Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, January 10, 2011

Fakta Mesti Betul Maa



Salam

Malam Sabtu yang lepas, kami menghadiri majlis perkahwinan anak kawan suami saya. Tak payahlah saya sebutkan nama kawasan perumahannya, tetapi memang kawasan mewah... penuh dengan hutan tropika. Malah, rumahnya pun besar macam mahligai. Maklumlah taukeh besar. Tapi, saya 'salute' mereka suami isteri, kerana menganjurkan majlis tanpa perlu membeza-bezakan tetamu yang datang. Tidak kira siapa pun, semua tetamu boleh duduk di mana-mana saja dan semua tetamu diberi cenderahati yang sama! Tak kiralah TanSri ke, datuk ke, anak Raja ke, malah anak Sultan pun ada...

Petang semalam pula, saya pergi ke airport untuk berjumpa dengan sepupu saya dari Jakarta. Ketika itu, Suzy dan familinya sedang dalam perjalanan untuk pulang ke Indonesia. Maklumlah, rumah saya tak jauh dari airport, kadang-kadang memang praktikal berjumpa di airport sahaja. Saya juga berjumpa dengan 'Misyal', anak saudara saya. Siapa yang dah baca 'Selamat Malam Kekasih' akan mengenali 'Misyal'.

Pagi ini saya nak bercerita tentang penulisan. Sejak beberapa hari yang lepas, ada perkara-perkara tertentu yang saya lihat di surat khabar. Kalau ikutkan hati, saya memang malas nak beli surat khabar, sebab tak ada cerita lain, asyik-asyik mengumpat sana sini! Huh! Tapi, ibu saya memang suka surat khabar. Jadi saya kenalah beli... tak kira surat khabar yang mana satu. Mana yang saya sempat beli, itulah yang dia baca.

Saya perhatikan, terlalu kerap sangat kesalahan dilakukan dalam penulisan artikel atau laporan, seolah-olah si 'penulis' tidak menyemak fakta dan tak ambil kisah. Si editor juga tidak ambil berat tentang tidak ketepatan fakta.

Misalnya, ada satu laporan tentang sebuah filem yang datangnya dari negara Parsi atau Iran. Si penulis menulis tentang bahasa dalam filem dengan mengatakan bahawa filem negara Iran itu berbahasa 'Arab'. Adoi! Tidakkah penulis itu tahu bahawa Iran itu bukannya Arab? Orang Iran tidak berbahasa Arab. Bahasa Parsi sangat berbeza daripada bahasa Arab. Begitu juga Turki. Orang Turki bukan orang Arab dan orang Turki tidak berbahasa Arab. Fakta-fakta begini sangatlah penting dan penulis 'surat khabar', tidak bolehlah tidak ambil kisah tentang hal-hal seperti ini!

Sekali lagi pula, saya membaca sebuah laporan tentang satu kisah 'cuba bunuh'. Isteri kedua cuba bunuh isteri pertama. Dalam laporan itu, nama anak 'isteri pertama' di eja dengan kesilapan yang ketara dalam laporan yang sama. Di atas, namanya dieja cara lain, dan beberapa ayat kemudian, orang yang sama dieja pula dengan ejaan yang berbeza. Begitu juga umurnya. Di atas, disebut sebagai 19 tahun dan di bawah, sebagai 17 tahun. Adoi!

Habis tu, macam mana kita nak percaya dengan laporan yang disampaikan di surat khabar? Tukang tulisnya tidak ambil berat hal-hal fakta yang ditulis.

Malah, semalam pun semasa menonton di TV, sekali lagi saya terkilan dengan tukang penyampainya, kerana dia tidak tahu apa yang dikatakan 'Muzik Indie' Adoi... bilalah kita nak belajar untuk ambil berat tentang fakta-fakta yang diperkatakan?

Maaflah, kalau apa yang saya tulis ini menyinggung siapa sahaja yang membacanya. Bukan niat saya untuk mengata, tetapi hendak mengajak penulis di negara ini supaya ambil berat tentang semua hal yang hendak dibincangkan. Fakta mesti betul maa.