Salam semua
Maaflah saya tak dapat menulis malam tadi. Tak sempat. Saya cuba untuk sambung cerita saya tentang Sri Lanka okey. Sebetulnya, semasa mula-mula hendak ke sana, saya membayangkan macam-macam juga, kerana saya tidak dapat banyak maklumat tentang Sri Lanka. Ada seorang teman yang telah ke sana dan dia mempunyai persepsi yang kurang menarik buat saya. Namun begitu, saya tidak mahu percaya seratus peratus kerana biasalah tu, ada orang sangat selektif dan sangat cerewet. Bagi mereka, kalau bercuti dan ke luar negara, mereka harus melihat sesuatu yang serupa seperti London, New York atau Paris. Jadi... saya abaikan sahaja.
Bagi saya, negara luar mempunyai keistimewaan masing-masing, tak mungkin sama dengan negara kita dan kita sebagai pengujung pula perlulah melihat dengan mata hati kita, kalau tidak, lebih baik duduk sahaja di Malaysia dan tak usah ke mana-mana.
Biar saya mulakan dengan makanan di Sri Lanka. Rata-rata, makanan mereka tidak banyak beza dengan makanan di India. Ada pelbagai jenis kari, ada yang kurang pedas dan ada yang terlalu pedas hingga tebal bibir dibuatnya. Ada pelbagai nasi (tapi beras mereka tidak panjang), ada nasi yang berwarna coklat, ada pelbagai jenis roti, termasuk tosai (yang dipanggil dhosa), ada putu mayam, ada pelbagai lauk masak lemak, macam makanan orang Melayu juga, dan kadang-kadang saya terjumpa pelbagai jenis acar, termasuk apa yang mereka panggil 'Malay Acar'. Banyak masakan sayur-sayuran dan pelbagai sup yang menarik.
Mungkin ada di antara anda yang tidak tahu bahawa di Sri Lanka, ada orang berketurunan Melayu yang datangnya memang dari Tanah Melayu, mungkin sekitar seratus tahun yang lampau. Sekarang ini ialah generasi ke tiga atau ke empat dan mereka masih lagi bertutur bahasa Melayu di rumah (tapi bunyi macam berbeza sikit dari kita). Namun kerana perkahwinan campur, Melayu di sana tidaklah seratus peratus macam kita di sini, tapi masih ada lagi yang macam orang Melayu. Di Colombo, ada jalan raya yang dinamakan 'Malay Street', tapi saya tak sempat ke sana. Sebab itu juga banyak makanan Melayu yang sudah menjadi makanan mereka, termasuklah kuih-muih.
Rata-rata juga, tak susah nak makan di sana kerana ada banyak restoran halal, dan banyak juga orang di sana yang pantang makan daging, jadi makanan 'vegetarian' banyak. Lagi satu, kebanyakan ayam, lembu dan kambing, memang disembelih oleh orang Islam.
Orang tempatan Sri Lanka (yang bukan Islam), sangat religious dan sangat beradat. Ke mana-mana kami pergi, mereka menyambut kami dengan bunyi gendang dan memakaikan kami kalung bunga di leher.
Bagi saya, kota Colombo sangat menarik. Masih mempunyai tinggalan kolonial, masih maintain pokok-pokok yang cantik, sangat-sangat bersih, dan saya suka melihat burung-burung (pelbagai jenis) yang suka melepak di dalam kota. Apa tah lagi kota itu berhampiran dengan laut. Sangat romantik dan sesuai untuk pasangan yang mahu berbulan madu.
Di Sri Lanka juga, mereka sangat prihatin tentang penggunaan herba. Semua tumbuhan mempunyai nilai positif dan orang di sana lebih banyak mengguna bahan-bahan herba untuk menjaga kesihatan. Kami sempat melihat kebun-kebun herba di sana yang dijalankan secara besar-besaran. Lagi satu kebangaan mereka ialah teh. Ingat tak pada teh Ceylon? Datangnya dari sanalah dan ketika British di Sri Lanka (ketika itu dinamakan Ceylon) mereka perkenalkan pelbagai jenis teh, dan akhirnya dinamakan dengan nama-nama seperti 'Earl Grey', 'Afternoon English lah' dan macam-macam lagi. Pada hal teh itu adalah teh Sri Lanka. Kami sempat ke kebun teh.
Bagi saya, walaupun Sri Lanka masih lagi ketinggalan dari segi pembangunannya, tetapi saya jangkakan negara itu akan berkembang maju dalam masa yang terdekat ini (dah tak ada perang lagi) dan yang menariknya, orang di sana sangat prihatin tentang ekosistemnya, dan sangat prihatin dengan alam sekeliling. Bayangkanlah, semasa saya berjalan-jalan dalam bas, saya ternampak burung merak liar di tepi jalan (dalam kawasan semak). Tempat lain, burung merak hanya ada di zoo sahaja!
Okeylah, dah terlalu panjang. Satu lagi yang saya lupa nak tulis kat sini ialah tentang wanitanya. Ramai yang cantik-cantik. Kalau tengok pada papan iklan, aduhai... modelnya sangat cantik, kerana banyak juga orang Sri Lanka mempunyai darah campur (Portugis, Belanda dan Inggeris, selain dari bangsa-bangsa lain). Nanti saya akan ceritakan sebuah cerita romantis yang saya dengar di sana.
Sehingga berjumpa lagi, Wassalam.
makanan di Hotel Mahaweli Reach, Kandy
Hotel Mahaweli Reach, Kandy
Hotel Mahaweli Reach
Di bawah Hotel Mahaweli Reach - kawasan sungai (lepas hujan)
Di Kandy
Salah satu candi di Sri Lanka
Hello, Apa khabar? Ayubowan - semoga anda panjang umur
Di lobi Hotel Amaya
Di taman herba
Bandar Kandy
Kamar tidur di hotel Mahaweli Reach
Persembahan tarian di Hotel Mahaweli- selepas makan malam
Hotel Mahaweli Reach - macam kat Cameron Highlands, kan? atau kat UK ni?