Assalam
Kata orang putih, "Life goes on," sekalipun ada sekatan yang datang kepada perjalanan hidup kita namun kita wajib cekalkan hati dan teruskan kehidupan itu. In syaa Allah, itulah yang akan saya lakukan. Akan teruskan kehidupan ini walaupun rindu dan kasih saya tak mampu saya tepiskan dari perasaan ini. Mungkin kerana ibu saya tinggal dengan saya dalam tempoh yang lama dan pada akhir perjalanan hidupnya, dia bertambah uzur dan mula jadi seperti seorang anak kepada saya. Malah itulah kata-katanya, "Emak dah jadi anak, anak pula dah jadi emak." Mungkin juga kerana saya menyangkakan yang ibu saya akan pulih seperti sedia kala kerana sebelum ini, dia tak pernah sakit serius dan dalam tempoh yang lama. Apa-apa pun, saya tetap redha kerana saya juga tahu tempatnya di sana adalah yang terbaik buatnya. Tidak ada sesiapa pun yang lebih mengasihinya lebih daripada Allah ta'ala. Subhanallah.
Kata orang juga, ubat rindu kita dengan berdoa dan mungkin juga rasa itu akan kekal buat selama-lamanya dan in syaa Allah akan saya terus berdoa untuk ibu saya.
Dalam hal ini, saya juga terpaksa membelai hati adik saya yang tinggal bersama saya, juga anak perempuan saya dan semestinya cucu saya Firas yang sentiasa tertanya-tanya. Kadang-kadang dia tersasul dan terus berkata, "Matok dah meninggal, kan? Meninggal tu macam tidur... tapi tak akan balik lagi, kan?"
Firas sangat bijak dan pandai berkata-kata. Dialah yang paling banyak bergurau senda dengan arwah ibu saya dan secara jujur, Firas adalah penghibur hati arwah ibu saya.
Selepas ini, mungkin saya tak akan bercerita lagi tentang arwah ibu saya (not immediate), tetapi sekadar berkongsi rasa, saya mendapat kepuasan kerana di akhir hayatnya, saya telah cuba berikan yang terbaik seperti mahunya (walaupun saya tidak menganggarkan yang dia akan pergi). Saya carikan apa-apa makanan yang diinginkan dan alhamdulillah walaupun sekadar sesuap dua sahaja, dia memang merasa. Saya berada di sisinya untuk ingatkan dia mengucap syahadah dan membaca ayat-ayat suci al-Quran walaupun ketika itu, oksigen sudah berkurangan di badannya. Alhamdulillah, sayalah yang mendakapnya ketika mandikan jenazahnya. Saya mengiringinya di dalam ambulans ketika ke hospital dan sekali lagi mengiringinya ketika pulang sebagai jenazah dalam kenderaan jenazah. Saya juga mengaji untuk rohnya di depan jenazah sepanjang jenazah berada di rumah.
Semoga roh ibu saya tenang di alam barzakh dan semoga Allah ampunkan dosa-dosanya.
Al Fatihah.
Wassalam.