Assalam
Saya akui bahawa saya tidak pernah hidup dalam kehidupan yang serba sempurna. Tidak ada perfect 10 buat saya. Namun alhamdulillah, dalam kesederhanaan kehidupan saya itulah saya merasakan satu kepuasan. Bahagia atau tidak, juga sangat subjektif mungkin kerana kita hanyalah manusia biasa. Kalau kita kata kita bahagia, maka bahagialah yang kita rasa, tetapi kalau kita rasa tak bahagia, mungkin itu juga yang kita rasa, kan?
Alhamdulilllah, dalam hidup itulah yang saya cari, satu keadaan yang sederhana sahaja, saya tidak pernah meminta apa-apa yang lebih. Biar serba okey, serba ada, serba merasa dan serba sederhana. Saya sentiasa berasa syukur pada Allah swt sekalipun ada ketika saya diuji. Ada ke manusia yang tidak diuji? Kalau tiada ujian, maka mungkin tak teguh iman. Biarlah saya jadi insan yang hidup beriman, bertakwa pada Ilahi, lebih baik daripada insan yang tersesat jalan.
Apa yang buat saya suka?
Dalam hidup saya yang sederhana ini, saya sangat suka bila di awal pagi pada hari bekerja, anak-anak saya datang ke rumah dan berkumpul di meja makan kami. Kadang-kadang ada yang sudah pun bersarapan, tetapi mereka tetap duduk dengan saya dan suami, kami sama-sama minum kopi. 'Morning coffee' yang sangat bermakna buat saya. Di meja itulah kami berbual, berbincang mungkin dan bercerita tentang apa sahaja yang mungkin ada kaitan dengan kerja, dengan negara dan juga tentang dunia. Di situ juga saya sering ingatkan anak-anak, agar jadi manusia yang mendahului Allah swt dalam segala tindakan. Jangan sekali-kali terlibat dengan perbuatan jelek seperti aktiviti 'rasuah'. Buat kerja biar penuh amanah sekalipun banyak musuh di luar sana.
Kadang-kadang, ada anak-anak saya yang makan malam bersama kami juga. Selalu juga kami berkumpul di hujung minggu untuk lepak bersama-sama. Biasanya kami lakukan ini bila ada apa-apa yang kami nak raikan. Tetapi kalau masing-masing sibuk, tak adalah.
Sekarang ini, empat-empat anak saya bekerja dengan dua syarikat keluarga kami. Yang sulung dan yang kedua, mereka menguruskan satu syarikat dan yang ketiga dan bongsu, mengurus satu lagi syarikat. Alahmdulillah mereka pergi kerja bersama-sama dan rumah saya dijadikan 'port' mereka untuk bertembung.
Saya dan suami juga sangat seronok melayan cucu-cucu yang mempunyai macam-macam kerenah. Walaupun kadang-kadang bising, kami tetap berasa tenang bila si kenit-kenit ada di rumah kami. Kelakuan dan kerenah mereka itulah yang sangat menghiburkan. Semoga Allah swt pelihara mereka dunia dan akhirat.
Rutin harian saya sangat biasa-biasa sahaja. Taman saya adalah penting dalam hidup saya. Saya sangat suka dengan segala macam tanaman yang ada dan saya pastikan saya dan suamilah yang memberi fokus di situ. Kadang-kadang di waktu petang, kami akan melepak di kawasan balkoni untuk minum teh petang.
Saya tahu apa yang saya lalui setiap hari tentunya bukan sesuatu yang 'perfect 10'. Ada-ada sahaja yang kadang-kadang membuat kita rasa stress. Tetapi saya bersyukur Allah berikan semua yang terbaik sekalipun tidak lari dari cabaran dan ujian. Segala cabaran inilah yang membuatkan diri kita bertambah dekat dengan Tuhan.
Paling saya benci kalau ada yang cuba mendekati kami dengan perasaan yang tidak ikhlas. Bagi saya, kalau ada agenda lain yang bukan seperti apa yang dibentangkan, lebih baiklah pergi jauh-jauh.
Saya memang suka berkawan dan saya akui yang saya mempunyai banyak kawan. Dalam pada itu juga, kadang-kadang saya berjaga-jaga. Memang kita tak nafikan ada manusia yang suka pakai topeng bila berkenalan dengan kita. Namun alhamdulillah, kawan-kawan saya bukan sekadar mereka yang sama usia dengan saya, tetapi ramai yang umurnya masih muda termasuk pelajar-pelajar universiti. Mereka sudi menjadikan saya kawan baik mereka. Alhamdulillah. Betapa Allah berikan nikmat ini buat diri saya, walaupun tidak 'perfect 10', saya bersyukur.
Wassalam.
Sharifah Nabeehah - Puteri terbongsu dalam keluarga
Tempat yang menghiburkan hati saya
Tempat lepak sambil minum teh petang di balkoni
Kawasan yang selalu tenangkan hati dan jiwa



