

Para graduan kita sering merungut kerana payah nak dapat kerja yang sesuai setelah mendapat segulung ijazah. Ramai graduan Melayu hampa kerana susah nak dapat kerja yang sesuai dengan kelulusan. Masalah besar yang berdepan dengan para graduan kita kerana kebanyakan pihak swasta dan industri pekerjaan mahu mencari mereka yang cekap berbahasa Inggeris, sedangkan kebanyakan graduan Melayu tidak mahir berbahasa itu. Kalau boleh pun, tak hebat mana.
Kalau hendak difikirkan, memang pelik. Konon negara Malaysia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita, tetapi bahasa Inggeris juga yang diagungkan. Kenapa tidak kerajaan mensyaratkan semua pihak swasta menggunakan bahasa Melayu dalam semua urusan? macam di negara Jepun, Korea, Thailand, Jerman, Perancis dan banyak lagi. Kenapa kita masih sibuk dengan bahasa Inggeris lagi, seolah-olah tanpa bahasa itu, kita tak mampu menjalankan tugas dengan baik!
Perkara ini sudah saya bangkitkan berkali-kali, malah cerita tentang bahasa ini bagaikan tak ada makna untuk mereka yang berkuasa. Cuba kita lihat di peti televisyen, setiap kali perkara ekonomi negara diperkatakan dalam berita nasional. Mereka yang berada di depan tak pernah mahu menuturkan dalam bahasa Melayu, seolah-olah pihak berkenaan berada di luar negara. Tak sekalipun saya melihat orang berkenaan bercakap dalam bahasa Melayu, sedangkan kita tahu dia Melayu, beribu dan bapa Melayu, yang selalu sibuk cuba mendaulatkan budaya Melayu!
Kalau dah mereka yang di depan begitu, bagaimana pihak swasta mahu menggunakan bahasa Melayu dalam bidang pengurusan mereka? Yang peliknya, tak pernah lagi saya melihat mana-mana pihak komen tentang hal ini. Termasuklah Pak Menteri! Seolah-olah semua orang takut atau mungkin masing-masing berpura-pura tak pernah sedar yang ini sedang terjadi! Beginikah kita mendaulatkan bahasa kita? atau mungkinkah memang kita semuanya malu untuk mengaku kita boleh bertutur dalam bahasa Melayu?
Kita biarkan, kita pekakkan telinga,kita butakan mata... lepas itu kita sibuk-sibuk menyoalkan tentang bahasa!
*Gambar ambil dari yahoo