Assalam
Itulah yang saya perhatikan. Di Tanah suci juga berlaku perbuatan diskriminasi yang membawa maksud tidak adil. Tak kisahlah sama ada di Madinah atau di Mekkah, pihak authority selalu dilihat bersikap tidak adil pada orang-orang bukan Arab. Malah, di antara orang Arab juga mereka terus memilih kasih. Tetapi yang pastinya, mereka tidak menghormati orang-orang Asia. Berlaku tindakan untuk mengasingkan kumpulan mengikut bangsa dan semua orang Asia Tenggara dikumpulkan dan bahasa Melayu digunakan untuk memberi arahan. Puak Arab akan diberi keutamaan terutama ketika mahu memasuki ruang Raudhah di Masjidil Nabawi. Begitu juga di Masjidil Haram, pihak authority sentiasa tidak berlaku adil pada orang-orang bukan Arab.
Kami berasa sedih melihat kelakuan mereka. Pun begitu, bukan semua orang Arab begitu kerana saya bertemu dengan beberapa orang Saudi yang sangat baik hati. Ayah saya dilahirkan di Mekah dan tentulah saya rasa terkilan dengan sikap sebahagian daripada mereka yang bagi saya, sangat tidak Islamik. Mungkin ini merupakan antara ujian untuk orang-orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga tanah suci. Mungkin juga mereka terlupa bahawa tanah suci bukan merupakan hak mereka tetapi hak seluruh orang Islam, tak kira bangsa, bahasa dan warna kulit.
Nasihat saya bagi kaum wanita, kalau hendak ke tanah suci, elok lebihkan pakai pakaian hitam. Kalau orang lelaki, lebih sesuai pakai bukan baju Melayu. Kalau anda tahu berbahasa Arab, sangat bagus, kalau tidak, lebih sesuai guna bahasa Inggeris dengan mereka. Biasanya mereka lebih hormat bila kita berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kalau tidak bahasa Arab.
Dalam pada itu, saya juga ingin menarik perhatian anda tentang kewujudan burung-burung merpati, terutama menghampiri Masjidil Haram. Elok kalau kita perhatikan baik-baik, kerana tidak kelihatan najis burung di kawasan itu, walaupun burung-burung berkeliaran dalam jumlah yang ribuan. Sungguh menghairankan kerana burung-burung itu bijak untuk memilih tempat membuang najis mereka. Burung-burung itu adalah generasi yang turun-temurun daripada zaman nabi-nabi. Insyaa-Allah, ini adalah nikmat anugerah Ilahi buat kita untuk melihat keajaiban yang disediakan di tanah suci. Begitu juga dengan telaga zam-zam yang tak pernah kering-kering walaupun berbilion manusia meminum airnya. Bayangkanlah... satu kawasan padang pasir mampu mengeluarkan telaga sehebat zam-zam. Masya-Allah.
Ketika Rasulullah SAW pergi ke Mekah untuk tunaikan umrah dan haji, baginda sentiasa berada dalam keadaan yang sederhana, semoga kita umatnya terus begitu, tidak ghairah untuk ke sana dalam keadaan yang terlalu mewah, kerana itu tidak sesuai dengan sunnah baginda. Wallahuaklam.
Wassalam.