Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, November 19, 2015

Mencari Jalan

Assalam

Hari ni saya memang tak masak untuk makan malam sebabnya hanya saya dan cik abang saja yang akan berada di rumah. Yang lain-lain ada aktiviti masing-masing.  Kalau rajin, kami akan makan di luar nanti insyaa-Allah. Malah dalam seminggu, memang lebih banyak makan di luar dari di rumah kerana kadang-kadang kami sibuk dengan hal lain. Semenjak arwah ibu saya tak ada, beginilah keadaannya. Tapi tak apa, kami tetap bersyukur dengan segala Nikmat yang Allah swt berikan. Alhamdulillah.

Hari ini saya nak sembang-sembang tentang kehidupan. Mungkin untuk ingatkan diri sendiri dan semua yang berada di keliling saya. Kalau kita perhatikan betul-betul, setiap hari ada-ada sahaja perkara baru yang terjadi. Mungkin kita perasan, mungkin juga tidak. Pun begitu, memang sangat sihat untuk kita cari perubahan dalam hidup. Perubahan yang menghala kepada sesuatu yang positif.

Kadang-kadang kita terperangkap dengan imaginasi yang negatif. Takut untuk melakukan sesuatu yang membawa perubahan. Takut untuk ambil risiko. Sebagai contoh, ramai kaum perempuan takut untuk berpisah dengan suami mereka sekalipun mereka tahu suami mereka itu merupakan tukang dera mental dan fizikal. Malah, banyak suami yang tak bertanggungjawab dan terus hidup tak bertanggungjawab tetapi isteri-isteri mereka masih setia berada di samping sang suami. Mungkin kerana isteri takut digelar 'ibu tunggal', takut bergelar 'janda', lebih rela hidup dengan suami yang tak sayang dan tak hormat mereka!

Kerana takutkan 'stigma' dan gelaran dan juga perasaan ditinggalkan, maka banyak isteri terus kekal dengan sang suami si tukang pendera! Maka ramailah yang hidup terus merana sampai ke tua.

Soalnya, adakah Islam menyuruh kita hidup begitu? Betulkah kalau isteri minta cerai bermaksud si isteri itu jahat?

Banyak orang memutar-belitkan apa yang diamanahkan dalam al-Quran untuk kepentingan masing-masing, maka ramailah yang terus terperangkap dalam kehidupan yang zalim. Siapa yang zalim? Bukan manusiakah?

Begitulah dengan hal-hal yang lain. Kita takut untuk berubah kerjaya, takut untuk lakukan sesuatu yang berbeza konon-konon takutkan risiko walaupun kita tahu keadaannya memeritkan. Malah, ada orang bertani tapi tak sudah-sudah merungut kerana katanya pokok diserang serangga, diserang beruk dan macam-macam lagi! Bukankah ada cara untuk elakkan serangga? Bukankah ada cara untuk takutkan beruk?

Sebenarnya hidup memang penuh dengan risiko, namun sebagai manusia kita harus berani untuk bertapak ke depan. Kalau diuji, kita carilah jalan yang lain. Biasanya juga Allah swt akan membantu mereka yang mempunyai niat yang baik dan berusaha untuk memperbaiki diri dalam apa jua hal.

Kebaikan itulah yang kita cari dan keburukan itulah yang kita wajib elak. Sebagai manusia, kita harus kenal apa itu baik dan apa itu buruk.

Serupalah bila kita berkawan. Carilah kawan yang baik, bukan kawan yang mempunyai perangai buruk yang mampu merosakkan hidup kita.

Pilihlah... pilih jalan yang benar dalam hidup kita. Allah swt sentiasa membantu tetapi kita juga perlu ikhlas mencari keredhaan-Nya, bukan sekadar mencari peluang dan jalan singkat untuk kepentingan diri!

Wallahuaklam.

Wassalam.


                                                          Mencari jalan