Sekadar hiasan
Salam
'Gruesome', itulah perkataan Inggerisnya untuk menggambarkan sesuatu yang dahsyat lagi mengerikan, yang mungkin akibat dari sebuah kematian, kemalangan atau apa-apa jenayah yang menakutkan. Tetapi inilah gambar yang kita selalu tengok di TV dan juga di muka surat khabar. Tak habis-habis cerita bunoh, cerita culik, cerita rompak. Paling malang bila kisah ini menceritakan anak-anak kecil yang tak tahu apa-apa tetapi menjadi korban keganasan manusia di sekelilingnya. Apakah manusia hari ini, kian hari menjadi kian tak berperikemanusiaan? Ramai yang punyai perangai teruk dari binatang. Sedih, kan? Tapi inilah realitinya.
Takziah buat mereka yang berdepan dengan kekejaman seperti ini.
Dalam pada itu, di luar negara pula, banyak berita-berita sedih yang kita lihat yang dilakukan oleh ketua negara mereka. Misalnya di Syria. Setiap hari ramai yang mati akibat manusia yang tamakkan kuasa. Kita juga melihat berita tentang 'keangkuhan' manusia yang dikatakan datang dari USA. Mereka boleh lakukan apa sahaja dan bebas untuk lakukannya kepada siapa sahaja. Maklumlah, mereka dikatakan manusia yang paling hebat lagi bertamadun di dunia ini. Negara seperti Afghanistan dipijak-pijak dan agama Islam menjadi mainan mereka.
Pun begitu, masih banyak negara yang berdepan dengan soal kemiskinan tahap 'gaban'. Miskin yang tak ada tempat tinggal dan tak ada makan minum. Di negara-negara Afrika seperti Somalia, malah negara India yang semakin maju juga masih berdepan dengan hal yang sama. Masih terlalu ramai manusia di dunia sedang hidup dalam kemiskinan yang 'bukan-bukan'.
Kalau difikirkan, mungkin tak perlulah kita risau sangat tentang hal-hal dunia ini, kerana kita hidup di sini sekadar sementara sahaja. Yang menjadi akhir buat kita ialah 'dunia akhirat' nanti. Di sanalah kita akan berlama-lama. Tetapi, itu bukan caranya. Allah SWT memberi kita peluang untuk hidup di bumi ini agar kita menjadi manusia yang mampu untuk lakukan kebaikan bagi penyediaan di akhirat nanti. Kalau buruk hidup kita di bumi ini dari segi akhlaknya, maka payahlah yang akan berdepan dengan kita nanti. Akhlak kita 'cover' macam-macam, termasuk apa-apa yang kita buat, apa yang kita katakan dan tentunya tanggungjawab kita sebagai manusia.
Setiap masa kita ada harganya. Dengan itu, janganlah kita sia-siakannya dengan melakukan sesuatu yang tak berguna. Kalau kita lakukan yang baik-baik masa kita hidup, maka ganjarannya juga besar di akhir nanti. Tapi, baik-baik tu macam mana? Baik untuk siapa?
Mungkin elok kalau kita fikirkan hal-hal ini pula. Apa yang perlu kita lakukan untuk kekal jadi uamt Islam yang disayangi Tuhan kita? Takkan kita nak jadi manusia yang tamak, yang gilakan material semata-mata, yang sanggup lakukan apa sahaja atas nama nak kaya dan kuasa?
Kita pandang pada cermin dan lihatlah wajah kita. Mungkin kita akan melihat jawapannya. Insya-Allah. Jangan pula kita lupa bahawa pintu Taubat sentiasa terbuka buat kita semua. Kalau rasa ada salah silap yang kita lakukan di muka bumi ini, mintalah ampun pada Yang Satu itu, agar kita berasa tenang setiap hari.
Wallahua'lam dan Wassalam.