Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, July 03, 2012

Igauan Cinta Pertama


Salam semua

Pagi ini teringat pula saya hendak bercerita tentang cinta pertama. First Love yang biasanya tinggalkan kesan yang mendalam buat mereka yang pernah melaluinya. Mungkin anda bernasib baik kalau terus sahaja berkahwin dengan orang pertama yang anda jatuh cinta (huhu... macam pernah dengar aje). Pun begitu, tak semestinya bila pilih untuk berkahwin dengan cinta pertama, anda akan bahagia. Kadang-kadang, kita tak dapat menduga apa yang akan berlaku bila pilih orang pertama yang menyayangi kita.

Biasanya juga, sebelum betul-betul jatuh cinta, anda mungkin akan jatuh cinta berkali-kali. Mungkin dalam keadaan begini, cinta pertama hanya merupakan satu cerita sahaja. Bila saya kata 'cinta pertama' saya maksudkan cinta yang datang dalam hidup anda buat pertama kalinya dan bagi tempoh yang lama. Ada orang bercinta selama lima tahun, ada tu hingga sepuluh tahun. Tentunya bagi masa yang panjang itu, kalau terputus tentulah yang merasanya akan terkesan sangat-sangat. Maklumlah, bukan senang nak lupa pada 'cinta pertama'.

 Antara novel penulisan saya, 'Sesuci Cinta', 'Setulus Janji', 'Bunga-Bunga Kemboja', 'Hanya Kita Berdua' banyak membincangkan perasaan dan rasa dalam hal 'cinta pertama'. Misalnya dalam BBK, cinta pertama Nabil tidak menjadi walaupun dia bercinta dengan Nadya selama tujuh tahun, namun kesan yang ditinggalkan sangat mendalam.

'Cinta pertama' buat Nuraina dalam 'Sesuci Cinta' dan 'Cinta pertama' buat Najla Haifa dalam 'Hanya Kita Berdua' meninggalkan kesan yang payah untuk kedua-dua Nuraina dan Najla Haifa lupakan kepada 'cinta pertama' mereka itu. Nuraina berkahwin dengan cinta pertamanya, begitu juga Najla pada akhirnya.

Kadang-kadang, sekalipun kita sudah tinggalkan 'cinta pertama' dan berkahwin dengan orang lain, namun 'cinta pertama' tetap melekat di sanubari dan payah untuk dilupakan. Ada ketika menjadi igauan siang dan malam sepanjang hayat. Huh!

Dalam hal ini, saya bernasib baik kerana berkahwin dengan 'cinta pertama' saya. Insya-Allah akan terus berkekalan hingga akhir hayat, itulah doa saya. Dalam hal ini juga, bagi anda yang sudah pun hilang 'cinta pertama', biarkanlah dan teruskanlah dengan hidup anda. Masih banyak lagi di luar sana yang mampu untuk berikan kebahagiaan kepada anda, insya-Allah.

Wassalam.