dunia hari ini, tak ada negara yang dapat menandingi kehebatan Malaysia dalam hal ini... hal yang sentiasa mengaibkan negara! Tak habis-habis dan membosankan! Masing-masing cuba menunjuk handal sampai terlupa bahawa rakyat masih ada dan perlukan perhatian!

Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, sama-samalah kita melihat pada diri, semoga amalan kita akan diberkati.

Sunday, September 07, 2008

Tanggungjawab

Sebagai orang Islam, kita sentiasa mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kesucian agama kita. Salah satu cara ialah dengan mengamalkannya. Tak guna kalau kita sekadar berkata-kata sahaja, tetapi tidak melakukannya. Tak guna juga kalau kita tunjuk pada orang cara kita berpakaian (berimej sopan bagi wanita dan lelaki), namun hati dan perangai kita, Allah swt sahaja yang tahu betapa tidak eloknya ia.

Kalau kita mahu orang luar (bukan Islam) menghormati kita, kita kena tunjukkan sifat sepatutnya sebagai orang Islam. Kita tidak boleh menghina orang sewenang-wenangnya, sekalipun dia bukan Islam, kerana itu bukan cara Islam, terutamanya kalau orang bukan Islam itu merupakan rakan sekerja kita, jiran kita, masyarakat setempat kita dan mereka tidak melakukan apa-apa untuk menghina kita.

Kalau kita menunjukkan sifat yang baik sebagai orang Islam, mereka akan menghormati kita dan agama kita. Kalau mereka sudah menghormati cara hidup kita, mungkin mereka mahu tahu lebih daripada itu, mungkin juga mahu tahu tentang agama kita itu sebenarnya. Tetapi kalau kita berlaku kurang sopan dan tidak beradab pada mereka, tak mungkin mereka berminat untuk ambil tahu, malah mereka akan beranggapan yang agama kita itu tidak baik dan akan terus menjauhkan diri daripada kita dan agama kita. Jangan biarkan orang bukan Islam memandang negatif pada agama kita hanya kerana sifat kita yang membuatkan mereka terasa begitu. Memang tanggungjawab kita untuk menyebarkan syiar Islam.

Salam Ramadhan!

Thursday, September 04, 2008

Penulis di Bulan Ramadhan

Alhamdulillah, saya rasa kita dapat menulis dengan lebih banyak dan baik lagi dalam bulan Ramadhan ini. Konsentrasi dan fokus adalah lebih baik. Mungkin bagi mereka yang belum biasa lagi, ada yang berasa agak payah atau berat untuk berfikir banyak-banyak. Kalau anda rasa begitu, lebih baik anda cari bahan bacaan untuk dibaca. Dari situ, mungkin akan timbul ilham. Kalau anda merupakan penulis sepenuh masa, saya percaya bulan Ramadhanlah merupakan bulan yang terbaik untuk anda menulis kerana tak banyak gangguan. Saya percaya ramai yang menggunakan masa untuk membaca al-Quran dan juga buat sembahyang Tarawikh, tetapi di celah-celah aktiviti itu, pasti anda akan punyai masa yang lebih daripada bulan-bulan yang lain. Bagi kaum perempuan, anda tak perlu duduk terlalu lama di dapur kerana tak perlu banyak memasak. Malah, ada yang lebih seronok membeli sahaja. Selamat mengerjakan ibadah puasa dan selamat menulis!

Sunday, August 31, 2008

Salam Ramadhan

Alhamdulillah, kita bertemu dengan Ramadhan sekali lagi. Semoga kita sama-sama menghayati bulan yang mulia ini dan semoga Allah SWT membuka mata, hati dan jiwa kita dan kekal seterusnya menjadi Muslim dan Muslimah yang taat pada-NYa. Binalah kasih sayang sesama insan dan sebarlah syiar Islam.

Friday, August 29, 2008

Cinta, Kasih dan Sayang

Ada orang fobia dengan perkataan cinta, kasih dan sayang. Bagi mereka, perkataan-perkataan seperti ini adalah dongeng dan khayalan semata-mata. Bagi mereka juga, perkataan ini boleh merasuk dan merosakkan jiwa. Cinta, kasih dan sayang mudah sangat dikaitkan dengan keadaan 'picisan'.

Saya sentiasa akan rasa pelik, kalau perasaan begitu wujud dalam sanubari manusia. Salah benarkah kalau perasaan itu ada? Apakah salah benar kalau perkataan itu disangkutkan dengan apa sahaja dalam hidup kita?

Manusia yang takut dengan perkataan cinta, kasih dan sayang... mungkin merupakan manusia yang cuba lari daripada perasaan itu dan dengan itu, tanpa cinta, kasih dan sayang, jiwa dan hati mungkin berubah menjadi kaku seperti hati robot! Perlu apa kita takut dengan perkataan seperti itu sedangkan kita hidup di dunia akan menjadi kuat dan manusia mulia sekiranya perasaan itu ada pada kita. Cinta pada Tuhan, kasih pada ibu dan bapa, sayang pada suami, isteri dan anak-anak. Kasih juga pada sanak-saudara, sayang juga pada kawan dan rakan. Cinta pada agama, cinta juga pada negara.

Berdosa sangatkah kita kalau kita juga menyayangi seorang insan lain? Bukankah tanpa perasaan itu, kita bagaikan manusia yang hidup tanpa roh!

Atau mungkin kita sekadar manusia yang hipokrit, tak mahu mengaku yang perasaan itu ada dalam hati. Lebih senang kita pura-pura menolaknya, konon-konon kita bukan 'picisan'!

Thursday, August 28, 2008

Kekuatan Orang Cina

Kenapa kita tak macam orang Cina? Salah satu sebab ialah kita telah tanamkan semangat berdengki yang terlalu tinggi dalam jiwa dan raga. Apabila hati dan jiwa dipenuhi perasaan hasad dengki seperti itu, itulah yang melemahkan kita. Kita senang dirasuk syaitan. Kita senang dipujuk rayu. Kita cepat melatah dan kita boleh buat apa saja kerana kita sudah jadi tamak haloba. Tak ada lagi perasaan sayang antara manusia, jangan antara kaum, bangsa atau agama yang sama, dalam keluarga pun kita tak mampu menyayangi sesama sendiri. Kita masih mahu berdengki dan sifat itu begitu payah nak pergi.

Perkara seperti inilah yang perlu kita didik dan serapkan dalam hati anak-anak kita, agar perasaan berdengki ini kita tepiskan. Kita perlu ajar anak-anak kita supaya menyayangi orang di sekelilingnya. Kalau orang lebih daripada kita, biarkan. Kalau kita mahu yang sama, kita belajar untuk berusaha dan belajar untuk terima kenyataan bahawa ada ketika kita akan diduga dan terimalah dugaan itu sebagai pengajaran.

Memang okey kalau nak 'ambitious', kerana itu merupakan semangat juang dan semangat kejayaan yang sedang kita tanamkan, tetapi kita perlu berjaga-jaga, jangan sampai semangat itu memusnahkan orang lain, musnahkan bangsa sendiri, lemahkan pegangan agama kita dan akhirnya hancurkan diri sendiri.

Kalau orang Melayu hendak berjaya, lihatlah apa yang ada pada orang lain dan belajarlah. Yang penting, kita sebenarnya sudah ada nikmat dan kebesaran agama, tetapi kalau itu kita tidak pentingkan, sampai bila-bila pun kita akan terus terkapai-kapai dalam negara sendiri!

Buat mereka yang suka menulis, tuliskanlah hal ini, agar nanti dapat kita serapkan pada anak-anak dan remaja yang sedang membesar.

'THIS IS THE POWER OF WRITING!'

Friday, August 22, 2008

Munculkah Ramadhan di Hatimu?

Dalam keghairahan dunia politik negara yang huru-hara, tak ada apa sangat yang dikisahkan tentang sambutan kemerdekaan kali ini. Seolah-olah Malaysia sudah tak kisahkan sambutan itu lagi. Tak apalah, kalau peristiwa kemerdekaan sudah tak penting buat kita. Lagipun, apa yang nak disambutkan sangat, kalau nun jauh di lubuk hati, masing-masing sedang terkilan dengan ombak yang memukul pantai negara. Takut kalau-kalau Tsunami yang akan tiba. Masing-masing ghairah dengan cerita yang sama - tak ada lain tetapi sandiwara politik yang membosankan dan memualkan itu.

Tetapi, paling malang bagi kita orang Islam di negara ini, kerana bukan hanya kita tak kisahkan tentang kemerdekaan, malah sambutan terpenting buat kita juga kita ketepikan, seolah-olah sudah terlupa yang Ramadhan akan tiba. Tentu kita akan berpuasa apabila Ramadhan tiba. Kita dah biasa buat begitu setiap tahun, tetapi... rindukah kita pada kedatangan bulan itu? Apakah kita sedang menghayati dan rasa gembira dengan kedatangannya itu, atau kita terlalu ralit dengan sesuatu yang sementara dan membinasakan itu? Apakah hati kita sudah tiada ruang untuk menghayati sesuatu yang dipinta Tuhan? Atau kita lebih taksub dengan hal-hal duniawi, seolah-olah takut kalau-kalau kita tumbang di dunia ini hinggakan kita tak peduli lagi sekiranya bukan sekadar dunia kita akan tertumpas tetapi akhirat juga?


Di manakah hati kita berada kini? Takutkah kita kalau tembolok kita tak berisi penuh? Takutkah kita kalau apa yang kita perjuangkan tak menjadi? Apakah kita akan menjadi lalang nanti, kalau angin mula berubah haluan?

Alahai umat Islam di negara ini.... percayalah bahawa Tuhan sudah aturkan semuanya dan kalau kita sudah terlupa pada-Nya, jangan harap Dia mahu utamakan kita. Percayalah, Tuhan boleh ubah segala-galanya. Percayalah, kita di sini hanya sekadar sementara... percayalah, kalau kita menyayangi Tuhan, Tuhan tak akan melupakan kita. Sambutlah kedatangan Ramadhan dengan perasaan besar hati, agar hati yang celaru itu akan berasa aman dan damai. Bergembiralah di bulan Ramadhan ini dan carilah rahmat-Nya... Tuhan sudah sediakan buat kita semua.

Tuesday, August 19, 2008

Kenanganku di Sabah

Entah kenapa, saya teringat pada guru-guru yang pernah saya temui di Sandakan, Sabah. Saya pernah diberitahu seorang kawan bahawa orang-orang Sabah, budi bahasanya cukup tinggi, setinggi Gunung Kinabalu. Aduhai... saya memang percaya pun! Begitulah, apabila kita bertemu dengan sesuatu yang indah, maka hati dan minda payah nak lupakannya. Memori dengan mereka merupakan sesuatu yang cantik dan menarik. Mungkin kerana mereka membuat saya selesa, apa sahaja yang saya lalui dan temui, menjadi indah belaka. Masih terbayang-bayang wajah mereka semua. Saya doakan mereka selamat selalu dan terus tingkatkan kerjaya mereka. Di musim cuti sekolah ini, saya harap mereka dapat tenangkan fikiran dan rehat-rehatkan badan. Panjang umur, saya akan temui mereka lagi, suatu hari nanti, insya-Allah.

Kepada semua guru-guru sekolah, tak kira di mana anda berada, saya doakan anda berjaya dalam kerjaya sebagai guru, yang jawatannya sememangnya mulia. Andalah ibu, ayah, kakak dan abang kepada semua pelajar dan murid sekolah. Bimbinglah anak-anak kita agar semuanya akan menjadi manusia yang berguna.

Friday, August 15, 2008

Cerita Pendek - suatu kisah benar

Saya rasa saya memang tak silap apabila mengatakan bahawa kebanyakan 'orang kita' hidup dalam suatu keadaan yang 'materialistik'. Lebih materialistik daripada orang bukan Islam. Menakutkan! Ini cerita benar yang selalu saya hadapi, sekalipun dengan kaum kerabat sendiri.

Adalah seorang hamba Allah ini. Dia merupakan kaum kerabat kami. Katanya beria-ia pada suami saya, ada satu projek yang sedang diuruskannya. Biasanya, dia selalu minta khidmat nasihat suami saya dalam pelbagai projek yang pernah diuruskan (tanpa bayaran). Suami saya memang seorang jurutera konsultan (civil) dan biasanya dia tak berkira kudratnya terutama kalau berurusan dengan kaum kerabat sendiri. Hamba Allah tadi bertanya dengan suami saya tentang apa-apa produk yang boleh suami saya perkenalkan untuk kliennya yang mempunyai projek urusannya itu. Setelah mendengar konsep bisnes kliennya itu, suami saya pun beritahu pada hamba Allah ini bahawa kami punyai bisnes buku dan mungkin produk itu sesuai untuk kliennya.

Hamba Allah itu pun teruja, dan beritahu suami saya untuk bersedia bertemu dengan CEO kliennya. Kami pun rasa seronoklah dan kebetulan, bos-bos saya (bos KarnaDya) sudah sedia dengan 'presentation' mereka. Yang menyentakkan saya, apabila belum apa-apa lagi, hamba Allah itu sudah minta komisyennya. Suami saya maklumkan pada saya.

"Komisyen?" saya tanya. Sebenarnya, saya paling meluat dengan tabiat manusia yang belum apa-apa lagi sudah minta upah. Meluat sungguh-sungguh. Bagi saya mereka ini memang mata duitan dan tak percaya pada rezeki yang Tuhan berikan. Mereka juga tak pernah hendak lakukan sesuatu kerana keikhlasan. Memang saya benci dengan perangai orang yang begitu. Sebenarnya, dalam hal ini, Tuhan sudah pun sediakan rezeki untuknya kerana telah diberi urusan untuk uruskan projek berkenaan, namun manusia ini masih tamak. Hanya setakat hulurkan nama sahaja, dia sudah minta upah. Dia tak pernah pun fikirkan yang selama ini suami saya memberinya khidmat profesional secara percuma tanpa meminta apa-apa. Inilah manusia.

Sebenarnya, cerita seperti ini sudah berlaku berkali-kali. Banyak orang berfikir, kalau kita menjalankan bisnes, itu bermakna kita banyak wang. Jadi, apa sahaja yang mahu mereka hulurkan, sekalipun benda yang dihulurkan itu sekadar semut kecil, mereka tetap mahukan upah! Ya Allah... saya tak tahu macam mana nak kata lagi.

Mereka ini tak pernah fikirkan kemungkinan yang kami tak dapat apa-apa pun daripada apa yang dicadangkan ini. Mereka juga tak fikirkan segala tenaga yang terpaksa kami usahakan setiap kali mahu jalankan sesuatu. Tak ada yang percuma pun.

Apakah sudah mati segala perasaan ikhlas dalam manusia di Malaysia hari ini?

Wednesday, August 13, 2008

Makan Suap Yang Memusnahkan!

Mungkin anda tertanya-tanya kenapa saya sering bincangkan isu ini. Rasuah. Sebenarnya, bagi saya, ini merupakan isu terpenting yang wajib dihapuskan. Bukan sekadar ditangkap atau didenda mereka yang terlibat, tetapi negara ini perlu dibersihkan dari najis ini. Kita kena fikirkan cara yang terbaik untuk menghapuskan budaya rasuah di negara ini. Kita tak mahu jadi sebuah negara seperti negara-negara lain di dunia ketiga. Selagi kita amalkan rasuah dalam budaya hidup, selagi itulah kita akan terus terkongkong dalam dunia yang gelap ini. Selagi kita tidak melihat rasuah sebagai satu larangan Allah SWT, selagi itulah kita akan dibenci Tuhan.

Negara yang dibenci Tuhan akan ditimpa bala. Itulah yang paling menakutkan. Cuba kita lihat kepada negara Iraq, yang suatu hari dahulu, pernah merupakan negara yang kaya raya. Sudah dianugerahkan Tuhan minyak yang melimpah-limpah, namun lihatlah Iraq hari ini. Apakah kita juga mahu menjadi seperti negara itu? Iraq jatuh ke tangan Amerika bukan kerana Amerika kuat dan Iraq tidak kuat, tetapi kerana pasukan tenteranya dan jentera kerajaannya dipenuhi mereka yang makan rasuah! Rasuahlah yang telah menjatuhkan dan melingkupkan Iraq. Amerika memasuki negara itu tanpa bersusah payah untuk berperang. Orang-orang Iraq yang memberi jalan kerana mereka telah pun diberikan upah rasuah!


Betapa hebatnya manusia yang tamaq haloba apabila negara sanggup digadaikan kerana perasaan tamaq yang ada pada dirinya.

Wahai rakyat Malaysia, apakah kita juga mahu jadi begitu? Menggadaikan negara tercinta kerana sudah tak mampu lagi untuk menghapuskan rasuah? Ya Tuhan, Ya Allah... bukalah hati rakyat Malaysia, tak kira mereka berada di mana, bekerja apa dan anak siapa. Jauhilah anak-anak Melayu dan bangsa lain juga terutama mereka yang mengaku sebagai orang Islam daripada kegiatan rasuah, tak kira besar atau kecil. Ampunilah kami, ya Allah.

Monday, August 11, 2008

Lagi Tentang Pengedaran Buku

Percayakah kita kepada pengedar buku yang kita lantik? Kebanyakan penerbit, terutamanya penerbit kecil-kecilan, terpaksa bergantung pada pengedar yang dilantik. Ada yang mengguna lebih daripada satu pengedar, ada yang terus memilih satu sahaja. Ada pengedar yang seratus peratus membuat kerja-kerja edaran dan ada pula yang juga berperanan sebagai penerbit (kerana turut menerbit buku sendiri) dan ada juga yang menjadi 'anchor' kepada beberapa penerbit buku, mungkin kerana peratus diskaun yang diberi oleh penerbit itu lebih tinggi daripada penerbit lain.

Rata-rata, pengedar buku lebih berminat untuk mengedar buku yang senang dijual. Mereka tak sabar untuk mengaut keuntungan. Oleh kerana itu, mereka lebih suka mengedar buku yang dianggap 'panas' di pasaran, mungkin kerana 'genre' nya, atau mungkin kerana nama penulisnya. Apa-apapun, mereka rata-rata lebih berminat untuk mengedar buku yang baru diterbitkan. Biasanya, apabila buku baru keluar, mereka akan buat 'standing order' dan kemudian, mereka tidak akan membuat pesanan lagi pada buku yang sama, kecuali buku itu memang panas di pasaran. Mereka tak akan mahu mencuba untuk menjual sesuatu yang dianggap lain daripada yang lain. Mereka tak ada masa untuk 'test' pasaran dan tak berminat langsung sekiranya 'genre' yang dikeluarkan itu sesuatu yang lain.

Oleh kerana itu, jumlah buku yang akan diedarkan oleh pengedar tadi, tak mungkin akan menjadi besar. Pengedar hanya berminat pada buku atau judul yang baru. Itu saja. Kalau ada kedai yang membuat pesanan semula, kalau jumlahnya tak cukup besar, pengedar tak akan memesan pada penerbit! Dengan itu, jumlah buku yang boleh dijual di pasaran akan kekal pada jumlah asal semasa diberi pada pengedar.

Ada juga penerbit buku yang sangat takut pada pengedarnya. Apa sahaja yang diarah pengedarnya, mereka akan turut sahaja. Kebanyakan pengedar, mahu mereka dilantik sebagai 'sole distributor', konon-kononnya, sebagai satu-satunya pengedar, mereka akan menjalankan tugas yang baik untuk penerbit dengan memastikan buku penerbit akan diedarkan ke semua tempat. Jangan percaya!

Satu lagi tabiat menarik tentang kebanyakan pengedar, mereka akan meminta diskaun yang tinggi untuk mengedar buku, terutama sekiranya penerbit itu penerbit baru. Bukan sekadar 45 atau 50% sahaja, tetapi ada yang setinggi 60 atau 65%. Kalau setinggi itu yang perlu diberikan penerbit kepada pengedar, apa yang penerbit boleh dapat?

Ada pengedar pula, pada mulanya akan meminta jumlah buku yang banyak, kerana nak melayakkan dirinya untuk mendapat jumlah diskaun yang tinggi. Tetapi, setelah beberapa bulan, buku yang dipesan akan terus menjadi kecil. Habis, macam mana?

Kalau kita merupakan penerbit buku yang baru menerbit atau merupakan syarikat yang kecil, kita harus berjaga-jaga dan terus berkira-kira kalau kita mahu terus hidup. Strategi kena betul. Kalau tak betul, mungkin kita akan gulung tikar!

Bagi penulis yang sedang berfikir untuk menerbit bukunya sendiri, biar saya katakan di sini, anda perlu gagah berani untuk berjuang! Kalau tiada semangat seperti itu, lebih baik jangan menerbit sendiri. Risikonya tinggi.

Wednesday, August 06, 2008

Jangan Bercakap Sahaja

Kalau anda perhatikan di sekeliling anda hari ini, memang payah nak jumpa orang yang sanggup lakukan apa yang dikatakannya. Lebih ramai yang pandai bercakap itu dan ini, tapi satu pun tak buat! Jangankan orang politik, orang yang bukan dalam bidang itu pun dah jadi sama saja. Agaknya dah tak ada lagi perkataan 'ikhlas' dalam diari hidup kita semua. Sedihnya! Yang paling menyedihkan, ramai juga yang suka ambil kesempatan. Apa saja yang dia mahukan atau idamkan, dia mahu orang lain lakukan begitu untuknya. Kalau tidak, dia tidak akan jadikan kita kawannya lagi, atau mudah cerita, akan dicari jalan untuk menikam kita dari belakang. Teruknya!

Di manakah letaknya tiang keimanan kita? Apakah sudah lama jatuh dan tak boleh ditegakkan lagi? Hidup hari ini hanya sekadar untuk diri kita sahaja? Kita dah tak mahu pedulikan orang lain? Atau mungkin kita rasa bahawa apa sahaja yang kita lakukan, asal ia dilindungi dengan perkataan 'agama', maka secara automatik ia menjadi mulia? Kejamnya kita.

Mungkin kita anggap orang lain mudah kita permainkan dengan kata-kata yang kita keluarkan. Kan kita ini bijak pandai orangnya? Orang pun tahu yang kita sering cerita-ceritakan tentang agama. Jadi kerana itu, kita pun rasa kita berkuasa untuk lakukan apa saja kerana orang tak rasa yang kita sebenarnya tak ikhlas mana. Akhirnya... duitlah yang menjadi pedoman kita.

Ampunkanlah... kalau itu yang terselit di hati.

Monday, August 04, 2008

Sabotaj Cara Islamik?

Bunyi macam pelik, tapi itulah yang terjadi. Ini cerita kawan saya sekali lagi. Katanya, "Kau mesti tak percaya, tapi ni kisah benar yang terjadi pada syarikat aku."

"Ceritalah. Apa kisahnya?"

"Kau nak tahu... ada ke patut dia orang buat macam tu? katanya dia orang tu nak perjuangkan hak Melayu, hak Islam, tapi itu pula caranya." Tambah kawan saya lagi.

"Apa yang terjadi?"

"Kau kan tahu, kami ni jual buku. Semua tempat pun kami letak buku kami ni, tak kira kedai kecil biasa atau kedai elit. Yang jadi masalahnya ialah di kedai elit ni. Ada di beberapa tempat. Kami asyik kena saja, pada hal... apa lah sangat kami ni? Syarikat penerbit kecil je. Takkanlah gergasi pun takut?"

Saya dah tak sabar nak mendengar ceritanya. "Cepatlah! cakaplah."

"Baru-baru ni, salesman kami pergilah ke kedai buku elit ni yang terletak di kawasan strategik orang Melayu. Biasanya buku kami memang banyak yang laku di situ. Malah banyak kali juga masuk carta penjualan terbaik. Alih-alih bila salesman kami datang, dia tengok habis buku kami dah diletakkan di bahagian bawah rak buku yang ada. Jadi salesman kami pun panggillah supervisor yang bertugas. Dia pun tanya, 'Kenapa macam ni pulak? kenapa buku kami boleh tercampak sampai macam ni, sedangkan buku syarikat satu lagi ni habis penuh pada rak-rak buku yang ada ni? Tak adil macam ni. Kami pun orang Islam jugak, macam syarikat tu.' Kau nak tahu apa kata supervisor tu?"

"Hah, apa katanya?"

"Dia kata buku kami bukannya laku. Kau percaya dia boleh cakap macam tu? Jadi salesman aku pun jawablah. 'Eh, cuba awak pergi tengok sales report kami. Awak tak nampak ke? tapi kalau awak biarkan buku kami semua tercampak di bawah rak macam ni, memanglah payah nak laku. Pembeli tak nampak!' salesman aku tu pun naik hantulah. Dia tambah lagi, 'Sepatutnya awak sebagai supervisor di sini, janganlah biarkan syarikat penerbit lain ikut suka hati dia orang je sampai awak tak boleh buat apa-apa! kalau awak buat kerja macam ni, memang payahlah. Kalau nak suruh iklan dalam majalah awak, kami ikut je, nak suruh sponsor itulah, inilah, kami tak tolak pun. Tapi... macam mana ni? kami bukan nak awak lebihkan kami, tapi janganlah sampai kami tercampak macam ni. Awak mestilah adil dengan semua syarikat. jangan pilih-pilih kasih. Kedai ni pun, bukan awak yang punya. Lagi satu... awak ni orang Islam kan? Takkan awak sanggup buat macam ni?' Memang salesman aku tu naik angin. Kau tahulah salesman aku tu... dia tu alim orangnya. Apa pun yang nak dibuatnya, dia mesti tak akan buat sesuatu yang langgar tertib agama."

"Betul lah tu. Peliklah kan? Macam manalah orang-orang ni. Takkan tak malu pada Tuhan kot? Depan orang mengaku macam baik sangat, tapi di belakang orang, itu pulak yang dibuatnya. Macam mana ni? takkan sanggup sabotaj orang lain sampai macam tu sekali? Bukankah kita sama-sama orang Islam dan sama-sama cari makan?"

"Itulah yang aku tak faham. Mungkin dia orang ni terasa besar sangat kot, jadi suka hatilah nak buat macam mana sekalipun. Tapi... dia orang lupa agaknya. Kalau Tuhan nak jatuhkan kita, sekejap saja! Subhanallah!"

"Yalah. Itu yang aku takut. Sekalipun kita nak majukan bisnes kita, tapi janganlah sampai kita sabotaj orang lain. Satu hari nanti, takut kita kena balik."

Saturday, August 02, 2008

Entri Lama: Si Lelaki Tua

Masihkah anda ingat pada entri 22 Mei 2007, yang berjudul Si Lelaki Tua? Untuk makluman anda semua, Si Lelaki Tua yang saya ceritakan dalam entri saya itu telah pulang ke rahmatullah malam tadi. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan semoga Tuhan ampunkan segala dosa-dosanya. Al Fatihah...

Friday, August 01, 2008

Hidup Si Jahai!



Mungkin ramai yang tertanya-tanya apabila melihat gambar yang saya siarkan di entri saya sebelum ini. "Macam tu ke rupa orang Jahai?" Untuk makluman anda semua, orang Jahai adalah daripada puak Negrito... tak serupa macam orang Semai atau Temiar, atau puak Jakun sekalipun. Jahai terdapat di Utara Perak (Sekitar kawasan Belum) dan juga di kawasan pedalam Kelantan. Kumpulan Jahai yang kami temui di Kampung Kejar, memang sangat primitif kalau dibandingkan dengan kaum orang asli yang pernah kami temui sebelum ini. Anak-anak mereka tak ada yang bersekolah (kerana tak ada sekolah di situ) dan veteran nya ramai yang masih memakai cawat! sebelum ini, memang payah nak jumpa kaum orang asli yang memakai cawat. Di hutan Belum, ada lagi satu kumpulan Jahai yang tinggal di Sungai Tiang, tetapi mereka tidaklah seperti kaum Jahai yang tinggal di sungai Kejar! kerana di kawasan mereka, sudah ada sekolah dan juga ada jalan tanah merah. Kami dimaklumkan bahawa orang Jahai di Sungai Kejar memang tak suka dipindahkan dan tak suka hidup macam orang lain. Mereka mahu terus hidup dengan cara mereka!

Thursday, July 31, 2008

Pesona Royal Belum










Ketika tiba di Pulau Banding, di kawasan hutan simpanan negeri Perak, kami terus memutuskan untuk tidur sahaja di 'Resort Rain Forest', kepunyaan Emkay, atau Tan Sri Mustafa Kamal. Biasanya, kami tak suka tinggal di tempat yang mewah-mewah apabila buat penggambaran hutan Malaysia, tetapi mengenangkan pekan Gerik agak jauh juga dari pulau itu dan kawasan itu sentiasa berkabus dan kami pula tak berapa biasa, terpaksa sahaja kami tidur di resort itu. Semasa tiba pun, dah lewat. Hampir sembilan malam. Apa yang kami lihat semasa dalam perjalanan, memang ada tanda gambar gajah yang terletak di tepi jalan raya, menandakan kawasan itu selalu didatangi Sang Gajah! Malam tu, kami cuba meronda-ronda di sekitar kawasan Pulau Banding, tapi malangnya terlalu gelap. Esok paginya, sebaik sahaja kami bersarapan di ruang makan yang disediakan, kami pun bertolak menaiki bot yang kami tempah untuk terus ke Kampung Kejar Hilir, yang terletak sekitar lebih satu jam perjalanan menaiki bot, merentasi Tasik Temenggor. Sepanjang perjalanan yang bercuaca sejuk dan berkabus tebal, saya terasa tenang walaupun ada ketika terasa ngeri, terutama apabila diberitahu oleh jurupandu kami (Sham dan Basri) bahawa tasik itu mempunyai kedalaman sekitar 300 meter! Tasik Temenggor mempunyai 80 pulau kecil. Dari bot, semasa merentasi tasik itu, kami dapat melihat hutan Belum dengan jelas. Selain daripada ke kampung kaum Jahai di Kampung Kejar, kami juga memanjat kawasan tinggi untuk melihat bunga padma atau raflesia. Kami juga pergi ke kawasan air terjun. Macam-macam pokok hutan yang kami temui, termasuk tongkat ali. kami cuba mencari gajah, tapi hanya mampu menemui najis, bekas tapaknya, termasuk bekas tapak harimau. Memang tak mudah untuk bertemu dengan binatang liar ini walaupun sebenarnya mereka sentiasa berkeliaran di sekitar kawasan hutan yang seluas 300, 00 hektar itu!

Ketika dalam perjalanan balik ke jeti resort, tiba-tiba hujan lebat dan angin ribut, mengancam perjalanan kami. Ketika itu, memang terasa takut! Maklumlah, tasiknya dalam... entah ada apa di dalamnya, kami pun tak tahu. Kami basah kuyup dan hanya apabila tiba di resort, barulah dapat ambil gambar beramai-ramai. Tapi... semua dah lenjun.

Sekalipun kami tak sempat bertemu dengan Sang Gajah, kami ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada semua kakitangan Resort Rain Forest kerana memberi layanan yang istimewa! Insya-Allah, kami akan cuba ke sana lagi... tak puas sebab tak jumpa gajah!