Mungkin apa yang mahu saya katakan dalam entri ini merupakan sesuatu yang agak sensitif, tetapi saya tak peduli, saya akan katakan juga.
Kemerdekaan negara ini, hampir seusia dengan umur saya. Setiap kali kita meraikan kemerdekaan, beretanyakah kita kepada diri sendiri, merdekakah kita ini? Bebaskah kita daripada penjajah, atau mungkin kita sendiri sama saja mentalitinya dengan penjajah, atau mungkin ada di antara kita ini sudah bersikap seperti penjajah.
Sekitar minggu lepas, saya ada membuat komen tentang perniagaan orang Melayu di Utusan Malaysia. Perkara itu berbangkit kerana ada isu ketidakpuasan hati seorang peniaga yang merasai bahawa begitu sukar untuk menjalankan perniagaan di tempat yang berimej tinggi, di negara sendiri. Dalam membincangkan perkara yang sama, malangnya, saya terdengar komen seorang 'Pak Menteri' di peti TV, yang mengatakan bahawa tak perlulah orang Melayu bersaing di tempat yang canggih dan mahal kerana mahu menonjolkan diri. Pak Menteri itu mengsyorkan agar orang Melayu carilah lokasi yang murah dan tidak menyusahkan diri.
Mungkin kita perlu ingatkan orang kita bahawa kekayaan negara kita, hanya 4% sahaja yang kita punyai. Sekitar antara 16 hingga 18% dimiliki kerajaan (yang barangkali mewakili orang Melayu). Selebihnya, memang bukan kita punya.
Dalam entri ini, saya tidak berniat langsung untuk mempertikaikan kewibawaan bangsa lain selain Melayu yang sudah berjaya dalam bidang perniagaan di negara ini. Malah, saya tabik kepada mereka yang dulunya, datuk neneknya datang ke mari sebagai mungkin kuli, hamba abdi, atau mungkin juga tersesat kerana mencari rezeki. Tetapi mereka ini, kalau dulunya orang susah atau papa kedana, namun status itu sudah tiada lagi pada mereka. Mereka telah berusaha dan bekerja kuat untuk membebaskan diri daripada terus terbelenggu dengan kesusahan.
Apakah orang kita tak mampu melakukan itu? Apakah kita hanya mahu melakukan sesuatu sekiranya ada sumbangan atau ada sogokan sahaja? Kita lihat semula kepada kejayaan bangsa lain, terutama sekali mereka yang berketurunan Cina. Mengapakah mereka berjaya? Saya percaya cara kerja mereka dan budaya kerja mereka jauh berbeza daripada kita. Kalau kita mahu lakukan sesuatu, rata-rata orang kita akan bertanya, 'berapa yang aku akan dapat sekarang?' Kita tidak mahu ambil kisah tentang apa yang akan kita dapat sekitar 5 tahun atau 10 tahun dari sekarang. Orang Cina, semasa berjuang dalam dunia bisnes dulu, mereka tidak fikirkan masa itu sahaja, tetapi mereka fikirkan tentang masa depan, bukan hanya untuk diri mereka sahaja, tetapi yang penting adalah untuk puak mereka. Sedangkan orang kita jarang mahu fikirkan itu semua.
Kita lebih selesa bergaduh, bertikam-tikam dari belakang, fikirkan diri kita sahaja... dan paling malang, kita tidak mahu fikirkan tentang bangsa atau kaum kita. Ramai yang sanggup lakukan apa saja, asalkan mereka senang sekarang. Tidak fikirkan langsung untuk masa depan bangsanya.
Dalam dunia bisnes buku, saya percaya, itulah yang perlu kita sebagai orang Melayu lakukan. Kita kena kerja macam orang Cina. Tak kira masa, tak kira tenaga... beri sokongan kepada kaum kita, bukan sengaja cuba menjatuhkan mereka dengan apa cara sekalipun. Sebagai orang Melayu yang beragama Islam, praktikkan amalan yang positif. Jangan suka cari salah orang, tapi carilah kesalahan diri sendiri. Jangan hanya tahu komen, tapi tak tahu mengatasi masalah yang dibangkitkan. Kalau kita mahu melihat dunia 'sastera' kita maju, perjuangkanlah dunia bisnes buku, kalau tidak... maka perjuangan sastera hanya sekadar merupakan mimpi dan angan-angan kita sahaja.
Ramai yang melompat dan rasa terkejut bila penjualan buku 'Harry Potter' mencecah jutaan dalam masa sekelip mata sahaja. Tiba-tiba semua teringin untuk merasakan apa yang sedang dinikmati penulis buku itu. Namun, tahukah kita pada asalnya, buku pertamanya itu telah diterbitkan sekitar 1500 naskah sahaja! Terlalu jauh dengan apa yang sedang berlaku kini. Banyak sebab yang terjadi dan merubahkan situasi.
Lihatlah kepada senario kita di negara ini. Orang kita payah nak terima sesuatu yang buatannya 'lokal'. Tidak bergaya dan tidak canggih memegang buku Melayu kalau dibandingkan dengan buku 'mat salih'. Tidak sofistikated kalau berbahasa Melayu dibandingkan berbahasa Inggeris, sekali pun bahasa Inggerisnya tidak betul 'grammar'.
Kita lebih seronok berkelahi dan bertekak, masing-masing nak tunjuk pandai, tetapi kita tak tahu mencari jalan untuk mengatasi kebuntuan yang kita hadapi. Mengapa kita lebih senang berusaha untuk jatuhkan sama sendiri, sedangkan kita sebenarnya memerlukan rakan seperjuangan. Sedarkah kita bahawa sebenarnya buku Melayu di pasaran tidak mencukupi. Kita tiada banyak pilihan, kerana rata-rata kita lebih suka menghasilkan benda yang sama daripada mencari kelaianan. Percayalah, trend akan berubah, dan sepatutnya kita sudah bersedia untuk menghadapi perubahan itu, bukan sekadar berlumba-lumba dalam trend yang ada sekarang ini.
Kalau kita mahu melihat dunia buku kita berkembang dengan pesat, maka kita sebagai penulis, pembaca, penerbit, pengedar dan penjual, sama-samalah bersedia untuk berganding bahu dan bekerjasama mencari jalan untuk memperjuangkan buku bahasa Melayu di pasaran. Bukankah bahasa itu melambangkan bangsa? atau mungkinkah kita sebenarnya malu untuk dipanggil bangsa Melayu?
Kalau kita tidak senang dengan sesuatu perkara yang sedang berlaku, maka perjuangkanlah agar perkara itu dapat diatasi. Bukan hanya sekadar berkata-kata kosong sahaja. Elaklah daripada menghentam sama sendiri, kerana dengan cara itu, sampai bila pun kita tak akan berjaya. Jadilah macam orang Cina, rata-rata mereka lebih suka bekerjasama. Mereka hidupkan satu 'network' yang menjaga kepentingan mereka. 'Dunia' kita ini sebenarnya terlalu kecil, dan kalau dunia yang kecil itu mahu kita kecilkan lagi, maka akan hilanglah ia.
Saya melihat dunia sastera sebagai tempat untuk kita luahkan pandangan, perjuangkan semangat... namun kita tak mampu melakukan itu semua sekiranya kita abaikan 'bisnes sastera' itu sendiri. Sampai kering air liur sekali pun, namun kalau bisnesnya kita tidak pegang, maka kita akan terus bercakap-caskap kosong sahaja!