Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, January 17, 2011

Di Sebalik Bencana Aceh





Gambar di atas, pantai di Aceh, Rumah Aceh dan Masjid Baitul Rahman.

Salam

Ya, saya dah pun balik dari Aceh. Apa maksud Aceh? Saya bertanya kepada Irwan, pemandu kami semasa di Banda Aceh. Katanya, A= Arab, C= Cina, E= Eropah dan H= Hindi. Hehe... iya ke tidak, saya tak tahu. Apa pun, banyak perkara yang saya anggap misteri di kawasan yang pernah bergelar Samudera Pasai ini. Banyak sejarah yang menjadi cerita dan banyak tinggalan buat kita lihat dan renung-renungkan. Suatu ketika dahulu, Aceh menjadi tempat di mana ulamak dan juga pedagang Islam datang dari Barat, membawa sama agama Islam untuk disebarkan di kawasan Nusantra. Mungkin dari sanalah kebanyakan orang-orang Melayu di Malaysia menjadi orang-orang Islam, wallahua'lam.

Saya sempat menjenguk tempat-tempat bersejarah di mana para ulamak dan raja-raja Aceh disemadikan. Selain itu, banyak tinggalan orang Portugis dan Belanda di tempat itu termasuk perkuburan mereka. Saya menziarah masjid dan makam-makan orang-orang Arab, orang-orang Turki dan juga Parsi. Masjid lama Baitul Rahman menjadi fokus utama Banda Aceh. Kami juga mengunjugi muzium yang banyak memaparkan kisah-kisah silam terutama tentang kerajaan Aceh dan perjuangan pejuang-pejuang Islam menentang Belanda.

Tentunya kami juga melawat tempat-tempat tinggalan bencana tsunami di kawasan itu. Kami melihat kawasan yang bersemadinya lebih 170 ribu mayat mangsa tsunami, tempat-tempat yang musnah serta penceritaan kisah yang dialami penduduk Aceh. Kami tidak lepas melawat rumah-rumah sumbangan pelbagai kerajaan dan NGO luar, buat rakyat Aceh, termasuk rumah-rumah sumbangan negara Kanada, Turki, Timur Tengah, Korea, jalan raya sumbangan Amerika Syarikat, jambatan-jambatan sumbangan pelbagai negara, masjid-masjid dan macam-macam lagi. Tentunya, orang Aceh mendapat banyak bantuan dari kerajaan dan NGO Turki kerana ikatan Turki dan Aceh sangat kuat hingga ke hari ini.

Apa pun, banyak yang saya belajar ketika di sana. Setiap musibah dan kecelakaan yang Tuhan berikan ada hikmahnya. Kini, orang-orang Aceh sedang berada dalam keadaan yang jauh lebih selesa kalau dibandingkan sebelum berlakunya bencana tsunami pada Disember 2004. Rakyatnya menjadi bertambah kuat, dari segi kekuatan agama, emosi, fizikal dan ekonomi. Kini Aceh menjadi tempat kedatangan orang luar.