
Sebagai penulis, saya cuba membaca sesuatu dari wajah seseorang, kelakuannya dan juga dari tertibnya. Namun, saya sekadar manusia biasa, ada kala, apa yang saya anggarkan itu tepat sekali, ada ketika tidak juga. Kalau dulu, saya selalu mengandaikan bahawa mereka yang dari luar kelihatan seperti 'baik', tentulah baik juga akhlaknya. Sebenarnya, kita jangan sesekali melihat sekadar pakaian orang atau mungkin gelarannya untuk meletak orang itu sebagai 'bagus' atau tidak. Saya seperti orang lain juga, akan secara automatik menghormati mereka yang memegang gelaran 'ustaz' atau 'ustazah', dan juga mereka yang berpakaian sopan (bertudung labuh dan berserban).
Suatu ketika dahulu, saya pernah mengenali seorang wanita yang juga kami panggil 'ustazah'. Selain daripada menjual barang-barang kemas, beliau juga mengajar bahasa Arab dan memberi ceramah di surau-surau, semestinya tentang agama, untuk kaum hawa. Ketika itu, saya masih bekerja, dan 'ustazah' ini rajin ke tempat kerja saya kerana mencari pelanggan untuk barang-barang kemasnya. Saya juga merupakan salah seorang dari pelanggan beliau.
Kalau dia datang ke pejabat kami, dia akan mencari orang-orang seperti saya, yang ada potensi membeli barangnya juga. Saya pula ketika itu memang tengah 'loaded' dan tak kisah, apa sahaja orang tunjuk pada saya, akan saya beli. Dia memang baik dengan saya, dari jauh lagi sudah mnenegur saya dengan suaranya yang lemah gemalai. Ketika itu, saya memang menganggap dia baik, maklumlah, dia juga rajin memberi nasihat-nasihat agama kepada kami.
Suatu hari, saya bertanya kepada kawan saya (Seorang rakan baik) yang bekerja sepejabat dengan saya, tentang 'ustazah' tadi. Kawan saya berkata, "Dia tak suka saya."
"Kenapa?"
"Saya tak pernah beli barang kemas dia. Mana saya ada duit."
"Hah? takkan sebab tak beli barang kemas, dia tak suka awak pulak?" saya tak yakin.
"Betul. Kalau tak percaya, nanti awak tengoklah bila dia datang sini. Dia hanya tegur mereka yang jadi pelanggan dia sahaja. Yang lain-lain dia buat tak nampak."
Selepas itu, saya perhatikan tingkah wanita itu. Memang betul kata rakan saya. Tetapi saya tak hendak berburuk sangka kepadanya. Saya terus berkawan. Kemudian, saya memilih untuk bersara pilihan. Dia datang pula ke rumah saya, kali ini, dia juga jadi pelanggan ibu saya dan jiran saya. Suatu hari, dia berjanji untuk lakukan sesuatu untuk saya. Kami berjanji untuk berjumpa, tetapi dia tak datang. Saya terkilan kerana dia langsung tak hubungi saya. Selepas itu, saya mula berjaga-jaga. Bila dia datang lagi ke rumah saya, saya buat tak kisah, saya biarkan ibu saya yang melayan. Dia langsung tak minta maaf, malah bila saya tanya, dia kata dia ada pergi ke tempat itu tapi terlewat. Tetapi saya tahu dia menipu.
Saya juga pernah bertanya kepada dia, "Ustazah tak takut ke bawak barang-barang banyak-banyak macam ni? tak takut orang kacau?"
"Siapa nak kacau saya? saya tahulah... saya ni orang agama. Bila saya jalan, orang tak nampak saya." Itulah yang pernah dikatakannya. Dalam hati, saya beranggapan yang dia terasa hebat mungkin.
Selepas kejadian yang saya katakan di mana dia'kantoikan' saya tu, saya sudah tak mahu ambil kisah tentangnya lagi. Dia pun tak adalah sibuk nak cari saya lagi.
Tahu-tahu suatu hari, saya dengar yang dia telah diserang orang semasa sedang bawa barang-barang kemasnya di sebuah perhentian bas. Habis hilang beratus-ratus ribu dalam sekelip mata. Dalam masa yang sama, dia parah teruk kerana bergelut dengan orang yang menyerangnya. Pakaiannya koyak rabak dan badannya luka teruk kerana tersagat di atas jalan raya.
Saya bersimpati mendengar ceritanya.
Begitu juga kisah seorang lagi 'ustazah' yang saya kenali. Beliau sering memberi ceramah (Malah dalam TV selalu ada), dan katanya kepada kaum Hawa,"Kita sebagai orang perempuan, jangan suka menunjuk-nunjuk. Tak baik, berdosa." Dalam berkata begitu, dia sendiri memakai barang kemas hampir separuh tangannya hingga ke siku! selepas itu, saya tak kuasa mendengar ceramahnya lagi.
Bagi saya, akhlak itu penting, bukan sekadar cara kita berpakaian atau gelaran yang kita ada sahaja yang melambangkan kebaikan kita. Sudah berkali-kali saya terserempak dengan orang-orang yang pakaiannya begini tetapi sambil memandu, mencampak sampah dari dalam kereta mereka!