Assalam
Penyakit rindu ni kadang-kadang memang susah nak ditangani. Hah rindu pada siapa pulak ni? Nak rindu pada cik abang taklah kot... sebab hari-hari dia ada. Apa yang saya nak cerita ni ialah tentang rindu dengan kawan-kawan sekolah. Maklumlah, sebahagian besar hidup kita memang banyak dihabiskan bersama kawan-kawan sekolah. Tak tahulah saya hidup orang muda hari ini, sebab rata-rata masing-masing sibuk dengan handphone atau gadget yang lain.
Bagi saya, memang saya rapat dengan kawan-kawan. Bukan hanya kawan-kawan sekolah, tetapi juga kawan-kawan universiti dan kawan-kawan ofis dulu. Sampai hari ini saya masih rapat dengan mereka semua. Sekali-sekala kami melepaklah. Sebenarnya memang tak rugi punyai kawan yang ramai asal sahaja berkawan dengan ikhlas. Bagi saya juga, teman-teman sekolah jauh lagi ikhlas dari teman-teman yang saya temui di kemudian harinya. Apa-apa pun, saya bersyukur kerana Allah juga berikan nikmat untuk saya bertemu dengan pembaca-pembaca dan penyokong-penyokong novel-novel saya yang ramai di antaranya merupakan insan-insan yang baik hati dan ikhlas. Adalah dicelah-celah mereka yang mengahmpiri saya yang cuba ambil kesempatan, namun alhamdulillah Allah lindungi saya dan sehingga hari ini saya terus rapat dengan mereka yang baik hati.
Bulan Januari nanti (tahun hadapan) kami ada gathering rakan-rakan sekolah. Memang gathering seperti ini kami nanti-nantikan. Bukan setiap tahun kami dapat berjumpa, tetapi bila ada peluang kami tak naklah terlepas. Masing-masing rindu untuk berjumpa. Saya masih ingat pada perjumpaan yang terakhir... sangatlah best!
Puaslah kami pukul canang pada kawan-kawan agar ramai yang akan berusaha untuk datang. tahu-tahulah... ada juga kawan-kawan lama ni yang jenis liat nak datang. Entah apa sebabnya kami pun kurang pasti. Ada tu katanya 'segan', entah apa yang hendak disegankan saya pun tak tahu. Sebenarnya kita tak perlu segan apa-apa pun sebab kalau kita berkawan biarlah persahabatan itu sesuatu yang ikhlas, tak kisah apa jua keadaan kita dulu atau sekarang. Kawan tetap kawan yang lain-lain itu tidak penting. Tak payahlah kita nak sukat apa-apa, kerana Allah dah tetapkan habuan masing-masing. Asal sahaja kita tak berlagak sombong, cukuplah.
Saya memang rindu sangat-sangat pada teman-teman sekolah, termasuk yang junior dan senior. Maklumlah masa saya sekolah dulu saya dan kakak-kakak serta adik, kami sangat aktif bersukan dan menjadi ahli sukan pelbagai permainan terutama hoki. Saya main untuk sekolah dan juga negeri Perak. Malah, pernah dipanggil untuk pencalonan main untuk negara, tetapi ketika itu saya dah tak berminat lagi, mungkin kerana mahu tumpu pada pelajaran. Kerana itulah kami dikenali di sekolah dulu. Jadi, bila dah matang ini, kawan-kawan lama masih ingat lagi walaupun bukan satu batch. Alhamdulillah.
Semoga bila kita pilih untuk berkawan biarlah kita berkawan dengan ikhlas agar pertalian kita dapat bertahan hingga akhirat.
Wassalam
Pada perjumpaan yang akhir, saya dengan guru-guru sekolah.

