Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, April 30, 2015

Barang Yang Lepas Jangan Dikenang

Assalam

Esok bermulalah cuti panjang (long weekend) dan kata kawan saya di Perak, hari Rabu minggu depan tambah cuti sehari lagi untuk orang Perak. Wah, seronoknya yong and yeop! Cuti bebeno lah kome ya!

Okeylah, kami sekeluarga pula insyaa-Allah akan ke Muar, Johor beramai-ramai sebab nak melawat kakak saya yang tak lama lagi nak menjalani satu operasi. Insyaa-Allah dia akan okey. Hari Isnin pula, kami ada wedding lagi. Jadi sibuklah juga, insyaa-Allah.

Okeylah... ungkapan di atas ini memang biasa diguna oleh orang kita untuk memberi nasihat agar kita tak mengungkit kisah-kisah lama. Konon-konon apa yang dah berlalu, biarlah ia pergi dan terus dilupakan. Mungkin ada baiknya kot. Kalau kita nak menapak ke depan, biar semua yang dah berlalu, terutama tentang perkara negatif, kita lupakan sahaja. Tak payahlah kot kita duk mengintai sana-sini, duk kerobek sana-sini. Huhu...

Pun begitu, kita jangan pula lupa pada sejarah. Sejarah banyak tinggalkan pengajaran. Sejarah lama ada ceritanya dan kita jangan pula buat-buat tak ambil kisah, takut sejarah berulang lagi. Betul tak?

Kalau ada yang tak elok terjadi dalam hidup kita, memang elok kita belajar untuk melupakan nya, namun dalam pada itu, kita jangan terlalu yakin yang perkara yang sama tak mampu untuk berlaku lagi.

Okeylah... sekadar untuk mengingatkan diri sendiri agar sentiasa berjaga-jaga dan jangan terlalu yakin dengan apa yang datang. Subhanallah, semoga Allah swt melindungi kita. Aamiin.

Wassalam





                                                         Nostalgia ketika di Morocco


Wednesday, April 29, 2015

Asyik Nak Minta Sahaja

Assalam

Sudah jadi budaya kebanyakan orang kita, walaupun mungkin baik hati, tetapi suka sangat nak meminta-minta. Kalau boleh, nak buat kerja sikit sahaja tetapi nakkan hasil yang banyak. Kesabaran pula tak mahu dibina dalam diri dan kerana kurang sabar, itu yang suka cari jalan 'short cut'.

Semalam, seorang teman ceritakan pada saya. Katanya dia banyak berurusan di kaunter melalui 'runner' sahaja kerana tiada masa nak ke kaunter. Tapi malangnya, runner akan kenakan 'extra cost' kerana dia terpaksa membayar mereka yang jaga kaunter (saya tak nak sebut di mana ya). Maknanya orang kaunter tu, bukan setakat makan gaji, tapi juga 'makan suap'. Mungkin bagi orang berkenaan, itu perkara biasa sahaja, bukan satu perbuatan tak elok yang berdosa. Kerana dah biasa, setiap hari itulah yang dilakukannya, kutip hasil dari runner. Dari sepuluh ringgit hingga ke lima puluh ringgit untuk satu urusan. Bayangkan kalau runner yang datang tu ramai dan untuk banyak 'urusan'. Memang gemuklah perut! Mungkin hasil yang dikutip tu jauh lagi banyak dari gaji bulanan. Tapi yang pasti, apa yang si pungut di kaunter itu makan, adalah duit yang tak halal! Bayangkanlah jika duit itu diguna untuk beli makanan anak-anak, untuk suami atau isteri, untuk hal-hal lain. Bayangkanlah anak-anak yang macam mana yang kita besarkan nanti, sedangkan kita memang tahu dari mana hasil yang anak itu makan setiap hari!

Semoga kita fikir-fikirkanlah tentang hal 'besar' ini. Mungkin kita rasa kecil, tapi sebenarnya ia besar dan mampu untuk turun kepada keturunan kita.

Dalam Islam, Allah swt sentiasa meminta kita untuk rajin memberi (bersedekah) walaupun mungkin kita tak banyak harta dan wang ringgit. Walaupun sedikit, barakahnya besar. Tapi kalau kita makan duit yang tak halal, walaupun banyak atau sedikit, namun barakahnya tiada, yang dapat hanyalah bala! Astaghfirullah.

Semoga kita sentiasa peka dan jauhkan diri daripada budaya 'meminta-minta' ni kerana budaya ini mampu menjatuhkan kita ke kancah yang hina!

Wassalam.


                                                           Sekadar Hiasan

Tuesday, April 28, 2015

Bosan Dengan Cerita Cinta

Assalam

Saya tersenyum bila membaca komen seorang pelakon di sebuah surat khabar yang berkata bahawa dia sudah bosan untuk berlakon drama yang diadaptasi dari novel kerana katanya jalan cerita semuanya agak sama sahaja, akhirnya hero dan heroin hidup bahagia berumah tangga, sedangkan pada realitinya bukan begitu!

Hah... saya suka dengan komen itu. Memang tepat kot, rata-rata cerita cinta hari ini semuanya sama, tak ada pun yang berakhir dengan kecundang, sedangkan kita tahu kebanyakan percintaan dan perkahwinan hari ini berakhir dengan 'putus'!

Pun begitu, hidup di dunia bukan hanya untuk bercinta sahaja, maksudnya bukan bercinta antara lelaki dan perempuan sahaja, tetapi banyak hal lain yang sangat penting. Misalnya akhlak kita, budaya kita, komitmen kita, tanggungjawab kita, perangai kita, tugas kita, silaturahim kita dan macam-macam lagi. Paling penting ialah amalan kita. Kalau sekadar bercinta bagai nak rak pun apa gunanya, kerana hari ini, cinta boleh dibeli. Hulur sahaja duit, tergedik-gediklah yang datang konon-konon mahu bercinta. Hari ini, rata-rata manusia sangat materialistik. Tak ada duit, tak usah haraplah nak bercinta. Kalau bagi duit, tergolek-golek datangnya cinta.

Tiada pengorbanan, tiada kesabaran, tiada kesopanan, tiada budi bahasa. Yang ada hanyalah 'cinta buta' dan 'cinta palsu'! Semuanya plastik dan penuh dengan pembohongan!

Huhu... semestinya bukan seratus peratus benar, namun rata-rata beginilah adat dunia hari ini. Tidak seperti dulu lagi. Kalau dulu, rata-rata orang tidak materialistik seperti orang hari ini.

Tapi... biasalah kan... bila kita hidup dalam dunia 'pembohongan' dan tidak real, akhirnya kita akan kecundang.

Bukan hanya soal cinta dah jadi plastik, soal persahabatan pun hampir serupa sahaja. Semuanya dah berubah, tak ada yang genuine lagi.

Saya bersetuju sangat-sangat agar karya hari ini seharusnya berubah kepada yang lebih benar daripada apa yang digarapkan oleh tukang karya. Saya paling menyampah kalau melihat karya yang penuh dengan cerita-cerita kotor seperti adegan seks, rogol, bersekedudukan dan macam-macam lagi yang sumbang seolah-olah kita sangat menggalakkan perkara sebegini. Seolah-olah inilah budaya orang kita. Tapi... mungkin betul kot, orang kita seronok hidup pura-pura, seolah-olah baik tetapi penuh dengan maksiat. Nauzubillah min zalik. Yang muda serupa, yang tua pun lupa daratan juga. Adoii... patutlah cerita-cerita sumbang sangat laku di negara ini.

Ini sekadar andaian saya. Mungkin juga kerana orang kita hidupnya sangat kosong, tak punyai objektif, tak punyai cita-cita, sekadar mengikut trend sahaja!

Maaflah kalau ada yang terasa. Sekadar perasaan seorang penulis sahaja.

Wassalam.

                                                                 hahaha... comel kan?

Monday, April 27, 2015

Marilah Mengintai Lagi

Assalam

Selamat pagi semoga minggu ini lebih baik daripada minggu lepas. Huhu... apa-apa pun saya sangat sedih mendengar berita gempa bumi di Nepal. Nepal merupakan salah satu negara yang saya impi untuk kunjungi selain dari Argentina. Insyaa-Allah satu hari nanti, akanku ke sana jua.

Ahad lepas (semalamlah tu) saya hadir wedding di Petaling Jaya (anak perempuan rakan baik suami saya). Jadi... ramai juga kawan-kawan suami yang saya jumpa termasuk tuan rumah. Suatu ketika dahulu, tuan rumah rajin ke rumah kami ketika kami tinggal di Manchester. Ketika itu saya baru lagi berkahwin dengan suami.

Hujung minggu lepas, kami juga sibuk dengan rakan baik saya yang merupakan jiran saya. Dia sedang mengemas dan bersedia untuk 'renovation' rumahnya. Kami pun cuba bantu di mana-mana perlu. Insyaa-Allah semuanya akan berjalan dengan baik.

Ramai juga yang mencari KarnaDya dan saya, di pesta buku (PWTC). Agaknya mereka tak perasan yang kami dah beritahu bahawa kami tak akan berada di PWTC ketika Pesta Buku. Hehe... seronok pulak dapat relaks-relaks dan tak kelam-kabut untuk ke tapak pesta buku. Apa-apa pun, saya terharulah pada yang datang mencari saya. Malah, ada yang google cuba mencari di mana booth kami. Kesianlah pulak. Ada tu sibuk mencari nama novel terbaru saya. Alahai... memang belum siap lagilah. Sorry sorry...

Memang ramai yang nak tahu sama ada saya ada novel baru tak. Untuk makluman, saya masih menulis lagi. Lambat sikit kerana banyak projek lain yang saya harus selesaikan.

Okeylah... hari ini tak ada apa sangat yang hendak saya bebelkan. Insyaa-Allah esok-esok saya usahakan untuk berkata sesuatu.

Bagi mereka yang rajin mengintai di blog saya ini... selamat mengintai ya...

Wassalam.


Saturday, April 25, 2015

Ego Lelaki Emosi Wanita

Assalam

Biasa kan, kita dengar yang ego lelaki jauh lagi tinggi daripada wanita? Wanita pula dikatakan suka beremosi kalau dibandingkan lelaki. Pun begitu, kadang-kadang sama sahaja tinggi rendahnya antara ego dan emosi lelaki dan wanita. Betul tak?

Namun lelaki mungkin dijadikan Tuhan begitu kot untuk mempunyai ego yang agak tinggi. Mereka tidak suka kalau pasangan mereka lebih hebat daripada mereka. Misalnya kalau pasangan lagi pandai, atau mungkin lagi kaya, atau mungkin berpangkat lagi besar, atau mungkin lagi popular atau lagi glamor, imej mereka mulalah tercalar. Kadang-kadang, mereka mungkin berasa bangga kerana mempunyai pasangan yang hebat, tetapi sekali-sekala ego mereka terjejas kerana  dalam diam mereka terasa seolah-olah terpaksa memberi laluan kepada pasangan yang lebih hebat itu.

Sedangkan wanita pula kalau mempunyai pasangan yang hebat dari segi imejnya, mereka tak kisah sangat. Misalnya kalau suami mereka seorang 'Dato' mereka akan menjadi 'Datin'. Tetapi tidak untuk lelaki, kalau isteri mereka dapat gelaran 'Dato', mereka tak dapat apa-apa pun! Hah!

Begitulah seterusnya dan kerana itu mungkin, ada lelaki akan mencari jalan untuk pastikan imej mereka akan menjadi 'up' sedikit, supaya mereka tidak ketinggalan bila dibandingkan dengan sang isteri. Wallahuaklam.

Tentang emosi pula, memang jarang-jarang lelaki beremosi kalau dibandingkan wanita. Kebanyakan wanita hanya sanggup berada dalam keadaan intim dengan pasangan yang mereka jatuh cinta. Tidak kebanyakan lelaki, mereka sanggup untuk buat apa sahaja dengan mana-mana wanita (sekalipun wanita itu buruk atau tak setaraf dengannya) kerana mereka tiada ikatan emosi dengan wanita berkenaan. Mereka boleh rapat dan boleh sahaja berpisah tanpa rasa apa-apa. Sedangkan wanita pula, bila sudah merasakan rapat semestinya akan rasa istimewa, namun bila ditinggalkan, mereka tidak mampu untuk terima realiti bahawa mereka hanya sekadar dijadikan tempat untuk nafsu sahaja! Wallahuaklam.

Saya sekadar memberi contoh yang mudah untuk kita sama-sama kongsi dan fahami, agar kita sama-sama mengerti tentang apa yang ada pada diri kita, sama ada kita lelaki atau perempuan. Biasanya bila berpisah, si wanita akan rasa sakit, si lelaki pula tak ambil kisah, apatah lagi si lelaki yang ambil keputusan untuk putus. Pun begitu, kalau wanita yang minta putus, itu semestinya akan menjejas 'ego' lelaki, kerana rata-rata lelaki tak suka dilayan seperti sampah!

Huhu... mungkin saya tersilap, tapi inilah sesuatu yang saya sering perhatikan. Jadinya... tiada sesiapa pun yang mahu dicampak begitu sahaja macam sampah, masing-masing kalau boleh mahu menjadi orang yang mencampak sesuatu ke dalam tong sampah! Itulah dia ego dan emosi. Wallahuaklam.

Wassalam.

                                                              Tak mahu jadi sampah!

Friday, April 24, 2015

Cintailah Dia

Assalam

Pagi Jumaat yang penuh barakah insyaa-Allah. Jom ramai-ramai kita usahakan agar diri sentiasa taat pada Allah ta'ala. Jangan jadi hipokrit, di luar buat-buat religious tapi dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu. Nauzubillah min zalik.

Jom ingatkan diri kita agar jangan tersesat daripada landasan yang lurus (seperti yang ditunjuk dalam kitab suci al-Quran). Tidak susah untuk amalkan perbuatan yang baik tetapi memang mudah untuk melakukan benda-benda yang tak baik. Manusia dijadikan lemah, namun kalau tidak cuba untuk kuatkan iman, maka diri akan terus kecundang, nauzubillah min zalik.

Nak jadi Muslim atau Muslimah yang baik, buatlah benda baik. Jangan menipu, jangan kelentong, jangan buat fitnah, jangan bermusuhan, jangan berdengki, jangan sakitkan hati orang lain, tetapi buatlah amalan yang baik-baik, banyakkan bersedekah, banyak beribadah, pulihkan silaturahim, jaga keluarga, buat baik pada rakan dan kawan, hormat jiran... jaga solat dan semua yang baik-baik di atas nama Allah swt. Nak buat apa pun, ingatlah pada Tuhan agar kita tak akan buat benda yang tak baik.

Cintailah Allah, sayanglah diri kita agar Tuhan izinkan kita untuk menjadi ahli syurga. Aamiin.

Wassalam.

Thursday, April 23, 2015

Bahu Untuk Kusandar

Assalam

Mungkin anda sedang happy-happy. Alhamdulillah, saya okey-okey. Hari ini kawan baik saya akan datang ke rumah. Sebenarnya dia mahu melihat rumahnya yang dibeli di sebelah rumah saya. Selama ini, saya yang tolong jagakan. Akhirnya dia akan balik 'for good' dan itulah perancangannya, kami akan berjiran. Insyaa-Allah.

Saya mempunyai beberapa orang rakan yang sangat 'close' dengan saya. Bila saya kata 'close' tidaklah bermaksud segala benda kami kongsi. Kami 'keep personal' pada perkara-perkara tertentu, tidaklah mahu ambil tahu segala benda atau nak jaga tepi kain, kami 'keep in contact' supaya di mana sahaja kami berada kami dapat berhubungan. Begitulah saya dan rakan saya J. Sekarang ini dia bergelar 'Dato'' dan dia tak pernah kisah pun kalau saya tak guna gelarannya itu. Memang tak pernah guna pun. Kami relaks-relaks sahaja.

Suatu ketika dahulu, ketika kami di kampus Universiti Malaya, saya pernah jatuh sakit dan J lah yang menjaga saya lebih seminggu. Dia tidur di kamar saya dan menemani saya. Suap saya makan dan bawa saya ke toilet. Malah, dia mencuci muntah saya lagi. Memang saya tak pernah lupa budi baik J. Hingga ke akhirat insyaa-Allah saya tak mungkin lupa. Memang tidak mudah untuk berjumpa dengan rakan sebaik itu. Malah, syukur alhamdulillah, saya mempunyai beberapa orang teman yang sentiasa berkongsi susah dan senang. Merekalah yang memberi bahu untuk saya menyandar bila memerlukan. Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi kerana memberi saya peluang ini.

Wassalam.

Wednesday, April 22, 2015

Tak Payah Forward

Assalam

Tahun ini, saya tak akan berada di PWTC untuk pesta buku. Tahun ini juga, KarnaDya tidak mengambil booth untuk pesta buku, bermakna kami tidak 'join' pesta buku. Selama 12 tahun saya menjadi penulis, inilah pertama kalinya saya tak akan hadirkan diri untuk pesta buku. Sebetulnya saya juga berasa lega kerana tak perlulah saya kalut dan sibuk-sibuk selama sepuluh hari untuk berulang-alik bagi hadirkan diri untuk pesta buku. Cuma saya terkilan kerana tak dapat berjumpa dengan pembaca-pembaca saya terutama mereka yang dah jadi pembaca dan follower tegar saya. Kalau panjang umur insyaa-Allah lain kali kita pasti akan berjumpa lagi.

Untuk makluman anda semua, KarnaDya sedang sibuk dengan urusan lain yang juga ada kaitan dengan buku. Kerana kesibukan itu, mereka tak dapat hadir sama untuk pesta buku tahun ini. Doa-doakan yang terbaik buat kami ya.

Saya juga sedang menanti-nantikan tayangan drama dari novel saya 'Setulus Janji' yang sepatutnya akan ditayangkan di RTM2, tetapi setakat ini masih belum ada khabarnya. Semoga drama itu akan ditayangkan dalam sedikit masa lagi, insyaa-Allah.

Tahun ini, alhamdulillah kami sekeluarga rancang untuk adakan aktiviti pada hari buruh. Biasanya hari buruh kami tak dapat ke mana-mana sebab sibuk dengan Pesta Buku. Mungkin ada hikmahnya kami tak 'join' pesta buku tahun ini, setidak-tidaknya kami dapat jalankan aktiviti seperti orang lain juga... hehe. Alhamdulillah.

Dalam pada itu, saya nak ingatkan diri saya dan juga anda semua yang rajin ke blog ini, agar elakkan diri untuk mengedar atau 'forward' apa-apa statement, atau berita, atau video yang anda rasa tak elok dilihat atau mencemar adat dan agama kita. Selain daripada fakta yang salah atau tak sahih, ada perkara-perkara yang mungkin benar tetapi mempunyai unsur 'kejahatan' dan bagi saya, kita sebagai insan yang sayang pada agama dan Tuhan kita, eloklah jangan kita edarkan apa-apa termasuk mengviral kan video yang mempunyai unsur 'syaitan' padanya. Lebih baik kita delete dan tidak dengan sengaja mengedarkan apa-apa yang tak elok ini.

Wassalam.

Tuesday, April 21, 2015

Selamat Malam Kekasih Lagi

Assalam

Rupa-rupanya drama Selamat Malam Kekasih sedang diulangtayang di TV Al Hijrah sekali lagi, mungkin setiap hari jam 2.30 petang. Saya tak pasti sangat. Saya pun kebetulan tahu tentang hal ini. Banyak yang masuk blog saya mencari details tentang drama tu, itu yang saya perasan tu. Tak pasti dah episod ke berapa... tapi baru lagilah. Jadi siapa yang minat nak tengok, bolehlah tengok. Tak pasti juga sama ada TV Al Hijrah dah boleh tonton secara online atau tidak. Apa-apa pun, jom bertemu dengan Maya dan Misyal lagi!

Wassalam.




Monday, April 20, 2015

Siapa Tak Nak Menang?

Assalam

Hujung minggu memang tak sempat nak update blog. Hari Jumaat malamnya itu, saya hadiri majlis resepsi anak saudara yang berkahwin secara kecil-kecilan. Mungkin dah penghujung kot, abang saya tak larat nak buat besar-besaran kerana abang saya dan kakak ipar dah banyak usia dah. Apa-apa pun, kami semua enjoy sebab dapat berkumpul adik-beradik. Alhamdulillah dan tahniah kepada Nurmala dan suaminya.

Esoknya pula kami sibuk mengemas rumah. Sabtu dan Ahad memang sangat busy. Busy juga pergi ke Lenggeng. Kami menghantar katil hospital yang kami beli untuk arwah ibu saya. Sempat pakai selama lapan hari sahaja ketika ibu saya di rumah dan selepas itu ibu saya kembali ke rahmatulah. Dapatlah kami bersedekah buat arwah ibu kami itu.

Malam Sabtu, kami melepak di Bangi sambil makan-makan di Muslim Kitchen. Bukan semua yang pergi pun sebab masing-masing ada hal. Pada hari Ahad, kami kemas garden dan kemudiannya ke Lenggeng. Alhamdulillah, walaupun sibuk, kami puas sebab dapat buat banyak kerja.

Okeylah, sekarang ni nak bercerita tentang menang dan kalah. Siapa yang tak nak menang, kan? Dalam apa jua hal kita semua nak menang. Tapi betul juga kata orang, tak semestinya kemenangan menguntungkan sebab biasanya juga, bila kita menang, mungkin kita rugi dalam hal yang lain pula. Misalnya kalau kita bertekak dengan klien, mungkin kita menang bertekak tapi yang pasti kita akan kehilangan klien. Kalau bergaduh dengan kawan pun macam tu, mungkin kita menang tapi kita hilang kawan.

Dengan adik-beradik pun sama, bila kita bergaduh, sekalipun kita menang bertekak, tetapi kita pasti sudah menyakitkan hati orang lain, pasti juga silaturahim akan terjejas. Begitu juga suami isteri, bila bergaduh, pasti ada hati yang tersentuh. Tak kira siapa yang menang atau kalah, yang pasti ada hati yang terasa.

Pun begitu, dalam hal suami isteri, mungkin elok juga bergaduh sekali-sekala kerana masa kita bergaduh, pasti akan terluah apa sahaja yang terpendam. Kalau kita tak bergaduh, maknanya kita pendam perasaan, yang itulah bila dah tak tahan akan meletup! Lagi tak elok kot. Mengikut kata pakar, lagi elok suami isteri bertekak sekali-sekala kerana cara itu dapat meringankan beban perasaan. Sebagai manusia kita tak perfect, pasti ada yang tak kena. Bila tak bergaduh tak bermakna semuanya elok. Kadang-kadang bila tak bergaduh, masing-masing mungkin makan hati atau 'take things for granted' dan membuat andaian sendiri. Bila ini terjadi, tahu-tahu dah ada benda tak elok yang berlaku. Mungkin jauh lagi baik kalau kita melepaskan perasaan. Setidak-tidaknya kita tahu apa yang tak kena dan perbaiki keadaan. Tak kisahlah siapa yang menang atau kalah. Yang pasti kalau kasih masih berpaut dan sayang masih kuat, sekalipun ada ribut taufan, tak akan terjejas hubungan. Insyaa-Allah.

Semoga kita dilindungi Allah swt.

Wassalam.

                                                                      Mala and hubby
                                                  Amna (anak sedara) saya dan adik ipar
                                         Husband saya dengan Firas dan Yusufia di Bangi
                                                      Ali dan Nabeehah di rumah

Friday, April 17, 2015

Tertanya-Tanya, "Bila Nak Kaya?"

Assalam

Alhamdulillah hari ini dah pun hari Jumaat, semoga kita terus dilindungi Allah swt.

Hari ini saya nak berbual-bual tentang kehidupan kita, sama ada kita rasa puas hati atau pun tidak. Memang banyak orang akan rasa tak puas, mungkin kerana mereka tidak pernah mensyukuri apa yang ada pada mereka. Mungkin juga mereka asyik nak bandingkan diri mereka dengan orang lain. Dengan jiran, dengan kawan, dengan rakan sekerja, dengan adik-beradik dan macam-macam lagi. Kita selalu melihat di atas sebab itu mungkin kita tak berasa puas. Dalam hal ini, memang ada baiknya juga, kerana dalam keadaan yang begini mungkin kita akan bekerja kuat supaya kita mendapat kepuasan.

Pun begitu, sebenarnya tak mungkin kita dapat seratus peratus kepuasan. Tentu ada kekurangan di sana sini, tetapi kalau kita mahu mendapat kepuasan secara jalan pintas, mungkin akhirnya nanti kita akan kecundang. Orang kata, 'Menangis tak berlagu'. Bermakna kita akan menyesal di atas apa yang kita dah lakukan itu.

Sebab itulah Allah swt mengingatkan hamba-Nya untuk bersabar di atas apa jua ujian dan setiap kesabaran kita itu ada hikmahnya. Janganlah kita tidak mensyukuri hidup kita kerana perbuatan kita itu adalah sangat jelek! Allah tak suka.

Bila kita dapat sesuatu, belajarlah untuk menghargainya walaupun apa yang kita dapat itu sangat sedikit. Misalnya kita mempunyai pekerjaan tetapi gajinya tak besar, jauh lagi baik daripada tidak mempunyai pekerjaan dan tak mempunyai pendapatan. Tetapi kalau kita nak bandingkan diri kita dengan orang lain yang mempunyai pendapatan yang banyak, semestinya kita akan rasa sakit di ulu hati. Itu merupakan satu keadaan yang sangat tak elok.

Dalam hal ini, kawan-kawan juga mungkin menjadi penyebab perbuatan kita yang mungkin elok lalu berubah jadi tak elok. Kalau kita berkawan dengan mereka yang suka merasuk fikiran kita dengan perkara yang tak elok dan buat kita fikirkan bahawa yang tak elok itu adalah elok, semestinya kita akan terasuk lalu melakukan perbuatan yang tak elok kerana kita sangkakan itu adalah elok! Nauzubillah min zalik.

Sebab itulah kita kena guna akal fikiran kita dan kerana itu juga kita kena berjaga-jaga bila berkawan kerana bukan semua kawan boleh jadi kawan. Ada kawan memang jenis makan kawan. Mereka suka kalau kawan mereka itu hidupnya menjadi huru-hara dan mereka mendapat kepuasan secara itu.

Kita juga kena fikirkan tentang rezeki yang Allah berikan kita setiap manusia ini, terutama insan yang beriman. Masing-masing ada rezekinya dan sedikit atau banyak merupakan sesuatu yang sangat subjektif. Rezeki juga dari segi anak-anak, kaum kerabat dan lain-lain hal yang mungkin kita terlupa untuk menilaikannya, bukan setakat wang dan harta.

Kerana itu juga tak payahlah kita nak mencari jalan pintas untuk dapatkan apa yang kita mahu. Misalnya dengan makan rasuah, dengan mencuri, dengan mengelat, dengan menipu atau mungkin dengan mencari 'suami' atau 'isteri' yang berduit kerana kita sangka dengan duit kita mampu jadi bahagia. Kalau tak betul gaya, kita mampu menderita kerana semua ini adalah apa yang Allah aturkan untuk kita, tak kira sama ada kita jenis tamak atau tidak!

Semoga hari Jumaat ini membawa rahmat buat kita dan belajarlah untuk sentiasa bersyukur. Janganlah asyik tertanya-tanya 'bila aku nak kaya ni?'

Wassalam.



Thursday, April 16, 2015

Fitnah Yang Luar Biasa

Assalam

Biasanya kita rasa bahawa diri kita baik maka kita bukanlah jenis yang suka menyebar fitnah, tetapi kadang-kadang kita terlupa bahawa mungkin tanpa sedar, kita telah menjadi tukang sebar fitnah yang luar biasa. Macam mana boleh jadi macam tu ya?

Begini. Kalau kita kaki facebook dan rajin benar meng 'forward' apa-apa hal yang dihantar kepada kita, atau mungkin kita kaki 'whatsapp', atau kaki 'telegram', mungkin kaki media sosial yang lain, yang rajin benar 'forward' apa sahaja hal yang dibentangkan tanpa periksa kesahihannya, tanpa sedar kita menjadi tukang sebar 'fitnah' secara luar biasa.

Banyak kali kita dengar hal-hal yang konon-kononnya betul, tetapi kemudian diberitahu bahawa berita itu tidak sahih! Memang kerap benar, terutama tentang hal-hal politik dan negara, hal-hal agama dan macam-macam lagi, termasuklah hal kesihatan dan serba macam penyakit.

Yang menariknya, orang kita ni memang pantang diberikan info yang konon-kononnya ada kaitan dengan agama. Sebut sahaja nama mana-mana imam (kadang tu kita tak pernah tahu pun), maka kita anggap berita itu ada kebenarannya dan sahih. Malangnya, hari ini ramai manusia yang bertindak menjadi 'Dajjal' lalu menyebar segala macam berita untuk menggusarkan perasaan. Mungkin sengaja dilakukan begitu, atau mungkin kerana mendapat kepuasan kalau dapat mengedar maklumat pada orang lain tanpa kira sama ada berita itu betul atau tidak.

Paling menakutkan kalau kita mengedarkan maklumat tentang agama yang ada kaitan dengan kata-kata Allah swt (al-Quran) dan Nabi junjungan kita Muhammad saw, tetapi maklumat itu sebenarnya palsu, maka kita yang menyebar itu merupakan manusia yang sedang mengedar fitnah! Nauzubillah minzalik.

Hari ini, banyak negara huru-hara kerana fitnah yang tersebar secara luar biasa, termasuklah fitnah tentang 'mazhab' tertentu, tentang ketua-ketua agama, tentang kepercayaan, tentang pebagai hal politik, dan macam-macam lagi, hinggakan negara tertentu menjadi lingkup!

Wahai manusia... kenapa kita tak mahu fikir tentang apa-apa sahaja 'info' yang kita terima sebelum kita berani untuk menyebarnya? Kenapa kita tak mahu guna akal fikiran untuk menapis berita-berita yang kita terima melalui 'social media' ini? Kita dengan pantas mahu menjadi pak turut lalu percaya segala apa yang ada di social media.

Janganlah jadi manusia jahil hingga tak mampu untuk mengguna segala nikmat anugerah Ilahi buat kita lalu terus pilih untuk menjadi manusia yang tidak bijak, tidak beriman dan tidak berakal.

Jagalah hati kita, jagalah tindakan kita, jagalah iman kita agar kita tak menjadi penyebar fitnah yang luar biasa. Wallahuaklam.

Wassalam.



Wednesday, April 15, 2015

Sakit Kerana Bersalah?

Assalam

Alhamdulillah, setiap hari kita akan menimba ilmu dan sepatutnya setiap pengalaman itu kita jadikan pengajaran buat kita. Semoga akhirat kita juga turut jadi cemerlang hendaknya. Aamiin.

Semalam, saya dan suami menonton sebuah filem yang sangat berkesan. Filem ini mengisahkan perasaan mereka yang terlibat dalam peperangan Perang Dunia Kedua. Berlatarkan kisah benar. Kebetulan suami saya memang suka menonton cerita perang. Jadi, fokus kami memang di situ. Kisahnya berkisar pada salah seorang watak tentera British yang terlibat dalam peperangan itu dan dia pernah diseksa oleh tentera Jepun ketika berada di wilayah Thailand. Tugasnya bersama tentera British yang lain ialah untuk menyiapkan rel kereta api.

Ketika itulah watak itu telah diseksa dengan teruknya, dan salah seorang yang turut menyiksanya ialah seorang 'translator' atau jurubahasa berbangsa Jepun. Penyiksaan yang telah dijalankan sangat-sangatlah dahsyat hinggakan setelah perang tamat dan tentera British yang terlibat pulang ke negara mereka, kesan pada mental, jiwa dan perasaannya terus melekat tak mahu pergi-pergi. Setelah lebih dua puluh tahun perang tamat, kehidupan mereka masih terjejas dan salah seorang temannya yang terlibat sama, telah pilih untuk menggantung dirinya hingga mati.

Watak utama tidak mahu meluahkan perasaan, namun dendamnya berpanjangan. Suatu hari, watak utama memilih untuk pergi ke Thailand untuk melihat semula tempat mereka diseksa. Watak utama telah mendapat khabar bahawa jurubahasa Jepun yang menyiksa mereka kini bertugas di kawasan berkenaan untuk membawa pelancong melihat tempat tentera British diseksa ketika membuat rel kereta api.

Sebaik sahaja tiba di tempat itu, watak utama bertemu dengan jurubahasa berkenaan. Rancangan utamanya ialah untuk menyiksa jurubahasa berkenaan, tetapi malangnya, bila berjumpa, watak utama tak tergamak untuk berbuat demikian. Kedua-duanya meluahkan perasaan. Watak utama mendapat tahu bahawa jurubahasa berkenaan sebenarnya turut terseksa jiwa raganya kerana perasaan bersalah tak mahu pergi-pergi dan kerana itulah jurubahasa berkenaan tidak pilih untuk pulang ke Jepun, sebaliknya tinggal di Thailand dan menjaga tempat itu. Baginya, dia perlu mencari kedamaian jiwanya.

Begitulah kita manusia, kalau melakukan kezaliman adalam apa jua bentuk ke atas insan lain, pasti akhirnya nanti jiwa kita yang akan tertekan. Mungkin pada asalnya kita seronok menyakitkan hati orang lain, atau bertindak zalim pada orang lain, tetapi kesan yang kita tinggalkan itu terbalik pada diri kita, dan mungkin akibat perbuatan kita, memakan diri kita sendiri!

Allah swt maha adil. Setiap perkara buruk dan kejahatan yang kita lakukan pada orang lain, pasti akan mendapat balasannya. Kita akan berasa sakit kerana kita telah melakukan kesalahan kepada orang lain. Wallahuaklam.

Kalau perasaan begitu ada pada diri dan kita tahu kita telah lakukan sesuatu atau kejahatan terhadap orang lain, mungkin kedamaian yang kita cari terletak kepada kemaafannya. Selagi dia tidak maafkan kita, mungkin selagi itulah kita akan berasa sakit. Wallahuaklam.

Wassalam.


Tuesday, April 14, 2015

Siapa Yang Zalim?

Assalam

Hari ini saya sibuk sikit kerana si kenit Niloufar ada dengan saya. Pagi-pagi dah datang rumah kami, apa lagi kenalah jaga dia. So far so good. Alhamdulillah.

Okeylah pagi ini saya ada mood untuk berbicara tentang satu isu yang membuat saya berasa mual sangat-sangat. Malah saya geram! Isu ini ada kaitan dengan agama dan juga kezaliman.

Saya sangat bersimpati pada rakyat Yemen, apatah lagi dengan daerah Hadramawt, satu kawasan yang ada kena mengena dengan keturunan arwah ibu saya dan juga ada kaitan dengan famili suami saya. Malah kami pernah ke sana. Suami saya juga pernah ke sana berkali-kali. Malangnya hari ini, negara itu sangat huru-hara dan apa yang menimpa mereka adalah satu kezaliman perbuatan puak bangsa Arab yang sangat zalim dan bongkak! Mereka merupakan puak kaki buli.

Walaupun negara Saudi mempunyai wilayah tanah suci Mekah dan Madinah, namun mereka tidak menjalankan tanggungjawab sebagai puak yang sepatutnya melindungi Islam! Malah, Saudi kini lebih rela berpakat dengan Amerika Syarikat dan berganding bahu dengan pihak Zionis untuk menzalimi negara miskin seperti Yemen, sedang apa yang berlaku adalah kerana masalah politik. Astaghfirullah.

Apa sekalipun alasan mereka untuk memusnahkan Yemen, alasan itu tidak munasabah dan tentunya satu perbuatan manusia tiada akal dan hati perut. Mereka melakukan apa yang mereka buat atas alasan tamak haloba dan kejahatan untuk menjaga kepentingan mereka, puak Amerika dan juga Zionis!

Perkara ini sudah disebut dalam al-Quran, namun mereka tak kisah pun, masih mahu berpakat dan mempercayai golongan yang membawa keburukan buat dunia Islam. Lihatlah Libya, lihatlah Iraq, lihatlah Afghanistan dan lain-lain negara Islam yang dipunah dan musnah oleh Zionis, Amerika dan mereka yang tamak haloba! Nauzubillah minzalik.

Janganlah kita di sini pula turut jadi buta mata dan buta hati, hanya kerana Saudi mempunyai Mekah dan Madinah, kita merasakan apa sahaja yang mereka lakukan adalah baik belaka. Sedangkan rakyat di Yemen sedang merana. Ada yang tak makan, tak punyai tenaga elektik kerana tiada petrol, tak punyai tempat tinggal kerana musnah dek bom. Tak pergi sekolah. Tak buat kerja kerana negara sedang dimusnahkan oleh puak Saudi dan konco-konconya. Semoga Allah melaknati mereka yang kejam lagi zalim.

Wassalam.



                                                         Beginilah keadaan di Yemen

Monday, April 13, 2015

Nak Hadiah Yang Macam Mana?

Assalam

Secara jujurnya, memang banyak orang suka dengan hadiah. Bila dapat sesuatu, tak kira berapa harganya, pasti si tukang yang dapat tu akan tersenyum luas, apatah lagi kalau hadiah itu merupakan sesuatu yang berharga. Misalnya sebuah kereta mewah. Bertambah luaslah senyuman mungkin sampai ke telinga.

Saya juga suka hadiah tetapi biasanya saya akan berasa bangga kalau hadiah itu datang daripada orang yang saya sayang seperti pasangan saya, anak-anak saya dan juga teman-teman yang rapat. Biasanya juga, saya lebih suka memberi daripada mengharapkan sesuatu daripada orang lain. Mungkin saya dah biasa begitu.

Bila kita sentuh tentang hadiah, biasanya juga lelaki suka beri hadiah pada wanita ketika mereka mahu mengambil hati. Bila berkawan, mungkin mula-mula itu mereka suka buat begitu, konon-konon memang mereka merupakan orang yang baik hati. Tetapi ada juga yang memberi hadiah sekadar untuk 'impress' sahaja. Tetapi bila dah terlalu biasa, mereka akan lupa tentang hal itu kerana mungkin selepas waktu tertentu, mereka tidak rasa perlu lagi untuk ambil hati. Apatah lagi kalau dah bosan. Langsung tak payah ambil hati!

Pun begitu, hadiah yang istimewa tidak semestinya datang dengan barang atau apa-apa yang berbentuk material, kerana semua itu kadang-kadang sekadar 'menunjuk-nunjuk' sahaja. Misalnya, bila hari lahir orang tertentu atau kanak-kanak, ada kala orang memberi hadiah kerana terpaksa buat begitu kerana memberi hadiah sudah jadi trend atau 'adat' orang kita.

Mungkin kita harus melihat semula pada perasaan kita kalau kita jenis yang 'hard up' pada hadiah. Doa itu merupakan satu hadiah yang mulia. Doa untuk kawan lebih baik daripada hadiah dari segi material. Misalnya kawan yang sedang berdepan dengan masalah, kadang-kadang doa kita mampu untuk membantunya, setidak-tidaknya membantu memberi semangat.

Hadiah terbaik untuk anak-anak adalah ilmu dan pelajaran. Tanpa ilmu dan pelajaran, anak-anak tak mampu untuk ke mana pun. Kalau kita berikan rumah besar atau wang-ringgit setinggi gunung, namun kalau anak tak berilmu, segala-galanya akan musnah jua.

Hadiah termulia seorang isteri untuk suaminya adalah satu kesetiaan. Kalau seorang isteri itu tidak setia pada suaminya, tak guna pun ada isteri! Namun ramai isteri yang tak setia. Nama sahaja sudah menikah, namun 'kekasih' masih disimpan lagi. Secara senyap-senyap, kekasih menghubunginya. Si suami pula (macam bodoh) percaya bulat-bulat konon-konon si isteri berbudi tinggi!

Begitu juga sang suami. Hadiah terbaik buat isteri adalah penghargaan, penghormatan dan kasih sayang buat sang isteri. Semua ini mampu dilafazkan melalui perbuatan harian, bukan dengan menipunya. Seorang isteri yang sudah banyak berkorban sepatutnya dihargai dan dihormati, tidak pula dengan sengaja melukainya atau tidak berlaku jujur.

Hadiah terbaik untuk diri sendiri adalah kejujuran. Tanpa kejujuran, hati kita mampu dirasuk syaitan!

Begitulah seterusnya. Senyuman itu juga merupakan satu hadiah. Kemaafan juga boleh dijadikan hadiah, terutama kepada musuh kita yang mungkin sudah menyakitkan hati kita. Wallahuaklam.

Renung-renungkanlah, semoga hidup ini lebih baik untuk dunia dan akhirat kita, insyaa-Allah.

Wassalam.

                                              Ramai yang gilakan hadiah yang macam ni kot

                                                  Atau mungkin yang macam ni.

Sunday, April 12, 2015

Makan Buah Dulu.

Assalam

Rasa macam dah lama tak update blog. Sepanjang hujung minggu kami sekeluarga kesibukan. Mengemas dan mengemas. Semalam pula ada wedding, maka sibuklah lagi. Apa-apa pun, alhamdulillah buat semua nikmat anugerah Ilahi.

Dapat info hari ini mengatakan bahawa kita sepatutnya makan buah dahulu ketika perut kosong, lepas tu baru makan makanan yang lain. Ini kata pakar mat salih. Sebenarnya ini memang amalan Nabi junjungan kita, Muhammad s.a.w.. Baginda makan buah-buahan dulu lepas tu barulah makan makanan lain. Mungkin kita dah terbiasa makan buah-buahan kemudian sebab terikut budaya mat salih, tapi kini ramai yang dah berubah dan makan buah-buahan sebelum makan makanan lain. Bagi kami sekeluarga, dah lama kami berubah kerana sedar akan kebaikan memakan buah-buahan ketika perut kosong. Insyaa-Allah, semoga Allah berikan kita kesihatan yang baik.

Wassalam.


                                                                       Cilok dari yahoo

Friday, April 10, 2015

Good Bye Morocco!

Assalam

Alhamdulillah dah pun hari Jumaat. Semakin hari semasa pantas masa berjalan. Kita terus ke hadapan kalau ada umur, insyaa-Allah dan jangan toleh ke belakang. Pun begitu, banyak yang dipelajari melalui pengalaman yang berlalu pergi dan kerana itu, jangan kita lupa pada sejarah sekalipun mungkin sejarah yang mampu menggoreskan hati.

Hari ini saya akan membawa anda kembali ke Morocco, insyaa-Allah inilah bahagian akhir ketika kami berada di sana. Masih di Essaouira lagi dan bagi saya memang Essaouira itu sangat menarik. Malah, tempat itu popular buat pengunjung Eropah, sangat sesuai untuk lepak-lepak. Malah, tempat itu juga pernah menjadi tempat lepak buat legend seperti Jimi Hendrix (muzik) dan lain-lainnya. Kami juga dibawa ke sebuah kawasan tepi laut yang ala-ala Carribean sambil makan makanan laut (ikan bakar), sebuah restoran kepunyaan orang Sepanyol. Pemandu kami membawa kami ke tepi laut sambil mencuba skid di atas pantai (macam remaja pulak dah).

Bagi saya dan suami, Essaouira memang sesuai untuk relaks-relaks kerana tempat itu sangat tenang. Selepas Essouira, kami dibawa ke Cassablanca semula dan bermalam satu lagi malam di situ sebelum mengucapkan selamat tinggal buat Morocco.

Alhamdulillah, Allah berikan kesempatan buat kami untuk melihat sebuah daerah di benua Afrika, walaupun jauh daripada kita, namun kalau diizinkan-Nya, yang jauh pasti akan jadi dekat juga. Memang berbaloi perjalanan yang berjam-jam (17 jam), transit di Abu Dhabi lagi... namun semuanya tidak rugi. Banyak yang saya pelajari termasuk tentang kesabaran, tentang menghargai, tentang syukur dan tenang nikmat... semuanya di atas kehendak-Nya. Kami pelajari tentang manusia, sekalipun mungkin negara kelihatan maju jaya, namun ada kala, harta yang ada menjadi hak milik orang lain, maka yang lokal itu masih menjadi kuli orang. Mungkin kita di sini sepatutnya berjaga-jaga, jangan menjadi manusia yang tamak haloba, takut sekiranya kita nanti tak punyai apa-apa, semuanya menjadi hak orang lain pula.

Selamat tinggal Morocco, aku hanya ada foto-foto yang menjadi kenangan indah, namun memori di tempat itu tak mungkin aku lupa kerana banyak ilmu yang terperap di dadaku tentang tempat asal insan mulia seperti Ibn Batutta.

Wassalam.

                                                     Alhamdulillah... feeling romantic
                                                      Lukisan di Cafe tempat lepak Jimi Hendrix
                                                              Cafe Jimi Hendrix
                                                         Tukang ambil gambar kami
                                               Main-main dengan 4 x 4 di tepi pantai
                                                    Kesan drift di atas pantai
                                                  Seronok melepak di tepi pantai
                                                Masih di tepi pantai, siap ada unta lagi
                                                               With my partner
                                                             Weh, seronoknya
                                                                    Serupa Carribean
                                                                        Ala Jamaica
                                                           Lepak di cafe tepi pantai
                                                                  Di Cafe ala Carribean
                                                                     Membakar ikan
                                                                           Ikan bakar
                                                        Di atas dek hotel di Essaouira
                                                Bye-bye Essaouira, kami nak pergi dah
                                                Dalam perjalanan ke Casablanca
                                                              View laut yang cantik
                                           Bersama rakan-rakan sesekolah, Mai and Najiah
                                                         Bunga putih di tepi pantai
                                                                    View yang indah
                                                     Bunga-bunga purple pula
                                                            Pokok cantik
                                         Pemandangan Casablanca dari kamar tidur kami
                                                       Cafe pizza di Casablanca