Assalamualaikum.
Selamat pagi dan salam Jumaat, semoga hari ini lebih baik daripada semalam. Semoga kita diberkati Allah SWT dan selamat dunia akhirat.
Kenapa agaknya ada orang suka menyampai-nyampaikan fitnah yang tidak pasti kesohihannya? Mungkin dah jadi tabiat manusia kot, suka bercerita tak tentu pasal. Saya tidak bercerita tentang apa-apa isu tertentu, sekadar mengingatkan diri sendiri untuk mengawal nafsu. Jangan sebarkan apa-apa yang saya kurang tahu atau tak tahu. Sekadar andaian atau sekadar dengar cakap orang, tak semestinya tepat dan betul. Saya teringat sebuah kisah 'betul' yang pernah terjadi ketika Iraq memasuki Kuwait.
Ada seorang wanita muda, tiba-tiba muncul dan menyampaikan cerita kepada para wartawan dunia dan mengatakan bahawa di depan matanya dia melihat askar-askar Iraq memasuki hospital, lalu mengambil inkubator yang mempunyai bayi-bayi di dalamnya. Bayi-bayi itu dibiarkan di atas lantai hingga mati semuanya Kemudian askar-askar Iraq menembak kakitangan hospital berkenaan. Maka kecohlah dunia Barat, masing-masing mengatakan bahawa Iraq kejam, Sadam Husin jahat! Paling marah tentunya rakyat Amerika Syarikat yang merasakan bahawa mereka adalah keturunan malaikat, tak pernah lakukan kesalahan.
Namun kemudiannya, didapati bahawa wanita muda itu sekadar terlibat dalam propaganda kerajaan Barat. Wanita itu adalah anak duta Kuwait ke USA dan sengaja dia berkata begitu untuk mulakan kekecohan. Tetapi ketika itu semuanya sudah mengikut rentak dunia Barat. Iraq dicerobohi, Sadam Husin dijadikan target, rakyat Iraq sengsara setelah negaranya dimusnahkan. Dunia Barat ketawa besar kerana minyak Iraq di tangan mereka. Semua orang marah Sadam Husin termasuklah orang-orang Islam. Semua orang lebih suka menyokong Amerika dan Israel, kerana sejahat Amerika dan Israel, mereka masih merupakan hero di mata dunia! Masing-masing takut. Apatah lagi, negara Saudi merupakan rakan baik Amerika dan Israel. Tentulah Saudi itu orang baik-baik kerana kota suci Mekah dan Madinah di bawah jajahan negara itu! Jadinya, Iraq itulah yang jahat dan mereka patut dihukum! Sekarang ini, kita semua berpuas hati melihat negara Iraq hancur dan musnah hingga ke hari ini. Selepas itu, kita lihat Afghanistan dilingkupkan. Kita nampak bagaimana Palestin tak mampu ditolong. Mesir akan musnah. Libya telah dicacatkan dan dilemahkan. Tak lama lagi Syria akan hancur dan musnah. Orang Islam tepuk tangan kerana berasa bangga menyokong tindakan dunia Barat. Kita tidak melihat muslihat dunia Barat, kerana kita terlalu leka dengan finah yang disebarkan. Asal datangnya dari Barat (medianya), maka kita akan percaya seratus peratus. Kita tak nampak propaganda dunia Barat, kerana kita sendiri tak buat apa-apa, sekadar mendengar berita dan cerita.
Akhiranya nanti dunia Islam akan dilemahkan kerana orang Islam suka dengar berita dan cerita yang disebarkan oleh dunia Barat yang anti Islam.
Beginilah kita semua, bila seronok melihat, mendengar dan mempercayai segala fitnah yang dilemparkan sana sini. Kita lebih suka sesebuah negara itu hancur dan musnah kerana kita beri ruang dan peluang kepada pihak zionis untuk mengatur kata-katanya. Orang Islam mudah 'membeli fitnah' yang dilemparkan. Selagi tak ada bukti, itulah yang dikatakan fitnah. Kita pernah melihat perkara ini terjadi, tapi kita masih berpihak pada negara Barat yang suka menyebar fitnah! Wallahuaklam.
Wassalam.
Imej ketika Perang Iraq


