Assalam
Itulah niat dan rancangan saya, untuk buat blog baru tentang cinta baru saya. Hahaha... sensasi maa... sekarang saya memang dah ada cinta baru, beb!
Saya dah pun berkata-kata dalam blog ini sebelum ini, saya dah mula berubah hati. Sekarang dah ada cinta baru yang mungkin akan menggantikan cinta pertama saya... Okey2, bersabar... bukan soal hati ni tapi soal kesukaan saya yang bukan sekadar hobi. Dulu, memang menulis mendapat tempat pertama di hati saya, tetapi kini 'gardening' dah mula menambat hati dengan lebih ketara lagi. Selama ini pun, saya memang suka bercucuk tanam tetapi fokus lebih pada pokok bunga dan pokok hiasan. Namun kini cinta saya pada bercucuk tanam dan mula membuak-buak hinggakan tak lengkap kalau jejari saya tak kena pada tanah setiap hari. Bangun pagi-pagi, sebaik sahaja mentari menghiasi duniawi ini, saya sudah pun menjejak kaki di atas bumi, mula meronda sana-sini untuk melihat tanaman yang sedang menghiburkan hati.
Sebab itulah saya bercadang untuk membuka blog baru untuk menghidangkan rasa hati pada cinta yang kini sudah mula berubah, biar saya dapat berkongsi sama dengan mereka yang juga turut menggemari aktiviti 'gardening' ini. Sekarang ini, saya bukan sekadar tumpukan perhatian pada pokok hiasan sahaja, tetapi juga pelbagai jenis pokok buah, pelbagai jenis tanaman herba dan juga dah mula menanam sayur-sayuran.
Mungkin tak sesuai kalau saya asyik bercerita tentang cinta baru saya ini di blog ini, kerana blog ini lebih cenderung untuk bercerita tentang kehidupan dan juga aktiviti penulisan.
Di blog yang baru ini nanti saya akan 'berlabon' tentang aktiviti 'cucuk tanam' saya dan saya juga rancang untuk membuka blog ini kepada mereka yang juga berada di luar Malaysia. Oleh kerana itu saya akan mengguna bahasa Inggeris walaupun bahasa Inggeris saya dah agak 'lemah' dek kerana lebih banyak menulis dalam bahasa Melayu. Tapi tak apalah... saya akan cuba buat yang terbaik. Yang penting, saya dapat bercerita tentang aktiviti saya yang bukan merupakan sesuatu yang baru tetapi sudah mendapat tempat sebagai cinta pertama!
Paling menarik buat saya kerana cik abang saya memang minat sangat bercucuk tanam ni, jadi kami sama-sama (kadang-kadang jadi berlumba pula) berebut untuk buat pelbagai projek tanaman. Apatah lagi kami sudah mula berkebun di Lenggeng. Nanti, di blog baru inilah saya akan bercerita tentang aktiviti Lenggeng saya, insyaa-Allah.
Selagi Allah swt izinkan, saya akan berusaha untuk bercucuk-tanam dan bermain-main dengan tanah, tapi semestinya saya tak akan lupa dengan dunia penulisan saya. Masih segar-begar di hati... insyaa-Allah tak mudah untuk pergi.
Wassalam.
Sekadar hiasan - di tempat orang ni
