Awal pagi, sekitar 4.30 jam Phnom Penh di Kemboja, kami dikejutkan dengan panggilan telefon adik saya yang ketika itu berada di Kuching, Sarawak. Katanya kepada suami saya, "ada berita tak baik, tapi jangan panik ya."
Tentunya kami hairan dan tidak sabar hendak tahu apa berita yang mahu disampaikan itu. Adik saya memaklumkan bahawa dia mendapat panggilan daripada anak-anak kami yang berada di Malaysia bahawa rumah kami dimasuk orang. Bukan itu sahaja, tetapi anak kedua kami dan anak sulung kami diikat dan dirompak dalam rumah sendiri!
Kami terkejut, dan sebagai ibu bapa, tentu sekali kami panik. Tanpa membuang masa, kami cuba hubungi anak-anak di rumah, yang baharu lagi kami duduki. Apabila tahu bahawa anak-anak kami selamat, kami bersyukur. Bagi kami harta benda boleh dicari, tetapi sebagai ibu, saya terkilan kerana peristiwa itu terjadi semasa kami tiada di rumah. Selama 28 tahun kami berkahwin, ini merupakan pertama kali rumah kami dimasuki orang, dan kebetulan kami berada di luar negara.
Saya tahu tentunya anak-anak saya trauma, terutama anak perempuan dan anak bongsu saya, tetapi saya menasihati mereka untuk menghindari perasaan takut itu dengan memberanikan diri. Bagi saya juga, setiap kejadian itu ada hikmahnya dan hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui.
Alhamdulillah, saya tidaklah terlalu takut, mungkin kerana apa yang saya lihat di Kemboja adalah lebih menakutkan. Malah, itulah yang saya beritahu kepada anak-anak, orang Kemboja telah melalui suatu trauma dalam hidup mereka semasa mereka terpaksa hidup ketika era "Khmer Rouge", di mana rakyat negara itu telah dibunuh secara beramai-ramai. Kini, rakyat Kemboja masih berada dalam cengkaman kedaifan, dan mimpi ngeri mereka masih melekat dalam hidup mereka walaupun Pol-Pot telah lama mati. Inilah sebuah kehidupan - penuh dengan pengalaman yang kadang-kala terlalu traumatik untuk dilupakan!